Sunday, April 23, 2017

Bulan cinta bab 13




 LEBIH kurang jam 12.50 tengah hari, Rania dan Hanafi sampai di Green Net Solutions. Tanpa membuang masa, mereka terus menapak ke dalam kedai komputer yang terletak bersebelahan restoran itu. Ketika itu tiga orang lelaki berada di situ. Rania percaya, mereka adalah  kaki tangan di situ.
Rania mengeluarkan kad nama yang diberi Cik Melly tadi. Melihat sekali lalu sebelum memasukkan semula ke dalam tas tangan.
“Encik, boleh saya jumpa Encik Rizman?” Rania memilih untuk bertanyakan salah seorang daripada lelaki tersebut. Lelaki lewat dua puluhan yang sedang menghadap komputer itu menoleh.
          “Cik ni siapa ya?”
          “Saya Rania. Encik ni Encik Rizman ke?”
          “Eh, bukan, saya Malek. Cik Rania dari?”
          “Saya dari F&F Movers.”
          “Ooo... Rizman ada cakap tadi.”
          “Dia ada ke?” 
          “Dia ada dalam bilik. Marilah masuk.” Lelaki itu menghalakan tangannya ke arah sebuah bilik.
          “Sekejap eh?” Rania meninggalkan Malek, lalu berjalan mendekati Hanafi. Rakan sekerjanya itu sedang ralit membelek dereten mouse yang tergantung di sebelah kiri kedai.
          “Napi, ikut aku.” Rania bersuara perlahan.
          “Pergi mana?”
          “Jumpa Rizman.”
          “Kau pergi ajelah. Aku tunggu kat sini.”
          Bulat mata Rania pandang Hanafi.
“Kau nak biarkan aku masuk sorang-sorang?”
          “Yalah, apa salahnya masuk sorang-sorang?”
          “Mana boleh? Kau kena temankan aku.”
          “Aku bukan ada urusan pun kat dalam tu.”
          “Kau kena temankan aku. Buatnya ada Rizman aje kat dalam bilik tu, macam mana? Takkan kau tergamak biarkan aku berdua-duaan dengan dia? Lagipun kita langsung tak kenal dia. Entah-entah dia tu ketua gangster ke, ketua lanun ke, bapa ayam ke... mana kita tau?”
          Hanafi ketawa. Mengarut betul Si Rania ni. Boleh dia terfikir sampai ke situ?
          “Cik Rania, Rizman tu bukan ketua gangster, bukan ketua lanun... bapa ayam pun bukan. Dia reti buat business komputer aje.” Tiba-tiba suara itu berbunyi dari belakang Rania.
          Rania lantas berpaling.  Alamak! Maleklah. Kantoi! Jangan Malek pergi mengadu dekat Rizman dahlah. Marah nanti Rizman tu.     
Hanafi dah ketawa-ketawa.
“Rania ni memang suka bercakap yang bukan-bukan. Banyak sangat tengok drama Korea. Maafkanlah dia.”
 Rania senyum tapi nampak sumbang. Nak pandang muka Malek pun dia segan. Tapi ayat Hanafi tu memang ayat minta kena debik. Eh, bila masa dia banyak tengok drama Korea? Cakap ikut sedap mulut saja. 
“Jomlah ikut saya. Jangan risau, Rizman tu orang baik-baik. Insya-Allah awak selamat dengan dia.” Malek senyum.
 Meninggalkan Hanafi, Rania mengikut langkah Malek ke bilik yang ditunjukkan tadi. Tiga kali Malek mengetuk, sebelum menolak daun pintu dan menjenguk ke dalam.
“Laa... mana pulak perginya Rizman ni? Baru sekejap ada, dah tak ada pulak. Chipsmore betul la dia ni.” Perlahan Malek merungut.
“Cik Rania masuk dulu, duduk kat kerusi tu. Sekejap lagi dia datang.”
Rania akur. Masuk ke dalam, lalu duduk di kerusi tamu yang Malek tunjuk. Di depannya meja kerja yang agak besar, serta kerusi yang juga besar.
Malek beredar dari situ tetapi mungkin kerana kata-kata Rania tadi, pintu bilik sengaja tidak dikatup. Dibiarkan separuh terbuka.

Baru matanya nak meneroka lebih jauh, terdengar suara bercakap-cakap dari muka pintu di belakangnya tapi dia tidak menoleh. Mungkin Malek dengan Rizman. Sengaja dia buat-buat sibuk dengan telefon di tangan. Padahal, buka Instagram saja pun. Tengok gambar-gambar sendiri.
“Assalamualaikum Cik Rania.”
“Waalaikumussalam.” Salam dijawab perlahan. Rania yang menunduk, angkat muka pandang si pemberi salam yang sudah pun berdiri di depan meja. Oh, jadi inilah Rizman. Masih muda, mungkin berusia sekitar lewat dua puluhan. Berkaca mata, berkulit cerah serta  agak tinggi orangnya.  Meski pun hanya memakai t-shirt leher bulat lengan panjang dan berseluar jeans, tetap terserlah kekacakan lelaki itu.
Mata bertentang mata, lidah kelu untuk berkata. Mahunya tak kelu, Rizman renung dia tak berkelip. Lama pula tu. Sepertinya ada sesuatu pada muka dia yang menarik perhatian Rizman untuk terus memandang.
Rania berdeham. Bukan apa, nak menyedarkan Rizman yang seperti sedang kena pukau itu.
“Oh, maafkan saya. Rupa awak mengingatkan saya pada seseorang.” Rizman nampak serba salah. Malu dengan sikapnya sebentar tadi.
“Oh ya ke?” Rania menghulurkan senyuman. Dia tak pelik pun. Dalam dunia ini kan ada tujuh manusia yang berwajah serupa. Adalah tu mana-mana kenalan Rizman yang berwajah serupa macam dia.
“Okey, sebelum kita memulakan perbincangan, saya ucapkan selamat datang ke Green Net Solutions. Syarikat kami tak besar sangat, maklumlah baru lagi kan? Antara perkhidmatan yang kami tawarkan, menyelenggara komputer, laptop dan printer, membekalkan peralatan ICT dan perisian komputer kepada universiti, jabatan kerajaan, syarikat-syarikat korporat. Ada apa-apa lagi yang Cik Rania nak tau?”
Rizman sengih. Sebenarnya tak perlu pun nak beri penerangan macam tu, tapi sajalah nak tutup malu tadi.
“Cukup.” Cepat Rania jawab. Yalah, dia datang bukan nak dengar taklimat.  Jadi tak perlulah Rizman bercakap panjang-panjang.
“Tadi tu, saya minta maaf kalau Encik Rizman kena tunggu lama.“
“Memanglah saya tunggu lama. Tapi saya tunggu dalam bilik... bukannya tunggu kat tepi jalan. Tak ada masalah pun. Lagipun bukan benda disengajakan. Cuma itulah, kesian dekat Hasnan. Macam mana keadaan dia, kereta dia? Teruk ke?”
          “Entahlah, tak tau pulak saya.”
          “Harap tak ada apa-apalah. Oh ya, awak datang dua orang, kan? Mana lagi sorang?”
          “Kat luar.”
          “Tak apa ke awak sorang-sorang dengan saya ni? Tak risau ke?” Rizman senyum nakal.
          Kenapa Rizman tanya macam tu? Dia ada dengar apa-apa ke? Atau Malek ada bagi tahu dia pasal tadi?
          “Jangan risau, saya bukan ketua gangster, saya bukan  ketua lanun... bapa ayam memang taklah. Tapi makan ayam memang saya suka.” Rizman ketawa perlahan.
          Rania dah kemerahan mukanya, malu. Memang sah, Malek yang mengadu pada Rizman. Hisy, benda remeh macam itu pun nak mengadu. Macam budak-budak.
          “Maaf Encik Rizman. Terlepas cakap tadi.” Rania tersipu-sipu.

“Tak apa. Saya tak marah pun. Awak baru kenal saya, dan awak tak tau pun saya ni orang yang macam mana. Jadi memang patut sangatlah kalau nak syak saya macam tu.” Kuat kali ini Rizman gelak. Memang dia rasa lucu sungguh saat diberitahu Malek tentang itu.
“Cuma saya musykil, kenapa ketua gangster, ketua lanun, bapa ayam?” Dengan kedua-dua belah telapak tangan melekap di pipi dan siku menongkat pada meja, Rizman tetap tidak melarikan pandangannya dari muka Rania. Bibirnya pula mewah dengan senyuman.
Rania hanya tayang sengih. Tak ada idea. Tadi tu dia main cakap saja.
“Boleh kita mulakan perbincangan  kita, Encik Rizman?” Kalau boleh Rania memang nak menyiapkan kerja dengan cepat. Bukan apa, perutnya dah lapar benar dah ni. Risau kalau datang penyakit gastrik pula. Lagipun dia risaulah tengok Rizman ni. Nak mengurat dia ke apa ni? Renungannya tu lagilah, sesuatu sangat.
 “Sebelum tu, tak payahlah nak berencik-encik dengan saya. Panggil aje saya Rizman.”
          Rania sekadar membalas dengan senyuman. Dalam masa sama, rasa macam nak tarik tangan lelaki itu dari pipi. Tak perlu kut macam tu.  Duduk bersandar elok-elok pada kerusi takkan tak boleh? Mata tu pulak, boleh tak pandang ke tempat lain? Rimaslah!
          “Encik Rizman, saya tak tau apa-apa langsung perbincangan Encik Rizman dengan Hasnan sebelum ni. Jadi mungkin Encik Rizman boleh beritahu saya secara ringkas.” Tanpa menghiraukan Rizman yang terus-terusan merenungnya, Rania mengeluarkan pen dari tas tangan, serta membuka organiser yang memang dia dah letak  atas meja tadi.
          “Selagi awak panggil saya encik, saya takkan mula.”
          “Biasalah panggilan encik tu. Encik Rizman kan klien syarikat kami.”      “Cik Rania...”
          “Okeylah. Tapi awak pun tak payah la panggil saya cik.”
          “Okey, tak ada masalah,” balas Rizman.
          “Sekarang kita mula...” Mata pen sudah berada pada halaman yang kosong. Hanya tunggu masa untuk mencatat.
          Rizman tak jawab, sebaliknya pandang Rania lagi dengan senyuman.
          “Kenapa Encik Rizman?”  
“Awak datang-datang aje terus nak buat kerja. Kut ya pun, minumlah dulu. Saya buatkan minuman untuk awak dulu ya?”
“Eh, tak apa. Saya datang memang nak buat kerja pun. Tak payah susah-susah. Boleh tak kita mula sekarang? Cepat kerja saya selesai, cepat saya boleh balik.”
“Saya tau awak memang pekerja yang baik, pekerja yang berdisiplin. Untung syarikat, ada pekerja macam awak.”
 “Macam ginilah. Saya tinggalkan borang ni dekat Encik Rizman.  Nanti penuhkan dan emel pada saya semula. Kalau boleh secepat mungkinlah.”  
Terpaksa Rania bertindak pandai macam tu. Nampak gaya, memang dia akan kena marah dengan Cik Melly. Tapi nak buat macam mana, Rizman tak nak beri kerjasama.
 “Okey, Rizman, saya rasa kerja saya dah selesai. Sekarang ni saya tunggu emel dari awak aje. Lepas tu pihak kami akan mengeluarkan sebut harga.”
“Eh! Kita belum mula lagi pun. Macam mana pula awak kata dah selesai, Rania?” Rizman dah mula kalut. Bangun ke rak berhampiran, lantas mengambil satu fail dari situ.
“Dah tu dari tadi saya tanya, awak macam tak berminat langsung. Saya ni jenis orang yang tak suka buang masa tau?” Muka Rania dah sedikit masam. Lantaklah kalau Rizman nak terasa dan mengadu dengan Cik Melly pun. Dia cakap apa yang betul.
Seraya ketawa, Rizman menggeleng-geleng. Rania memang jenis yang sangat berterus terang.
“Siapa cakap saya tak berminat? Saya ni berminat sangat, Rania. Sangat-sangat berminat.” Lain macam sungguh ucapan Rizman tu. Macam ada makna tersorok. Lagi sekali dia tunjuk senyuman dia yang manis bermadu tu.
“Kita mula sekarang?”
“Okey.” Lantas Rizman membuka fail di depannya.
Dalam dua puluh minit juga perbincangan berlangsung, sebelum Rania meminta diri untuk balik.
“Kalau ada apa-apa perubahan dari segi tarikh, kuantiti dan sebagainya, saya akan maklumkan kepada awak, Rania.”
“Hubungi Hasnan. Saya cuma ganti dia untuk hari ni aje.”
“Kalau saya nak cakap dengan awak jugak?”
“Saya tetap akan panggil Hasnan untuk bercakap dengan awak. Sebab memang kerja dia pun.”
Rizman mengeluh. Tak puas hati dengan ucapan Rania tu.
“Saya balik dulu.”
“Jom kita makan dulu. Kat sebelah ni ada restoran masakan Minang, sedap sangat. Lagipun ini dah masuk waktu makan tengah hari. Memang masa makan pun.” Bersungguh Rizman mengajak.
Ikutkan perut yang lapar, memang Rania nak terima pelawaan itu tapi dia kan sedang bertugas, Rizman pula klien. Macam tak sesuai gitu. Nampak macam ada unsur-unsur suapan di situ. Lagipun dia tak mahu termakan budi. Susah nak balas nanti.
“Terima kasih ajelah. Saya nak cepat ni.”
Rizman senyum tapi nampak kecewa.
“Tak puas jumpa awak, rasa sekejap sangat.”
“Ya ke sekejap? Setengah jam juga kan saya kat sini?” Setengah jam dia jumpa Rizman, tapi dia rasa macam setengah hari dia berada di situ. Macam lambat sangat jarum jam bergerak. Mungkin sebab angin yang dah menyerbu ke kepala.
“Setengah jam ke? Kenapa saya rasa macam setengah minit aje?”
Rania ketawa. Suka berguraulah Rizman ni. Kelakar!
“Saya balik dulu.” Kali ke dua Rania meminta izin.

Rania tergamam. Tak sempat dia nak cakap apa-apa, Rizman sudah berdiri terpacak, rapat di sebelahnya. Malah tak sempat bibirnya nak mengukir senyuman, Rizman dah siap rakam gambar mereka berdua.
“Nanti, saya WhatsApp gambar ni untuk awak.”
 “Okeylah, saya minta diri dulu. Assalamualaikum.”  Sebelum Rizman lebih mengarut dan sebelum dia pitam dekat sini sebab angin dalam perutnya sudah pun hampir bertukar jadi puting beliung, baik dia beredar sahaja.
“Waalaikumussalam.” Senyuman manis Rizman dan lambaian tangannya mengiringi kepulangan Hanafi dan Rania tengah hari itu.

No comments: