Thursday, April 6, 2017

Bulan Cinta Bab 4





“KERETA Viva ni memang direka tak ada signal ke?” Razlan melirik Rania  yang sedang memandu.
          “Apa pulak tak ada? Ada apa?” Walaupun seratus peratus tumpuan hanyalah ke arah jalan raya di depan, Rania   tetap menjawab soalan itu. Ikutkan rasa cuak dan gabra yang menguasai diri, memang dia tak nak bercakap langsung.  
Kalau boleh, dengan Razlan sekali dia tak nak bagi bercakap. Tapi orang dah bertanya mestilah kena jawab, kan? Lagipun Razlan  nampak okey pula hari ini. Tak adalah nak menyindir-nyindir macam tempoh hari.
          “Oh! Ada, ingatkan tak ada.” Razlan  gelak kecil.
          Laa... takkan tak tau kut. Kata guru memandu. Aku yang tak pernah bawa kereta pun tau.
          “Tau pun ada, ingatkan tak tau. Kalau dah tau kenapa tak bagi signal masa nak tukar lorong tadi Cik Rania oiii?”
          Oh! Menyindir aku rupa-rupanya. Ingatkan betul-betul tak tau. Teringin sangat nak menjawab tapi waktunya sangat tidak sesuai. Sekarang adalah waktu untuk mengendalikan ketakutan dalam diri. Nanti-nantilah dia uruskan mulut Si Razlan ngok ngek ni.
          “Setiap kali nak tukar lorong, nak masuk simpang... signal jangan lupa bagi. Rasanya dah banyak kali saya tegur awak pasal ni.”
          Memanglah Razlan  dah banyak kali tegur. Masalahnya, dia kan masih belum mahir? Mana nak tengok cermin sisi lagi, cermin pandang belakang lagi. Lagipun ini baru kali kedua dia belajar. Mestilah masih terkial-kial.
“Awak belajar kereta auto aje pun. Apa yang susah sangat?” Razlan     sambung bebel.
Kalau boleh Rania tak nak dengar bebelan lelaki tu. Dia bimbang konsentrasinya akan terganggu. Tapi kalau dah suara tu macam langau duk mengganggu kat tepi telinga, mustahil tak dengar, kan? Sepatutnya dia sumbat siap-siap telinga dengan earphone tadi. Daripada dengar guru tiga suku ini duk membebel, lebih baik dia hiburkan hati dengan koleksi zikir Hafiz Hamidun. Hati tenang, pahala pun dapat.
“Saya ni tengah ajar budak tadika ke apa ni?”
Budak tadika dipanggilnya aku. Kurang asam!
“Kat depan sana tu ada simpang. Awak tau kan apa perlu awak buat bila nak masuk simpang?”
“Taulah, bagi signal,” balas Rania dengan kasar. Tak habis-habis nak ingatkan pasal signal tu. Baru tadi cakap, ini cakap lagi. Ingat aku ni pekak apa, nak kena ingatkan banyak kali.
 “Ada orang pernah cakap dekat saya. Kalau kita nak berjaya, ingat empat perkara. Pertama, disiplin kena ada. Kedua, kena cepat belajar.  Ketiga, bersedia untuk dimarahi dan keempat, jangan malu bertanya.”
Kalaulah ada jarum dan benang, memang dia dah jahit dah mulut Si Razlan ni. Dari tadi asyik berbunyi saja. Orang nak bawa kereta pun tak senang.
“Keempat-empat tu awak tak ada, Rania. Awak tak berdisiplin. Dua kali dah saya ajar awak, dua kali juga awak lewat. Awak lambat belajar, sampai sekarang masih terkial-kial. Awak tak boleh kena marah. Saya marah sikit, awak melawan. Lagi satu awak jenis yang berat mulut. Tak tahu tapi tak nak bertanya. Lepas tu asyik ulang kesalahan yang sama.”
Ya Allah, kau berilah kesabaran yang tinggi pada aku. Jangan sampai aku buat tindakan yang bukan-bukan pula.
Signal!!” jerit Razlan  apabila kereta menghampiri simpang.
Serta merta Rania  mengikut arahan. Tapi dalam kelam-kabut, isyarat yang sepatutnya ke kanan, diberi ke kiri pula.
“Kanaaannn!!” Lagi sekali Razlan  menjerit, panjang.
Dek terkejut punya pasal, kaki Rania yang sedang menekan pedal minyak tertekan brek pula. Akibatnya kereta terhenti secara mengejut.
“Saya suruh tukar signal ke kanan. Yang awak pergi tekan brek kenapa?”
Dengan tercungap-cungap, Rania menggosok-gosok dadanya yang berdegup kencang. Kaki masih menekan brek.
“Siapa pulak suruh awak berhenti? Jalanlah,” marah Razlan. Nasib baik tak ada kenderaan lain. Bahaya betul la dia ni.
Rania   buat tak endah. Tak ada hati nak ikut arahan.
“Awak ni nak belajar ke tak  nak?” Razlan dah tinggi suara. Hati dah makin geram dengan Rania. Sudah lama dia mengajar memandu. Sudah beratus pelajar dia dah ajar, tapi belum pernah dia jumpa pelajar yang menyakitkan hati macam ni. Dahlah tak tepat masa. Kalau minggu lepas, dia menunggu hampir lima belas minit, tadi dekat setengah jam. Perempuan ni betul-betul buat dia naik angin.
          “Tak nak,” balas Rania, kasar. Brek tangan ditarik. Gear pula diletakkan pada kedudukan N.
          “Awak nak pergi mana ni?” soal Razlan  apabila Rania   membuka pintu kereta.
          “Saya dah tak nak belajar. Saya nak berhenti.” Serentak itu pintu dihempas dengan kuat.
Razlan   menggelabah. Dia betul-betul tak sangka Rania akan bertindak senekad itu.
Keluar dari kereta, kemudian masuk semula lalu duduk di tempat pemandu. Kereta digerakkan ke bahu jalan, berhenti, lalu keluar semula dan berjalan ke arah Rania yang sudah pun duduk atas bangku di perhentian bas berdekatan. Kemudian duduk di sebelah gadis itu.
“Jom, sambung belajar.”
“Tak nak.” Tegas suara Rania. Mata dibawa pandang ke arah lain. Tak rasa nak pandang pun muka Razlan. Yalah, dari tadi tak sudah-sudah nak membebel. Tak habis-habis nak sebut pasal kelemahan dia. Benci tau!
 “Rania,  marilah,” pujuk Razlan, lembut. Kalaulah dia gagal memujuk, apa dia nak jawab dengan Pak Cik Raof. Pagi tadi beria-ia Pak Cik Raof  berpesan agar dia dapat mengajar Rania  dengan baik. Kalau boleh Pak Cik Raof nak dia ubah diri Rania. Dari penakut dan tidak sukakan memandu kepada rasa suka dan seronok.
Tapi belum apa-apa, ini pula yang jadi. Dalam hal ini, memang dia salahkan diri sendiri. Kalau dengan orang lain dia boleh bersabar dan bertolak ansur tetapi entah kenapa sebaliknya pula apabila dengan Rania. Mungkin sebab sikap Rania   yang suka melawan kut.
Dengan muka mencuka, Rania geleng.
“Kan saya dah cakap, saya nak berhenti. Saya dah tak nak belajar dah.”
“Janganlah macam ni, Rania. Kesian Pak Cik Raof tau? Besar harapan dia dekat awak. Kalau awak tetap dengan niat awak tu, mesti dia kecewa.”
Rania  tidak berganjak sedikit pun. Muka Razlan  dikerling tajam. Tiba-tiba saja sebut nama ayah, apa hal? Takutlah tu! Padan muka. Buat lagi perangai macam tu. Taulah awak tu pengajar tapi perlu ke nak menyindir dan marah-marah? Kalau macam inilah cara Razlan mengajar, sampai bila-bila pun dia takkan berjaya dapat lesen memandu. Tengoklah kalau tak percaya.
“Awak nak saya dukung awak ke?” Razlan mengengsot mendekati Rania. Yalah, cakap baik-baik tak jalan, cuba ugut macam tu pulak, tengok berkesan ke tidak.
“Heh! Awak jangan macam-macam, eh?” Rania bergerak ke tepi. Mata tajam merenung Razlan. Kalaulah lelaki ini betul-betul buat seperti yang dicakapkan sebentar tadi, dia sudah bersedia. Dia akan guna buah silat yang dia belajar semasa di sekolah rendah dahulu.
 “Kalau awak tak bangun, tak masuk balik dalam kereta... saya dukung awak. Saya tak kira. Apa nak jadi pun jadilah.” Razlan   membongkokkan sedikit badannya. Tangan dihulurkan kepada Rania. Saja nak takutkan gadis itu.
“Hei! Apa ni? Janganlah main kasar.” Rania  berteriak.
“Okey... okey, saya masuk balik dalam kereta. Puas hati awak, kan?” Dia bangun, lalu berjalan laju ke kereta.
Razlan sengih. Berjaya juga taktik aku. Di belakang Rania, dia melangkah.
“Ini hari terakhir awak ajar saya tau?” ucap Rania. Dengan muka masam dia masuk ke dalam kereta.
“Kut ya pun marah sangat, janganlah sampai hempas pintu,” tegur Razlan. Ketika itu dia sudah berada dalam kereta.
“Lepas ni saya nak minta cikgu lain yang ajar saya. Saya tak nak belajar dengan awak.”
“Cikgu lain?” Razlan  gelak besar.
“Kalau awak nak tau, dekat sekolah memandu tu, saya yang paling okey. Kalau dapat cikgu lain,  masak awak. Lagi teruk dia orang layan awak nanti. Boleh nangis tau?”
Lama Rania   pandang muka Razlan. Boleh percaya ke dia ni?
“Lantaklah, saya peduli apa?” Cakap sajalah macam tu. Yang penting, jangan tunjuk sangat kat depan Razlan  kata dia dah cuak.
“Okey, tak apa, saya nak tengok. Jangan lepas ni awak cari saya semula. Merayu-rayu, melutut supaya saya ajar awak balik.”
Rania   membeliakkan matanya. Merayu-rayu? Melutut? Eiii, perasan sungguh! Macam manalah aku boleh terjebak dengan mamat jiwa kacau ni.
“Okey, teruskan pemanduan awak.” Razlan  memberi arahan. Buat-buat tak nampak muka Rania yang berang.
Rania   tak beri respons. Dia hanya mencerlung Razlan. Kalaulah boleh ditelan, memang dia dah telan makhluk ni hidup-hidup.
“Tau la saya handsome,  tak payah  nak renung sangatlah. Nanti terjatuh hati, macam mana? Saya belum bersedia nak terima pinangan orang.” Razlan  berkata selamba.
 Mamat ni memang jenis perasan tahap langit ke tujuh. Helo! Siapa pula la yang nak terjatuh hati dengan dia tu? Siapa yang nak pergi pinang dia? Eiii tolonglah!
Baru tangan nak pegang gear, tiba-tiba Rania menjerit kuat. Automatik pintu dibuka. Kelam-kabut dia meloncat keluar dari kereta.
“Awak dah kenapa!”
“Lipas!” Dengan rupa cemas, Rania menudingkan jari telunjuknya ke arah  seekor lipas yang sedang merayap pada dashboard.
Razlan segera menangkap lipas tersebut, lantas membuang melalui tingkap.
“Lipas dah tak ada. Masuklah.”
Teragak-agak Rania masuk semula ke dalam perut kereta.
“Menjerit macam tengok naga. Padahal lipas aje kut.”
Rania menjeling geram. Mulut kalau tak menyakitkan hati orang, tak boleh agaknya.
“Kalau naga, awak dulu yang kena sembur dengan api.”
“Melawan! Dengan saya bukan main berani lagi. Dengan lipas yang tak sampai dua inci tu, kenapa takut?”
Malas nak melayan, Rania capai gear... terus masuk ke gear D. Tapi belum sempat memulakan pemanduan, Razlan   bersuara lagi.
“Bismillah jangan lupa. Apa-apa pekerjaan pun mulakan dengan bismillah. Insya-Allah segala urusan kita akan Allah permudahkan.”
Rania kerling. Setiap kali nak mula pandu kereta, itu jugalah yang Razlan ingatkan. Macamlah dia tak reti sangat.
Sengaja Rania melafazkan dengan kuat. Bukan setakat bismillahirrahmanirahim, dia siap baca doa menaiki kenderaan lagi. Ambik kau! ingat orang tak reti sangat?
“Alhamdulillah. Saya tau anak Pak Cik Raof memang terdidik dengan baik.”
Ini, memuji atau menyindir? Orang kalau dah biasa menyindir, memang dia takkan ikhlas dalam memuji. Faham sangat.
Signal!!”
Signal lagi. Hisy! Macam mana boleh lupa ni? Tolonglah peka Rania   ooi! Jangan bagi peluang dekat Razlan untuk herdik kau.
 “Jangan lepas ni saya gelar awak Rania Signal pulak,” perli Razlan.
“Awaaak!!!” jeritnya kuat seraya pandang Razlan. Lupa seketika yang dia sedang memandu.
“Woi, Pandang depan!” sergah Razlan   apabila kereta sedikit tersasar ke bahu jalan. Pantas tangannya menolak stereng.
Cepat-cepat Rania kalih pandangannya ke jalan raya di depan. Bertenang Rania , bertenang. Jangan layan sangat mamat senget ni. Ini kali terakhir kau belajar dengan dia. Ingat tu!
“Awak nampak tak masjid kat depan sana tu? Berhenti kat situ.”
“Kenapa nak berhenti kat masjid pulak?”
“Saya nak ajak awak main congkak kat situ.” Selamba Razlan  jawab.  
Dia ni tak habis-habis nak perli orang. Benci!!!
“Kita berhenti solat asar sekejap. Waktu asar dah masuk.”
Rania  jadi malu sendiri. Apa pasal dia pergi tanya macam tu? Dah sah-sah masjid tu tempat orang solat. Memang patut sangat kena sindir dengan Razlan.
Sebaik Rania berhentikan kereta, Razlan terus keluar. Tapi baru menapak beberapa langkah, dia berpatah balik. Pintu kereta sebelah penumpang dibuka lalu dia menjenguk ke dalam.
“Awak period ke?”
Bulat mata Rania. Muka dah kemerahan. Segan sungguh dengan pertanyaan Razlan  itu. Bercakap tak berlapik langsung. Bukanlah tak boleh tanya, tapi beralas la sikit. Awak tu lelaki. Tanya macam tu dekat perempuan, tak reti malu ke?
“Mana ada?”
 “Dah tu jomlah masuk masjid sekali. Kita solat kat sini.”
“Tak apa, saya solat kat rumah aje.” Sekarang hampir pukul lima. Pukul enam tamat belajar memandu. Dalam pukul enam lebih dah boleh sampai di rumah. Sempat sangat nak solat asar. Masih banyak waktu lagi.
“Dah alang-alang kita berhenti kat masjid, solat aje la kat sini. Lagipun tak baik melambat-lambatkan solat tau?”
Terkena sebiji atas batang hidung. Razlan ni dah jadi macam ayah pula. Menegur dalam lembut. Tapi ayah tu lainlah, ayah sendiri. Tak adalah nak rasa malu sangat kalau kena tegur macam tu. Tapi teguran Razlan   tu memang betul-betul buat dia rasa segan sungguh.
“Saya tak bawak telekung.” Masih nak beri alasan. Bukan apa, dia  keluar dari rumah tadi sehelai sepinggang. Hanya wallet yang dia bawa. Bedak dan lipstik memang dia tak bawa. Lepas solat nanti, haruslah muka dia pucat lesi. Tak kisahlah siapa pun Razlan  tu, tapi dia memang tak selesa kalau muka dalam keadaan macam tu. Hilang keyakinan diri. Rasa macam hodoh sangat.
“Kat dalam masjid tu banyak telekung, cik adik. Lagipun pakaian awak ni pun menutup aurat, dah siap pakai stoking lagi. Tak ada masalah untuk solat. Islam tu mudah, jangan susahkan.”
Hendak tak hendak Rania keluar dari kereta. Di belakang Razlan, dia melangkah perlahan.
“Kita tak tau bila ajal akan menjemput kita. Ajal datang bila-bila masa dan di mana sahaja. Sesaat pun tak tunggu kita, tau. Kadang-kadang tengah sihat macam ni pun, kita boleh mati. Mana tau, tengah-tengah syok ajar awak memandu sekejap lagi, tiba-tiba saya djemput pergi. Sekurang-kurangnya saya dah sempat solat asar.” Tanpa pandang Rania   yang sedang melangkah di belakang, Razlan   memberikan sedikit tazkirah.
“Bila kita solat awal, kita akan rasa kita ada banyak sangat masa. Percayalah cakap saya.”
Kalau sebelum ini, ucapan Razlan  sering buat Rania rasa nak lempang pipi lelaki itu berkali-kali tapi tidak untuk kali ini. Hatinya rasa sejuk dan tenang sekali. Tak sangka dengan mulut dan tingkah laku dia yang sering menyakitkan hati itu, Razlan punya ciri lelaki Islam yang baik

No comments: