Sunday, April 23, 2017

Bulan cinta bab 14




PETANG semalam Razlan datang ke rumah. Tapi masa tu Rania belum balik dari kerja. Jadi Razlan hanya bertemu dengan ayah. Sejak akhir-akhir ini Razlan semakin rapat pula dengan ayah. Itu yang buat dia musykil. 
Mengikut kata ayah, Razlan datang sekadar membawa buah-buahan yang dibawa balik dari kampung. Kebetulan semuanya sedang bermusim. Durian, rambutan, manggis dan petai juga. Dah banyak sangat, Rania bawa sebahagiannya ke pejabat. Dapatlah kawan-kawan semua merasa.
“Kau pernah cakap dekat aku, kau kalau nak cari suami, kau nak lelaki yang ada dusun buah-buahan.” Lepas sebut macam tu, Muna angkat-angkat keningnya. Kemudian ketawa terkekeh-kekeh.
“Ni kenapa tiba-tiba cakap pasal dusun semua ni? Apa yang cuba kau sampaikan, Muna?”
"Dengar cerita buah-buahan yang kau bawak hari ni datangnya dari sebuah dusun yang terletak di negeri Kedah.” Semacam senyuman yang Muna lemparkan kepada Rania. Sesuatu sangat.
“Maksudnya?” soal Rania. Entah kenapa kali ini otaknya yang sentiasa cerdik itu tiba-tiba lambat pula menangkap maksud Muna. Lambat juga nak ‘baca’ maksud senyuman pelik Muna itu.
 “Maksudnya, kau dah jumpa jodoh kaulah, beb.”
“Siapa jodoh aku?”
“Eleh, buat-buat tanya konon. Dah terang lagi bersuluh, si pemberi buah-buahan dari Kedahlah, siapa lagi?” Kuat Muna ketawa. Sampai terhentilah langkahnya. Rania ikut berhenti melangkah.
“Kau nak cakap Razlanlah jodoh aku?” Kuat suara Rania. Entah kenapa dia tak terfikir langsung tadi.
Dengan sengih lebar, Muna angguk.
“Aku rasa Razlan suka kau la.” Dari cerita-cerita Rania tentang keakraban Razlan dan ayahnya, tak susah untuk dia meneka. Lelaki kalau dah sampai tahap datang ke rumah, berbaik dengan ayah... apa maknanya tu kalau bukan untuk memikat? Selalu orang cakap, nak memikat anak kenalah pikat hati ayahnya dulu.
Giliran Rania pula gelak. Lucunya kenyataan Muna tu.
“Memang pun dia suka aku, tapi suka cari gaduh dengan aku.”
“Dia memang suka kau... dia cintakan kau. Percayalah cakap aku.”
”Razlan dah ada seseorang la. Dia sendiri beritahu aku. Lepas tu siap cakap nak perkenalkan ‘seseorang’ dia tu dengan aku.”
“Kau percaya ke?”
“Dah mulut dia sendiri yang cakap, mestilah aku percaya.”
“Kau kecewa tak?”
“Laa... nak kecewa kenapa pulak? Aku dengan dia bukannya ada apa-apa. Aku ni cuma anak murid dia aje. Dia guru yang ajar aku memandu, Muna sayang. Kenal pun baru sangat lagi, baru sebulan. Tu pun asyik gaduh aje.”
“Kau jangan tipu aku. Aku tau kau kecewa, kan?”
“Langsung tak.” Cepat Rania balas.
“Aku nak sangat kau kahwin dengan dia, Nia.”
Pantas tangan Rania memukul bahu Muna. Sampai ke situ Muna berfikir? Mengarut sangat perempuan ni!
“Kau kalau bercakap benda logik sikit, boleh tak? Kau ingat, kahwin ni benda senang? Main sebut aje, terus jadi? Tak semudah itu, Muna. Kau tak tau Razlan tu macam mana. Kau tak kenal dia pun. Dah, janganlah nak cakap benda-benda tak masuk akal macam tu lagi.”
“Tapi kalau jodoh tak ke mana, kan kan kan?” Muna sambung usik tanpa mempedulikan larangan Rania. Siap kenyit mata lagi.
“Aku tak nak Razlanlah. Kau jangan sebut nama dia lagi.” Matanya sengaja Rania besarkan.
“Habis, kau nak cakap kau pilih Syafiq, macam tu?” Suara manis Muna tak semena-mena jadi garang. Entah-entah Rania masih mengharapkan Syafiq. Mana tau, kan?
“Jangan seru nama dia boleh tak? Nanti tak pasal-pasal, muncul pulak muka dia kat sini.” Kan dah kena marah! Macamlah Muna tak tahu dia dah Syafiq dah putus, dah tak ada apa-apa hubungan. Lagi nak sebut nama lelaki itu.
Memang sebelum ini dia sangat susah nak lupakan Syafiq tapi alhamdulillah, untuk kali ini  tidak sesukar mana untuk dia  buang lelaki itu dari hati dan mindanya juga. Serius, langsung tiada sisa cinta dan sayangnya untuk lelaki itu lagi. Untuk itu, dia sangat kagum dan tabik dengan diri sendiri.
“Dah terlambat dah, Nia. Dia dah muncul dah.”
Nun di depan sana, di lobi pejabat, lelaki itu sedang bersandar pada dinding. Rania cuba menyorok, tetapi lelaki itu telah nampak dia terlebih dahulu.
“Mulut kau la gatal sangat pergi sebut nama dia.” Kaki Rania berhenti melangkah. Tak tahu nak menghala ke mana sekarang. Kalau dia teruskan juga langkahannya, bermakna dia terpaksa bertembung dengan Syafiq. Tapi walau macam mana sekalipun, dia kena terus berjalan. Yalah, sekarang dah pukul 1.40. Cuma tinggal dua puluh minit sebelum waktu kerja bermula. Solat zuhur pun belum lagi ni.
 “Kalau aku tak sebut... kau ingat dia tak boleh datang sini cari kau?”
Sebenarnya Rania bukanlah nak marah Muna sangat. Muna tak salah pun. Yang salah Si Syafiq tu. Dah seminggu lebih, masih lagi nak merayu-rayu. Masih lagi duk terkejar-kejarkan dia. Dah puas Rania sebut yang bahawasanya mereka sudah tidak ada sebarang hubungan lagi, tapi Syafiq masih tak faham bahasa. Nak dia bercakap dalam bahasa apa lagi agaknya nak buat Syafiq faham?
Kalau sebelum ini Syafiq susah nak memujuk, tapi sekarang... dialah raja memujuk rayu. Macam-macam cara yang dia buat untuk menawan semula hati Rania, tapi jangan mimpilah. Hati Rania dah tak lut dengan sebarang pujukan.  
“Sayang, I nak bercakap dengan you.”
 Rania yang sedang berjalan ke pintu lif terpaksa berhenti apabila Syafiq menerpa dan menghalang langkahannya. Muna ikut berhenti. Bukan apa, kalau ada apa-apa yang Syafiq cuba lakukan, dia ada untuk membantu. Dari dulu sampai sekarang, dia tak pernah percayakan Syafiq.
“I tak ada masa nak layan you. I nak cepat,” balas Rania.
“Sayang...”
“Eh, you jangan nak bersayang-sayang dengan I boleh tak?” Rimas telinganya dengan panggilan itu. Dulu tak pernah pun nak panggil dia macam tu. Dah putus, barulah sibuk nak bersayang bagai.
“You dah berubah, Rania.” Itu yang dia pelik. Kalau selama ini, Rania sering mengalah dan banyak memujuk, manakala dia pula sentiasa jual mahal tapi keadaan sudah jadi terbalik. Dia pula yang merayu-rayu  Rania seperti orang gila talak. Sedangkan Rania langsung tak ambil kisah.
“Memang pun I dah berubah. Sepatutnya dah lama I buat macam tu dan sepatutnya dah lama I tak terlibat dengan lelaki macam you.” Risau ada yang mendengar pergaduhan mereka, Rania ‘mengheret’ Syafiq jauh sedikit dari lif.
“You berubah sejak you kenal guru memandu tu. You memang ada hubungan dengan dia, kan? Tak salah apa yang I syak selama ni.”
Rania geleng, menafikan. “You jangan nak fitnah I, Syafiq.”
“Kalau bukan kerana lelaki tu, apa sebab you minta putus? You beritahu I sekarang.”
“Sebab  you kurang ajar. You tak reti hormat orang. Kalau ayah I pun you anggap tak penting, you anggap orang luar, you jangan mimpi you akan dapat anak dia.”  
Kalaulah Syafiq boleh berbuat seperti apa yang Razlan buat... berbaik dengan ayah, hormat ayah, layan ayah macam ayah sendiri tapi Syafiq tak buat macam tu. Selama mereka berkawan, sudah berapa kali dia mengajak Syafiq bertemu ayah tapi Syafiq enggan. Konon belum masanya. Dari situ dah nampak, Syafiq anggap ayah tak penting.
Bukanlah nak puji, tapi Razlan begitu pandai mengambil hati ayah. Walaupun baru kenal, Razlan sangat rapat dengan ayah, malah ayah sendiri nampak sayangkan Razlan. Rania tahu Razlan ikhlas dengan perbuatannya, tanpa ada niat terselindung.  Memang, adakalanya dia tertanya-tanya tentang keakraban ayah dan Razlan tetapi jauh di sudut hatinya dia sangat tersentuh dengan hubungan baik itu.
 “I tak ada niat pun nak cakap ayah you macam tu, I terlepas cakap.”
Hah! Alasan.  Tiba-tiba sekarang nak tunjuk baik.
“Kalau sekali mungkin you terlepas cakap, tapi kalau dah berkali-kali, you masih nak kata you terlepas cakap?”
“Rania, yang sudah tu sudahlah. Kita buang yang keruh, ambil yang jernih. Kita mulakan balik hubungan kita. I janji kali ni I takkan sakitkan hati you lagi. I juga akan jumpa ayah you. Okey tak?”
Rania geleng. “Maafkan I, Fiq. I tak boleh. I dah serik.”
“You kata you sayang I, tapi you sanggup hampakan I.” Nampak kecewa benar rupa Syafiq. Apa lagi agaknya yang harus dia buat untuk meyakinkan Rania seterusnya merebut semula hati gadis itu?
“Dulu ya. Masa tu memang I sayang you. I rela tunggu you walaupun hati I selalu terluka dengan you. Tapi sekarang  I lebih sayangkan diri I. I tak nak terluka lagi Fiq.”
“Kerana lelaki tu you tergamak buat I macam ni?”
 “You cakaplah apa pun, I dah tak kisah,” balas Rania tenang. Dah malas nak membela diri. Syafiq bukan jenis yang faham bahasa pun.
“I pergi dulu, nak solat zuhur.” Malas nak panjang-panjang, Rania melangkah dari situ.

 “WEH, apa senyum sorang-sorang ni? Angau eh?”
          Rizman yang sedang ralit menghadap skrin telefonnya angkat muka. Pandang Malek yang sudah pun melabuh duduk atas kerusi di depan meja.
          “Aku memang dah angau la, Lek. Asyik teringat dia ajelah. Macam mana ni?” Tak malu Rizman mengaku. Mata kembali ke skrin telefon.
          “Siapa yang buat kau jadi macam ni?”
          Tanpa menjawab, Rizman hulur telefonnya kepada Malek.
          “Oh, budak ni.” Malek ketawa.
          “Baru sekali jumpa. Takkan senang sangat, Riz?”
          “Perlu banyak kali jumpa ke untuk kita suka seseorang, Lek?” Rizman membidas.
          “Kau nak cakap kau dah jatuh hati pandang pertama la ni?”
          Tak perlu kata apa-apa, cukup sekadar senyuman di bibir. Itu sudah menggambarkan apa yang berada dalam hati.
          “Nak pulak dia bergambar dengan kau?”
          “Dia tak sempat mengelak. Terpaksa reda.” Rizman ketawa apabila teringatkan kejadian tempoh hari. Nampak sangat Rania tergamam dengan tindakan dia yang tiba-tiba. Yalah, tak sempat Rania jawab ya, dia cepat-cepat merakam gambar mereka berdua. Dahlah berdiri pun rapat-rapat. Riak terkejut tu boleh nampak pada muka Rania dalam gambar tu.
          “Ooo... kau ambil kesempatan, eh? Teruknya kau.”
          “Peluang macam tu tak selalu datang, Lek. Kau ingat senang ke perempuan cantik nak datang menyerah diri pada kau?”
          “Amboi ayat kau, macam apa aje.”
          Rizman ketawa.
“Tapi dia memang cantik la...”
“Cantik, kan? Lagi satu, aku suka karakter dia yang selamba tu. Comel la dia.” Walaupun baru sekali bersua, dia masih ingat segala-galanya tentang Rania. Sederhana tinggi, berbadan langsing, berkulit putih bersih dan paling penting.... Rania sangat comel.
“Kau tak rasa ke dia tu bini orang ke, tunang orang ke, kekasih orang ke? Aku takut kau beri hati pada orang yang salah aje, Riz.”
          “Aku yakin dia masih single.
          “Orang cantik macam tu, takkanlah masih single?”
          Muka Rizman yang sedang manis tersenyum, mendadak jadi mencuka. Geram dengan Malek.
          “Kau langsung tak sokong aku, kan?”
          “Bukanlah tak sokong tapi aku tak nak kau tu terlalu mengharap. Nanti bila dah frust menonggeng, mata ni juga yang nak kena hadap muka  kau yang macam cencorot mati bini tu. Bukan tak pernah berlaku sebelum ni, kan?”
          Rizman tak beri komen. Dia hanya pandang muka Malek.
          “Macam inilah Riz, apa kata kau telefon Rania tu? Pura-pura ajak dia keluar makan ke, apa ke? Dari situ kau akan tau, sama ada dia tu masih single atau dah berpunya.”
          “Kenapa pulak nak pura-pura ajak? Ajak betul-betul la.”
          “Suka hati kaulah.”
          “Semua tu dalam poket aku, Lek. Kau tengoklah nanti, aku dengan Rania. Mesti jadi punyalah.”
          “Okeylah, aku tolong doa untuk kau. Mudah-mudahan satu hari nanti kau bertemu jodoh dengan dia.”
          “Macam itulah baru kawan aku.“ Lebar sengih Rizman.
          “Aku sayang kau la, Lek.” Rizman memuncungkan bibirnya. Tunjuk isyarat nak cium Malek.
          “Hisy, nak termuntah.” Malek tunjuk aksi geli geleman.

1 comment:

Arenagaming88 said...
This comment has been removed by a blog administrator.