APA tengok-tengok? Saya tau la muka saya
hodoh, pucat lesi tapi tak payah la nak buat muka pelik seolah-olah saya ini
makhluk ganjil dari planet lain.” Rania melarikan
mukanya ke arah lain. Segan sungguh dengan pandangan mata Razlan Hakimi poyo tu.
Kalau setakat pandang tak apa lagi, ini siap
senyum-senyum lagi. Itu sajalah nak perli orang tu. Konon nak cakap muka dia
memang hodoh dan tak cantik kalau dah pucat lesi macam tu. Macamlah dia tak
tahu apa yang ada kat dalam kepala otak Razlan tu.
“Alah... tengok sikit pun tak boleh.
Macamlah luak.” Razlan ketawa. Sebetulnya ketawa malu. Yalah, dah kantoi tengah renung muka anak dara orang
kan, haruslah malu. Bukanlah renung gatal ke apa, tapi terpesona. Ya terpesona,
itu perkataan paling tepat. Rania tampak lebih cantik tanpa sebarang alat solek
di wajahnya. Cantik semula jadi. Itu
yang tanpa sedar telah mendorong matanya untuk memandang ke wajah putih bersih
itu dengan agak ralit.
“Apa yang awak cakap tu salah.” Razlan
sambung.
“Apa yang salah?” Rania kembali
pandang muka Razlan. Lama matanya singgah di wajah yang sedang murah dengan
senyuman itu.
Alahai, manisnya senyuman dia. Kalau
macam ginilah hari-hari, buat air tak payah pakai gula pun tak apa. Dah cukup
dah manis dari senyuman Razlan tu.
Wahai cik hati, tolong jangan nak
menggedik sangat. Setakat senyum manis, kalau mulut macam longkang buat apa?
Baik tak payah!
“Tak ada apalah.” Razlan meraba-raba
mukanya. Dia jadi segan pula dengan pandangan tajam Rania itu.
“Apa yang salah?” Soalan diulang
dengan nada sedikit mendesak. Memang dia cukup pantang dengan orang-orang yang suka
bercakap separuh jalan.
Razlan tak segera jawab. Topi yang
dipakai terbalik sejak tadi, dibetulkan kedudukannya. Kemudian ditarik sedikit
ke bawah, menutupi sebahagian matanya. Sambil menopang dagu, pandangannya
ditalakan ke wajah Rania yang polos.
“Yang salah adalah... bila awak
cakap muka awak hodoh dan pucat lesi,” jelas Razlan.
“Kalau awak nak tau, saya nampak awak
lagi cantik macam ni tau? Tak perlu calit apa-apa pun kat muka tu, awak nampak
cantik semula jadi. Orang kampung saya cakap natural beauty.”
Rania dah kemerahan mukanya. Malu
dengan pujian Razlan. Malu juga dengan renungan lelaki itu. Nampak lain macam
sungguh. Syafiq pun tak pernah renung dia macam tu tau?
“Boleh tak saya nak balik?” Dia cuba untuk
tidak mengulas komen Razlan tentang
mukanya. Tak perlu pun. Terus terang, dia rasa sangat pelik dengan renungan
lelaki itu. Juga dengan sikap manis yang ditunjukkan. Kenapa tiba-tiba Razlan berubah
watak pula? Entah-entah... heh, tak payah la sambung. Mustahil sangat.
“Kenapa nak balik?”
“Sebab kelas dah habis dan memang sepatutnya
saya dah boleh balik pun.”
“Tak boleh,” balas Razlan .
“Kenapa tak boleh?”
“Sebab saya nak ajak awak makan.”
“Saya tak nak makan.”
“Saya tetap nak ajak awak makan.”
“Dah pukul enam lebih, nanti ayah saya risau.”
“Saya dah bagi tau ayah awak, kita
sampai lambat sikit.”
Lebih-lebih la pulak mamat ni. Boleh
pula dia libatkan ayah? Tapi kut ya pun Razlan dah memaklumkan kepada ayah, takkan ayah main
setuju sahaja. Mana boleh macam tu? Tugas lelaki itu hanyalah sekadar mengajar
dia memandu. Ini sampai ajak keluar makan, apa kes? Lagipun Razlan tu baru
sangat mereka kenal, takkan senang-senang nak percaya? Hisy! Tak faham betullah
ayah ni.
“Saya tak nak makan.”
“Tak baik tolak rezeki.”
“Kalau rezeki yang boleh mendatangkan masalah, lebih baik tolak.” Rania
tak mahu kalah.
“Saya berani jamin, kalau dari pihak
saya, takkan ada masalah yang akan timbul.”
“Saya tak nak makan. Saya nak
balik.” Lagi sekali Rania menyebut.
“Khalil!” Razlan memanggil
seraya melambaikan tangannya ke arah pekerja yang berdiri di sebelah kaunter.
Khalil segera mendekat. “Ya bang?”
“Mintak sup ekor dua, jus kedondong
asam boi dua. Lagi satu, nasi goreng Sayang Mama dua.”
“Tu aje, bang?”
“Itu aje. Cakap dekat Chot, cepat
sikit.” Nasib baik kafe baru dibuka dan masih tiada pelanggan. Kalau tidak,
jenuh juga nak menunggu.
“Awak okey kan dengan menu yang saya
pilih tu?”
“Kan saya dah cakap saya tak nak
makan, tak faham ke?”
“Lepas makan kita balik, okey? Kita
makan sekejap aje.” Tanpa mempedulikan rungutan dan muka Rania yang dah
macam nak telan orang tu, Razlan memujuk. Dah macam pujuk budak kecil bunyinya.
Bukanlah tak boleh balik sekarang, tapi dia betul-betul lapar. Kalau tidak, dia
pun tak sukalah nak paksa-paksa orang.
Bayangkan sejak pagi tadi, cuma dua
keping roti bakar yang masuk ke perut. Selepas itu dia terus mengajar sampai
sekarang. Empat orang kesemuanya termasuk Rania. Dia cuma berhenti sebentar
untuk solat zohor dan asar. Kebetulan dah lalu ikut sini, dia bawalah Rania singgah
makan sekali.
Kepada bapa Rania tadi sudah
dikhabarkan tentang kelewatan mereka. Secara jujurnya dia tak ada niat lain
pun. Kalaulah Rania menganggap dia cuba nak menggatal atau nak
mengurat, itu memang tak betul. Ya, dia memang puji wajah Rania yang cantik
tanpa sebarang solekan sebab memang itu kenyataannya. Dah memang betul Rania nampak
cantik macam tu, dia cakaplah cantik. Tak salah kut. Langsung tak ada niat
terselindung.
“Makanlah. Jangan malu-malu.”
Tangannya Razlan hulur kepada makanan
dan minuman yang sudah tersedia atas meja.
Wah! Nasi goreng dan sup ekornya
nampak sungguh menyelerakan. Perut mendadak rasa lapar. Rasa macam rugi pula
kalau tak makan. Lagipun Razlan nampak macam ikhlas pula.
“Boleh saya makan?” Malu-malu Rania bertanya. Maklumlah, tadi dia juga yang
beria-ia tak nak makan.
“Laa... saya memang suruh awak makan pun.
Makan kenyang-kenyang tau.” Razlan ketawa, lembut.
Saat sesudu sup ekor dihirup, Rania
pejam mata.
Ya Allah, sedapnya sup ni. Sesudu demi
sesudu dihantar ke mulut. Tanpa sedar perbuatannya menjadi perhatian Razlan.
“Sedap sangat ke sup tu?” Yalah cara
Rania menikmati sup ekor tu nampak lain macam
sungguh. Sampai pejam-pejam mata.
“Sedap sangat. Saya memang suka sup
ekor pun.” Tanpa malu Rania mengaku.
“Kalau dapat sup yang sedap macam
ni, saya memang tak pandang dah makanan lain. Tapi nasi goreng tu pun nampak
macam sedap jugak, kan? Lepas ni, saya nak makan nasi goreng tu pulak.”
Teruja punya pasal dengan sup ekor
yang sangat lazat itu sampaikan Rania jadi lupa dengan siapa dia berhadapan
sekarang. Buat seketika dia jadi lupa dengan perasaan tidak senangnya terhadap
guru memandu itu.
“Cukup tak sup tu? Kalau tak cukup,
kita minta lagi satu.”
“Tak apa, dah cukup dah ni. Nanti
nasi goreng tu saya nak isi kat mana pulak? Perut saya ni bukannya besar
sangat.” Rania ketawa.
Pertama kali melihat Rania ketawa.
Makin comel pula gadis itu di mata Razlan bila ketawa macam tu. Selalu tu dia asyik
tengok muka Rania yang tegang dan ketat.
“Okey... awak makan dulu. Kalau rasa
nak tambah, bagi tau. Kalau nak cuba menu lain pun boleh jugak. Cakap aje nak
makan apa, banyak mana. Tanggung beres.”
Ini perli ke apa ni? Ingat perut aku
ni tong sampah ke, apa? Muka yang manis tersenyum jadi masam tiba-tiba. Razlan kalau
tak perli orang memang tak sah. Menyakitkan hati betul!
Aik! Tiba-tiba memuncung ni apa hal?
Pelik betul minah ni. Baru sekejap okey, tiba-tiba dah datang perangai dia
balik. Orang baru nak puji senyuman dia tu.
“Berapa ringgit saya punya?” soal Rania
setelah semangkuk sup ekor dan sepinggan
nasi goreng berjaya dihabiskan.
“Tak payah bayar.”
“Kenapa pulak? Saya makan, saya
bayarlah.”
“Saya cakap tak payah... tak
payahlah.”
“Saya tak nak termakan budi.”
Razlan angkat kening sebelah. Banyak
hal betul la perempuan ni.
“Saya tak anggap itu sebagai budi
pun.”
“Saya tak nak awak ungkit di
kemudian hari.”
“Astaghfirullahaladzim... saya bukan
jenis manusia macam tu la. Bila saya belanja awak, itu bermakna dah rezeki
awak. Lagipun apa sangatlah nasi goreng sepinggan dengan sup ekor semangkuk tu.
Tak ada hal pun pada saya. Saya tak jatuh miskin pun kerana tu.”
“Jangan termakan budi, nanti
tergadai body. Mesti awak pernah
dengar ungkapan tu.” Rania menyindir.
Razlan ketawa besar. Lucunya perempuan ni. Boleh pula
dia terfikir sampai ke situ?
“Weh! Apa benda awak merepek ni?
Setakat bagi makan macam tu, sampai nak tergadai body segala tu apa hal? Takkan semurah itu nilai body awak?”
Mendadak muka Rania jadi merah. Malu
sungguh dengan ucapan Razlan itu.
“Orang berbudi kita berbahasa, orang
memberi kita merasa. Awak mesti pernah dengar ungkapan tu, kan?” tambah Razlan.
Kali ini dalam senyuman.
“Tak payah jawab pun tak apa. Jom
saya hantar awak balik.” Lantas dia bangun dari kerusi.
Kena lagi dengan Razlan. Dengan muka
yang dah rasa berinci-inci tebal, Rania ikut bangun.
“I TAK sangka you sanggup curang dengan I.”
Sambil bercekak pinggang, Syafiq merenung Rania dengan perasaan marah yang
meluap-luap. Terus terang, dia masih rasa sukar untuk percaya dengan apa yang
disaksikan petang semalam. Patutlah Rania beria-ia menolak ajakan dia untuk
keluar bersama, rupa-rupanya ada temu janji dengan skandal.
Berubah
air muka Rania. Buat beberapa saat dia jadi kelu. Mati-mati dia duk ingat Syafiq
ajak keluar sebab nak bawa dia makan tengah hari. Tak sangka rupa-rupanya
lelaki itu punya agenda lain.
Tak tahu nak cakap apa untuk
mempertahankan diri. Selalunya Syafiq hanya menunjukkan sifat cemburunya tapi
buat pertama kali sejak mereka jadi pasangan kekasih, Syafiq sanggup menuduh dengan
tuduhan yang sangat berat itu.
“Eh!
Apa kurangnya I ni, apa lebihnya dia sampai you sanggup buat I macam ni?” Syafiq
sambung marah.
“You
cakap apa ni? I tak faham langsung.”
“You
jangan buat-buat tak faham, Nia.”
“Dah
memang I tak faham, I cakap la tak faham. Curang? Eh! Apa benda you merepek ni?”
Rania gelak. Rasa sangat kelakar. Entah dari manalah agaknya Syafiq dapat
berita mengarut itu.
Syafiq
merengus. Hatinya jadi semakin sakit dengan tawa Rania. Terasa seperti
dipersendakan.
“You
ingat I tak tau apa yang you buat di belakang I?”
“I
buat apa? Tolong la berterus-terang, Muhammad Syafiq Fitri.” Rania meninggikan suara.
“You
ada skandal dengan guru memandu tu, kan?”
Melopong
mulut Rania. Mata dah jadi besar. Tapi selepas itu dia ketawa mengekek. Geli
benar rasa hatinya dengan tuduhan itu. Dia ada skandal dengan Razlan? Wei!
Lawak ini dipetik dari majalah mana ni? Gila-gila? Apo? Ujang? Sungguh tak
kelakar.
“You
tak payah nak gelak sangat la. I dah tau semuanya.”
Rania
berhenti ketawa. Kali ini dia merenung Syafiq,
tajam. Dari rasa kelakar, dia jadi marah yang amat. Okey, kalau benda betul dia
boleh terima. Tapi kalau perkara tak betul, perkara yang sengaja diada-adakan, perkara
berunsur fitnah, dia tak boleh bertolak ansur. Melampau sangat tuduhan itu.
“You
jangan sesuka hati nak tuduh I, Fiq.”
“I
bukan saja-saja nak tuduh. I nampak dengan mata kepala I sendiri.”
“Apa
yang you nampak?”
“Semalam
you keluar dengan dia, kan?”
“Memang
la semalam I keluar dengan dia. Tapi macam biasa, I pergi belajar memandu.”
“Belajar
memandu konon.”
“Habis
you ingat apa? I berfoya-foya dengan dia?”
“Ya,
you memang berfoya-foya dengan dia.”
“Melampaunya
mulut you, Fiq,” jerit Rania. Dia sudah tidak peduli dengan keadaan sekeliling.
Lantaklah kalau ada yang dengar pun. Teruk sangat tuduhan Syafiq itu.
“Mulut
I jadi melampau sebab perbuatan you yang melampau.”
“Tak
guna bercakap dengan you.” Rania berpusing ke belakang. Berniat mahu meninggalkan
tempat itu. Apa guna berbincang, apa guna berterus terang, kalau setiap patah
perkataan yang keluar dari mulut dia, Syafiq anggap dusta.
“Selagi
I tak dengar pengakuan dari mulut you, jangan harap you boleh ke mana-mana.”Syafiq
meluru laju ke depan. Memintas pergerakan Rania.
Langkah Rania terhenti.
“Kenapa
I nak mengaku benda yang I tak buat?”
“Masalahnya
you memang buat benda tu.”
“I
pergi belajar memandu aje. Salah ke?” .
“You
pasti you hanya pergi belajar memandu?’
“Ya.”
“Jangan
nak temberang la, Rania. Yang merajuk keluar dari kereta... kemudian datang
skandal you pujuk... siap nak dukung lagi, apa tu? Tak cukup dengan tu, you
dengan dia berhenti kat masjid. Kat dalam masjid I tak nak la tuduh apa-apa
kan? Sebab I tak nampak.”
“Syafiq!!!”
Membuntang mata Rania, nafasnya turun naik. Serius, dia sangat marah.
“Jangan
menyampuk! I belum habis cakap lagi,” pintas Syafiq.
“Dan dengan dua biji mata ni jugalah
I nampak you dengan dia berdua-duaan kat dalam kafe. Sambil makan, you siap main
mata lagi dengan dia.”
“You
intip I?”
“Memang
pun.”
“Melampaunya
you!” Jari telunjuknya Rania tuding dekat ke muka Syafiq. Sebelah tangan lagi mengurut-ngurut
dadanya. Cuba tenangkan hati yang sedang marah. Perbuatan Syafiq mengintip dia
petang semalam sangat keterlaluan. Tidak terlintas langsung di fikirannya, Syafiq
sanggup bertindak sampai begitu sekali. Teruknya lelaki ini.
“Kenapa
you sanggup buat macam tu?”
“Sebab
I dapat rasa, you tak jujur dengan I.”
Hati,
silalah bertenang. Rania pejam mata,
kemudian celik semula. Nafas dihela panjang dan dilepas perlahan. Dia nekad,
dia takkan beri muka lagi kepada Syafiq. Dia tidak akan membenarkan manusia di
depan dia ni untuk mendera dan melukakan hati dia lagi. Cukuplah apa yang dirasa selama ini. Cukup
sampai di sini sahaja.
“Kalau dah setiap cakap I, you tak
nak percaya. You tetap juga nak tuduh I macam-macam... I rasa...” Rania
berhenti di situ. Sebetulnya tak tergamak nak sebut.
“Apa yang you rasa?”
Rania melepas nafasnya perlahan.“I rasa biarlah setakat
ini aje hubungan kita. Tak guna kita teruskan kalau you tak pernah ada rasa
percaya pada I.”
Ikutkan itu yang Rania nak cakap tapi macam
selalu, dia tak mampu. Tak kisahlah macam mana perangai Syafiq tu, yang penting
lelaki itu sayang dia.
“You nak cakap apa sebenarnya ni?”
desak Syafiq.
“Tak ada apalah.”
“I tau you memang nak beritahu
sesuatu kan? Baik you cakap betul-betul.”
“I dah cakap tak ada, tak adalah.”
Sudahnya hanya itu yang mampu Rania sebut.
“I tak percaya.”
“Terpulang pada you,” balas Rania.
“I pergi dulu. Assalamualaikum.” Segera
Rania angkat kaki dari situ.
No comments:
Post a Comment