Sunday, April 23, 2017

Bulan cinta bab 5




APA tengok-tengok? Saya tau la muka saya hodoh, pucat lesi tapi tak payah la nak buat muka pelik seolah-olah saya ini makhluk ganjil dari planet lain.” Rania  melarikan mukanya ke arah lain. Segan sungguh dengan pandangan mata  Razlan Hakimi  poyo tu.

 Kalau setakat pandang tak apa lagi, ini siap senyum-senyum lagi. Itu sajalah nak perli orang tu. Konon nak cakap muka dia memang hodoh dan tak cantik kalau dah pucat lesi macam tu. Macamlah dia tak tahu apa yang ada kat dalam kepala otak Razlan tu.

“Alah... tengok sikit pun tak boleh. Macamlah luak.” Razlan ketawa. Sebetulnya ketawa malu. Yalah, dah kantoi tengah renung muka anak dara orang kan, haruslah malu. Bukanlah renung gatal ke apa, tapi terpesona. Ya terpesona, itu perkataan paling tepat. Rania tampak lebih cantik tanpa sebarang alat solek di wajahnya.  Cantik semula jadi. Itu yang tanpa sedar telah mendorong matanya untuk memandang ke wajah putih bersih itu dengan agak ralit.

“Apa yang awak cakap tu salah.” Razlan sambung.

“Apa yang salah?” Rania kembali pandang muka Razlan. Lama matanya singgah di wajah yang sedang murah dengan senyuman itu.

Alahai, manisnya senyuman dia. Kalau macam ginilah hari-hari, buat air tak payah pakai gula pun tak apa. Dah cukup dah manis dari senyuman Razlan tu.

Wahai cik hati, tolong jangan nak menggedik sangat. Setakat senyum manis, kalau mulut macam longkang buat apa? Baik tak payah!

“Tak ada apalah.” Razlan meraba-raba mukanya. Dia jadi segan pula dengan pandangan tajam Rania itu.

“Apa yang salah?” Soalan diulang dengan nada sedikit mendesak. Memang dia cukup pantang dengan orang-orang yang suka bercakap separuh jalan.

Razlan tak segera jawab. Topi yang dipakai terbalik sejak tadi, dibetulkan kedudukannya. Kemudian ditarik sedikit ke bawah, menutupi sebahagian matanya. Sambil menopang dagu, pandangannya ditalakan ke wajah Rania  yang polos.

“Yang salah adalah... bila awak cakap muka awak hodoh dan pucat lesi,” jelas Razlan.

“Kalau awak nak tau, saya nampak awak lagi cantik macam ni tau? Tak perlu calit apa-apa pun kat muka tu, awak nampak cantik semula jadi. Orang kampung saya cakap natural beauty.”

Rania dah kemerahan mukanya. Malu dengan pujian Razlan. Malu juga dengan renungan lelaki itu. Nampak lain macam sungguh. Syafiq pun tak pernah renung dia macam tu tau?

 “Boleh tak saya nak balik?” Dia cuba untuk tidak mengulas komen Razlan  tentang mukanya. Tak perlu pun. Terus terang, dia rasa sangat pelik dengan renungan lelaki itu. Juga dengan sikap manis yang ditunjukkan. Kenapa tiba-tiba Razlan berubah watak pula? Entah-entah... heh, tak payah la sambung. Mustahil sangat.

 “Kenapa nak balik?”

 “Sebab kelas dah habis dan memang sepatutnya saya dah boleh balik pun.”

“Tak boleh,” balas Razlan    .

“Kenapa tak boleh?”

“Sebab saya nak ajak awak makan.”

“Saya tak nak makan.”

“Saya tetap nak ajak awak makan.”

 “Dah pukul enam lebih, nanti ayah saya risau.”

“Saya dah bagi tau ayah awak, kita sampai lambat sikit.”

Lebih-lebih la pulak mamat ni. Boleh pula dia libatkan ayah? Tapi kut ya pun Razlan  dah memaklumkan kepada ayah, takkan ayah main setuju sahaja. Mana boleh macam tu? Tugas lelaki itu hanyalah sekadar mengajar dia memandu. Ini sampai ajak keluar makan, apa kes? Lagipun Razlan tu baru sangat mereka kenal, takkan senang-senang nak percaya? Hisy! Tak faham betullah ayah ni.

“Saya tak nak makan.”

“Tak baik tolak rezeki.”

“Kalau rezeki yang boleh  mendatangkan masalah, lebih baik tolak.” Rania tak mahu kalah. 

“Saya berani jamin, kalau dari pihak saya, takkan ada masalah yang akan timbul.”

“Saya tak nak makan. Saya nak balik.” Lagi sekali Rania menyebut.

“Khalil!” Razlan   memanggil seraya melambaikan tangannya ke arah pekerja yang berdiri di sebelah kaunter.

Khalil segera mendekat. “Ya bang?”

“Mintak sup ekor dua, jus kedondong asam boi dua. Lagi satu, nasi goreng Sayang Mama dua.”

“Tu aje, bang?”

“Itu aje. Cakap dekat Chot, cepat sikit.” Nasib baik kafe baru dibuka dan masih tiada pelanggan. Kalau tidak, jenuh juga nak menunggu.

“Awak okey kan dengan menu yang saya pilih tu?”

“Kan saya dah cakap saya tak nak makan, tak faham ke?”

“Lepas makan kita balik, okey? Kita makan sekejap aje.” Tanpa mempedulikan rungutan dan muka Rania   yang dah macam nak telan orang tu, Razlan memujuk. Dah macam pujuk budak kecil bunyinya. Bukanlah tak boleh balik sekarang, tapi dia betul-betul lapar. Kalau tidak, dia pun tak sukalah nak paksa-paksa orang.

Bayangkan sejak pagi tadi, cuma dua keping roti bakar yang masuk ke perut. Selepas itu dia terus mengajar sampai sekarang. Empat orang kesemuanya termasuk Rania. Dia cuma berhenti sebentar untuk solat zohor dan asar. Kebetulan dah lalu ikut sini, dia bawalah Rania singgah  makan sekali.

Kepada bapa Rania tadi sudah dikhabarkan tentang kelewatan mereka. Secara jujurnya dia tak ada niat lain pun. Kalaulah Rania   menganggap dia cuba nak menggatal atau nak mengurat, itu memang tak betul. Ya, dia memang puji wajah Rania yang cantik tanpa sebarang solekan sebab memang itu kenyataannya. Dah memang betul Rania   nampak cantik macam tu, dia cakaplah cantik. Tak salah kut. Langsung tak ada niat terselindung.

“Makanlah. Jangan malu-malu.” Tangannya Razlan  hulur kepada makanan dan minuman yang sudah tersedia atas meja.

Wah! Nasi goreng dan sup ekornya nampak sungguh menyelerakan. Perut mendadak rasa lapar. Rasa macam rugi pula kalau tak makan. Lagipun Razlan nampak macam ikhlas pula.

“Boleh saya makan?” Malu-malu Rania  bertanya. Maklumlah, tadi dia juga yang beria-ia tak nak makan.

 “Laa... saya memang suruh awak makan pun. Makan kenyang-kenyang tau.” Razlan ketawa, lembut.

Saat sesudu sup ekor dihirup, Rania pejam mata.

Ya Allah, sedapnya sup ni. Sesudu demi sesudu dihantar ke mulut. Tanpa sedar perbuatannya menjadi perhatian Razlan.

“Sedap sangat ke sup tu?” Yalah cara Rania   menikmati sup ekor tu nampak lain macam sungguh. Sampai pejam-pejam mata.

“Sedap sangat. Saya memang suka sup ekor pun.” Tanpa malu Rania   mengaku.

“Kalau dapat sup yang sedap macam ni, saya memang tak pandang dah makanan lain. Tapi nasi goreng tu pun nampak macam sedap jugak, kan? Lepas ni, saya nak makan nasi goreng tu pulak.”

Teruja punya pasal dengan sup ekor yang sangat lazat itu sampaikan Rania jadi lupa dengan siapa dia berhadapan sekarang. Buat seketika dia jadi lupa dengan perasaan tidak senangnya terhadap guru memandu itu.

“Cukup tak sup tu? Kalau tak cukup, kita minta lagi satu.”

“Tak apa, dah cukup dah ni. Nanti nasi goreng tu saya nak isi kat mana pulak? Perut saya ni bukannya besar sangat.” Rania   ketawa.

Pertama kali melihat Rania ketawa. Makin comel pula gadis itu di mata Razlan bila ketawa macam tu. Selalu tu dia asyik tengok muka Rania   yang tegang dan ketat.

“Okey... awak makan dulu. Kalau rasa nak tambah, bagi tau. Kalau nak cuba menu lain pun boleh jugak. Cakap aje nak makan apa, banyak mana. Tanggung beres.”

Ini perli ke apa ni? Ingat perut aku ni tong sampah ke, apa? Muka yang manis tersenyum jadi masam tiba-tiba. Razlan kalau tak perli orang memang tak sah. Menyakitkan hati betul!

Aik! Tiba-tiba memuncung ni apa hal? Pelik betul minah ni. Baru sekejap okey, tiba-tiba dah datang perangai dia balik. Orang baru nak puji senyuman dia tu.

“Berapa ringgit saya punya?” soal Rania  setelah semangkuk sup ekor dan sepinggan nasi goreng berjaya dihabiskan.

“Tak payah bayar.”

“Kenapa pulak? Saya makan, saya bayarlah.”

“Saya cakap tak payah... tak payahlah.”

“Saya tak nak termakan budi.”

Razlan angkat kening sebelah. Banyak hal betul la perempuan ni.

“Saya tak anggap itu sebagai budi pun.”

“Saya tak nak awak ungkit di kemudian hari.”

“Astaghfirullahaladzim... saya bukan jenis manusia macam tu la. Bila saya belanja awak, itu bermakna dah rezeki awak. Lagipun apa sangatlah nasi goreng sepinggan dengan sup ekor semangkuk tu. Tak ada hal pun pada saya. Saya tak jatuh miskin pun kerana tu.”

“Jangan termakan budi, nanti tergadai body. Mesti awak pernah dengar ungkapan tu.” Rania   menyindir.

Razlan  ketawa besar. Lucunya perempuan ni. Boleh pula dia terfikir sampai ke situ?

“Weh! Apa benda awak merepek ni? Setakat bagi makan macam tu, sampai nak tergadai body segala tu apa hal? Takkan semurah itu nilai body awak?”

Mendadak muka Rania jadi merah. Malu sungguh dengan ucapan Razlan   itu.

“Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Awak mesti pernah dengar ungkapan tu, kan?” tambah Razlan. Kali ini dalam senyuman.

“Tak payah jawab pun tak apa. Jom saya hantar awak balik.” Lantas dia bangun dari kerusi.

Kena lagi dengan Razlan. Dengan muka yang dah rasa berinci-inci tebal, Rania ikut bangun.



“I TAK sangka you sanggup curang dengan I.” Sambil bercekak pinggang, Syafiq merenung Rania dengan perasaan marah yang meluap-luap. Terus terang, dia masih rasa sukar untuk percaya dengan apa yang disaksikan petang semalam. Patutlah Rania beria-ia menolak ajakan dia untuk keluar bersama, rupa-rupanya ada temu janji dengan skandal.

          Berubah air muka Rania. Buat beberapa saat dia jadi kelu. Mati-mati dia duk ingat Syafiq ajak keluar sebab nak bawa dia makan tengah hari. Tak sangka rupa-rupanya lelaki itu punya agenda lain.  

Tak tahu nak cakap apa untuk mempertahankan diri. Selalunya Syafiq hanya menunjukkan sifat cemburunya tapi buat pertama kali sejak mereka jadi pasangan kekasih, Syafiq sanggup menuduh dengan tuduhan yang sangat berat itu.

          “Eh! Apa kurangnya I ni, apa lebihnya dia sampai you sanggup buat I macam ni?” Syafiq sambung marah.

          “You cakap apa ni? I tak faham langsung.”

          “You jangan buat-buat tak faham, Nia.”

          “Dah memang I tak faham, I cakap la tak faham. Curang? Eh! Apa benda you merepek ni?” Rania gelak. Rasa sangat kelakar. Entah dari manalah agaknya Syafiq dapat berita mengarut itu.

          Syafiq merengus. Hatinya jadi semakin sakit dengan tawa Rania. Terasa seperti dipersendakan.

          “You ingat I tak tau apa yang you buat di belakang I?”

          “I buat apa? Tolong la berterus-terang, Muhammad Syafiq Fitri.” Rania   meninggikan suara.

          “You ada skandal dengan guru memandu tu, kan?”

          Melopong mulut Rania. Mata dah jadi besar. Tapi selepas itu dia ketawa mengekek. Geli benar rasa hatinya dengan tuduhan itu. Dia ada skandal dengan Razlan? Wei! Lawak ini dipetik dari majalah mana ni? Gila-gila? Apo? Ujang? Sungguh tak kelakar.

          “You tak payah nak gelak sangat la. I dah tau semuanya.”

          Rania   berhenti ketawa. Kali ini dia merenung Syafiq, tajam. Dari rasa kelakar, dia jadi marah yang amat. Okey, kalau benda betul dia boleh terima. Tapi kalau perkara tak betul, perkara yang sengaja diada-adakan, perkara berunsur fitnah, dia tak boleh bertolak ansur. Melampau sangat tuduhan itu.

          “You jangan sesuka hati nak tuduh I, Fiq.”

          “I bukan saja-saja nak tuduh. I nampak dengan mata kepala I sendiri.”

          “Apa yang you nampak?”

          “Semalam you keluar dengan dia, kan?”

          “Memang la semalam I keluar dengan dia. Tapi macam biasa, I pergi belajar memandu.”

          “Belajar memandu konon.”

          “Habis you ingat apa? I berfoya-foya dengan dia?”

          “Ya, you memang berfoya-foya dengan dia.”

          “Melampaunya mulut you, Fiq,” jerit Rania. Dia sudah tidak peduli dengan keadaan sekeliling. Lantaklah kalau ada yang dengar pun. Teruk sangat tuduhan Syafiq itu.

          “Mulut I jadi melampau sebab perbuatan you yang melampau.”

          “Tak guna bercakap dengan you.” Rania berpusing ke belakang. Berniat mahu meninggalkan tempat itu. Apa guna berbincang, apa guna berterus terang, kalau setiap patah perkataan yang keluar dari mulut dia, Syafiq anggap dusta.

          “Selagi I tak dengar pengakuan dari mulut you, jangan harap you boleh ke mana-mana.”Syafiq meluru laju ke depan. Memintas pergerakan Rania.

Langkah Rania terhenti.

          “Kenapa I nak mengaku benda yang I tak buat?”

          “Masalahnya you memang buat benda tu.”

          “I pergi belajar memandu aje. Salah ke?” .

          “You pasti you hanya pergi belajar memandu?’

          “Ya.”

          “Jangan nak temberang la, Rania. Yang merajuk keluar dari kereta... kemudian datang skandal you pujuk... siap nak dukung lagi, apa tu? Tak cukup dengan tu, you dengan dia berhenti kat masjid. Kat dalam masjid I tak nak la tuduh apa-apa kan? Sebab I tak nampak.”

          “Syafiq!!!” Membuntang mata Rania, nafasnya turun naik. Serius, dia sangat marah.

          “Jangan menyampuk! I belum habis cakap lagi,” pintas Syafiq.

“Dan dengan dua biji mata ni jugalah I nampak you dengan dia berdua-duaan kat dalam kafe. Sambil makan, you siap main mata lagi dengan dia.”

          “You intip I?”

          “Memang pun.”

          “Melampaunya you!” Jari telunjuknya Rania tuding dekat ke muka Syafiq. Sebelah tangan lagi mengurut-ngurut dadanya. Cuba tenangkan hati yang sedang marah. Perbuatan Syafiq mengintip dia petang semalam sangat keterlaluan. Tidak terlintas langsung di fikirannya, Syafiq sanggup bertindak sampai begitu sekali. Teruknya lelaki ini.

          “Kenapa you sanggup buat macam tu?”

          “Sebab I dapat rasa, you tak jujur dengan I.”

          Hati, silalah bertenang. Rania  pejam mata, kemudian celik semula. Nafas dihela panjang dan dilepas perlahan. Dia nekad, dia takkan beri muka lagi kepada Syafiq. Dia tidak akan membenarkan manusia di depan dia ni untuk mendera dan melukakan hati dia lagi.  Cukuplah apa yang dirasa selama ini. Cukup sampai di sini sahaja.

“Kalau dah setiap cakap I, you tak nak percaya. You tetap juga nak tuduh I macam-macam... I rasa...” Rania berhenti di situ. Sebetulnya tak tergamak nak sebut.

“Apa yang you rasa?”

Rania  melepas nafasnya perlahan.“I rasa biarlah setakat ini aje hubungan kita. Tak guna kita teruskan kalau you tak pernah ada rasa percaya pada I.”

 Ikutkan itu yang Rania nak cakap tapi macam selalu, dia tak mampu. Tak kisahlah macam mana perangai Syafiq tu, yang penting lelaki itu sayang dia.

“You nak cakap apa sebenarnya ni?” desak Syafiq.

“Tak ada apalah.”

“I tau you memang nak beritahu sesuatu kan? Baik you cakap betul-betul.”

“I dah cakap tak ada, tak adalah.” Sudahnya hanya itu yang mampu Rania sebut.

“I tak percaya.”

“Terpulang pada you,” balas Rania.

“I pergi dulu. Assalamualaikum.” Segera  Rania angkat kaki dari situ.


No comments: