Wednesday, April 5, 2017

Bulan Cinta Bab 1





“BOLEH tak Rara duduk diam-diam? Pening angah tengok Rara ke hulu ke hilir dari tadi. Orang nak tengok TV pun tak senang.” Hidayat pandang adiknya sambil jegil mata.

          “Kalau tak nak pening, tak payah la tengok.” Tak cukup mengejek, Rania buat muka pula.

          “Dah Rara kat depan mata angah,  nak tak nak kenalah tengok.”

          “Dah, dah, dah. Sebelum jadi  panjang, lebik baik dua-dua diam. Nanti lain pula jadinya.”  

Encik Raof terpaksa menyampuk. Kalau dibiarkan mahu jadi bergaduh. Bukan dia tak faham dengan perangai budak dua orang ni. Kalau tengah berbaik, bukan main lagi. Bertepuk bertampar, ketawa sampai tak ingat dunia. Tapi kalau bergaduh, macam-macam yang keluar dari mulut masing-masing.

          “Ayaahh...” Rania   dah menempel di sebelah Encik Raof atas sofa tunggal.  Manja suaranya.

          “Apa dia, sayang?”

          “Boleh tak kalau Rara tak nak mula esok? Rara nak minta tangguh minggu depan.” Lembut mata Rania pandang ayah. Nak memujuklah tu.

          “Tak boleh!” Belum sempat Encik Raof kata apa-apa, Huzir menjawab. Keras suaranya.

          “Bolehlah ayah.” Rania  pujuk. Buat-buat tak dengar ucapan along.

          “Kenapa nak minta tangguh pulak?”

“Tiba-tiba Rara rasa macam tak yakin.”

“Mana boleh macam tu? Rara kena percaya pada diri sendiri, kena yakin. Ayah percaya Rara boleh.”

          “Entah, belum apa-apa dah tunjuk lemah. Rara, kita ni tak boleh cepat mengalah. Kena berjuang habis-habisan, faham?”

          “Angah jangan menyampuk boleh tak? Berjuang apa benda entah. Angah ingat Rara ni nak pergi berperang ke, apa?” Rania   tayang penumbuk. Hidayat balas dengan jelir lidah.

          “Rara ni kan, umur dah dua puluh enam, tapi perangai sampai sekarang masih tak matang. Boleh tak Rara belajar jadi matang sikit? Belajar jadi dewasa?”

 Kecil saja along di mata Rania  masa ni. Pedas sungguh ayat tu weh! Tapi ayat along mana pernah tak pedas? Dari dulu macam itulah mulut dia.

          “Pening pulak kepala ayah dengan kau orang ni la.”

          “Entah, semua sibuk nak menyampuk.” Rania juih bibir.

          “Ayah cakap kau orang, bermakna termasuklah Rara sekali. Rara pun menyumbang pening kepala ayah, tau? Jangan nak perasan.” Hidayat mengejek.

          “Tak ada, tak  ada... kan ayah?”

          Encik Raof hanya geleng kepala sambil pandang muka Rania.

          “Sekarang dah pukul sepuluh lebih, Rara nak masuk tidur, sebab pagi-pagi esok Rara nak keluar pergi joging. Selain itu, Rara tak nak fikir apa-apa.”  

          “Rara jangan nak mengada-ngada. Pukul tujuh setengah pagi esok, along akan pastikan Rara dah ada kat depan pintu pagar,” marah Huzir.

          “Tak nak.”

          “Rara mana boleh buat macam tu? Eh! along dah keluar duit banyak tau? Rara jangan suka-suka nak buat keputusan sendiri.” Huzir sambung marah.

          Sambil jeling along, Rania bangun dari sofa.

“Dah bagi nak ungkit balik. Susah-susah sangat, Rara bayar balik duit along tu.”

           “Ayah tau Rara bergurau aje tu. Takkan la Rara sampai hati nak malukan ayah, betul tak?”

          Dengar suara ayah yang macam tu, Rania   tak jadi nak menjawab lagi. Ayah selalu buat Rara kalah tau? Pandai betul ayah psiko Rara. Jarang marah, pukul pun tak pernah. Itu yang buat rasa hormat semakin menebal terhadap ayah. Sememangnya Abdul Raof Mohd Shukor adalah ayah terbaik dalam dunia ni.



JEMARINYA mengetuk-ngetuk stereng. Mulut menyanyi perlahan, mengikut rentak lagu dari radio yang sedang terpasang. Sesekali mata menoleh ke arah pintu rumah.  Sudah hampir sepuluh minit dia di sini. Salam sudah beberapa kali dihulurkan, suis loceng rumah juga sudah ditekan, tapi orang yang ditunggu masih tidak kelihatan.   

Hati dah sama panas dengan enjin kereta. Terus terang, dia memang pantang dengan orang yang tidak menepati masa, tidak menepati janji.  Baru tangannya nak menekan hon, pintu rumah terbuka. Bukan seorang, tetapi empat orang muncul dari situ.

Dia keluar dari kereta, berjalan ke arah pintu pagar. Tapi sesudah dua minit di situ, empat orang tadi masih juga berada di depan muka pintu. Sepertinya sedang berlaku sesi perbincangan di situ. Apa hal pula ni? Sampai bila nak kena tunggu?

          “Assalamualaikum.” Seraya tersenyum, salam dihulurkan.

          “Waalaikumussalam.” Encik Raof datang ke arah pintu pagar.

          “Encik ni dari Sekolah Memandu Kita ke?”

          “Ya, saya,” mesra suaranya.

“Minta maaflah encik, lama tunggu. Anak pak cik tu tak pernah bawak kereta sebelum ni. Tu yang dia cuak sikit. Kami tengah bagi semangat dekat dia la ni.”

          “Ok tak apa, saya tunggu.” Berlapik Razlan jawab. Biasalah kalau dengan orang berpangkat bapa, dia memang lemah sikit. Hati yang sedang hangat, mendadak jadi sejuk.

“Saya Razlan Hakimi. Panggil Razlan aje.” Kedua-dua belah tangannya dihulurkan kepada lelaki itu.

“Pak cik Raof.” Huluran tangan Razlan  disambut.

“Sekejap pak cik panggil anak pak cik, ya?” Lantas dia bergegas ke dalam pagar semula.

          Tiga minit kemudian, Encik Raof datang. Rania, Huzir serta Hidayat juga.

“Inilah Rania Aisya, anak pak cik yang nak belajar memandu tu. Yang dua orang ni pun anak pak cik.”

Kepada Rania, Razlan sekadar beri sedikit senyuman.  Kepada anak-anak lelaki Encik Raof, dia hulur tangan untuk bersalaman.

Jadi, inilah guru memandu tu? Huh! Handome gila. Tak berkelip mata Rania pandang Razlan. Dari atas ke bawah dia tilik. Memang lawa sungguhlah mamat ni. Dengan tingginya, dengan matanya yang cantik, hidung terletak, bibir merah samar, kulit cerah. Haisy, Macam tak sesuai aje jadi guru memandu.

Silap pilih profesion dia ni. Sepatutnya orang macam Razlan ni lebih sesuai jadi model atau pelakon.

Klise! Asal lawa aje kena jadi model, jadi pelakon. Macamlah dua pekerjaan itu saja yang sesuai untuk orang-orang macam Razlan tu. Tapi memang tak sesuailah mamat ni jadi tenaga pengajar sekolah memandu. Boleh ke pelajar perempuan beri konsentrasi pada pemanduan kalau dah guru kat sebelah terlajak kacak macam ni?

“Rara, ini Razlan... dia ni yang akan ajar Rara, tau?”

“Oo.. oo... okey.” Terus Rania jadi gagap. Ralit sangat merenung dan melamun, sampai dia jadi lupa diri sekejap. Harap-harap semua tak perasan, lebih-lebih lagi Razlan, si kacak itu.

Tapi hati, kenapa tiba-tiba nak berdebar-debar pulak ni? Hei, tolonglah jangan macam-macam. Tak suka tau!

          “Boleh kami pergi sekarang, pak cik?”

          “Boleh.” Encik Raof senyum.

          “Ayah.” Rania tayang muka sedih. Tangan ayah dicapai dan dipegang.

          “Pergi ajelah. Insya-Allah, okey tu. Ayah doakan ya?” Encik Raof memujuk lembut.

          “Relaks la. Tak ada apalah.” Hidayat, menepuk-nepuk belakang adiknya. Cuba bagi semangat.

          “Kan ada Razlan tu, Rara. Tak payah nak takut sangatlah.” Huzir pula bersuara.

          “Dah, dah... kesian Razlan. Dah lama sangat dia tunggu.” Encik Raof memaut bahu anaknya. Kemudian membuka pintu kereta sebelah penumpang.

“Razlan    bawak atau nak bagi anak pak cik bawak?”

          Rania membesarkan matanya. Ada pula ayah pergi tanya macam tu? Melampaunya!

          “Dia dah pernah bawak kereta ke?” soal Razlan.

          “Tak pernah.” Cepat-cepat Rania jawab. Sebenarnya pernah. Angah yang ajar. Tapi di kawasan lengang dan tiada kenderaan.

          “Kalau tak pernah tak apalah. Biar saya bawak dulu.”



“DAH macam nak hantar orang pergi Mekah la pulak. Sampai satu keluarga hantar. Lepas tu siap bagi pesanan penaja bagai. Padahal nak belajar memandu aje pun.” Razlan menyindir. Ketika itu kereta baru bergerak meninggalkan perkarangan rumah Rania.

          Rania menoleh. Bulat matanya pandang wajah Razlan. Melampaunya mamat ni. Tadi kat depan ayah, kat depan semua orang bukan main bersopan santun. Tak sangka, mulut macam longkang yang penuh lumut. Muka yang terlajak kacak tadi, tiba-tiba nampak buruk di matanya.

          “Tapi tak cukup ramai tu. Apa pasal tak ajak ketua kampung, penghulu, pengerusi rukun tetangga, tok imam, tok siak sekali... mesti lagi meriah.”

          Telinga Rania dah rasa hangat. Mamat ni memang kurang ajar.

 “Eh! salah ke kalau ramai yang hantar saya? Saya belajar memandu ni saya bayarlah. Bukan percuma tau? Suka hatilah berapa ramai yang nak hantar saya pun.”

          “Siapa cakap salah? Kalau awak nak ajak satu taman tu pun boleh. Nak lagi gempak, bawak bunga manggar sekali, kompang jangan lupa. Terus arak awak masuk dalam kereta ni.”

          “Eiii, mulut!!” Sakit pula hati Rania. Dahlah belajar tanpa rela, dapat pulak pengajar mulut buntut ayam macam ni. Harap-harap hari ini sajalah dia belajar dengan mamat poyo ini.

          “Tadi tu kenapa lambat?” soal Razlan, tanpa mempedulikan Rania yang sedang marah.

          “Tak apa apalah.” Jawab sajalah macam tu. Takkan nak berterus terang, kan? Malu tau? Sejujurnya, dia takut. Juga suka berfikir yang bukan-bukan. Dia risau kalau-kalau dia akan langgar orang. Lepas tu dia terasa-rasa macam semua kenderaan dari arah berlawanan akan bertembung dengan kereta yang sedang dia pandu.

Bukan tak cuba buang perasaan tu, tapi tak boleh. Sebab itulah dia belum ada lesen memandu sampai sekarang walaupun umur dah nak masuk 26 tahun. Ikutkan bukan dia yang nak belajar sangat. Along yang paksa sampai sanggup keluar duit.   Dia faham kenapa along bersungguh benar. Yalah, selama ini dia ke tempat kerja tumpang kereta along.

Tapi lagi dua bulan along dah nak berkahwin dan nak kena berpindah ke rumah sendiri. Itu sebab along paksa dia belajar memandu dan punya lesen macam orang lain. Cuma yang jadi masalah sekarang, dia  seorang yang penakut dan punya tahap keyakinan diri yang sangat rendah.

Ikutkan dia boleh aje naik kenderaan awam. Tapi ayah tu mana nak kasi? Dari dulu lagi ayah macam tu. Susah sangat nak melepaskan anak daranya ini ke mana-mana sendirian. Konon risau keselamatan dia. Tapi dalam ayah duk larang, sesekali ada juga dia guna perkhidmatan awam macam teksi, LRT mahupun Uber.  

“Takut?”

          “Mana ada?”

          “Mengaku ajelah.”

          “Tak takutlah.”

          “Tadi tu dia orang tengah pujuk awak, kan?” Tanpa menghiraukan jawaban Rania, Razlan  bertanya begitu.

          “Kenapa nak kena tanya macam tu? Tugas awak cuma mengajar saya aje, kan? Lebih-lebih pulak!”

          “Tanya macam tu pun nak marah? Berlagak betul!”

          Berlagak dikatanya aku? Kurang asam betul! Baru bercadang nak balas, telefonnya berbunyi. Segera dia keluarkan dari beg sandangnya. Syafiq di talian.

“Fiq, nanti I  telefon balik ya? I tengah belajar memandu ni.” Perlahan Rania jawab. Tak nak bagi Razlan dengar.

          “You belajar memandu? Jangan buat lawak boleh tak?” Kuat suara Syafiq. Macamlah baru sehari dua dia kenal Rania.

          “Lawak apa pulak? Betul la.”

          “Apa apa ajelah,” pintas Syafiq. Sikit pun dia tak percaya.

“I nak ajak you keluar.”

          “Okey, petang ni kita keluar.”

          “I pergi jemput you sekarang. Kita keluar pagi ni.”

          “Tak boleh,  sekarang ni I ada kelas memandu. Kan I dah cakap tadi?”

          “You serius ke ni?”

“Seriuslah. Takkan I nak tipu you pulak.”

“Tak cakap dengan I pun.”

          “Lupa.” Sebenarnya bukan lupa, saja tak nak beritahu. Bukan apa, risau mereka bergaduh pula. Syafiq tu kan lain macam sikit. Cemburu tak bertempat. Kalau dia beritahu awal-awal, silap-silap dia tidak dibenarkan belajar memandu pula.

          “I tak percaya. Entah-entah you dengan lelaki lain.” Syafiq merungut.

          Rania   mendengus. Betul pun apa yang dia fikir. Kalau tak cemburu, kalau tak syak yang bukan-bukan, bukan Syafiq la tu.

“Suka hati aje you tuduh I, kan?”  Suara Rania mendadak jadi tinggi. Lupa dengan siapa dia berada sekarang.

          “Tapi betul kan you  dengan lelaki?”

          “Ya, memang betul.”

          “Raniaaaa!!” Syafiq menjerit.

“Dia  guru sekolah memandu ajelah. Takkan itu pun tak boleh?”

          Razlan  senyum. Haiya! Ada orang cemburu la.

          “I tak percaya.”

          “Ya, Allah. I tak tipu.”

          “Dia handsome, kan?”

          “Mana ada? Dia dah tua, rambut pun dah beruban. Memang tak handsome langsung. I tengok pun tak selera.”

          Razlan jegil mata. Amboi mulut! Sesedap rasa mengumpat aku. Memang cari pasal betul la perempuan ni.

          “Kalau betul, buktikan pada I.”

          “Bukti apa benda pulak ni?”

          “You wefie dengan dia. Lepas tu hantar gambar tu dekat I. Sekarang!” Syafiq beri arahan.

          Rania tergamam. Syafiq suruh dia wefie dengan mamat poyo ni? Dah hilang ingatan apa?

          “You dengar tak?”

          “Okey la Fiq. I tak boleh cakap banyak, nanti I call you balik. Bye.” Rania  segera mematikan talian. Suka hati Syafiqlah nak marah ke, nak mengamuk ke, malas nak fikir.

          “Apa awak cakap? Orang tua rambut beruban, tak handsome, awak tak selera?” Razlan   dah marah. Kut ya pun nak lepas diri dari kekasih hati, tak perlulah nak babitkan dia pula. Memang cepatlah dia naik angin.

          “Bila masa saya cakap macam tu?” Eh, rasanya dah cukup perlahan dia bercakap. Takkan Razlan boleh dengar pulak?

          “Eh, eh, tak nak mengaku pulak. Untuk pengetahuan awak, Telinga ni hari-hari saya korek tau? Kalau awak duduk sebatu pun saya boleh dengar awak bercakap, ini pula kat sebelah ni aje. Nak menipu pun agak-agaklah.”

          “Eleh, mengata orang! Awak pun sama menipu. Ingat hebat sangat telinga awak sampai boleh dengar saya bercakap dalam jarak sebatu tu?”

          “Betul la. Kalau bercakap melalui telefon, usah kata sebatu, seribu batu pun boleh dengar.”

          “Loyar buruk!” Rania mencebik.

          “Lain kali tolong jangan babitkan saya. Saya tak suka, tau tak!” Serius suara Razlan. Memang dia tak suka. Yalah, kau bergaduh dengan pak we kau, lepas tu kau nak heret aku sekali, apa kes? Baru kenal tak sampai setengah jam, dah macam-macam kerenah kau dah tunjuk.

          “Maaf!” Sepatah sahaja Rania  cakap. Benda dah jadi, nak undur balik pun dah tak boleh. Yang perlu difikirkan sekarang adalah Syafiq. Macam mana ya nak pujuk lelaki tu?

          “Maaf konon.” Razlan  mengejek.

          “Eh! awak ni dah kenapa? Orang dah minta maaf, terima ajelah. Apa yang tak puas hati lagi ni?”

          “Saya tak puas hati sebab awak cakap saya tua, beruban, tak handsome.”

          “Okeylah, awak handsome, macho, segak, tampan, kacak, lawa, sado, cemerlang, gemilang dan terbilang. Ok, puas hati?” Hati dah semakin menyampah dengan lelaki ni. Sangat menyampah. Tak taulah macam mana dia nak terus belajar dengan orang macam ni.

          “Jangan lebih-lebih boleh tak?” Razlan toleh Rania sebentar sambil jegil mata.

          “Kena puji pun marah? Tak bersyukur betul.”

          “Belum apa-apa dah derhaka dengan guru. Harap-harap sekali ajelah ambil test terus lulus.” Razlan mengomel.

          “Ya Allah, mulut. Macam ini ke tingkah laku seorang guru? Belum apa-apa dah doa yang tidak baik untuk anak murid.”

          “Bila masa saya doa yang tak baik? Cuba faham betul-betul ayat saya tu.”

Eleh, tak nak mengaku konon. Macamlah aku bodoh sangat tak faham ayat sindiran dia tu.

No comments: