Sunday, April 23, 2017

Bulan cinta bab 10





TANPA memberi salam, pintu rumah ditolak lalu ditutup dengan agak kuat. Sekejap lagi mesti kena bebel dengan along. Tak pun dengan angah. Lantaklah. Yang dia tahu, dia tengah marah. Batul-betul marah.
Dah kenapa dengan Sekolah Memandu Kita tu, dah tak ada guru sangat ke sampaikan orang macam Zaidi yang disuruh mengajar dia tadi? Selama ini dia duk ingatkan Razlan tu teruk, rupa-rupanya Zaidi sepuluh kali ganda lagi teruk.
Razlan tu hanya mulut saja yang menyakitkan hati, tapi cara dia mengajar boleh juga diterima. Cepat jugalah dia dapat ilmu. Lebih penting, dia semakin boleh mengawal rasa takutnya. Tapi dengan Zaidi tadi, dah datang balik rasa takut dia.
Mana taknya, ada ke patut Si Zaidi tu tidur semasa dia sedang memandu tadi? Siap berdengkur lagi tu. Mengajar apa macam tu? Betul-betul makan gaji buta. Dahlah jalan raya agak sesak hari ni. Berpeluh-peluh dia tadi nak kawal brek, kelajuan, nak pandang cermin sisi, cermin belakang lagi.  Paling penting, nak kawal ketakutan yang tiba-tiba datang balik.
Dah bangun dari tidur, boleh pula Zaidi ajak dia bersembang. Sepanjang perjalanan mereka tadi, mulut Zaidi langsung tak berhenti bercakap.
“Dulu kawasan ni hutan tau? Tapi sekarang semua dah jadi taman perumahan. Masa abang kecik dulu, setiap kali merajuk dengan mak atau ayah abang, dekat kawasan inilah abang selalu menyorok. Pernah sekali tu abang kena sorok dengan orang bunian.”
Masa tu Rania rasa macam nak tengking aje Zaidi. Lepas tu nak suruh lelaki tu beri tumpuan semasa mengajar. Perhati kalau-kalau dia ada melakukan kesilapan. Yalah, kerana Zaidi konsentrasi dia jadi terganggu.
Nasib baiklah dia masih punya rasa hormat pada guru memandu itu. Maklumlah, Zaidi tu dah agak berumur, muka pula macam orang baik-baik. Kalaulah Razlan yang buat macam tu, memang teruklah kena basuh.
“Cuba kau tengok kat sebelah sana tu. Sebelum ni tempat tu paya tau? Tapi dia orang dah tambak, lepas tu buat bangunan kat situ.”
Teragak-agak Rania berpaling, memandang ke arah yang Zaidi maksudkan. Dalam tak sedar, tangannya memulas stereng ke arah yang dia sedang tengok. Lalu kereta segera bergerak ke arah lorong bertentangan.
“Hei, kau buat apa ni? Bahaya betul la,” jerit Zaidi, seraya membetulkan kedudukan stereng. Kereta berada di lorongnya semula.
“Nasib baik tak ada kereta dari arah sana. Kalau tidak mahu jadi arwah kita dua orang.”
Ya Allah, dia ni. Masin mulut tu kang. Hisy, nauzubillah!
“Dah abang suruh saya tengok, saya tengoklah.”
“Aku cakap aje. Patutnya kau dengar ajelah.”
Pulak! Kita juga yang salah.

“RARA ni dah kenapa, tak reti beri salam ke? Pintu tu, tunggu masa aje nak roboh. Sekali aje lagi Rara hempas, memang robohlah.” Kan dah kena marah dengan along. Suka sangat tunjuk perangai. Marah dekat orang lain, pintu yang jadi mangsa.
          “Assalamualaikum.” ucapnya perlahan. Kemudian tarik kerusi, lalu duduk di meja makan sebelah along.
          “Hah, reti pun beri salam. Waalaikumussalam,” balas Huzir.
          “Dah balik pun Rara. Macam mana kelas memandu hari ni?” Ayah muncul di ruang makan dengan sepiring keledek goreng. Ayah memang rajin memasak. Dari sarapan pagi, makan tengah hari, hinggalah ke minum petang semua ayah yang sediakan.
          Menyusul Hidayat dengan dulang berisi seteko teh O dan empat biji cawan. Teh O dituang ke dalam cawan, lalu dihulurkan kepada ayah, seterusnya kepada Huzir dan juga Rania. Manakala satu cawan lagi buat dirinya sendiri.
          “Rara rasa nak berhentilah ayah. Dah tak nak belajar memandu lagi.” Terus terang, minatnya dah semakin berkurang. Macam mana nak bertambah minat kalau guru yang mengajar entah apa-apa. Razlan macam gitu, Zaidi pula macam gini. Nampak gaya susahlah dia nak lulus dan dapat lesen memandu.
          “Apa yang Rara mengarut ni?” Tak sempat ayah jawab, along dulu yang menyampuk. Rania ni kalau tak buat onar, tak sah gamaknya. Suka sangat tengok orang marah dia.
          “Entah Rara ni. Dah elok dah belajar, tiba-tiba nak berhenti pulak. Suka buat keputusan yang bukan-bukan.” Angah pula menambah.
          “Cik gu Sekolah Memandu Kita tu teruklah.” Rania mengadu.
          “Bukan Razlan tu okey ke?” Soal ayah.
          Masalahnya Razlan tu sekejap okey, sekejap tak okey. Masa okey, memang la dia sendiri pun jadi okey. Tapi kalau masa Razlan tak okey, itu yang buat dia jadi hilang sabar.
Kat depan ayah, kat depan semua orang memanglah Razlan tak tunjuk. Yang kena hadap dia, tau tak? Sakit jiwa la dengan Razlan tu. Cuma kelmarin dia mengaku, dia agak terhutang budi dengan Razlan. Kalau bukan kerana Razlan, entah apa agaknya yang akan Syafiq buat pada dia. 
          “Setahu angah, Razlan tu okey je. Kecuali Rara ada buat perkara yang  tak betul.”
          Rania jegil mata besar-besar pada angah. Ini tak ada lain, mesti nak buka cerita tentang hal kelmarin. Saja nak bagi aku kena marah tau?
          “Mana ada Rara buat perkara tak betul?”
          “Tadi siapa yang ajar Rara?” Ayah pula bersuara.
          “Nama dia Zaidi. Dia ni lagi teruk dari Razlan. Bayangkan dia boleh tidur masa tengah mengajar Rara tadi. Dia langsung tak tengok apa yang Rara buat.” Mulalah dia terfikir Razlan nak balas dendam. Yalah, dia kan nak sangat belajar dengan guru lain. Entah-entah memang Razlan dah tahu rekod buruk Zaidi selama ni dan sengaja meminta lelaki itu mengajar dia. Tak mustahil kan?
          “Kenapa bukan Razlan yang ajar Rara?” soal Huzir.
          Rania jongket bahu.
          “Mungkin dia tak sihat,” ujar Encik Raof perlahan.
Rania alih pandangan kepada ayah. Razlan tak sihat? Betul ke? Ya, boleh jadi juga. Mana tahu tumbukan kuat Syafiq kelmarin menyebabkan Razlan cedera teruk. Memanglah dari luaran tak nampak sangat, tapi dalaman siapa tahu kan? Memikirkan itu, rasa bersalah Rania datang balik. Kalau betul, dialah punca semua ini terjadi.
“Sebab ayah tak rasa dia akan senang-senang cari orang lain untuk ganti dia mengajar Rara. Sebab dia pernah janji dengan ayah, dia yang akan ajar Rara sampai pandai. Dia juga akan pastikan Rara sentiasa selamat dengan dia.”
Razlan janji dengan ayah macam tu? Betulkah? Macam tak percaya aje. Apa yang istimewa sangat dengan dia sampaikan Razlan boleh buat janji macam tu? Alahai hati, kenapa tiba-tiba rasa tersentuh ni?
Tolonglah cik hati, Razlan tu lelaki poyo, lelaki yang menyakitkan hati... jangan nak tersentuh sangatlah.
 “Baik Rara telefon dia.” Ayah buat usul.
“Telefon siapa?” Sengaja tanya, walaupun Rania dah sedia maklum siapa yang ayah maksudkan.
“Razlan la, takkan telefon jiran belakang rumah dia pulak.”
Bab buat lawak bodoh, serahlah dekat angah. Masalahnya tak kelakar pun. Buat tangan ni menggigil nak ketuk kepala orang, adalah.
“Kenapa Rara pulak?”
“Yalah, disebabkan Raralah, Razlan dapat sakit. Itu pun nasib baik tak ada apa-apa. Kalau sampai masuk hospital, macam mana?”
          Terjojol mata Rania. Mulut angah ni kan memang nak kena lumur dengan cili giling agaknya. Selamba badak dia aje cakap macam tu. Memang tak boleh simpan rahsialah angah ni.
          “Apa angah cakap?” Ayah dah tunjuk muka pelik.
          “Eh, tak ada apa-apa.” Angah sengih.
          “Yalah... mana tak sakit. Penat mengajar anak murid yang susah nak pandai macam Rara ni.” Nasib baik Hidayat cepat reka jawapan. Huh! Bahaya betul. Nyaris-nyaris ayah dan along dapat hidu. Kalau tidak mahu kena pelangkung dengan Rara.
          Ayah dan along yang tidak tahu apa-apa, ketawa.
         

No comments: