Sunday, April 23, 2017

Bulan cinta bab 11



BESOK dia dah nak balik ke Kuala Lumpur tapi sampai sekarang mama belum beritahu keputusannya. Sama ada nak ikut dia balik ataupun terus tinggal di kampung. Yang peningnya, mama tu tak tetap pendirian. Sekejap cakap nak ikut, sekejap tak jadi pula. Entah yang mana satu betul, tak tahulah. Nak cakap lebih-lebih, nanti mama terasa hati pula.
          Terus terang, kali ini dia memang nekad untuk bawa mama ke Kuala Lumpur. Dia sangat terdesak sebenarnya. Selagi mama berada di kampung, selagi itulah dia rasa tak tenang. Sambil buat kerja pun, hati duk teringat dekat mama saja. Kalau boleh biar mama sentiasa berada di depan mata. 
Memang dia tahu mama lebih betah tinggal di kampung tapi dia bimbangkan keselamatan mama. Walaupun mama cakap dia boleh jaga dirinya sendiri,  dia tetap tak yakin.
Masih lagi memikirkan mama apabila telefonnya berlagu. Nama Pak Cik Raof terpampang pada skrin.
“Assalamualaikum pak cik. Pak cik apa khabar?”
Salamnya tidak berjawab. Mungkin Pak CIk Raof tak dengar. Lantas dia menghulurkan salam sekali lagi.
Alamak! bukan Pak Cik Raof, sebaliknya...
“Saya ni... Rania.”
Tau, cam sangat. Cumanya, hari ini suara itu ada sedikit lembut. Tak garang macam selalu.
“Laaa... Mak Cik Rania ke? Ingatkan Pak Cik Raof.” Razlan mengusik.

Cuba nak balas, tapi tak tahu nak cakap apa. Sudahnya Rania diam.
“Ada apa telefon saya?”
Alamak macam mana nak jawab ni? Memanglah ayah yang suruh, siap suruh guna telefon ayah lagi... tapi kalau bukan kerana risaukan Razlan, memang taklah dia nak ikut cakap ayah tu.
“Ayah suruh.”
“Ayah suruh atau awak rindu saya?” Razlan mengusik.
 “Jangan nak mengarut sangat boleh tak?”
          “Saya gurau ajelah. Awak nak rindu saya? Jangan cari pasal. Cukuplah sekali kena tumbuk dengan cinta hati awak tu. Saya dah serik.”
Rania tak rasa nak jawab pun. Malas. Cinta hati konon. Tak tau ke dia dah putus dengan Syafiq tu?
“Pak cik sihat?”
“Sihat.”
“Awak?”
“Sihat.”
“Betul ke ni?”
“Betul.”
“Kalau betul sihat, kenapa tak pergi kelas memandu hari ni? Tadi saya telefon sekolah, dia orang cakap awak minta tangguh hari lain. Saya syak mesti awak tak sihat.”
Alamak, nak cakap apa ni? Takkan nak mengaku kata dia tunggu Razlan baru dia nak masuk kelas balik? Jujur, bila dengar cerita ayah petang semalam, hatinya jadi tersentuh. Ternyata Razlan seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Walaupun dia tak pernah bercakap elok-elok dengan Razlan, lelaki itu tetap sudi melayannya dengan baik.
 “Saya tak nak belajar dengan Zaidi.”
“Kenapa?”
“Dia tidur masa mengajar, dia suka ganggu konsentrasi saya dengan cerita dia yang mengarut. Dengan dia saya jadi makin tak pandai, makin penakut, tau tak?”
“Awak ni memilih sangat. Pada saya Zaidi tu okey je.”
“Eh, mestilah kena memilih. Saya bayar, kan? Bukannya saya belajar percuma.”
Tapi kan, sepuluh jam masa kelas memandu dah habis. Sekarang ni dia dah terlebih jam dah. Itu yang dia tak faham. Adakah Razlan sengaja melebihkan masa untuk dia atau ayah yang bayar untuk lebihan masa tersebut? Teringin nak tanya, tapi tak apalah. Janji dia betul-betul mahir sebelum pergi ujian memandu dengan pihak JPJ.
 “Awak sengaja tak nak ajar saya, kan? Lepas tu awak sengaja bagi orang yang teruk macam Zaidi tu untuk ajar saya.”
“Bukan awak ke yang nak sangat belajar dengan guru lain? Dan untuk pengetahuan awak, bukan saya yang mencadangkan nama Zaidi tu.  Mungkin dia aje yang free masa tu.”
Alasan! Takutlah tu nak mengaku.
“Untuk pengetahuan awak juga, saya tak berniat pun nak bagi orang lain untuk ajar awak. Kisah apa saya awak nak marah ke, nak minta pengajar dari langit ke? Saya dah janji dengan ayah awak untuk ajar awak sampai dapat lesen. Saya juga dah janji akan jaga keselamatan awak sepanjang tempoh itu. Satu yang perlu awak tau tentang saya... saya bukan jenis orang yang senang lupa pada janji.”
Sungguh, kata-kata Razlan itu terasa menusuk jauh ke sudut hati yang paling dalam. Bukan setakat tersentuh, tapi lebih daripada itu.
Oh! Hati, tolonglah bagi kerjasama. Jangan nak menderhaka dengan tuan punya badan, okey? Tak payah nak tersentuh sangatlah. Razlan cuma cakap pasal janji saja kut. Itu pun janji untuk ajar memandu kereta dan jaga keselamatan dia. Bukan janji untuk jadi teman sehidup semati.
“Tapi kerana seseorang, saya terpaksa mungkir janji saya kali ni. Saya rasa bersalah.”
Bup! Seperti nangka jatuh dari pokok. Begitulah hati Rania yang sedang berada di awang-awangan tadi, sepertinya jatuh terhempas ke tanah. Razlan ni saja nak mempermainkan perasan dia. Benci!
Aik, dah jauh benar dah kamu mengarut Rania. Mempermainkan perasaan apanya? Sila kembali ke alam nyata, Rania sayang. Dia cuma guru memandu kereta, bukannya si dia yang nak memandu hati kamu.
“Seseorang?” Perlahan Rania menyoal.
“Ya, seseorang. Kalau awak ada seseorang, saya pun ada, tau? Yang penting seseorang saya ini lagi istimewa dari seseorang awak tu. Satu hari nanti, saya akan perkenalkan awak dengan dia, okey?” Lunak suara Razlan masa ni. Tentu muka pun berseri-seri. Boleh Rania bayangkan.
Tak okey langsung. Ingat dia hadap sangat nak jumpa ‘seseorang’ Razlan tu? Tak kuasa!
Tapi kenapa dia rasa nak marah sangat ni? Dan suara Razlan yang sedang berbahagia itu, kenapa dia rasa menyampah nak dengar? Cemburu eh? Eii, tak adalah. Nak cemburu apa hal pulak?
“Apa tujuan awak telefon saya tadi?”
Ketawa Razlan buat hati Rania jadi geram dan sakit. Tak tahu kenapa.
“Tak ada apalah. Bye.“ Lantas talian putus.
Razlan termangu. Peliknya perempuan ni.

No comments: