Sunday, April 23, 2017

Bulan cinta bab 12




MUNGKIN ada yang memandang remeh kerjanya. Yalah bekerja di sebuah syarikat pengangkutan macam dia, apalah sangat? Tak mencabar langsung. Tapi percaya atau tidak kalau dia kata, sepanjang berkhidmat di sini sejak hampir tiga tahun yang lalu, dia sentiasa sibuk. Dan hari ini kesibukannya luar biasa.  
Dari pukul 9.00 sampai dah nak dekat pukul 12.15 ni, telefon atas meja asyik berbunyi. Semuanya memerlukan perkhidmatan F&F Movers. Ada yang nak berpindah rumah, berpindah pejabat, hantar barang ke pelabuhan, berpindah ke negeri lain ... macam-macam lagilah.
          “Rania, bos panggil.” Lala pemilik nama penuh Nur Sharmila, wanita asal Johor berkulit hitam manis, melaung dari kubikelnya.
          “Sekejap.” Sebelum bergerak ke bilik Cik Melly, Rania sempat memasukkan maklumat individu yang terakhir tadi ke dalam komputer.
          “Ya, Cik Melly. Ada apa panggil saya?”
          “Saya nak awak keluar jumpa klien.”
          “Hah!” Besar mulut Rania. Mata juga besar. Sejak bila pula dia kena jumpa klien ni? Cik Melly ni tahu ke tidak dia punya deskripsi tugas? Ini mesti kes tersilap orang. Memang kerja dia berkaitan dengan klien tetapi dia ‘melayan’ klien dari dalam pejabat.
Menyampaikan maklumat yang berkaitan dengan perkhidmatan yang F&F Movers sediakan. Jenis perkhidmatan, kos yang terbabit, jenis kenderaan atau lori yang ada serta peralatan yang dibekalkan.
Apabila klien berpuas hati dengan penerangan yang diberi serta bersetuju untuk menggunakan khidmat syarikat, segala maklumat dan butiran mengenai klien akan diambil serta dikunci masuk ke dalam komputer.
Kemudian maklumat berkenaan akan disalurkan pula kepada pegawai lain yang berkaitan. Itulah yang dilakukan selama tiga tahun bertugas di sini. Keluar jumpa klien? Memang tak pernah. Err... ada sekali. Itu pun sebab dia menemankan Muzalifah yang kebetulan ada urusan dengan klien.
“Tak payahlah nak tunjuk muka macam tu kat depan saya. Saya cuma minta awak jumpa klien aje. Bukan nak suruh awak masuk hutan, tebang kayu balak.”
Kalau kena masuk hutan tebang kayu balak, tak adanya setakat tunjuk muka macam ni Cik Melly oii. Mahu dia terus jadi si hijau Incredible Hulk tu. Habis koyak rabak semua pakaian. Lepas tu Cik Melly orang pertama yang akan dicampak keluar dari premis ini.
“Saya, keluar jumpa klien?” Tangannya Rania bawa menyentuh dada.
“Ya... awaklah.”
          “Cik Melly salah orang agaknya. Kerja saya dekat ofis aje. Tak perlu keluar jumpa klien.” Ya, dia perlu ingatkan. Mana tahu Cik Melly lupa. Maklumlah pegawai dekat sini kan ramai. Mana Cik Melly nak ingat kerja semua orang, kan?
          “Awak tak payah cakap, saya tau. Ingat saya baru sehari kerja kat sini?” Cik Melly memang pantang kalau ada staf yang cuba nak mengajar dia. Memang cepatlah dia naik angin.
          Tahu Cik Melly marah, Rania tak jadi nak sambung ayat. Dengar sajalah apa Cik Melly nak cakap.
          “Hasnan yang sepatutnya berurusan dengan Green Net Solutions tu. Tadi pun dia dalam perjalanan ke sanalah. Tapi baru sekejap dia bagi tahu, dia kemalangan. Ada orang langgar kereta dia dari belakang. Dahlah kereta kena langgar, bateri telefon dia pula kong. Itu pun nasib baik ada orang baik hati pinjamkan dia telefon, dapatlah dia telefon saya.”
          Oh! Maknanya bukanlah Cik Melly saja-saja nak suruh dia. Ada masalah rupa-rupanya.
          “Laa... kesiannya Abang Hasnan. Teruk ke kereta dia, Cik Melly? Dia pulak macam mana?” Mudah-mudahan tiada apa yang teruk menimpa Hasnan. Dahlah anak ada tiga orang, isteri pula tak bekerja dan sedang sarat mengandungkan anak ke empat. Kalau jadi apa-apa, macam mana agaknya nasib mereka semua?
          “Mana saya tahu? Awak ingat saya ni PA dia?”
          Isy, nak minta tolong tapi bukan main menyombong lagi. Setakat tanya macam itu, apa salahnya jawab elok-elok? Perlu ke nak menyindir? Tapi dia tak rasa Cik Melly tak tahu. Kata baru lepas bercakap dengan Hasnan. Nampak benar membohong.
          “Awak kena pergi sekarang tau? Sebelum pukul 1.00 awak dah kena ada di Green Net Solutions, faham?”
          “Tak ada orang lain dah ke selain saya, Cik Melly?” Rania sekadar mencuba nasib. Mana tahu Cik Melly berlembut hati.
          “Sebab tak ada orang lainlah saya minta tolong awak. Muna cuti, Muzalifah dari pagi keluar jumpa klien jugak. Bakar dengan Hizbulllah pulak sibuk kat pejabat Gangsa Holdings yang baru berpindah tu. Cuma tinggal awak aje, Rania.”
“Saya jumpa klien tu nak bincang pasal apa, Cik Melly?” 
          “Syarikat tu nak guna service lori kita untuk hantar bekalan komputer ke Ipoh.”
          “Banyak?”
          “Dekat seratus buah jugalah. Benda itulah yang nak kena bincang. Ada borang awak kena bawak tau? Suruh dia orang isi.” Suara Cik Melly yang keras tadi, sudah bertukar sedikit lembut.
          “Oh, banyak juga. Tapi saya nak pergi naik apa, Cik Melly? Saya bukannya ada kereta pun. Lesen memandu pun tak ada.”
          “Ini lagi satu masalah awak. Umur dah dua puluh enam tapi lesen memandu pun tak ada. Awak tau kan kerja kat sini kena ada lesen memandu? Entah siapalah yang temu duga awak dulu. Kalau sayalah, jangan harap saya nak ambil orang tak ada lesen memandu bekerja kat sini.”
          Eh, eh dia ni... konon nak suruh pergi sekarang tapi sempat lagi tu membebel pasal lesen memandu. Dahlah buat kenyataan menyakitkan hati macam tu. Tak nak ambil kerja kat sini konon. Sajalah tu nak sekat rezeki orang.
          “Cik Melly, saya nak pergi naik apa?” Lagi sekali Rania bertanya. Yalah, sibuk sangat membebel, sampai soalan dia pun tak berjawab lagi.  Sengaja dia potong bebelan Cik Melly tu. Kalau dibiarkan mahu sampai ke petang tak habis lagi.
          “Awak naik kereta Hanafi.”
          Hanafi tu budak IT dekat F&F Movers ni. Lelaki berusia 28 tahun dan berasal dari Pontian Johor itu memang pakar dalam bidang ICT tapi bila tanya tentang pengangkutan, satu benda dia tak tahu. Maklumlah itu bukan kerja dia. Lagipun Hanafi berada di bawah Unit IT, di bawah seliaan Encik Musa. Tapi biasalah Cik Melly tu, dia bukan peduli staf itu di bawah unit dia atau unit lain, kalau dia rasa nak arah, dia main arah saja. Kebetulan Encik Musa jenis yang tidak berkira sangat.
          “Saya kena pergi sekarang ke ni?”
          “Taklah. Tunggu raya Cina tahun depan baru pergi.”
          Tak habis-habis nak menyindir. Betul-betul pergi raya Cina tahun depan baru tau.
          “Okey.”
          “Apa yang okey?”
          “Saya pergi raya Cina tahun depan.”
          “Rania!!!” Besar mata Cik Melly.
          “Err tak... saya pergi sekarang.” Rania sengih.
          “Ambil kad ni.” Cik Melly menghulurkan sekeping kad. Rania menyambut lalu melihat nama dan alamat yang tertera di situ.
Rizman Iskandar Datuk Mohd Azhar. Alamak, anak datuk la. Bukan selalunya anak datuk banyak songeh ke? Adoi! Ini yang malas ni. Belum apa-apa dah rasa tak sedap hati. 

No comments: