Wednesday, May 20, 2015

Sabarlah Duhai Hati (Bab 1)



FIRA memang teringin punya adik. Tak dapat ramai, seorang pun jadilah. Maklumlah dia anak tunggal. Mama dan papa pula selalu sahaja sibuk. Kalau ada adik taklah dia rasa sunyi sangat. Ada juga kawan untuk diajak bermain, bergurau senda, bersembang, malah boleh diajak bergaduh juga. Tapi itu dulu, sewaktu dia masih di zaman kanak-kanak. Memasuki usia remaja, dia dah tak kisah lagi. Dia sudah rasa selesa dengan apa yang dia ada. Jadi anak tunggal tanpa perlu berkongsi apa-apa dengan adik-beradik lain. Semuanya hanya untuk dia seorang, termasuklah kasih sayang mama dan papa.
Masa dapat tahu mama hamil, dia memang tak boleh terima. Bayangkan masa tu dia sudah berusia hampir 20 tahun dan mama sendiri berumur 45 tahun. Usia yang agak tidak sesuai untuk punya anak lagi. Tapi bukan itu soalnya. Yang buat dia risau, bagaimana sikap serta layanan mama dan papa terhadap dia selepas anak itu lahir nanti? Apakah masih sama seperti sesebelum ini?
          “Fira suka adik perempuan atau lelaki?” Soalan itu mama ajukan ketika usia kandungannya dah nak masuk lapan bulan.
          Kalau boleh, Fira tak nak jawab soalan itu. Tapi kalau tak jawab, apa pula kata mama? Tentu mama berkecil hati. Tak kisahlah lelaki atau perempuan, dia memang tak suka. Dia tak nak adik. Dia tak nak ada orang lain antara dia, mama dan papa. Dia juga tidak mahu kasih sayang mama dan papa buat dia akan jadi susut dan berkurangan.
          “Lelaki...” Nak tak nak dia jawab masa tu. Jawapan tak ikhlas.
          Dengan kuasa Allah, sebulan selepas itu, mama benar-benar melahirkan seorang bayi lelaki. Bayi yang dinamakan Muhammad Aiman Danish itu lahir cukup sihat dan cukup sifatnya.

DARI atas tangga, Fira   pandang ke bawah dengan rasa meluat. Mama, papa dan nenek sedang melayan Danish bercakap. Macam-macam benda yang keluar dari mulut si kecil itu. Semuanya benda-benda merepek dan entah apa-apa. Dah puas bercakap, Danish gelak tak ingat dunia. Papa, mama dan nenek ikut gelak sama. Entah apa agaknya yang lucu sangat sampai beria-ia dia orang gelak. Nampak sangat semua orang sayangkan Danish, semua orang pentingkan Danish. Kalau selama ini semua tertumpu kepada dia seorang, sekarang jangan haraplah. Balik-balik, Danish, Danish, Danish. Menyampah!
Dulu pantang dia hilang sekejap, semua sibuk bertanya. Tapi sekarang, dia hilanglah selama mana pun, berkurunglah dalam bilik sehari suntuk pun, langsung tak ada yang kisah, langsung tak ada yang risau. Kalau ada pun hanya suara nenek yang marah-marah kerana dia tak melayan Si Danish tu.
 Sebab itulah dia rasa tidak selesa berada di rumah. Daripada melihat muka si kenit yang menyakitkan hati tu, lebih baik dia habiskan masa di luar. Ya betul, dia bukanlah jenis yang suka berfoya-foya atau keluar tak tentu hala. Rumah adalah segala-galanya pada dia. Rumahku syurgaku. Tetapi buat masa sekarang, berada di luar rumah adalah jauh lebih baik.
“Fira... kenapa tercegat aje kat situ? Mari sini.” Papa yang sedang meriba Danish  melambaikan tangannya. “Panggil kakak, sayang,” arah papa.
“Kakak... marilah sini.” Nyaring suara Danish memanggil.
Fira tak jawab tapi sempat menjuihkan bibirnya. Langkahnya diatur laju meniti saki-baki anak tangga ke tingkat atas.
“Kakak tak nak kawan dengan adik ke, pa?” Danish dah tayang muka sedih.
“Tak adalah... kakak tu nak berehat. Dia penat tu.”
Danish angguk, faham. Turun dari ribaan papa, lantas terkedek-kedek ke hadapan televisyen. Alat kawalan jauh dicapai. Ligat jemarinya menukar saluran. “Yeah, Spongebob!” Dia menjerit, girang.
“Tak habis-habis nak dengki dengan Danish.” Hajah Maziah merungut sambil pandang Danish.
“Ina tau dia kecil hati dengan Ina tu, mak. Dia rasa tersisih. Yalah, sejak ada Danish, Ina dah kurang beri perhatian pada dia.” Zalina menjawab.
“Abang pun sama juga, Ina. Dah jarang bersama-sama dia sekarang ni. Tak hairanlah kenapa dia jadi macam tu,” kata Hamidi pula.
 “Tak payah risau sangatlah pasal Fira tu. Dia bukan budak kecik. Dah dua puluh empat tahun... dah besar panjang dah pun.” Hajah Maziah buat komen.
Zalina senyum seraya pandang Hajah Maziah. “Memang la Fira tu dah besar panjang, tapi dia tak matang macam orang lain, mak. Selama ni, dia aje sorang anak kami. Semua orang manjakan dia, beri perhatian pada dia. Tapi sekarang, semua orang tak kisahkan dia sangat.”
Hajah Maziah angguk. Betul, dia sangat bersetuju dengan Zalina. Sebelum ini Fira sangat manja dengan mama dan papanya. Malah dia sendiri sangat manjakan Fira. Maklumlah sebelum Danish lahir, hanya Fira satu-satunya anak Hamidi dan Zalina. Kebetulan pula, hanya Fira seorang cucu perempuan yang dia ada.
“Ina tak rasa dia akan terus macam tu. Nanti dia akan sedar juga tu.”
“Dah empat tahun dah, Ina. Mak takut dia akan terus macam tu sampai bila-bila. Kesian kat Danish aje nanti.”
Zalina dan Hamidi saling berpandangan. Sebenarnya itu jugalah yang sering menjadi topik perbincangan mereka berdua. Terus terang, mereka juga amat bimbang dengan keadaan itu, cumanya tidak diberitahu kepada emak. Tetapi tak sangka pula, walaupun hanya sesekali ke mari, emak juga dapat menghidu perkara tersebut.
“Sebelum keadaan jadi lebih teruk, Ina atau pun Hamidi kena cakap dengan dia elok-elok. Kena pujuk dia baik-baik. Mak rasa belum terlambat lagi tu.”
“Yalah mak,” balas Zalina lembut.


"WOI, tepilah! Orang nak tengok TV pun tak senang.” Fira yang sedang duduk atas sofa jegil mata. Kedatangan Danish betul-betul mengganggu konsentrasinya.
  “Adik nak milo.”
 “Mintak dengan aku buat apa? Pergi la mintak dengan bibik. Suka  kacau orang.”
  “Nak miloooo!” Danish berteriak.
  “Eh, eh, budak ni. Tak faham bahasa ke, apa? Aku cakap mintak dengan bibik... mintak dengan bibik la. Selama ini bukan bibik ke yang buat semua untuk kau? Hidup kalau tak menyusahkan orang tak sah.”
Jerkahan Fira segera mengundang tangisan Danish.
   “Eleh... marah sikit pun nak meraung. Budak manja.”
Hajah Maziah yang sedang menyiram pokok-pokok hiasan di halaman meninggalkan kerjanya. Lantas menerpa masuk ke dalam rumah.
“Fira ni kalau sehari tak buat adik nangis tak boleh gamaknya. Cubalah jangan berkira sangat dengan adik tu.” Hajah Maziah marah. Cucu yang berusia empat tahun itu dihampiri, lantas dengan sekuat tenaga diangkat lalu didukung.
“Dah besar gajah pun masih nak berdukung lagi. Entah apa-apa.” Fira membebel perlahan. Siap menjuih bibir lagi. Menyampah dengan layanan berlebihan nenek. Tak mustahil bila dah besar nanti Danish akan jadi mengada-ngada dan lupa diri. Mana taknya, semua orang dalam rumah ni beri muka sangat dekat dia. Semua yang dia minta kena bagi, semua yang dia cakap kena ikut.
“Haaa... tu membebel apa pulak tu?” tegur Hajah Maziah.
Fira pekakkan telinga. Malas nak jawab soalan nenek.
“Kenapa adik nangis?” soal Hajah Maziah. Dia sudah pun duduk atas sofa. Danish berada atas ribaannya.
“Adik nak minum milo, tapi kakak tak nak buatkan. Lepas tu kakak marah adik.” Dalam esakannya Danish mengadu.
“Amboi! Kecil-kecil lagi dah pandai mengadu kau, eh? Nak kena budak ni.” Wajah si adik ditatap penuh geram.
 Danish peluk nenek. Takut tengok muka garang Fira.
“Siapa cakap dia mengadu? Nenek yang tanya dia, kan? Yang Fira nak marah dia tu kenapa?”
“Nenek tu memang... sikit-sikit nak sebelahkan dia. Kalau Fira ni semua tak betul. Nenek memang tak adil!” Panjang muncung Fira. Geram dengan nenek. Tapi dia lagi geram dengan budak kecil tu. Ikutkan hati, nak aje dia bagi penampar. Biar budak tu tak berani nak menjawab lagi.
“Tengok tu... suka hati dia aje tuduh nenek macam tu.”
Fira tutup telinga dengan tangannya. Tak nak dengar apa yang nenek cakap.
“Pergi buat milo adik,” arah Hajah Maziah.
Tangannya Fira larikan dari telinga. Kemudian pandang nenek. “Fira bukan reti pun buat milo.”
“Tak reti ke tak nak buat?”
“Tak reti,” balas Fira.
“Nama aje dah besar panjang. Buat milo pun tak reti. Tak boleh harap la Fira ni. Macam mana nak kahwin kalau benda senang macam tu pun tak boleh nak buat?” bebel Hajah Maziah. Tapi dia tahu Fira tak bercakap benar. Setakat bancuh milo, takkan tak reti kut.
Fira mencebik. Nenek dah mulalah tu. Kalau tak membebel tak sah agaknya. Ini semua budak kecik tu punya pasal. Kerana dialah, aku kena bebel, kena marah. Geram!
“Apa susah, dah kahwin nanti Fira suruhlah orang gaji buatkan. Lagipun Fira bukan suka pun minum milo. Bukan macam budak sorang tu. Pagi, petang, siang, malam... asyik milo, milo, milo. Kalau boleh, mandi pun nak guna air milo jugak.”
 “Pergi buat air milo adik sekejap.” Hajah Maziah buat-buat tak dengar omelan cucunya itu.
“Bibiiik... buat air milo adik!” laung Fira kuat sambil kepalanya dijengahkan ke arah ruang dapur. Tak bergerak pun dari sofa.
“Nenek  suruh Fira, yang Fira pergi suruh bibik tu, kenapa?” Hajah Maziah jegil mata.
“Laa... dah memang kerja dia. Biar aje la dia buat.”
“Fira kalau tak melawan cakap nenek tak boleh ke? Sepatah orang cakap... seratus patah dia jawab. Saja nak buat orang marah.”
Sekali lagi Fira tutup telinga dengan kedua-dua belah tangannya.
“Tengok tu... boleh dia tutup telinga masa kita tengah bercakap.”
Fira buat muka selamba. Kedua-dua belah tangannya masih melekap di telinga.
“Firaaaa!” Hajah Maziah menjerit.
“Apa dia?” Muka Fira masam. Benci betul kena marah macam tu. Tangan dilepaskan dari telinga.
“Pergi buat milo adik sekarang.” Hajah Maziah mengarah. Tak cukup jegil mata, jari telunjuknya ditalakan ke arah dapur. Sakit betul hatinya dengan Fira. Entah kenapa, sejak kebelakangan ini Fira dah berubah benar. Gadis itu jadi degil, suka menjawab, pemalas dan macam-macam lagi sifat yang kurang baik. Dia tahu Fira jadi macam itu sebab cemburukan Danish. Fira sakit hati apabila perhatian yang selama ini tertumpu kepada dia seorang beralih kepada adiknya.
“Yalah, yalah.... Fira nak pergi buat la ni.” Dengan bibir yang memuncung, Fira bangun dari sofa. Lalu melangkah ke ruang dapur.
“Bik.”
“Iya.” Bibik yang sedang mengupas bawang besar angkat kepala, pandang Fira.
“Buatkan milo.”
“Siapa mau minum milo?”
“Budak kecik tu. Cepat tau?”
“Baik... saya buat sekarang.”

3 comments:

Unknown said...

kalau sy dpt adik kecik mau melompat bintangg... haha.

MIMIE AFINIE said...

Seroonok apa ada adik kan? Hehehe...

Anonymous said...

Mcm best je wpun baca smpai bab9
Napela sy xdpt adek
Best ade adek ni tau tak.
😆😆😆😆