Sunday, April 23, 2017

Bulan cinta bab 8




SUNYI sepi. Kedua-duanya tidak bersuara. Sesekali Rania mencuri pandang wajah Razlan. Ada kesan lebam dan luka di bibir pemuda itu. Terbit rasa kasihan, sekali gus rasa bersalah. Kerana tindakan bodoh dia, Razlan yang jadi mangsa. Dan tak pasal-pasal Razlan terseret sama dalam krisis dia dengan Syafiq.

          Tapi itulah, perkara dah berlaku. Nak patah balik pun dah tak boleh. Kalaulah dia tidak ikutkan sangat cakap Syafiq tu, tentu mereka tidak berada di tempat tadi dan benda ni tak jadi.

          “Sakit?” Perlahan dia menyoal. Memandang simpati pada Razlan.

          Razlan tak jawab, cuma tangannya dibawa menyentuh bibirnya.

          “Sakit tak?” Suaranya dikuatkan sedikit.

          “Tak.”

          “Jangan main-main boleh tak? Awak ingat kulit awak tu tebal macam kulit gajah, kulit buaya?” Kan dah kena marah. Yalah, orang tanya betul-betul, boleh pula Razlan jawab macam tu. Tapi dia pun satu hal juga. Kena tumbuk kut, takkan tak sakit. Lagi mahu tanya.

          “Sakitlah jugak.” Lagi sekali Razlan meraba-raba mulutnya.

          “Kita pergi klinik, ya?” Sedikit cemas suara Rania. Perasaan bersalah semakin mengasak dalam dada.

“Tak payahlah. Sikit aje ni. Nanti baik sendiri.”

          “Jomlah pergi klinik. Tak apa, saya bayar.”

          “Kalau betul pun saya nak pergi, kenapa awak pula yang nak kena bayar?”

          “Yalah, sebab saya, tak pasal-pasal awak kena tumbuk.” Intonasi suara berubah rendah. Suara orang bersalah.

           Razlan ketawa.

“Awak ni kan, dengan saya bukan main berani melawan. Sepatah saya tegur, seribu patah awak jawab. Dengan kekasih awak tu, kenapa lemah sangat? Takkan kerana cinta, awak main ikut aje cakap dia?”

          “Perlu ke awak sebut macam tu? Awak tak tau apa-apa, lebih baik awak diam.”

          “Okey, saya diam.”

          Lalu suasana dalam kereta mendadak jadi sunyi dan sepi.

“Kita pergi klinik, eh?” Tak sampai dua minit, Rania buka mulut. Kembali kepada hal tadi.

          “Kan saya dah cakap tak payah.”

          Kalau dah itu kata Razlan, nak kata apa lagi? Yang kena tumbuk Razlan, yang merasa sakit Razlan juga. Suka hati dialah.

          “Awak...”

          “Apa dia?”

          Tak jawab. Sebetulnya sedang cari ayat yang sesuai.

          “Saya tau awak nak orang lain untuk ajar awak. Insya-Allah, saya boleh uruskan. Awak jangan risau.”

           Rania jeling Razlan. Ke situ pulak. Tapi okey juga. Sebelum ini memang itu pun yang dia duk sebut-sebut dekat Razlan, kan? Memang dia nak seorang pengajar yang berhemah, yang mengajar dengan ikhlas dan tidak menyakitkan hati. Kalau boleh dia dah tak nak lagi mamat perasan bagus ni mengajar dia.  

Tapi itulah, perangai Razlan ni susah dia nak jangka, tidak konsisten.  Kadang-kadang menyakitkan hati, ada kalanya nampak macam mengambil berat pula. Itu yang buat dia jadi tak faham.

          “Saya nak cakap hal lain la.”

          “Cakaplah apa dia.”

          Rania hela nafas dan lepas. Memohon maaf memang sesuatu yang sangat menyukarkan. Berat mulut untuk menuturkan. Lebih-lebih lagi dengan orang yang kita sangat menyampah.

          “Saya nak minta maaf pasal tadi. Tak pasal-pasal awak dapat penumbuk percuma. Semuanya salah saya.”

          Razlan ketawa. “Tak payah minta maaf. Hal kecik aje tu. Tak ada apalah.”

          Rania berpaling. Pandang muka Razlan. Biar betul dia ni! Takkan tak rasa nak marah ke, nak balas balik ke?

          “Cuma satu aje saya nak pesan. Lain kali tak payahlah gaduh-gaduh macam tu. Lebih-lebih lagi dekat tempat awam. Pesan dekat cinta hati awak tu... kalau ada masalah, bincang elok-elok. Ini sampai melibatkan anggota badan, tak bagus untuk kesihatan.”

          “Lagi satu, orang perempuan ni kalau nak cari pasangan, cari orang yang boleh jadi pelindung, yang boleh buat kau orang rasa selamat. Kalau belum apa-apa dah nampak macam tak selamat, macam mana tu?”

          “Awak ni kalau tak menyakitkan hati saya, tak boleh ke? Perlu ke cakap macam tu?” Sebenarnya tak salah pun apa yang Razlan cakap, cumanya dia yang termalu sendiri.

          “Laa... salah ke apa saya cakap? Betul la, kan?”

“Sudahlah. Malas cakap dengan awak.”

Razlan jongket bahu. Tak nak cakap, tak apalah.



“MONYOK aje muka tu, kenapa?”

          “Tengah sakit hati ni.”

          “Sakit hati dekat siapa?” Sebenarnya tak perlu tanya pun. Dah tentu Rania marahkan Razlan lagi. Sehari tak membebel pasal Razlan, tak sah. Entah kenapa yang Rania tak suka benar dengan Razlan, tak faham sungguh.

          “Syafiq.”

          “Ooo Syafiq... ingatkan siapalah tadi.” Silap telahannya.

          “Kau orang gaduh lagi ke?” Hidayat dah masak benar dengan hubungan pasangan yang sekejap okey, sekejap tak okey itu. Selalu sangat dia terdengar Rania bergaduh dengan Syafiq di telefon. Bercinta apanya kalau dah asyik bergaduh aje?


          Selalu sangat angah menasihatkan dia agar ‘tengok’ balik hubungannya dengan Syafiq. Fikir betul-betul sama ada Syafiq itu adalah lelaki yang benar-benar dia mahukan sebagai suami. Kata angah lagi, kalau rasa tak sesuai, belum terlambat untuk undur diri.

          “Asyik gaduh aje. Macam mana bila dah kahwin nanti?”

          Rania mencebik. Tak ada maknanya nak kahwin dengan Syafiq, raja cemburu buta tu.

          “Dah kenapa buat muka macam tu?”

          “Jangan cakap pasal dia lagi boleh tak? Menyampah!”

          “Marah benar nampak.”

          “Rara benci dia.”

         

“Masa marah memanglah cakap macam tu. Esok bila dah berbaik semula, Syafiq la jantung hati, jantung pisang, gunung payung, gunung berapi. Semuanya Syafiq.”

“Jangan sindir-sindir macam tu boleh, tak?” Kan dah kena marah! Yalah, suka sangat buat kelakar tak kena tempat. Orang tengah serius kut.

 “Rara benci dia, Rara tak suka dia, Rara menyampah tengok muka dia, Rara tak nak dengar nama dia lagi!”

“Yang marah sangat ni kenapa? Apa yang Syafiq dah buat dengan Rara ni?”

“Petang tadi dia...” Hanya tiga patah itu sahaja yang sempat Rania sebut apabila dia tiba-tiba terfikirkan sesuatu. Kalau angah tahu, mesti teruk dia kena marah. Itu belum lagi ayah dan along tahu. Masak dia!

          “Petang tadi dia...” Hidayat ulang balik ayat Rania.

“Dia buat apa, Rara?”

          “Tak ada apalah.”

          “Eh, eh dia ni... nak cerita, cerita ajelah semua.”

          “Betul tak ada apa-apa.” Rania pandang ke arah lain apabila mata Hidayat tajam merenungnya.

          “Dia cabul Rara, eh? Kalau betul, sekarang juga angah pergi cari dia. Bunuh dia pun angah sanggup.” Suara Hidayat jadi tinggi tiba-tiba. Kemudian bangun dari sofa.

          “Apa benda angah mengarut ni? Mana ada dia buat macam tu? Lagi satu, boleh tak cakap pelan-pelan sikit. Nanti ayah dengan along dengar pulak.” Lantas tangan Hidayat ditarik kuat agar duduk semula.

          “Okey sekarang cakap betul-betul, apa yang Syafiq dah buat dekat Rara?”

          Rania tak terus jawab, lama dia pandang muka Hidayat.

          “Rara boleh jawab, tapi angah kena janji dengan Rara dulu.”

          “Janji apa?”

          “Jangan cakap dekat ayah dengan along. Ini rahsia kita dua orang aje. Eh, tiga orang... Razlan sekali.”

          “Razlan? Kenapa pula Razlan terlibat sama?“

          “Sabar sikit boleh tak?”

          “Okey, sekarang cakap.”

          “Janji dulu.”

          “Okeylah, angah janji tak cakap dekat ayah dengan along.”

          Yakin dengan janji angah, Rania pun menceritakan apa yang telah terjadi petang tadi. Bermula daripada Syafiq ajak berjumpa sehinggalah kepada pergaduhan yang tercetus antara Syafiq dan Razlan.

          “Ya, Allah Rara. Apa Rara dah buat ni? Tak pernah lagi angah dengar, orang yang tengah belajar memandu buat perangai macam Rara ni. Patutlah tak suka Razlan, rupa-rupanya Rara yang suka buat onar. Kalaulah angah...”

          Besar mata Rania. Angah ni memang melampau. Tadi dah janji tak nak beritahu ayah dengan along tapi cara bercakap seolah-olah nak bagi satu taman ni dengar.

          “Angah!!!” Rania menjerit seraya menekup mulut angah dengan tangan kanannya.

          “Hisy, Rara buat apa ni?” Tangan Rania yang sedang menutup mulutnya ditolak.

          “Angah tu la. Menyesal Rara cakap. Membebel macam perempuan. Dahlah suara kuat macam petir. Saja nak bagi ayah dengan along dengar kan?”

          “Angah terkejut. Yalah, teruk sangat apa yang Rara buat tadi. Lagi satu, kesian dekat Razlan. Tak pasal-pasal kena penumbuk Syafiq. Rara punya pasal la.”

          “Rara tau Rara silap. Rara  dah minta maaf dengan dia tadi.”

          Lama Hidayat pandang muka Rania. Sesekali dia rasa kesian juga dengan adiknya ni. Taksub sangat dengan Syafiq sampai sanggup melakukan apa sahaja. Yang Syafiq pula suka mengambil kesempatan. Mentang-mentang tahu Rania sayang dia.

          “Rara dah putus dengan Syafiq.” Tenang Rania menyebut.

          “Hah! Dah putus?” Hidayat tayang muka terkejut tapi selepas itu dia ketawa. Nampak ceria bukan main.

          “Akhirnya Rara buat keputusan yang tepat. Syukur alhamdulillah.” Hidayat menadah kedua-dua tangannya, kemudian menyapu ke muka.

          “Jadi, adik angah ni single la sekarang ya?” Bukan main galak lagi Hidayat ketawa.

Jangan harap dia nak jawab. Dah tahu, lagi nak tanya.

          Dengar ketawa angah yang panjang dan mukanya yang terlebih ceria tu, Rania rasa macam nak bagi siku aje. Angah memang lebih-lebih!

No comments: