KALENDAR yang berada di sudut meja dicapai dan diamati.
Beberapa saat selepas itu, kelendar diletak semula di tempatnya. Gagang telefon
atas meja diangkat, nombor seseorang didail.
“Kak Ana, boleh masuk
sekejap?” Tak sampai seminit, Suhana sudah pun berada di hadapan mejanya.
“Ya, bos?”
“Mesyuarat saya dengan main
contractor petang ni atau besok, Kak Ana?’
“Besok la bos.”
“Laa... besok ke? Kenapa saya tanda kat kalendar hari ni,
hah?”
“Banyak sangat berangan. Itu yang tersilap tanda tu.”
Suhana ketawa, mengusik.
“Amboi! Kak Ana... bukan main lagi. Saya nak berangankan
siapa pulak? Macam la saya ada awek.”
“Eleh, tak nak mengaku konon. Nadia tu apa?”
“Nadia?” Besar tawa Affan. “Banyak kali dah saya cakap, dia
tu sepupu saya, anak mak ngah saya. Apalah Kak Ana ni.” Tapi yalah, kalau dah
selalu sangat Nadia menelefon dan mencari dia kat ofis ni, macam manalah Suhana
tak terfikir begitu. Dan dia yakin, pekerja-pekerja lain di Syarikat Tekun
Sendirian Berhad yang hanya seramai empat orang itu juga menganggap Nadia itu
teman istimewa dia. Sudah naik penat mulutnya bercakap yang dia tidak punya
apa-apa perasaan pun terhadap gadis itu.
Tapi Nadia tu macam tak faham bahasa pula. Tak pernah nak putus asa. Dia
pula yang naik buntu harus berbuat apa lagi, harus diterangkan macam mana lagi
kepada gadis itu. Opah pun satu hal juga. Betul-betul menyusahkan. Betul-betul
menyerabutkan kepala otak.
“Gaya bos bercakap, macamlah salah kalau kahwin dengan
sepupu sendiri,” usik Suhana lagi. Bukan sekali, selalu sangat dia mengusik
begitu. Sebenarnya sengaja menyakat. Suka tengok Affan menggelabah.
“Memanglah tak salah tapi saya tak nak, tau tak? Dahlah...
malas nak layan Kak Ana ni,” putus Affan. “Memandangkan mesyuarat dengan main contractor
bukan pada hari ni, saya ingat saya pergi Pejabat Imigresen ajelah. Nak uruskan
permit pekerja.”
“Bila bos nak pergi?”
“Sekarang. Ini pun dah lambat sangat ni. Mesti dah ramai
orang kat Pejabat Imigresen tu.”
“Nadia nak datang, bos,” ucap Suhana tiba-tiba.
“Bila?”
“Sekejap lagi sampai la tu. Dia kata nak ajak bos sarapan.”
“Dah dekat pukul sepuluh, sarapan apanya? Lagipun saya dah
sarapan tadi. Kak Ana pun, lain kali pandai-pandai la kelentong. Cakap la saya
pergi mesyuarat ke, pergi site ke.
Itu pun nak kena ajar ke?”
“Tak sampai hati pulak Kak Ana ni.”
“Kena sampai hati Kak Ana.” Serius suara Affan.
Suhana hanya terkebil-kebil pandang Affan. Aik! Marah ke bos
aku ni? Selalu tak pernah pula dia marah-marah.
“Tapi kan bos... tak salah kan kalau bos dengan Nadia tu?
Lagipun bos bukan ada siapa-siapa pun lagi. Hehehe...” Suhana sengih
lebar.
“Kak Ana dah jemu ke kerja kat sini?”
Cepat-cepat Suhana geleng. “Eiii! Mana ada jemu? Seronok
ada la. Bukan senang nak dapat bos macam bos ni.”
“Kalau masih nak kerja kat sini... jangan cakap macam tu lagi,
tau?” Affan senyum tapi nampak lain macam. Sajalah nak gertak Kak Ana tu sikit.
“Yalah, bos.”
“Dahlah saya nak pergi Pejabat Imigresen. Tolong bagi saya
semua dokumen pekerja-pekerja kita tu.”
“Okey,” kata Suhana sambil berjalan keluar dari situ. Tapi
langkahnya terhenti sebelum sampai di muka pintu. “Nadia macam mana, bos?”
“Kak Ana aje la temankan dia sarapan.”
“Kak Ana dah sarapan la tadi.” Suhana tayang muka tak puas
hati. Ada pulak dia yang disuruh temankan Nadia. Macamlah dia berbaik sangat
dengan perempuan tu. Heh, tak ingin!
“Tak kira, temankan dia jugak. Ini arahan tau?”
Suhana tarik muka. Mengada-ngada la pula bos hari ni. Nak
mengarah pun agak-agaklah. Temankan Nadia bersarapan tak ada kut dalam senarai
tugas dia. Tapi cute la muka Encik
Affan bila buat-buat marah macam tu. Orang dah sedia lawa... buatlah muka macam
mana pun, tetap lawa juga, betul tak? Tak hairanlah kenapa Si Nadia tu
tergila-gilakan Affan sangat. Muka lawa, badan tinggi dan tegap, kulitnya putih
bersih dan paling dia minat, tentulah senyuman bos yang manis bak madu tu.
Setiap kali bos senyum, boleh cair dibuatnya. Dia sendiri pun, kalaulah tidak
memikirkan diri yang sudah berkahwin, mahu agaknya tergoda dengan Encik Affan
tu.
AFFAN sedang menunggu nombor
gilirannya dipanggil apabila telefonnya berbunyi. Nadia di talian. Nak jawab ke
tidak? Kalau jawab mesti kena bebel. Tapi kalau tak jawab, perempuan itu akan
terus menelefon dan menelefon. Lagi sakit jiwa.
“Ada apa Nadia?” soalnya setelah salam dihulurkan.
“Ada apa kau tanya? Eh, kau tau tak... penat-penat aku
datang ofis kau, kau boleh keluar macam tu aje?”
“Aku ada urusan la Nadia. Bukan saja-saja nak keluar.”
“Kau memang tak nak jumpa aku, kan?”
“Suka hati kau la nak cakap apa pun.”
“Menyesal aje aku datang.”
“Tak ada siapa suruh pun.”
“Kau kalau tak buat aku marah boleh tak, Fan?”
“Kau tu pulak kalau tak bersikap macam budak-budak boleh
tak? Umur kita sebaya tau? Dah nak masuk 30 tahun tapi perangai mengalahkan
budak tiga tahun.” Dah lama sangat rasanya dia bersabar. Dah sampai masanya
untuk buat Nadia faham. Cara lembut dah selalu sangat... sekarang cuba cara
kasar pulak tengok macam mana.
“Eiiii! Mulut kau ni, kan?” Di sebelah sana, Nadia menjerit
kuat. Tak sangka Affan akan mengeluarkan kata-kata yang sangat menyakitkan hati
itu. Memanglah selama ini Affan tidak pernah menunjukkan minat terhadap
rancangan opah. Tapi tak pernah pula dia keluarkan perkataan yang menyakitkan
hati macam tu. Tapi ayat tadi tu sangat bisa. Hati rasa bagai dituris-turis.
Affan tarik nafas panjang-panjang, kemudian menghembus
perlahan. Naik sakit dadanya dengan Nadia. Hilang sabarnya. Tapi dalam perkara
ini memang dia nak salahkan opah... salahkan mak ngah juga yang beria-ia sangat
nak jodohkan dia dengan perempuan tu. Tapi selagi dia diberikan akal fikiran
yang waras, dia takkan sesekali mengambil Nadia sebagai isterinya. Tak akan.
Bukanlah nak berlagak atau jual mahal tapi hatinya tiada pada gadis itu. Dia
hanya menganggap Nadia sebagai
saudara sepupu. Tidak lebih dari itu. Biarlah mak ngah nak kata apa pun,
biarlah opah nak pulaukan dia sekalipun, dia takkan turut.
“Nadia, dah banyak kali kut aku cakap. Tak payah la datang
ofis aku lagi, tak sesuai tau?” Kali ini suara Affan lembut sedikit.
“Habis kalau tak
pergi ofis kau... macam mana nak jumpa? Kau bukannya selalu pergi rumah opah.
Kalau pergi pun, bukannya reti nak bagi tau. Tup-tup dah balik semula rumah
kau. Dah la rumah kau tu tak pernah bagi aku pergi.”
“Eh! aku duduk sorang-sorang kut. Gila nak ajak kau datang?
Dahlah rumah aku dekat dengan surau pulak tu. Nanti tak pasal-pasal kena
tangkap khalwat pulak dengan kau.”
“Kalau tak nak kena tangkap khalwat... cepat-cepat la kita
kahwin. Kau tak kesiankan opah ke? Dia nak sangat tengok kita kahwin,”
“Berapa kali dah aku cakap, aku tak boleh kahwin dengan
kau. Kau faham tak?”
“Kalau kau tak nak fikirkan aku pun, takkan kau tak fikirkan
opah?”
“Alah... bukan tak ada cucu-cucu opah yang dah kahwin
sesama sendiri, kan? Kak Maya dengan Abang Zain, Kak Sheena dengan Abang
Mohsein... okeylah tu. Sekurang-kurangnya dah tercapai dah hajat opah. Takkan
semua cucu dia nak kena kahwin sesama sendiri kut. Mana nak berkembang zuriat?”
“Itu pendapat kau, aku tetap nak ikut cakap opah.”
“Kalau macam tu kau cari ajelah sepupu kita yang lain. Ajak
dia orang kahwin. Adi single lagi... Zarul
pun masih kosong. Dia orang tu lagi okey daripada aku, apa?” Affan berkata
selamba.
“Fan... kau sengaja nak sakitkan hati aku, kan?” jerit Nadia,
marah. Kalaulah Affan ada di hadapannya masa ni, mahu rasanya dia bagi penumbuk
kat muka pemuda itu. Bercakap langsung tak nak fikir perasaan orang.
“Terpulang la kalau kau nak rasa macam tu.”
“Aku tak kira, aku nak kita kahwin juga. Aku nak kita ikut
juga cakap opah.”
“Yang kau beria-ia sangat ni kenapa, hah? Mula la aku nak
tuduh yang ni bukan rancangan opah tapi rancangan kau sendiri. Kau sengaja guna
opah untuk kepentingan kau, kan? Cakap la yang kau tu memang tergila-gilakan
aku.”
“Affaaaaan...”
Malas nak dengar sambungan ayat Nadia, Affan segera matikan
talian. Mengamuklah kau sorang-sorang kat sana. Tak kuasa nak layan.
TELEFONNYA bernyanyi lagi.
Waktu itu Affan sedang melangkah ke tempat parkir. Siapa pula ni? Takkan Nadia
lagi kut? Dengan rasa malas, telefon ditarik keluar dari poket seluar.
“Opah nak apa pulak ni?” sungutnya apabila nama opah tertera
pada skrin. Sebenarnya tak perlu tanya pun, dia tahu sangat apa tujuan opah. Nak
marah dialah tu. Dah tentulah Nadia mengadu tentang pergaduhan mereka tadi. Bukan
dia tak tau perangai Nadia tu. Kalau boleh semua perkara yang bersangkutan
dengan mereka berdua nak diceritakan kepada opah. Mentang-mentanglah opah
selalu sebelahkan dia.
“Ada apa opah?”
“Fan kat mana ni?” Opah soal balik.
“Fan ada kerja sikit.”
“Opah tanya Fan kat mana?”
“Fan kat Pejabat Imigresen... ada urusan kat sini. Kenapa,
opah?”
“Kenapa Fan buat Nadia macam tu?”
“Fan buat apa?”
“Tanya opah pulak.”
“Haa la... kenalah tanya. Sebab Fan memang tak tau apa
benda yang Fan dah buat kat dia.”
Affan dengar opah mendengus. Marahlah tu.
“Fan ni memang
melampau. Tergamak Fan buat Nadia macam tu? Kesian dia. Susah payah dia datang
ofis Fan... Fan boleh keluar macam tu aje.” Marah benar nampaknya opah.
“Opah, nanti-nanti kita sambung, eh? Sekarang ni tak sesuai
la. Assalamualaikum. Sayang opah.” Affan terpaksa bagi alasan. Kalau tidak
entah apa lagi yang akan keluar dari mulut opah.
“Affan, Opah belum habis cakap lagi.”
“Opah, kan Fan dah cakap Fan...” Tak sempat Affan nak
habiskan ayatnya, opah memintas.
“Dengar sini Fan, Opah nak cakap.”
“Apa lagi, opah?”
“Lain kali opah tak nak dengar Fan buat macam tu lagi kat Nadia.”
“Fan buat apa, opah?” Lagi sekali Affan tanya macam tu.
Setakat tak ikut kehendak Nadia untuk sarapan bersama, salah besar ke?
“Fan...” Suara opah macam mengugut.
Affan tak terkata apa dah. Bila dengar suara opah yang
macam tu, terus hilang kata-kata yang telah disusun dalam kepala. Dengar
sajalah apa yang opah nak bebel. Biar opah puas hati.
“Fan faham kan apa yang opah baru pesan?”
“Ya, opah... faham.”
“Baguslah kalau dah faham. Lain kali kalau Nadia bagi tau
apa-apa lagi kat opah pasal Fan... tau la apa opah nak buat.”
“Suka hati opahlah.” Itu jawapan Affan sebelum opah
tamatkan percakapan mereka.
No comments:
Post a Comment