Sunday, April 23, 2017

Bulan cinta bab 15



 

“DAH habis dah semua ilmu memandu saya curahkan dekat awak. Sekarang awak cuma perlu tunggu hari ujian memandu aje.  Insya-Allah saya yakin, awak boleh lulus.”
          Baru dengar perkataan ujian memandu, belum lagi betul-betul sampai harinya, Rania dah rasa kecut perut. Dah ternampak-nampak di mata dia wajah pegawai-pegawai JPJ yang serius. Itu belum lagi bila dengar suara mereka.
          “Kenapa, Rania?” soal Razlan apabila nampak muka Rania yang semacam.
          “Saya rasa macam tak yakin aje.”
          “Awak buat saya stres.”
          “Laaa... kenapa pulak nak stres? Saya tengah bagi motivasi untuk awak ni. Supaya awak lagi yakin dan bersemangat.”
          “Saya takut tak lulus. Awak pun tau kan saya macam mana? Selalu aje buat silap. Selalu aje kena tegur dengan awak.”
“Memang awak selalu buat silap. Memang awak selalu kena tegur dengan saya, tapi masa mula-mula aje. Sekarang ni awak dah mahir sangat dah saya tengok. Dah jarang buat silap. Signal pun awak dah tak lupa. Tak boleh dah saya nak panggil awak Rania Signal lagi.” 
“Boleh tak awak jangan ungkit pasal signal tu? Benda tu sensitif tau tak?” Konon marah, tapi boleh pula Rania ketawa. Lucu apabila teringatkan peristiwa itu. Sampai dia pernah merajuklah tak nak belajar memandu lagi. Nasib baiklah ayah dan along tak melayan. Kalau tidak, memang separuh jalan sajalah dia belajar.
“Lepas ni dah tak boleh dah dengar awak marah-marah saya lagi.”
“Mana ada saya marah awak? Awak tu yang selalu marah saya.” Rania tak mahu kalah.
“Saya bukan marah, saya cuma menegur, mengajar. Orang lain kalau saya tegur, diam menikus. Tapi awak satu-satunya pelajar yang berani melawan saya tau?”
 “Saya bukan melawan tapi awak tu suka perli-perli saya. Itu sebab saya marah.”
“Hah, tengok. Siapa yang marah siapa sekarang ni. Awak kan?”
“Awak pun marah saya jugak.”
Sudahnya Razlan diam. Tak kuasa nak melayan. Dah mula nampak dah bunga-bunga pergaduhan di situ. Kalau tak dibendung, memang akan jadi melarat.

 “NIA, ada panggilan.” jerit  Muzalifah dari kubikelnya.
          “Siapa?” Di depan mesin fotostat, Rania juga menjerit.
          “Klien.”
          “Kau tolong jawab.”
          “Dia nak cakap dengan kaulah.”
          Baru Rania nak jawab balik, pintu bilik Cik Melly terbuka. Automatik kepalanya berpusing ke situ.
          “Ini apa memekak ni? Ingat dekat zoo ke apa? Saya nak buat kerja pun tak senang.” Cik Melly pandang Muzalifah, kemudian pandang Rania. Dah puas tenung muka kedua-dua stafnya tu, pintu bilik ditutup semula.
          “Kut ya pun tak payahlah bagi contoh zoo. Banyak lagi tempat lain yang boleh disebut.” Sambil mengomel, Rania lekas-lekas berlalu ke mejanya.
          “Kau la yang mulakan, Muza. Tak pasal-pasal kena sound.”
          “Aku pulak yang salah. Kau tu sepatutnya terus datang masa aku panggil tadi.”
          “Yalah, yalah. Aku yang salah.” Segera Rania capai gagang telefon dari atas mejanya.
          “Assalamualaikum, Rania bercakap. Boleh saya tau siapa di sana?”
          “Waalaikumussalam. Hai Rania, ingat saya lagi?”
          Rania tak segera jawab. Sebetulnya cuba mengecamkan si pemilik suara yang menyapa lembut itu.
          “Siapa ya?”
          “Rizman.”
          Rizman mana pulak ni? Tak ingat langsung!
          “Saya tak ingatlah. Rizman mana ni?”
          “Baru minggu lepas kita jumpa, takkan dah lupa saya. Sampai hati.”
          Hisy! Siapa pula la ni? Silap orang ke apa ni?
          “Rizman Iskandar, Green Net Solutions. Awak datang jumpa saya gantikan Hasnan.”
          Oh, Rizman anak datuk tu ke? Laaa... macam mana boleh tak ingat pulak? Kacak kut lelaki tu, sampaikan Si Hanafi tak habis-habis memuji. Kata Hanafi, kalau dia perempuan dah lama dia cair dengan Rizman tu. Itu pada mata Hanafilah. Pada dia, Razlan lagi kacak. Aik! Apa pasal tiba-tiba nama Razlan muncul dekat minda ni? Aneh!
          “Oh, okey... baru saya ingat. Tapi kenapa awak telefon saya, ada masalah apa ya?” Setahu dia, kerja-keja penghantaran komputer syarikat Rizman sudah pun selesai sepenuhnya. Hasnan yang melaporkan dalam mesyurat semalam. Jadi tak ada sebab kenapa Rizman harus menelefon dia. Kalau pun ada masalah lain, bukan kepada dia perkara itu diadukan sebaliknya Hasnan, pegawai yang sepatutnya.
          “Eh, tak ada apa-apa masalah pun.”
Jadi apa tujuan Rizman menelefon dia?
          “Sebenarnya saya nak tebus balik kesalahan saya hari tu.”
          “Eh! Awak ada buat salah ke?” Dahi berkerut, cuba mengingat. Tapi rasa macam tak ada. Lagipun sekejap sangat mereka berurusan tempoh hari. Tak sempat pun Rizman nak buat salah.
          Rizman gelak, lunak kedengaran suaranya. “Salah saya sebab tak makan tengah hari dengan awak hari tu. Saya rasa saya berhutang dengan awak.”
          Ringan sahaja mulut Rania melepas tawa. Tak logik sangat kenyataan Rizman itu.
“Awak tak ada buat salah pun. Lagipun awak dah pelawa saya hari tu, saya yang tak nak.”
          “Saya tak kira, saya tetap nak anggap saya berhutang dengan awak. Dah berhutang kenalah bayar.”
          “Awak tak berhutang dengan saya la.”
          “Bila awak free ya?” Rizman terus kepada tujuan utama. Buang masa saja duk bertekak pasal hutang semua tu.
          “Saya tak free. Langsung tak ada masa free.” Cepat-cepat Rania balas. Dia dah mula rasa sesuatu. Sebenarnya sejak hari tu lagi. Dari bahasa tubuh, dari pandangan mata Rizman, dia tahu lelaki itu suka dia. Jangan cari pasal. Dia baru saja putus dengan Syafiq. Tak mahulah cari masalah lagi. Buat masa ini, dia agak serik dengan lelaki.  
          “Hei, menteri pun ada masa tau? Awak jangan cakap awak tu lebih sibuk dari menteri.”
          Mati kata Rania dibuatnya. Nak jawab macam mana ya? Tak salah rasanya kalau dia terima pelawaan Rizman tu. Alah setakat makan-makan, apalah sangat? Tapi ada jaminan ke mereka hanya keluar makan sekali itu sahaja? Pasti ke takkan ada lagi pertemuan susulan?
          “Saya tak biasa keluar dengan lelaki yang saya tak kenal.” Jawab sajalah macam tu. Harap-harap Rizman tidak mendesak.
          “Sampai hati awak cakap macam tu. Memang kita baru sekali jumpa. tapi tetap saya kenal awak... awak kenal saya, betul kan?”
          Alahai! Ayat dia tu, kenapa macam sengaja nak buat aku rasa bersalah ni?
          “Ada yang marah ke kalau awak keluar makan dengan saya?”
          Alah, soalan perangkap. Buat-buatlah tanya macam tu, tapi sebenarnya nak tau sama ada dia dah ada kekasih hati atau belum. Tahu sangat dah taktik lelaki.
          “Ada.”
          “Siapa?” Suara Rizman dah kedengaran lain macam.
          “Ayah saya.”
          Berdekah-dekah Rizman ketawa. Suspens betul!
          “Jadi, tak ada masalah, kan?”
          Diam lagi.
“Saya cuma nak ajak awak makan, Rania. Itu aje.”
Saya tak nak termakan budi, nanti tergadai body. Boleh tak nak jawab macam tu? Macam yang pernah dia cakap dekat Razlan dulu. Adoi, Razlan lagi! Asyik Razlan, Razlan, Razlan yang melintas dalam kepala. Lelaki tu dah mandrem dia ke apa ni?
“Diam tu tanda setuju. Boleh tak kalau saya pun nak anggap macam tu? Awak bersetuju terima pelawaan saya.”
“Rizman, tunggu dulu. Saya belum habis fikir lagi.” Sebenarnya dah fikir habis dah. Dia memang tak nak keluar dengan Rizman. Mereka baru jumpa sekali kut. Dia bukannya tahu lelaki itu macam mana. Memanglah luaran nampak Rizman tu macam baik. Dalaman, mana nak tahu, kan?
“Tak payah fikir. Tengah hari ini saya tunggu depan pejabat awak.” Lepas cakap macam tu, suara Rizman terus hilang dari talian.
“Hisy, dia ni saja nak bagi aku masalah,” marah Rania. Gagang diletak semula di tempatnya. Kemudian bergerak laju ke meja Muna.
 “Muna, kau kena tolong aku.”  
“Kau tak nampak ke aku tengah sibuk ni? Jangan kacau akulah.”
“Sombongnya kau.” Besar mata Rania pandang Muna.
 “Janganlah ambik hati, beb. Tapi betul, aku memang tengah sibuk sekarang ni. Sekejap lagi aku nak kena keluar, jumpa klien.”
“Maknanya tengah hari ni kau tak ada dekat ofis?”
 “Tak ada. Petang baru aku masuk balik.”
“Macam mana ni, Muna? Siapa nak temankan aku?”
“Temankan pergi mana?”
“Rizman ajak aku keluar makan tengah hari ni.”
“Rizman Iskandar, anak datuk yang kau pergi ofis dia hari tu? Yang handsome kacak bergaya tu?”
Amboi! Muna, kuat betul ingatan dia. Sebut Rizman saja, semua dia ingat.
Handsome kacak bergaya Hanafi yang cakap, eh? Bukan aku.”
          Lagi sekali Muna ketawa. Tak perlu kut nak nafi macam tu.
          “Kau temankan aku, tau? Aku tak nak keluar berdua-duaan dengan dia. Tak selesalah.”
          “Aku dah cakap aku tak ada tengah hari ni. Eh, kau pergi ajelah dengan dia.”
“Tak nak.”
“Kalau gitu kau ajak Napi. Rizman pun kenal Napi, kan?”
Melebar senyuman Rania. Yalah, Hanafi. Kenapa dia tak terfikir tadi? Tinggalkan kubikel Muna, dia ke kubikel Hanafi pula.
“Napi, Rizman ajak kita keluar makan tengah hari ni.”
Tengok, pandai tak dia manipulasi keadaan? Harap-harap Hanafi bersetujulah.
“Salam tak, apa tak... tiba-tiba aje kau ni,” rungut Hanafi.
“Okey... assalamualaikum, Napi.” Rania sengih. Tu la, gelojoh lagi! Kan dah kena tegur dengan Hanafi.
Hanafi menjawab perlahan. Tak pandang Rania pun. Mata dan tangannya sibuk dengan komputer di atas meja.
“Kita keluar makan dengan Rizman nanti, eh?”
Bibir Rania memuncung. Alah, Hanafi dengar ke? Tajam betul telinga mamat ni. Padahal kubikel Hanafi jauh di hujung sana.

“Tapi tak salah kan kau temankan aku? Aku seganlah nak keluar berdua dengan dia aje.”
“Tak naklah. Aku dah janji nak keluar makan dengan tunang aku. Nanti merajuk pulak dia.”
“Kau tak boleh ikut aku la ni?”
“Tak boleh. Alah, kau pergi ajelah. Makan aje, kan? Bukannya buat apa pun.”
Rania tak balas. Dia hanya pandang muka Hanafi dengan hati yang tidak seronok.
 “Tapi kan Nia... kau rasa tak apa yang aku rasa?”
“Apa dia?”
“Aku rasa Rizman dah jatuh hati dengan kau la.” Dari skrin komputer, mata Hanafi beralih ke muka Rania pula.
“Memandai aje kau.” Samalah seperti yang dia rasa, tapi takkan nak mengiakan pula kenyataan Hanafi tu, kan?
“Aku taulah... aku kan lelaki.”
“Dahlah malas layan kau.”
“Kalau aku jadi kau, aku layan aje Rizman tu.  Daripada Syafiq tu, lebih baik Rizman. Anak datuk, handsome kacak bergaya pulak tu. Tak rugi kalau kau dengan dia.”
Hanafi ni tak habis-habis dengan handsome kacak bergaya tu. Macamlah dia hadap sangat dan macamlah benda tu boleh menjamin kebahagiaan hidup hingga ke hujung nyawa.
Tapi ayat Hanafi sebelum itu, buat dia terfikirkan sesuatu. Syafiq! Tak salah kalau dia terima pelawaan Rizman sekiranya itu dapat menghentikan Syafiq dari terus mengganggunya.  Ya, kenapa tidak!!!

No comments: