Saturday, May 23, 2015

Sabarlah Duhai Hati (Bab 4)



“YANG ni cantik tak, bang?” soal Fira. Sandal bertali berwarna merah yang baru sebentar dicuba pada kaki ditayang di hadapan mata Nazim.
          Soalan Fira tidak dijawab, sebaliknya Nazim terus-terusan memandang wajah gadis itu.
        “Orang tanya bukannya nak jawab. Kalau tak cantik, cakap ajelah tak cantik.” Fira merungut. Lantas sandal diletak di rak semula.
“Abang nak tanya ni.”
“Nak tanya apa?” balas Fira. Sempat tangannya mencapai satu lagi sandal dari atas rak.
“Bila mama dengan papa abang boleh pergi rumah Fira?” Nazim bertanya. Serius suaranya.
          “Kenapa pulak mama dengan papa abang nak datang rumah Fira?” Fira bertanya acuh tak acuh. Buat-buat tak faham. Walhal dia faham sangat. Bukan sekali ini Nazim bertanya, dah banyak kali kut. Nazim ni pun sama macam mama. Asyik-asyik nak cakap pasal kahwin. Bosan betul. Padahal dah selalu sangat dia sebut yang dia belum bersedia. Segala alasan juga sudah diberi. Takkan tak faham-faham lagi.
          Wajah gadis manis bertudung hitam itu tetap menjadi tatapan matanya. Sakit pula hatinya dengan soalan itu. Ini memang tak faham ke atau saja-saja buat tak faham?
         “Yang abang tengok Fira macam nak makan tu kenapa? Muka Fira ni ada iras-iras ayam panggang ke?” Dia gelak, mengusik. Cuba nak sejukkan hati Nazim yang dia yakin sedang panas itu.
          “Fira memang tak faham ke maksud soalan abang tadi?” Sinis suara Nazim.
         “Faham,” balas Fira perlahan. Muka yang manis dengan senyuman dan tawa tadi bertukar kelat.
          “Kalau faham kenapa tak jawab?”
          Fira mengeluh. “Abang, dah selalu sangat abang tanya dan setiap kali abang tanya, Fira tak pernah tak jawab. Dan untuk kali ni jawapan Fira masih sama, Fira belum bersedia. Alasan Fira, macam yang selalu Fira bagi tau abang tu la.”
          Nazim mendengus. Alasan mengarut. Seperti sesebelum ini, dia tak boleh terima. Fira cakap dia masih muda, baru 24. Pada dia, 24 tahun bukanlah muda lagi. Dah sesuai sangat untuk jadi isteri orang. Lagi satu  alasan Fira, dia tak pandai memasak, tak reti nak uruskan rumah tangga dan sebagainya. Yang ini lagilah mengarut. Nampak sangat Fira sengaja nak menyulitkan benda yang senang sampaikan hal-hal remeh-temeh macam itu pun dijadikan alasan.
          “Yang abang tak menyempat-nyempat nak kahwin tu kenapa? Macamlah abang tu dah tua sangat.”
          “Abang dah 30, Fira. Bukan muda lagi.”
          “Ala, baru 30... belum 40.” Fira kembali ketawa.
          Geram benar rasa hati Nazim dengan tawa Fira tu. Fira ni betul-betul sayang dia atau saja nak main-main? Kalau betul sayang, tentu gadis itu akan menunjukkan reaksi teruja dan gembira apabila diajak berkahwin. Ini tidak, boleh lagi dia buat lawak bodoh.
          “Habis Fira nak tunggu abang 40 dulu, baru nak kahwin dengan abang?”
          “Okey jugak kan kalau tunggu umur abang 40?”
          Bibir Nazim memuncung. Ikutkan hati yang geram, dah lama dia tinggalkan gadis itu. Tapi nak buat macam mana, hati dah terlanjur mencintai dia. Nak tak nak, dia terpaksa bersabar. Tapi tak tahulah sampai bila. Harap-harap dia mampu bertahan.
          “Jangan la marah, Fira gurau ajelah.”
          “Ni lagi satu abang nak tanya.”
          “Abang, kita sekarang ni kat kedai kasut. Tak sesuai la tanya benda-benda macam ni. Tanya lain kali ajelah,” bantah Fira. Hilang nafsunya untuk terus melihat kasut dan sandal yang beraneka fesyen di rak. Nazim ni pun, macamlah tak ada masa lain. Kat sini jugalah dia sibuk nak bertanya.
          “Abang tak nak lain kali. Abang nak tanya sekarang jugak.”
          “Okeylah... apa dia?”
          “Dah bagi tau mama dan papa Fira pasal abang?”
          Buat beberapa saat, Fira hanya merenung wajah Nazim. Tak berani nak jawab. Mesti Nazim akan jadi lebih marah.
          “Dah ke belum?” soal Nazim lagi sekali.
          Perlahan-lahan Fira menggeleng. Memang betul, papa dan mama belum tahu lagi tentang hubungan cintanya dengan Nazim. Bukanlah nak berahsia sangat, tapi dia perlukan masa yang sesuai. Lagipun dia risaukan mama. Kalaulah mama tahu, mesti mama akan paksa Nazim supaya cepat-cepat masuk meminang. Lepas tu mereka akan dipaksa untuk segera bernikah pula. Itu sebenarnya yang dia tak nak. Dari dulu lagi, dia telah mensasarkan untuk menamatkan zaman bujangnya pada usia 27 tahun. Pada dia, itu adalah usia yang paling ideal untuk menjadi isteri orang. Bermakna masih ada tiga tahun untuk dia memperbaiki segala kelemahan diri dan mempelajari seluk-beluk hidup berumah tangga. Cuma yang silapnya dia tak pernah beritahu Nazim tentang perkara itu.
          “Dia orang tak tau lagi?” Sedikit menjerit suara Nazim.
          “Abang... janganlah kuat sangat suara tu. Malulah orang dengar.” Fira menegur. Padahal bukan ada pelanggan lain pun pada masa itu. Hanya dua orang pekerja kedai sahaja. Itu pun berada agak jauh dari mereka.
“Mati-mati abang ingat dia orang dah tau. Sampai hati Fira buat abang macam ni,” jawab Nazim tanpa mempedulikan teguran Fira.
          “Nanti-nanti la Fira kasi tau.”
          “Nanti-nanti tu bila, Fira? Dah setahun kita bersama. Fira nak tunggu bila lagi?”
          Fira hanya pandang Nazim. Dia tak punya jawapan untuk soalan itu.
          “Dahlah setiap kali abang ajak datang rumah jumpa mama, Fira tak pernahnya nak.” Nazim sambung marah.
          Bukan tak nak, tapi dia belum bersedia. Mama dan papa sendiri belum kenal Nazim, takkan dia pula nak memandai-mandai pergi jumpa mama Nazim? Lagipun tidak manis kalau anak gadis mengikut lelaki balik ke rumah. Memang dia gadis moden dan berfikiran terbuka tapi dalam hal-hal begitu, dia agak konservatif juga. Tidak dinafikan mama baik, jarang marah tapi kalau betul dia buat macam tu, dia tak rasa mama akan berdiam diri. Mesti teruk dia kena marah. Itu belum lagi kalau nenek tahu. Mahu sebulan kena bebel. Ini pun kalau mereka tahu dia selalu keluar berdating dengan Nazim, habislah. Tak berani dia nak fikir lebih-lebih.
“Abang sedih tau tak? Fira macam tak sayang abang.”
“Laa... abang janganlah cakap macam tu. Fira betul-betul sayang abang la.”
“Entah-entah Fira tak serius pun dengan abang.”
          “Siapa cakap? Mestilah Fira serius.”
          “Ya la tu.”
          “Abang macam tak percayakan Fira aje.”
          “Fira dah ada orang lain, kan?”
          “Merepek aje abang ni. Fira mana ada orang lain selain abang?” Sakit pula hatinya dituduh begitu.
          “Dah tu... kenapa susah sangat nak terima lamaran abang, kenapa tak bagi tau keluarga Fira dan kenapa tak nak jumpa mama abang?”
Fira tak rasa nak jawab pun. Yalah, soalan-soalan itu dah berkali-kali Nazim ajukan. Dah tentu jawapannya akan sama juga. Penatlah nak cakap benda yang sama aje.
“Fira tau tak, mama asyik tanya aje. Bila nak kahwin... bila nak bawak bakal isteri ke rumah? Sampai abang jadi takut nak jumpa mama lagi tau? Mama pernah cakap... kalau abang masih tak ada calon isteri dalam masa terdekat, mama yang akan carikan untuk abang.”
          Risau pula hati Fira bila dengar Nazim cakap macam tu. Mahu tak risau. Kalau betul mama Nazim carikan gadis lain untuk anak terunanya tu, melepaslah dia. Ingat senang ke nak jumpa lelaki yang ada pakej macam Nazim tu?
          “Abang jangan nak takutkan Fira pulak.”
          “Siapa cakap abang nak takutkan Fira? Mama memang cakap macam tu. Entah-entah mama dah ada calon pun untuk abang. Abang kenal sangat mama tu.”
          “Apa yang patut Fira buat sekarang?” soal Fira dengan rupa cuak.
          Nazim ketawa kecil. Tau pun takut. Kalaulah dia tahu Fira rasa tergugat dengan ugutan mama itu, dah lama dia bagi tahu Fira. Bukan nak mengugut tapi memang betul, mama memang cakap macam tu. Dengan mama jangan dibuat main. Apa yang dikata, itulah yang akan dikota.
“Senang aje. Mula-mula Fira bagi tau mama dan papa Fira pasal abang. Kemudian bagi tau pasal keluarga abang yang akan masuk meminang Fira.”
          Fira diam sebentar. Berfikir sebenarnya. Nampak gaya macam kena semak balik usia sasaran perkahwinan yang dia buat sebelum ni. Tak bolehlah 27 tahun tu. Lambat sangat. Sah-sah mama Nazim akan cari gadis lain untuk anaknya tu. Kalau betul, menangis tak berlagulah dia jawabnya.
          “Okey, macam gini la. Buat permulaan Fira akan bagi tau pasal abang dulu. Dah lama sikit barulah Fira bagi tau pasal meminang tu, eh?”  
          “Laa.. bagi tau aje la terus. Kan senang.” Nazim tak puas hati.
          “Mana boleh? Nanti dia orang terkejut pulak.”
          “Nak terkejut kenapa?”
          “Mestilah terkejut. Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba ada orang nak masuk meminang anak dara dia orang. Dahlah Fira ni ajelah sorang anak perempuan yang dia orang ada.”
          Nazim melepas nafasnya kasar. Tak bersetuju sangat sebenarnya, tapi apa pilihan yang dia ada? “Okey la kalau dah itu kata Fira. Tapi jangan ambil masa lama sangat tau? Abang dah tak boleh tunggu lagi.”
          “Okeylah... Fira cuba,” ujar Fira, dengan rasa terpaksa. Wajah buah hati tersayang menjadi tatapan sepasang matanya.
          Nazim atau nama penuhnya Nazim Shah bin Maarof. Lelaki berkulit kuning langsat dengan ketinggian 175 cm itu mempunyai wajah yang cukup kacak serta mampu mencairkan hati ramai gadis. Fira mengaku, kerana wajah itulah hatinya jadi terpaut. Sebetulnya lelaki berkumis tipis dan berkaca mata itu dikenali secara tidak sengaja di sebuah tempat parkir.  Ketika itu hujan renyai-renyai dan dia dalam keadaan tergesa-gesa menuju ke kereta. Secara kebetulan Nazim yang baru memarkir keretanya membuka pintu, bertujuan mahu keluar dari keretanya. Perbuatan Nazim itu menyebabkan Fira yang kebetulan sedang melangkah laju, terjatuh. Fira yang mengalami kecederaan kecil ketika itu dibawa ke klinik.
Dari perkenalan biasa, mereka jadi semakin rapat sehinggalah Nazim meluahkan isi hatinya. Fira yang sememangnya sukakan Nazim dari awal, menerima tanpa banyak soal. Memang dia boleh nampak keikhlasan dan kejujuran Nazim selama mereka bersama. Kalau Nazim tak ikhlas, takkan lelaki itu ajak dia berkahwin.

BILA runsing, bila ada masalah macam sekarang ni, hati  selalu teringatkan dia. Dia yang selalu jadi pendengar setia untuk setiap permasalahan. Dia yang tidak jemu-jemu menghulur kata-kata nasihat dan semangat. Lantas jemari menyentuh skrin telefon yang berada di tangan. Seperti selalu, mereka akan ‘berbual’ di WhatsApp.

Assalamualaikum. Awak sibuk ke?

Tak sampai seminit, jawapan lelaki itu mengunjungi telefonnya.

Waalaikumussalam... taklah sibuk mana. Kenapa Fira?

Saya tengah runsing ni.

Runsing kenapa pulak? Rindukan saya ke?

Eii... mengada-ngada awak ni. Tak ada masa nak rindu awak tu tau.

Sambil menaip Fira ketawa terkekeh-kekeh.

Yalah... siapalah saya ni, kan?

Dah... jangan nak merajuk. Buruk sangat rupa awak tu Nick  kalau tengah merajuk.

Eleh! Macamlah awak pernah tengok muka saya.

Betul kata Nick. Selama ini mereka belum pernah bersua muka. Nick, insan yang dikenali secara tidak sengaja. Lelaki itu tersilap hantar mesej. Mesej yang sepatutnya dihantar kepada teman sekerjanya, terhantar kepada Fira pula. Sejak itulah mesej Nick setia mengunjungi telefon  Fira. Pada mulanya Fira tak melayan sangat tetapi sikap tidak jemu Nick menyebabkan hatinya jadi terbuka untuk menyahut perkenalan lelaki itu. Dia nampak kejujuran dan keikhlasan Nick. Tak nampak Nick cuba mengambil kesempatan dalam perhubungan mereka. Bila bersama Nick, terasa seperti berada bersama abang sendiri walaupun dia sendiri tidak pernah tahu bagaimana rasanya punya abang. Sudah hampir empat bulan, tetapi hubungan mereka hanya berlangsung menerusi WhatsApp.

Saya rasa Nazim kecik hati dengan saya la.

Kenapa dia nak kecik hati pulak?

Dia ajak saya kahwin. Tapi saya cakap saya belum bersedia.

Kalau saya kat tempat dia pun, saya kecik hati tau? Ada pulak boyfriend ajak kawin, awak tolak.

Saya bukan tolak, saya cuma cakap saya belum bersedia.

 Agak-agak bila awak betul-betul bersedia?

Mungkin dalam tiga tahun lagi.

Isy! Lama lagi tu. Nak ke Nazim tunggu?

Dia mungkin la boleh tunggu, tapi mak dia yang nak cepat sangat. Sampai dia ugut nak carikan calon isteri untuk Nazim. Itu yang buat saya risau.

 Kalau Nazim betul-betul sayang awak, takkan dia nak terima calon pilihan mak dia kut.

Tak tau jugak, awak. Dia tu kan anak yang baik, anak yang dengar cakap. Tak mustahil dia akan terima.

Kalau macam tu, awak setuju ajelah.

Kan saya dah cakap saya belum bersedia. Lagipun sampai sekarang mama dan papa saya belum tau pasal Nazim.

Pada saya la kan, kalau awak betul-betul serius dengan Nazim tu, berterus teranglah dengan mama dan papa awak.

Bukan tak nak berterus terang, tapi entahlah.

Dah... jangan cakap banyak. Bagi tau aje papa dan mama awak cepat-cepat pasal Nazim. Cakap jugak yang dia ajak awak kahwin

Okey, saya boleh bagi tau tentang Nazim tapi bab kahwin tu yang susah sikit.

Jangan macam tu, Fira. Nanti dia terima pilihan mak dia, awak juga yang susah.

Takkan dia nak buat macam tu kut.

Eh! manalah tau.

Tengok la macam mana. Apa pun terima kasih atas pandangan awak.

          Sama-sama kasih.

Tamat sudah ‘perbualan’ dengan Nick. Lelaki yang selalu memberi kata-kata nasihat dan dorongan. Lelaki tempat dia mengadu seandainya punya masalah. Lelaki yang dia rasa sangat selesa ‘bersama’. Tetapi sesekali fikir, rasa macam tak patut pula. Yalah, Nick yang cuma dikenali lewat mesej-mesej yang dihantar boleh pula dibagi tahu tentang Nazim. Sedangkan mama dan papa langsung tidak tahu menahu. Sebetulnya, dia sendiri tidak faham kenapa dia sangat mempercayai Nick. Pendek kata, segala perkara yang menjadi rahsia dia seorang diceritakan kepada Nick. Entahlah, sukar nak dijelaskan tetapi apa yang dia tahu dia sangat selesa berkongsi segala perkara dengan lelaki itu.
Berbalik kepada hal tadi. Ya... dia berjanji dia akan beritahu mama dan papa secepat mungkin. Apa pun penerimaan mereka, dia bersedia. Tapi dia yakin, mereka akan terima Nazim dengan hati terbuka. Mama dan papa bukanlah jenis yang memilih sangat. Mereka pernah cakap, baik pada Fira... baik jugalah pada mereka berdua. Janji lelaki itu dapat bahagiakan Fira. Itu dah cukup membahagiakan mereka juga.

No comments: