Sunday, April 23, 2017

Bulan cinta bab 7



“EH! Awak nak pergi mana ni, Rania? Awak lalu ikut jalan salah ni,” tegur Razlan apabila kereta yang Rania  pandu memasuki simpang kanan.

          “Siapa cakap saya ikut jalan salah? Betul la ni.” Dalam takut-takut Rania  menjawab. Mahu tak takut, dia bukan biasa sangat dengan jalan itu. Tahap kesesakan dan keadaan jalan yang agak bengkang-bengkok tu pun dia tak maklum sangat. Tapi demi memenuhi permintaan seseorang, dia terpaksa.

          “Ini bukan jalan nak ke rumah awak.” Sudah tiga sesi dia mengajar Rania. Takkan gadis itu masih tak faham-faham. Takkan masih tak tahu jalan balik ke rumah.

          “Memang pun. Ingat saya tak tau, ke?”

          “Dah tu awak nak ke mana ni?

          “Nak jumpa kawan.”

          Terbeliak mata Razlan. Lebih-lebih la pulak perempuan ni. Memang sengaja cari pasal.

“Awak mana boleh sesuka hati buat macam tu? Perbuatan awak ni salah tau tak?”

          Rania buat-buat tak dengar bebelan Razlan. Sepenuh perhatian ditumpukan ke jalan raya di depan. Dah la dia belum mahir sangat memandu, lepas tu nak kawal ketakutan dalam diri lagi. Yang Razlan   pula tak habis-habis nak membebel. Manusia kalau dah jenis suka menyakitkan hati orang, sampai bila-bila pun dia tetap akan macam tu.

          “Rania... tolong berhenti!!!”

          “Tak nak!”

          “Raniaaa!!!” Tinggi suara Razlan .

          “Jangan jerit boleh, tak? Jangan buat saya menggelabah. Kang tak pasal-pasal saya langgar kereta kat depan tu.”

          Bila Rania cakap macam tu, terus Razlan  kunci mulut. Risau juga kalau benda tu betul-betul jadi.

          “Awak nak pergi mana sebenarnya ni? Cakap dengan saya. Biar saya hantar awak. Kalau apa-apa jadi, senang saya nak jawab dengan ayah awak.” Sengaja Razlan melembutkan suara walaupun hati sangat geram dengan perbuatan Rania itu.

          “Saya nak jumpa seseorang.” Ya, dia memang nak jumpa seseorang. Seseorang yang sangat istimewa. Sebenarnya Syafiq yang cabar dia untuk buat macam tu. Konon sebagai bukti cinta dia terhadap Syafiq. Jadi dia sahut cabaran itu. Demi membuktikan yang dia memang benar-benar sayang Syafiq.

          “Kekasih awak?”

          Pandai pun teka. Jadi, tak perlulah dia jawab lagi.

          “Tak kisahlah awak nak jumpa siapa pun, tolong berhenti kat depan tu. Biar saya yang memandu dan biar saya yang hantar awak.”

          Rania akur. Signal ke kiri diberi, lalu kereta diberhentikan di bahu jalan.

          “Sekejap, saya nak telefon ayah awak.”

          “Kenapa nak telefon ayah saya pulak? Tak payahlah.”

Rania jegil mata. Hisy, mamat ni. Mengada-ngada. Itu pun nak beritahu ayah.

Tidak menghiraukan larangan Rania, telefon dikeluarkan dari poket lalu nombor Encik Raof ditekan.

          “Pak cik, hari ni kami balik lambat sikit ya? Ada hal sikit.”

Huh! Nasib baik Razlan tak beritahu ayah perkara sebenar. Selamat.

          “Tapi pak cik jangan risau, saya akan hantar dia balik macam biasa.”

Usai bercakap dengan Pak Cik Raof, Razlan segera  turun dari kereta. Rania juga. Kemudian masuk semula. Kali ini Razlan  di tempat pemandu, Rania di sebelah penumpang.

          “Hei, siapa nak balik dengan awak? Kan saya dah cakap, saya nak jumpa seseorang. Dia yang akan hantar saya balik.”

          “Tak apa, saya tunggu. Dah habis urusan awak dengan seseorang tu, saya akan hantar awak balik kepada keluarga awak. Tempat di mana saya jemput awak tadi.”

          Sambil berpeluh tubuh, Rania jeling Razlan. Tapi Razlan  tenang sahaja. Kereta yang berhenti tadi bergerak semula.

          “Kenapa saya perlu dengar cakap awak?”

          “Mestilah kena dengar, sebab ayah awak dah amanahkan pada saya untuk jaga awak, untuk pastikan awak tu selamat, faham?”

          “Tak payah nak jaga sangatlah. Saya bukan budak kecil. Lagipun tugas awak hanya mengajar saya memandu, bukannya jadi bodyguard saya.”

          Razlan  melepas tawa. Walaupun tahu Rania sedang marah, tapi pada dia ayat gadis itu kelakar.

“Tak kisahlah awak nak cakap apa pun. Yang saya tau, awak tetap kena balik dengan saya. Saya cuma menjalankan amanah  ayah awak.”

          “Sikit-sikit amanah. Eh, kalau awak tak menyibuk, ayah saya pun tak kisahlah.”

          “Betul ke ayah awak tak kisah? Walaupun saya baru kenal dia, saya tahu dia jenis ayah yang macam mana. Bertanggungjawab, penyayang, mengambil berat. Untung tau awak ada ayah macam tu. Bukan macam saya...” Ayat yang di hujung itu Razlan sebut perlahan sahaja, tapi Rania masih dapat mendengarnya.

          Rania mencebik. Nak raih simpati la tu. Jangan harap dia nak tanya. Malaslah nak ambil peduli. Bukan masalah dia pun.

          “Awak tau tak apa masalah awak ni?” soal Rania.

          “Oh! Saya ada masalah ke? Tak tau pulak.” Selamba Razlan balas.

Menyampah! Ada aje nak menyakitkan hati orang.

          “Awak suka menyibuk pasal saya. Itu sebenarnya masalah awak. Atau memang semua orang yang belajar memandu dengan awak, awak layan macam ni ke?”

          Cuba nak jawab, tapi rasa macam tak perlu pula. Sudahnya Razlan diam.

          “Apalah nasib aku dapat guru memandu macam ni. Cubalah bagi yang elok sikit.” Perlahan saja Rania merungut. Memang tak nak bagi Razlan dengar pun.

          “Apa awak cakap?”

          “Tak ada apa.” Cepat-cepat Rania balas.

          “Ini saya nak cakap sikit. Harap awak boleh terima.”

          “Apa?”

          “Saya cuma nak cakap, lain kali tolonglah jangan buat macam ni lagi. Takkan kerana cinta, awak sanggup ikut apa aje yang kekasih awak suruh walaupun  awak tau benda tu salah? Tak betul tu Rania.”

          “Alah, cakap ajelah awak tu cemburu sebab awak tak ada awek kan? Awak tak boleh buat macam yang saya buat.” Cakap sajalah macam tu walaupun dia bukan tahu Razlan ada awek atau tidak. Janji dia dapat menyakitkan hati lelaki itu.

          “Allah, buat apa saya nak cemburu dengan perkara yang terang-terang boleh buat saya berdosa? Saya tak setuju la dengan apa yang awak buat ni. Saya kalau suka seseorang, saya ajak kahwin aje terus. Tak adanya saya nak bawak anak dara orang keluar tak tentu hala.”

          Terasanya dia dengan kata-kata Razlan itu. Memang tepat kena kat batang hidung. Itulah, lain kali kalau nak bercakap tapis dulu, Rania. Jangan main cakap saja.

“Awak berhenti kat depan KFC sana.” Bibir Rania memuncung ke arah yang dimaksudkan.

          Razlan  akur. “Saya tunggu awak tau? Nanti dah habis urusan awak dengan seseorang tu, awak datang balik ke kereta ni.”

          Rania yang sudah membuka pintu kereta, menoleh. “Kan saya dah cakap saya tak nak balik dengan awak.”

          “Saya tunggu awak.”

          “Awak ni tak faham bahasa, eh?”

          “Saya tetap akan tunggu awak.”

          “Kalau saya tak nak?”

          “Saya akan cari awak kat dalam tu. Kalau perlu dukung, saya akan dukung awak.”

          “Awak ugut saya?”

          “Kalau awak rasa itu satu ugutan, terpulang.”

          “Awak ingat saya hairan dengan ugutan awak tu?”

          “Memang tak perlu pun awak nak hairan sangat. Yang awak perlu buat, ikut saya balik nanti. Itu aje.”

          Terjegil mata Rania. Semakin meluat pula dengan guru memandu poyo ni. Ya Allah, Kau berilah kesabaran kepada aku.

          “Saya bagi awak lima belas minit aje untuk jumpa cinta hati awak tu. Tak boleh lebih walaupun seminit.”

          Melopong Rania dibuatnya. Tak tahu nak marah atau pun nak ketawa. Yang pasti Razlan  memang menyebalkan!



“YOU lambat sepuluh minit.” Serius muka Syafiq. Mata tajam merenung si cantik manis yang berdiri tercegat di depannya.

          “Kut ya pun bagilah I duduk dulu.” Kerusi di depannya ditarik, lalu Rania melabuh duduk di situ.

          “Macam tunggul I tunggu you dekat sini.”

          “Sepuluh minit aje, bukannya lama. Lagipun I dah cakap I ada kelas memandu kan?”

          “Sepuluh minit memanglah sekejap pada you. Pada I yang menunggu ni, lama gila tau tak? Kalau tau macam ni, baik tak payah jumpa.” Syafiq menengking.

          Rania hela nafas, kemudian lepas. Apalah nasib dia. Tadi kena bebel dengan Razlan, sekarang dengan Syafiq pula. Tapi dengan Razlan  tu tak adalah dia terasa sangat.

Yalah, orang tu bukan sesiapa pun dengan dia. Hanya seorang guru memandu. Tapi bila Syafiq, lelaki yang mengaku sayang dia, cintakan dia, bercakap macam tu, dia sangat-sangat terasa. Mulalah dia nak bersetuju dengan Muna yang Syafiq bukan betul-betul sayang dia.

          “I cuma lambat sepuluh minit aje, itu pun I bukan sengaja. Tapi cara you bercakap seolah-olah I lambat sepuluh jam. Kalau you nak tau, I sampai bertekak dengan cik gu I tadi tau? Yalah, tak pernah buat dek orang, apa yang I tengah buat ni.”

          “Perlu ke you beritahu I pasal tu?”

          “Ya, perlu. Sebab I nak bagi you faham... disebabkan you, I sanggup langgar peraturan tau tak? Ini pun nasib baik ayah I tak tau. Kalau dia tau, teruk I kena marah.”

          “Kan betul I cakap. You lebih pentingkan orang lain daripada I. Sikit-sikit ayah... ayah.”

          Macam nak terbakar rasa dada Rania. Melampau sangat Syafiq ni.

Bukan sekali Syafiq sebut macam tu. Kalau selama ini dia masih mampu bertahan, tapi untuk kali ini dia dah tak boleh bersabar lagi.       

“Fiq... orang lain yang you cakapkan tu adalah ayah I dan bukan sekali you sebut benda tu. You fikir you siapa hah? Sesuka hati nak sebut ayah I macam tu. Kalau sebelum ni I boleh bertahan, tapi tidak untuk kali ini. Terus terang, sabar I dah hilang dengan you.”

          “Habis you nak buat apa? Nak marah I, nak pukul I?” Syafiq berkata selamba. Tahu sangat Rania tu macam mana. Marahnya sekejap sahaja, lepas tu mereka akan berbaik semula. Yalah, Rania tu kan cintakan dia separuh mati. Sebab itulah setiap kali ada krisis, Rania yang akan mengalah. Rania yang akan pujuk dan meminta maaf. Dia katalah apa pun, dia buatlah salah macam mana sekalipun, Rania tetap akan cari dia jugak.

          “I tak nak ada apa-apa hubungan dengan you lagi. Mulai sekarang, kita putus.” Rania separuh menjerit. Buat masa sekarang, memang itu yang dia nak. Dia dah tak perlukan lelaki itu lagi. Pergi kau jauh-jauh dari hidup aku.

          Daripada hadap muka lelaki ini lama-lama, lebih baik dia beredar. Lantas Rania bangun dari kerusi, terus menonong pergi ke pintu. Syafiq mengikut.

          “Sayang... you kenapa ni? Tiba-tiba aje.”

          “Siapa kata tiba-tiba? Sepatutnya  dah lama I buat keputusan  ni tau? Bukan sekarang.”

          “You mana boleh buat macam tu? Kita tak boleh putus. I tak setuju.”

          “Peduli apa you setuju atau tak? Yang penting, I dah tak nak teruskan.”  Laju Rania melangkah, laju juga Syafiq mengikut.

          “Sayang... jangan ikut perasaan sangat boleh tak? Benda boleh bawak bincang kut.”

          “Nak bincang apa lagi? Cukup-cukup la you dera hati I, perasaan I dengan sikap ego dan cemburu buta you tu. I dah tak sanggup dah.”

          “Rania Aisya!!!” Seraya menjerit, Syafiq sambar lengan Rania.

          Rania yang sedang melangkah laju, terpaksa berhenti.

“Eh, you buat apa ni? Lepaslah.” Terkial-kial Rania cuba melepaskan lengannya dari genggaman Syafiq.

          “I hanya akan lepas kalau you tarik balik kata-kata you tadi.”

          “You ni kenapa? Dah hilang ingatan?”

          “Memang I dah hilang ingatan... dan you penyebabnya.”

          “Lepaskan tangan I, Syafiq.”

          “Tarik balik kata-kata you tadi.”

          Rania geleng. Jangan harap. Dia dah serik, benar-benar serik.

          “Tolonglah Syafiq... lepaskan tangan I. Kalau tidak I menjerit.” Rania merayu.

          “Suka hati youlah nak menjerit ke nak apa. Ada I kisah?”

          “Syafiq, lepaslah!!!” Rania menjerit kuat. Hilang sudah sabarnya. Hilang juga rasa malunya dengan orang di sekeliling.

          “Hei... hei... sedara buat apa ni? Tolong lepaskan dia, boleh tak?” Tiba-tiba muncul suara itu, sambil cuba menarik tangan Syafiq yang masih melekap kemas pada lengan Rania.

          “Kau jangan cuba nak jadi hero, okey? Kau tak ada kena mengena dalam hal ni. Ini antara aku dengan dia.”

          “Siapa cakap tak ada kena mengena? Dia  pelajar aku. Dan kalau kau nak tau, ayah dia dah beri tanggungjawab pada aku untuk jaga dia. Kau tu yang tak ada kena mengena dengan dia.” Selamba Razlan  balas.

          “Ooo... jadi betul la apa yang I sangka selama ni. Dia guru memandu merangkap kekasih gelap you kan, Rania Aisya?” Sebelum ini dia cuma melihat dari jauh. Okey, lelaki ini memang tampan dan tidak hairanlah kalau hati Rania boleh berubah.

          “You merepek apa ni?” Rania jerit. Semakin melampau pula mulut Syafiq ni. Malu dia dengan Razlan.

          “Hisy, sedara cakap apa ni? Jangan sampai jadi fitnah.” Masih tenang suara Razlan walaupun agak terperanjat dengan ucapan Syafiq itu. Tapi masa  sama rasa macam nak ketawa pun ada. Tuduhan tak masuk akal.

          “Tolonglah lepaskan dia. Tak elok la buat macam ni kat tempat awam. Malu orang tengok.” Lagi sekali Razlan cuba meleraikan pegangan Syafiq.

          “Kau memang sengaja cari pasal, kan? Nak sangat masuk campur... nah ambik ni!!!” Panas hati punya pasal, Syafiq segera melepaskan tangan Rania. Lantas menghantar tumbukan ke muka Razlan. Razlan jatuh terduduk ke lantai.

          Rania menjerit kuat. Terperanjat dengan tindakan Syafiq yang tidak disangka-sangka.

          Sambil memegang mukanya yang terasa sakit, Razlan cuba berdiri.

          Syafiq masih tidak berpuas hati. Sebuah tumbukan lagi cuba dilepaskan ke muka Razlan. Cepat Razlan mengelak.

          “Hei, sudahlah!!” Sambil menjerit, Rania menolak kuat dada Syafiq.

          “You jangan nak halang I. I belum selesai lagi dengan dia ni.” Jari telunjuknya, Syafiq tuding kepada Razlan.

          “Syafiq... tolonglah jangan buat kacau dekat sini. Pergi la.”

          “You halau I?”

          “Pergi!!”

          “Okey, okey... I boleh pergi. Tapi you jangan fikir you boleh lepas daripada I. You tu I yang punya tau.” Sebelum berlalu, Syafiq sempat menghantar pandangan tajam ke muka Razlan.

          “Dan kau...” Jari telunjuknya dituding tepat ke muka Razlan.

          “Kau jangan ingat kau dah menang tau? Aku belum habis lagi dengan kau.” Tidak menunggu jawapan Razlan, Syafiq segera angkat kaki.

No comments: