“KAU ni apa hal? Muncung aje dari tadi.” Dian pandang Fira
yang sedang memandu.
Fira tak beri respons. Matanya pandang tegak ke hadapan.
“Nur Syafira, aku tanya kau ni... jawablah."
“Aku rasa macam nak pindah aje.” Tanpa menjawab pertanyaan
Dian, tiba-tiba Fira berkata begitu.
“Pindah? Maksud kau pindah rumah?” Besar mata Dian. Biar
betul kawan aku ni.
“Yalah.”
“Kau nak pindah ke mana?
“Papa aku memang ada rumah lagi satu kat Shah Alam. Rumah
tu kosong, tak ada orang duduk. Aku ingat aku nak pindah sana kut.”
“Kau nak tinggal dengan siapa kat sana?”
“Tinggal sorang aje la.”
“Berani kau tinggal sorang?”
“Berani.”
“Beranilah sangat. Macamlah baru sehari aku kenal kau.”
Dian mengejek.
“Suka hati kau la nak kata apa pun.”
“Mama dan papa kau
benarkan ke?”
“Entah.”
“Kenapa kau nak pindah, Fira?”
“Hei, Banyak soal la kau ni.”
“Alah... jawab ajelah, kenapa kau nak pindah?”
“Bosanlah duduk kat rumah.”
“Bosan?” Dian ketawa mengekek. Jawapan yang sangat tak
masuk akal. “Kalau aku yang cakap bosan... logik la jugak. Umi aku walaupun dah
tak kerja tapi sibuk dengan macam-macam aktiviti. Abi aku biasalah, kat klinik.
Abang Affan sah-sah la tinggal dekat rumah dia sendiri. Pembantu rumah memang
tak ada. Selalunya aku aje sorang-sorang kat rumah. Macam kau lain, nenek kau
ada, bibik pun ada... ada Danish pulak lagi. Nak bosan apanya?”
Malas nak jawab, Fira jongket bahu.
“Dulu setiap kali aku ajak keluar, kau cakap kau lebih suka
duduk kat rumah. Bila kita keluar pulak, kau tak sabar-sabar nak balik. Kau kata,
rumahku syurgaku. Sekarang tiba-tiba pulak nak pindah. Konon bosan tinggal kat
rumah. Ni mesti ada apa-apa yang tak kena, kan?”
“Mana ada apa-apa? Tak ada apalah.”
“Macamlah aku nak percaya.”
“Terpulang,” balas Fira.
“Nenek kau suka membebel, kan? Sebab tu la kau nak pindah,
betul tak?” Dian meneka. Entah betul, entah tidak. Bukan dia selalu jumpa pun
nenek Fira tu.
“Tak adalah.”
“Kalau bukan nenek kau, mesti kau selalu kena marah dengan mama atau papa
kau.”
“Mana ada? Memandai aje cakap macam tu.”
“Haa... aku tau.”
“Kau tak payah nak teka sangatlah Dian, oii. Aku tak ada
masalah pun kat rumah, kecuali bosan.”
“Kau ingat aku nak percaya? Aku tau kau bukan bosan, tapi
kau tu sebenarnya cemburu dengan adik
kau. Sebab cemburu kau sanggup nak pindah rumah. Betul tak? Tapi kan Fira...
kau ingat mama dan papa kau nak benarkan ke? Aku berani potong jari, dia orang
takkan bagi punya,” ucap Dian seraya pandang Fira. Walaupun sahabatnya itu
tidak mahu berterus terang, dia dapat rasa Fira cemburukan adiknya yang seorang
itu. Maklumlah hampir 20 tahun sebagai anak tunggal, dilimpahi dengan segala
kemewahan serta kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, dah tentulah kehadiran
Danish buat Fira rasa tercabar.
“Eii, Bercakap ikut sedap mulut aje. Siapa cakap aku cemburu
dengan budak kenit tu?”
“Hah, tengok! cemburu punya pasal, nama Danish pun kau tak
nak sebut. Kesian adik kau dapat kakak macam ni.”
Bibir Fira dah jadi panjang. Sakit pula hatinya dengan
ucapan Dian tu. Memang betul pun dia cemburukan Danish, tapi perlu ke sebut?
Saja nak tengok dia marah.
“Kau serius ke nak pindah rumah?” Melihat rupa Fira yang
semacam, Dian buka cerita tentang berpindah rumah semula. Bukan apa, tak naklah
Fira jadi lebih marah. Nanti Danish punya hal, mereka pula bermasam muka.
“Serius la. Ingat aku main-main ke?” Sebenarnya tak serius
pun. Tak ada maknanya orang penakut macam dia nak berpindah rumah dan tinggal
seorang diri. Sengaja dia cakap macam tu sebab nak puaskan hati sendiri. Lagipun
dia sayang banglo dua tingkat, tempat dia tinggal sekarang. Yalah sejak kecil
lagi dia tinggal di situ. Sebab itulah dia tidak bersetuju apabila mama dan
papa menyuarakan hasrat hati untuk berpindah baru-baru ini. Mungkin mereka
kecewa. Tapi dia ada alasan sendiri. Dia memang tak ada hati nak berpindah ke
sana. Tempat jatuh lagi kan dikenang, ini kan pula tempat dia membesar. Tapi
mama dan papa memang ibu bapa yang memahami. Mereka sanggup melupakan hasrat
hati mereka semata-mata kerana dia, anak yang degil ini.
“Lagi satu... apa pendapat kau kalau aku cari kerja?”
“Kau nak cari kerja?” Dian ketawa terkekeh-kekeh.
“Kenapa gelak?”
“Macam tak percaya aje orang malas macam kau nak kerja.”
“Mulut kau ni, kan?”
“Dah memang betul kau tu pemalas.”
“Kalau betul, kau nak cakap apa?”
“Kalau betul, alhamdulillah. Kau boleh kerja kat syarikat abang
aku.” Cepat Dian menjawab.
“Tak naklah.”
“Aku tau la syarikat abang aku tu kecik. Tapi untuk cari
pengalaman, apa salahnya.”
“Bukan sebab itu la.”
“Dah tu, kenapa
pulak?”
Mengada-ngada betul
la Dian ni. Macamlah tak faham-faham.
Lagi nak tanya.
“Nanti aku cakap
dengan abang.”
“Cakap apa?”
“Cakap kau nak cari kerja la.”
“Tak jadilah. Duduk
macam ni lagi bagus, kan?”
“Dah agak dah. Dasar
pemalas.”
“Kau sendiri kenapa tak kerja dengan abang
kau?”
“Tak suka la kerja
dengan abang sendiri.”
“Ya la tu. Cakaplah
yang kau tu pun pemalas.” Sengaja Fira bergurau begitu, padahal dia tahu, Dian
adalah seorang yang rajin dan boleh diharap. Sebenarnya beberapa bulan selepas
tamat pengajian di UTHM, Dian pernah bekerja
di sebuah syarikat IT. Tapi hanya dua bulan pertama gajinya dibayar. Selepas
itu langsung tiada sehinggalah Dian mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
“Eh, mana ada? Yang
malas kau aje sorang tau.”
“Yalah, yang bagus
semua kau. Yang tak elok semua akulah.”
“Tau tak apa.” Dian
gelak mengekek.
“ASSALAMUALAIKUM Fira. Dah lama sampai?”
Fira yang ralit
dengan majalah di tangan, angkat muka. Aunty Laila berjalan masuk ke dalam
rumah. Mungkin dari pasar raya, memandangkan kedua-dua belah tangannya penuh
dengan beg plastik yang berisi barang.
“Waalaikumussalam. Eh! aunty, Fira baru aje sampai.”
Barang di tangan, Aunty Laila letak atas lantai. Dia sendiri
duduk sebelah Fira atas sofa.
“Aunty dari mana ni, shopping
ke?” Fira bertanya ramah seraya menyalami dan mencium tangan Aunty Laila.
“A’ah... shopping
sikit-sikit. Kebetulan Abang Affan kamu ada balik, aunty ajaklah dia temankan aunty
pergi cari barang dapur. Banyak barang dah habis.”
Abang Affan kamu? Lain macam aje bunyinya Aunty Laila ni?
Tapi ucapan itu tak penting pun untuk diambil peduli. Yang penting, Affan tu
sendiri. Mana nak menyorok ni? Dian, siap kau. Sampai hati kau tak cakap pun
Abang Affan ada balik. Kalaulah dia tahu Affan ada kat rumah, jangan harap dia
nak singgah tadi.
Beberapa ketika selepas itu Affan masuk. Lelaki itu
menghulurkan senyumannya yang manis itu buat Fira.
Fira melarikan
pandangannya ke arah lain. Entah kenapa, setiap kali Affan senyum, dia rasa
seperti lelaki itu sedang mengejek dan menyindirnya. Senyuman tu palsu, bukan
senyuman ikhlas. Dia fikirkan Affan akan berlalu ke dalam tapi tak. Sebaliknya
lelaki itu mengambil tempat atas sofa berhadapan Fira dan uminya.
Hisy! Apahal mamat ni
duduk kat sini pulak? Banyak lagi tempat lain kut. Fira merungut dalam hati.
“Fira duduk dulu ya? Aunty nak ke dapur.”
“Fira dah nak balik, aunty.” Cepat-cepat Fira jawab. Bila
Aunty Laila dah masuk ke dalam, bermakna dia akan berdua-duaan dengan Affan. Jangan
harap!
“Kata baru sampai. Takkan dah nak balik?” soal Aunty Laila
dengan rasa hairan.
“Err... memanglah baru sampai, tapi Fira cuma hantar Dian
aje. Tak ada niat pun nak lama-lama kat sini.”
“Bukan selalunya Fira suka lepak kat sini ke?” soal Aunty Laila
lagi.
“Memang pun tapi hari ni tak bolehlah aunty. Fira kena balik
sekarang. Ada kerja nak kena buat kat rumah.” Fira buat alasan. Langsung tak
pandang Affan. Tumpuannya hanya kepada Aunty Laila.
“Ooo okey...”
“Balik dulu ya, aunty?”
“Tak tunggu Dian dulu?”
“Tak kut, aunty. Nanti Fira call Dian.”
“Yalah...” balas Aunty Laila sambil membiarkan tangannya dipegang
dan dicium gadis itu.
“Sampaikan salam aunty kat mama, ya?”
“Insya-Allah.” Fira tak tunggu lagi. Segera langkahnya
disusun ke pintu rumah. Tak pandang Affan pun walaupun dari ekor matanya, dia
perasan Affan sedang pandang dan senyum kepada dia. Tak apalah. Tak perlu kut
nak pandang dan balas senyuman mamat tu.
Aunty Laila sendiri membawa beg-beg plastik ke ruang dapur.
“Mana Fira?” tanya Dian yang baru keluar dari biliknya. Dia
berlalu ke muka pintu. Kemudian menjenguk ke luar rumah. Toyota Rush milik Fira
sudah tiada di tempat tadi. Sedarlah dia, Fira sudah pun pergi. “Abang, adik
tanya ni... mana Fira?”
“Entah, dah balik kut.”Affan membalas.
“Kenapa dia balik?”
“Laa... mana la abang tau?”
“Abang cakap apa kat dia?”
“Tak cakap apa-apa pun.”
“Mesti abang ada cakap apa-apa. Kalau tak... tak adanya dia
balik tergesa-gesa macam tu.”
“Suka hati aje tuduh orang.”
“Fira tak pernah macam tu tau. Bila ada abang aje, dia jadi
menggelabah tak tentu pasal. Mesti ada apa-apa ni.”
“Suka hati adik la nak cakap apa pun. Malas la abang nak
layan.”
Tak sempat Dian nak sambung membebel, telefon Affan berbunyi.
Telefon dari dalam poket, Affan keluarkan. Lalu jari
telunjuknya dibawa menyentuh skrin.
Muka Dian masam mencuka. Tak puas hati dengan Affan. Dia
dapat rasa Abang Affan yang menyebabkan Fira balik tanpa sempat menunggunya.
Entah apa agaknya yang Abang Affan cakap kat Fira tadi. Bukan boleh percaya
sangat abang ni. Tapi kalaulah betul Abang Affan tak cakap apa-apa, mesti ada
apa-apa yang berlaku antara kawan baik dan abangnya tu. Sesuatu yang hanya
menjadi rahsia mereka berdua. Sebetulnya dah lama dia menyimpan rasa musykil
ini. Kenapa ya, Fira sentiasa mengelak dari jumpa Abang Affan? Kalau kebetulan
bertemu atau terserempak, Fira akan jadi macam cacing kepanasan.
“Assalamualaikum,
Nadia.” Affan hulurkan salam.“ Aku kat rumah, baru aje balik. Apa dia? Kau nak
ajak aku keluar?”
Dian mencebik. Kak Nadia rupanya. Tak ada kerja lain
agaknya perempuan tu. Asyik nak berkepit dengan Abang Affan aje. Menyampah! Ini
semua opah punya pasal. Suka sangat nak padankan cucu-cucu. Kalau boleh semua
cucu nak kena berkahwin dengan sepupu sendiri. Termasuklah Abang Affan dan dia
sendiri. Kalau Abang Affan cuba dipasangkan dengan Nadia, anak Mak Ngah Shima,
dia pula dengan Firdaus, anak Pak Long Zaki. Tapi jangan harap dia nak ikut.
Memanglah Firdaus bersetuju tapi kalau dia sendiri tak nak, benda tu takkan
jadi pun. Si Firdaus pun satu, macamlah tak reti nak mencari sendiri. Yang nak
ikut sangat rancangan mengarut opah tu kenapa?
“Sorry la... aku
baru aje balik dengan umi. Takkan nak keluar lagi kut.”
Dian senyum. Kan bagus Abang Affan jawab macam tu? Selalu
tu Abang Affan main ikut saja telunjuk perempuan itu. Memanglah Kak Nadia tu
sepupu dia juga tapi kalau dah perangai mengada-ngada, siapa suka?
“Kalau kau nak pergi, kau pergi ajelah. Ajaklah siapa-siapa
temankan. Kan aku dah cakap aku baru balik, penat pun belum hilang tau?” Lantas
Affan putuskan percakapan.
“Baru la nampak macam lelaki,” sindir Dian.
“Weh! memang abang
lelaki, apa?” Besar mata Affan. Sakit pula hatinya dengan ucapan Dian tu.
“Memanglah lelaki tetapi lelaki lembik.” Dian mencebik.
Kemudian berlari ke dalam. Sempat lagi menjelir kepada abangnya.
“Berani adik cakap macam tu. Nak kena ni!” Affan berteriak
kuat.
No comments:
Post a Comment