“KAU bercakap dengan siapa tu? Mesra semacam aje,” soal
Dian sebaik sahaja Fira menamatkan perbualannya di telefon. Wajah sahabat yang
sedang memandu dipandang sebentar.
“Orang.” Fira berlucu.
“Tau la orang, takkan
kau bercakap dengan badak sumbu pulak.”
“Boyfriend aku,
Nazim.” Fira sengih lebar. Pasti Dian terkejut. Yalah, sebelum ini Dian tak
pernah tahu tentang Nazim.
“Kau ada boyfriend, Fira?” Kuat Dian menjerit seraya
menarik-narik lengan Fira.
“Wei! Kau buat apa ni Dian Marissa? Tak nampak ke aku
tengah memandu ni? Kalau accident
macam mana? Aku tak nak mati katak kat tengah-tengah jalan ni,” marah Fira.
Dian membetulkan duduknya. Sambil berpeluk tubuh, dia
pandang ke hadapan. Mukanya masam.
“BFF konon.... puiii!”
Fira toleh ke
sebelah. Muka kawannya dipandang sebentar. “Kau marah aku, eh?”
“Taklah, buat apa nak marah kau? Aku marah pemandu lori sebelah tu.” Sinis ucapan Dian. Bibirnya
dimuncungkan ke arah lori yang berada di lorong bersebelahan.
“Laa... kenapa marah
pemandu lori tu pulak? Dia tak buat salah kut.” Terkekeh-kekeh Fira gelak. Buat-buat
tak faham.
“Wei,
Aku marah kau la, mangkuk!” teriak Dian.
“Kut ya pun marah sangat, janganlah bermangkuk-mangkuk
dengan aku. Rileks la, beb.”
“Konon aku BFF kau...
kawan dunia akhirat, tapi ada boyfriend pun
tak bagi tau aku.”
“Tadi tu kan aku dah cakap.”
“Yalah, sebab aku yang tanya. Itu pun secara kebetulan dia telefon kau kat depan aku. Yang aku persoalkan,
kenapa selama ni aku tak pernah tau? Aku pun ada boyfriend tapi tak pernah nak sorok dari kau. Rizal tu aku siap
bawak jumpa kau lagi.”
“Dah kau tak pernah tanya, takkan aku nak cakap kut. Aku
bukan jenis yang suka buat publisiti murahan macam kau.” Fira cuba bergurau.
Dian tak rasa nak gelak pun dengan gurauan Fira yang
menyakitkan hati itu. “Eh! kau tu kawan baik aku. Kalau orang lain aku tak
kisah langsung, tau tak?”.
“Aku kenal dia baru setahun, beb. Mama dengan papa aku pun
tak tau lagi. Aku ingat lepas bagi tau mama dengan papa, baru aku nak bagi tau
kau.”
“Oiii... kalau seminggu boleh la cakap baru. Ini setahun kut.
Kalau kau kahwin, dah boleh dapat anak tau?”
“Beb, janganlah marah lagi. Sedih aku tau.”
“Aku kecik hati dengan kau, tau tak?”
“Kalau aku salah, aku minta maaf.”
Dian buat endah tak endah sahaja.
“Dian...”
Diam.
“Eh! Dian... kau serius ke marah aku ni?”
Masih juga Dian tak beri respons. Biar Fira tahu, dia
betul-betul bengang. Tiba-tiba telefon yang berada di tangannya berbunyi. Umi
di talian. “Ya, umi. Adik dengan Fira ni, dalam kereta,” jawab Dian sambil
menjeling masam muka Fira.
“Apa? Abang sakit? Sakit apa, umi? Teruk ke sakit dia?”
Kalau tadi Dian menjerit sebab terperanjatkan Fira,
sekarang terperanjat dengan berita yang umi sampaikan pula. “Habis, abang kat
mana sekarang? Kat rumah dia? Sorang-sorang?”
Pemintaan umi buat dia rasa serba salah. Dahlah dia baru
lepas marah Fira. Macam tak tergamak pula nak minta tolong.
“Nantilah adik bagi tau dia.”
Fira turut pandang Dian. Tapi sebentar sahaja. Tengah
memandu mana boleh pandang lama-lama? Tapi yalah, nak tau juga apa yang berlaku
pada abang Si Dian tu? Sakit apa? Teruk sangat ke? Tapi berdasarkan suara Dian
yang agak cemas masa berbual dengan uminya, nampak macam teruk benar.
“Fira, kau nak aku maafkan kau, kan?”
“Yalah.”
“Okey, aku boleh maafkan kau tapi dengan satu syarat.”
“Apa pulak main syarat-syarat ni? Aku nak minta maaf aje kut.
Entah apa-apalah kau ni.”
“Kau nak aku maafkan kau ke tidak?”
“Okeylah, apa syarat dia?
“Jom, pergi rumah abang aku.”
“Tak naklah.” Cepat Fira balas. Kalau hal lain mungkin dia
tak kisah tapi ke rumah Affan? Tidak sesekali.
“Fira, aku minta tolong kau ni.”
“Kita kan nak pergi OU, tengok wayang.”
“Alah, tengok wayang lain kali pun boleh. Abang aku tu
sakit, Fira. Kalau saja-saja aku pun tak ajak kau.”
Fira tak jawab. Sedang berfikir sebenarnya.
“Aku taulah kau tak suka abang aku.”
“Siapa cakap aku tak suka dia?” pintas Fira sebelum Dian
habiskan ayatnya.
“Maknanya kau suka dia.”
“Diaaaan!!” Fira jerit. Perempuan ni sengaja nak buat dia
marah.
“Alah... aku gurau ajelah. Tapi kau kena ikut aku jugak.
Kita kena bawak abang aku pergi hospital. Tak kisahlah apa pun masalah kau
dengan dia... tapi tolonglah. Ini antara hidup dan mati. Abang aku tu sakit
teruk. Tak larat nak bawak kereta pergi hospital. Abi aku kat klinik sekarang
ni. Umi aku pulak kat Klang, melawat kawan dia yang meninggal. Kalau tidak,
tak adanya aku nak susahkan kau. Dahlah dia duduk sorang-sorang pulak tu. Tadi
tu pun pun nasib baik umi aku telefon dia. Kalau tak, tak taulah apa jadi.”
Bukan main sayu suara Dian. Bukan apa, saja nak raih simpati supaya Fira jatuh
kesian dan sudi mengikutnya ke rumah Affan.
“Dia sakit apa, Yan?” Perlahan Fira bertanya.
“Sakit perut tapi bukan sakit perut biasa rasanya. Sampai
nak berjalan pun tak larat.”
Kalau dah sampai tak larat nak berjalan, teruk penyakitnya
tu. Macam tak patut pula kalau dia tak tolong. Memanglah dia dan Affan ada
kisah silam tapi dalam situasi macam ni kenalah lupakan sekejap apa yang pernah
berlaku. Yalah, orang tu kan tengah sakit. Sedikit sebanyak dia tumpang risau
la juga. Sementelah Affan tu abang Dian, kawan baik dia sendiri.
“Macam mana, boleh tak pergi rumah abang aku?”
Perlahan-lahan Fira
angguk. “Okeylah... kita pergi. Tapi rumah dia kat mana, eh?” Sebenarnya Dian
pernah bagi tahu tapi dia bukan ambil peduli sangat.
“Kat Templer Suasana,” jawab Dian.
“Nak kena patah balik la ni?”
“Yalah. Kenalah patah balik. Tapi tak apa, kat depan tu kau
boleh buat u-turn.”
“Nanti kau tunjuklah
kat mana rumah dia. Aku bukan tau sangat selok-belok kat dalam Templer Park tu,”
ujar Fira seraya menekan pedal minyak.
“Wei! Kut ya pun janganlah bawak laju sangat. Kata tadi tak
nak mati kat jalan raya.” Dian menjerit kuat. Terkejut dengan kelajuan yang
mendadak.
“Kau juga yang cakap abang kau tengah sakit teruk, kenalah
laju sikit. Cepat kita sampai, cepatlah kita bawak dia pergi hospital.”
“Kau suka abang aku, eh?” Dian mengusik. Mata melirik Fira
dengan senyuman nakal.
“Kau ni merepek, apa?
Siapa suka abang kau? Eii, Tolong la!”
“Mesti kau risau
abang aku sakit, kan? Sebab tu tiba-tiba tekan minyak.”
“Kau dah kenapa? Aku
tak nak pergi, kau kata aku tak suka abang kau. Dah aku sudi pergi, kau tuduh
aku suka dia pulak. Dahlah, susah-susah sangat tak payah pergi la.”
Terkekeh-kekeh Dian
gelak. “Janganlah marah. Nanti kena jual.”
“Kalau kau jual pun,
tak ada orang nak beli.”
“Ada... aku suruh
abang aku beli. Kau jadi kakak ipar aku.”
“Lagi sekali kau
cakap macam tu... aku tak pergi rumah abang kau,” jerit Fira sambil mencubit
paha Dian.
“Okey, okey... aku
tak cakap dah.”
No comments:
Post a Comment