“NENEEEEK!!!”
Hajah Maziah yang baru
selesai solat, tergesa-gesa keluar dari bilik. Kemudian menjenguk ke tingkat
bawah. “Apa bising-bising tu, Fira? Adik baru aje tidur. Nanti terjaga pulak
dia.”
“Tak habis-habis
dengan adik. Nak muntah aku.” Fira merungut. Berani nak cakap kuat-kuat. Marah
pula nenek tu nanti. Danish kan cucu emas, cucu kesayangan. Mana boleh kritik
langsung?
“Kenapa ni Fira?
Terjerit-jerit macam orang nampak hantu?”
Hajah Maziah sudah pun berada di hadapan Fira.
“Ini dah lebih dari nampak hantu tau tak, nek? Kalau nampak
hantu pun Fira takkan jerit macam ni.” Sambil bercekak pinggang Fira menjawab.
“Fira cakap apa ni? Tak faham nenek.”
“Cuba nenek tengok, apa yang cucu kesayangan nenek tu dah
buat?” Fira menghulurkan sehelai baju kepada nenek.
“Kenapa dengan baju ni?” Hajah Maziah termangu. Mengambil
baju berwarna putih susu yang Fira hulurkan, kemudian membeleknya.
“Nek... budak tu dah rosakkan baju Fira. Dia gunting baju
tu, nek.” Fira rasa macam nak menangis. Tahu tak, dia sangat sayang baju tu?
Nazim yang belikan semasa lelaki itu bercuti ke Los Angeles beberapa bulan
lepas. “Ikut hati, Fira tampar aje budak tu.”
“Kalau berani tamparlah,” sergah Hajah Maziah. “Kerana baju
sehelai, sanggup nak sakitkan adik sendiri. Kakak jenis apa Fira ni?“
“Nenek tau tak betapa bernilainya baju ni pada Fira? Kalau
baju lain Fira tak kisah sangat.”
“Mahal sangat ke harga baju ni? Biar nenek ganti aje.”
“Bukan soal harga nek. Tapi baju ni hadiah dari seseorang
untuk Fira. Bukan ada jual kat Malaysia. Nenek carilah kat kedai mana pun, takkan
jumpa punya.”
“Berapa ratus harga baju ni? Nenek bayar sekarang.”
Fira jeling, marah. Nenek bukannya nak marah cucu dia tu,
boleh pula kita yang diperli. Nenek tu memang, suka pilih kasih.
“Malas layan nenek. Menyampah.” Baju yang berada di tangan
nenek ditarik kasar. Lalu dia beredar dari situ.
“Isy! Apa nak jadi dengan budak Fira ni? Makin lama, makin
menjadi-jadi pula perangai dia.”
MELIHAT nama Nazim yang tertera
pada skrin telefonnya, Fira dah rasa gusar. Pasti Nazim akan bertanyakan hal
itu lagi. Apa agaknya dia nak jawab? Kalau bukan kerana Danish, dah tentu papa
tahu. Mama juga pasti akan diberitahu oleh papa. Makin difikir-fikir, makin dia
rasa sakit hati dengan Danish. Dahlah rosakkan baju yang Nazim hadiahkan. Kalaulah
Nazim tahu, mesti buah hati dia tu marah. Yalah, seolah-olah dia biarkan adik buat
macam tu. Geram betul!
“Fira tengah buat apa tu?” soal Nazim. Sebelum tu sempat
menjawab salam yang Fira hulurkan.
“Tak buat apa-apa pun.”
“Fira tengah fikirkan abang, kan?”
“Tak ada maknanya!”
“Eleh, tak nak mengaku!”
“Dah benda tak betul... nak mengaku buat apa. Ya tak?”
“Yalah... Fira mana pernah fikirkan abang pun.”
“Alah... tak payah nak merajuk sangatlah. Dah tak handsome dah.”
“Merajuk ke apa ke... abang tetap handsome tau?” usik Nazim.
“Perasan,” ejek Fira. “Abang tengah buat apa tadi?” soalnya
pula.
“Tengah ingatkan Fira... fikirkan Fira.” Suara Nazim
bertukar mesra.
Usikan Nazim itu Fira sambut dengan senyuman. Hati dipenuhi
rasa bahagia. Yalah kalau tak sayang, takkan dia nak fikirkan kita, ingatkan
kita... betul tak?
“Haaa tengok... abang
berterus terang dengan Fira, cakap apa yang sebenarnya. Nampak tak kat situ
betapa jujurnya abang?”
“Ya la... abang memang jujur.” Walaupun Nazim sekadar bergurau
tapi pada Fira, pemuda itu memang jujur dan ikhlas dalam perhubungan mereka.
Buktinya, sepanjang setahun mengenali, belum pernah sekalipun Nazim cuba
mengambil kesempatan terhadap dia. Setakat berbalas pandang, berbalas senyuman,
berbalas ucapan sayang dan cinta. Pegang tangan pun tak pernah, apatah lagi
melakukan hal-hal yang lain.
“Sebab jujurlah abang nak Fira jadi yang halal untuk abang.”
Bahagianya hati
dengan ucapan itu. Walaupun masih belum bersedia untuk bergelar isteri, tetapi
ucapan Nazim itu buat dia rasa terharu. Terasa diri benar-benar disayangi. Yalah,
lelaki seperti Nazim siapa tak mahu. Berperawakan menarik, baik hati, mengambil
berat, menjaga solat serta kukuh kewangannya.
“Fira tau kan abang memang benar-benar serius dengan Fira. Abang
ikhlas cintakan Fira.”
Fira jadi terdiam. Air mata dah terasa berada di hujung
mata. Bukan Nazim tak pernah bilang begitu tetapi kali ini nampak lain. Nampak
lebih bersungguh. Sedangkan dia masih lagi nak bermain tarik talik. Masih lagi
nak bertangguh. Hai Fira... kenapa dengan kamu ni?
“Fira dan bagi tau mama dan papa Fira pasal kita, kan?”
Terasa seperti ada sesuatu di kerongkong yang menghalang Fira
dari berkata-kata. Kenapalah Nazim bertanyakan soalan itu pula? Orang tengah
syok menghayati ucapan dia tadi... potong betul la.
“Nanti Fira bagi tau la. Abang jangan risau.”
“Dia orang belum tau lagi?” Suara Nazim tiba-tiba jadi
kuat. Dah seminggu tapi Fira masih belum mengotakan katanya. Terus terang, dia
sangat kecewa.
Fira diam. Tak tahu alasan apa yang harus diberi. Tapi dia
mengaku dia salah. Dia sengaja melengah-lengahkan. Walaupun cubaan pertamanya
untuk berterus terang dengan papa gagal disebabkan Si Danish, sebenarnya bukan
tiada peluang langsung untuk beritahu mama dan papa selepas itu. Ada, tapi dia
tidak berusaha buka mulut. Memang patut pun Nazim berkecil hati. Memang patut
sangat. Padan muka aku!
“Kalau abang kata Fira tak serius, Fira tak mengaku. Tapi
terus-terang, Fira memang tak serius.”
“Abang jangan cakap macam tu boleh tak? Abang tau kan Fira
memang serius dengan abang. Cuma Fira belum ada peluang untuk bagi tau mama dan
papa. Itu aje. Takkan sebab itu abang boleh tuduh Fira tak serius pulak.”
“Tak apalah, terpulang pada Fira. Abang dah malas nak cakap
benda yang sama berulang kali. Okey la, abang dah tak ada apa lagi nak cakap.
Assalamualaikum.”
“Walaikumussalam.” Perlahan Fira jawab. Mata terkebil-kebil
pandang telefon. Hah, tengok... Nazim dah merajuk dah.
No comments:
Post a Comment