FIRA memang teringin punya adik. Tak dapat ramai, seorang pun
jadilah. Maklumlah dia anak tunggal. Mama dan papa pula selalu sahaja sibuk. Kalau
ada adik taklah dia rasa sunyi sangat. Ada juga kawan untuk diajak bermain,
bergurau senda, bersembang, malah boleh diajak bergaduh juga. Tapi itu dulu,
sewaktu dia masih di zaman kanak-kanak. Memasuki usia remaja, dia dah tak kisah
lagi. Dia sudah rasa selesa dengan apa yang dia ada. Jadi anak tunggal tanpa
perlu berkongsi apa-apa dengan adik-beradik lain. Semuanya hanya untuk dia
seorang, termasuklah kasih sayang mama dan papa.
Masa dapat tahu mama hamil,
dia memang tak boleh terima. Bayangkan masa tu dia sudah berusia hampir 20
tahun dan mama sendiri berumur 45 tahun. Usia yang agak tidak sesuai untuk
punya anak lagi. Tapi bukan itu soalnya. Yang buat dia risau, bagaimana sikap serta
layanan mama dan papa terhadap dia selepas anak itu lahir nanti? Apakah masih
sama seperti sesebelum ini?
“Fira suka adik perempuan atau lelaki?” Soalan itu mama ajukan
ketika usia kandungannya dah nak masuk lapan bulan.
Kalau boleh, Fira tak
nak jawab soalan itu. Tapi kalau tak jawab, apa pula kata mama? Tentu mama
berkecil hati. Tak kisahlah lelaki atau perempuan, dia memang tak suka. Dia tak
nak adik. Dia tak nak ada orang lain antara dia, mama dan papa. Dia juga tidak
mahu kasih sayang mama dan papa buat dia akan jadi susut dan berkurangan.
“Lelaki...” Nak tak nak dia jawab masa tu. Jawapan tak
ikhlas.
Dengan kuasa Allah, sebulan selepas itu, mama benar-benar
melahirkan seorang bayi lelaki. Bayi yang dinamakan Muhammad Aiman Danish itu
lahir cukup sihat dan cukup sifatnya.
DARI atas tangga, Fira pandang ke bawah dengan rasa meluat. Mama,
papa dan nenek sedang melayan Danish bercakap. Macam-macam benda yang keluar
dari mulut si kecil itu. Semuanya benda-benda merepek dan entah apa-apa. Dah
puas bercakap, Danish gelak tak ingat dunia. Papa, mama dan nenek ikut gelak
sama. Entah apa agaknya yang lucu sangat sampai beria-ia dia orang gelak. Nampak
sangat semua orang sayangkan Danish, semua orang pentingkan Danish. Kalau selama
ini semua tertumpu kepada dia seorang, sekarang jangan haraplah. Balik-balik, Danish,
Danish, Danish. Menyampah!
Dulu pantang dia
hilang sekejap, semua sibuk bertanya. Tapi sekarang, dia hilanglah selama mana
pun, berkurunglah dalam bilik sehari suntuk pun, langsung tak ada yang kisah, langsung
tak ada yang risau. Kalau ada pun hanya suara nenek yang marah-marah kerana dia
tak melayan Si Danish tu.
Sebab itulah dia rasa tidak selesa berada di
rumah. Daripada melihat muka si kenit yang menyakitkan hati tu, lebih baik dia
habiskan masa di luar. Ya betul, dia bukanlah jenis yang suka berfoya-foya atau
keluar tak tentu hala. Rumah adalah segala-galanya pada dia. Rumahku syurgaku.
Tetapi buat masa sekarang, berada di luar rumah adalah jauh lebih baik.
“Fira... kenapa
tercegat aje kat situ? Mari sini.” Papa yang sedang meriba Danish melambaikan tangannya. “Panggil kakak,
sayang,” arah papa.
“Kakak... marilah
sini.” Nyaring suara Danish memanggil.
Fira tak jawab tapi
sempat menjuihkan bibirnya. Langkahnya diatur laju meniti saki-baki anak tangga
ke tingkat atas.
“Kakak tak nak kawan dengan
adik ke, pa?” Danish dah tayang muka sedih.
“Tak adalah... kakak
tu nak berehat. Dia penat tu.”
Danish angguk, faham.
Turun dari ribaan papa, lantas terkedek-kedek ke hadapan televisyen. Alat
kawalan jauh dicapai. Ligat jemarinya menukar saluran. “Yeah, Spongebob!” Dia
menjerit, girang.
“Tak habis-habis nak
dengki dengan Danish.” Hajah Maziah merungut sambil pandang Danish.
“Ina tau dia kecil
hati dengan Ina tu, mak. Dia rasa tersisih. Yalah, sejak ada Danish, Ina dah
kurang beri perhatian pada dia.” Zalina menjawab.
“Abang pun sama juga,
Ina. Dah jarang bersama-sama dia sekarang ni. Tak hairanlah kenapa dia jadi
macam tu,” kata Hamidi pula.
“Tak payah risau sangatlah pasal Fira tu. Dia
bukan budak kecik. Dah dua puluh empat tahun... dah besar panjang dah pun.” Hajah
Maziah buat komen.
Zalina senyum seraya
pandang Hajah Maziah. “Memang la Fira tu dah besar panjang, tapi dia tak matang
macam orang lain, mak. Selama ni, dia aje sorang anak kami. Semua orang manjakan
dia, beri perhatian pada dia. Tapi sekarang, semua orang tak kisahkan dia
sangat.”
Hajah Maziah angguk.
Betul, dia sangat bersetuju dengan Zalina. Sebelum ini Fira sangat manja dengan
mama dan papanya. Malah dia sendiri sangat manjakan Fira. Maklumlah sebelum Danish
lahir, hanya Fira satu-satunya anak Hamidi dan Zalina. Kebetulan pula, hanya
Fira seorang cucu perempuan yang dia ada.
“Ina tak rasa dia
akan terus macam tu. Nanti dia akan sedar juga tu.”
“Dah empat tahun dah,
Ina. Mak takut dia akan terus macam tu sampai bila-bila. Kesian kat Danish aje
nanti.”
Zalina dan Hamidi
saling berpandangan. Sebenarnya itu jugalah yang sering menjadi topik
perbincangan mereka berdua. Terus terang, mereka juga amat bimbang dengan
keadaan itu, cumanya tidak diberitahu kepada emak. Tetapi tak sangka pula,
walaupun hanya sesekali ke mari, emak juga dapat menghidu perkara tersebut.
“Sebelum keadaan jadi
lebih teruk, Ina atau pun Hamidi kena cakap dengan dia elok-elok. Kena pujuk
dia baik-baik. Mak rasa belum terlambat lagi tu.”
“Yalah mak,” balas Zalina
lembut.
"WOI, tepilah! Orang nak tengok TV
pun tak senang.” Fira yang sedang duduk atas sofa jegil mata. Kedatangan Danish
betul-betul mengganggu konsentrasinya.
“Adik nak milo.”
“Mintak dengan aku buat apa? Pergi la mintak dengan bibik.
Suka kacau orang.”
“Nak miloooo!” Danish berteriak.
“Eh, eh, budak ni. Tak faham bahasa ke, apa? Aku cakap
mintak dengan bibik... mintak dengan bibik la. Selama ini bukan bibik ke yang
buat semua untuk kau? Hidup kalau tak menyusahkan orang tak sah.”
Jerkahan Fira segera
mengundang tangisan Danish.
“Eleh... marah sikit pun nak meraung. Budak manja.”
Hajah Maziah yang
sedang menyiram pokok-pokok hiasan di halaman meninggalkan kerjanya. Lantas menerpa
masuk ke dalam rumah.
“Fira ni kalau sehari
tak buat adik nangis tak boleh gamaknya. Cubalah jangan berkira sangat dengan adik
tu.” Hajah Maziah marah. Cucu yang berusia empat tahun itu dihampiri, lantas
dengan sekuat tenaga diangkat lalu didukung.
“Dah besar gajah pun
masih nak berdukung lagi. Entah apa-apa.” Fira membebel perlahan. Siap menjuih
bibir lagi. Menyampah dengan layanan berlebihan nenek. Tak mustahil bila dah
besar nanti Danish akan jadi mengada-ngada dan lupa diri. Mana taknya, semua orang
dalam rumah ni beri muka sangat dekat dia. Semua yang dia minta kena bagi,
semua yang dia cakap kena ikut.
“Haaa... tu membebel
apa pulak tu?” tegur Hajah Maziah.
Fira pekakkan
telinga. Malas nak jawab soalan nenek.
“Kenapa adik nangis?”
soal Hajah Maziah. Dia sudah pun duduk atas sofa. Danish berada atas ribaannya.
“Adik nak minum milo,
tapi kakak tak nak buatkan. Lepas tu kakak marah adik.” Dalam esakannya Danish
mengadu.
“Amboi! Kecil-kecil
lagi dah pandai mengadu kau, eh? Nak kena budak ni.” Wajah si adik ditatap
penuh geram.
Danish peluk nenek. Takut tengok muka garang Fira.
“Siapa cakap dia
mengadu? Nenek yang tanya dia, kan? Yang Fira nak marah dia tu kenapa?”
“Nenek tu memang...
sikit-sikit nak sebelahkan dia. Kalau Fira ni semua tak betul. Nenek memang tak
adil!” Panjang muncung Fira. Geram dengan nenek. Tapi dia lagi geram dengan
budak kecil tu. Ikutkan hati, nak aje dia bagi penampar. Biar budak tu tak
berani nak menjawab lagi.
“Tengok tu... suka
hati dia aje tuduh nenek macam tu.”
Fira tutup telinga
dengan tangannya. Tak nak dengar apa yang nenek cakap.
“Pergi buat milo
adik,” arah Hajah Maziah.
Tangannya Fira
larikan dari telinga. Kemudian pandang nenek. “Fira bukan reti pun buat milo.”
“Tak reti ke tak nak
buat?”
“Tak reti,” balas Fira.
“Nama aje dah besar
panjang. Buat milo pun tak reti. Tak boleh harap la Fira ni. Macam mana nak
kahwin kalau benda senang macam tu pun tak boleh nak buat?” bebel Hajah Maziah.
Tapi dia tahu Fira tak bercakap benar. Setakat bancuh milo, takkan tak reti
kut.
Fira mencebik. Nenek dah
mulalah tu. Kalau tak membebel tak sah agaknya. Ini semua budak kecik tu punya
pasal. Kerana dialah, aku kena bebel, kena marah. Geram!
“Apa susah, dah
kahwin nanti Fira suruhlah orang gaji buatkan. Lagipun Fira bukan suka pun
minum milo. Bukan macam budak sorang tu. Pagi, petang, siang, malam... asyik
milo, milo, milo. Kalau boleh, mandi pun nak guna air milo jugak.”
“Pergi buat air milo adik sekejap.” Hajah
Maziah buat-buat tak dengar omelan cucunya itu.
“Bibiiik... buat air
milo adik!” laung Fira kuat sambil kepalanya dijengahkan ke arah ruang dapur. Tak
bergerak pun dari sofa.
“Nenek suruh Fira, yang Fira pergi suruh bibik tu,
kenapa?” Hajah Maziah jegil mata.
“Laa... dah memang
kerja dia. Biar aje la dia buat.”
“Fira kalau tak melawan
cakap nenek tak boleh ke? Sepatah orang cakap... seratus patah dia jawab. Saja
nak buat orang marah.”
Sekali lagi Fira
tutup telinga dengan kedua-dua belah tangannya.
“Tengok tu... boleh
dia tutup telinga masa kita tengah bercakap.”
Fira buat muka
selamba. Kedua-dua belah tangannya masih melekap di telinga.
“Firaaaa!” Hajah
Maziah menjerit.
“Apa dia?” Muka Fira
masam. Benci betul kena marah macam tu. Tangan dilepaskan dari telinga.
“Pergi buat milo adik
sekarang.” Hajah Maziah mengarah. Tak cukup jegil mata, jari telunjuknya
ditalakan ke arah dapur. Sakit betul hatinya dengan Fira. Entah kenapa, sejak
kebelakangan ini Fira dah berubah benar. Gadis itu jadi degil, suka menjawab,
pemalas dan macam-macam lagi sifat yang kurang baik. Dia tahu Fira jadi macam
itu sebab cemburukan Danish. Fira sakit hati apabila perhatian yang selama ini
tertumpu kepada dia seorang beralih kepada adiknya.
“Yalah, yalah.... Fira
nak pergi buat la ni.” Dengan bibir yang memuncung, Fira bangun dari sofa. Lalu
melangkah ke ruang dapur.
“Bik.”
“Iya.” Bibik yang
sedang mengupas bawang besar angkat kepala, pandang Fira.
“Buatkan milo.”
“Siapa mau minum
milo?”
“Budak kecik tu.
Cepat tau?”
“Baik... saya buat
sekarang.”
3 comments:
kalau sy dpt adik kecik mau melompat bintangg... haha.
Seroonok apa ada adik kan? Hehehe...
Mcm best je wpun baca smpai bab9
Napela sy xdpt adek
Best ade adek ni tau tak.
😆😆😆😆
Post a Comment