Sunday, April 23, 2017

Bulan cinta bab 9




AWAT tak habaq awai-awai kata nak balik? Lan ni suka buat mama terkejut. Dahlah balik tengah-tengah malam pulak tu.” Rasa terperanjat Puan Khalida masih belum habis lagi apabila pintu hadapan dibuka orang tadi. Mati-mati dia duk ingatkan pencuri. Dahlah sekarang musim orang pecah masuk rumah. Sekarang ni memang dia jenis yang hanya tidur ayam sahaja. Pantang dengar bunyi sikit, memang cepat dia terjaga.
Keluar dari bilik tadi, sempat dia mencapai batang penyapu.  Sebagai persediaan andai rumahnya betul-betul dimasuki pencuri. Nasib baik tak sempat ayun batang penyapu tu. Kalau tidak berbirat juga badan Razlan.
“Lan dah mesej mama. Dahlah Lan call, mama  tak jawab.”
Betui ka Lan ada mesej mama, call mama?” Puan Khalida kerut dahi, buat-buat berfikir.
Betui, ma.”
Sudahnya Puan Khalida sengih. Memang salah dia. Suka letak telefon di merata-rata tempat. Sekarang, entah dekat mana telefon tu, dia langsung tak ingat.
“Kalau dah buat muka lagu tu, confirm tak baca la tu.”
“Mama tak jumpa telefon mama. Tak tau mana mama letak.”
“Dah agak dah. Mama... mama.. orang pakai telefon, mama pun nak pakai. Lepaih tu dok letak meghata.
“Tak penting pun telefon tu. Tak dak sapa nak caghi mama.”
Habih Lan ni tak penting? Lan tak caghi mama?”
Tak tau nak jawab macam mana, Puan Khalida hanya mampu tayang sengihnya lagi.
“Ni pasai apa tak dak angin tak dak ribut, tup-tup balik ni?”
Bulat mata Razlan. Melampaunya soalan mama. Seolah-olah macam tak suka dia balik pula.
“Kalau mama tak suka Lan balik, tak apa la. Tunggu siang sat lagi, Lan pi KL balik.”
Puan Khalida melepas tawa.
“Mama tanya lagu tu pun nak merajuk. Manja sangat aih anak mama ni.”
Giliran Razlan pula ketawa. Sebenarnya tak adalah merajuk pun. Sajalah nak bergurau dengan mama. Dah lama sangat tak jumpa mama. Kali terakhir tiga bulan lepas, sewaktu dia menghadiri majlis perkahwinan Amirul, kawan baik dia sejak kecil. Selepas itu dia sentiasa sahaja sibuk.
Ikutkan sekarang ini pun dia sangat sibuk, tapi ingatan yang kuat terhadap mama menyebabkan dia berada di sini sekarang. Entah kenapa selepas kena tumbuk dengan Syafiq petang semalam, dia jadi teringatkan mama. Rasa sangat bersalah kerana membiarkan mama seorang diri di kampung. 
“Lan rindu mama,” ujar Razlan dengan rasa sebak. Agaknya kalau tak kerana kena tumbuk dengan Syafiq, sampai sekarang dia masih berada di Kuala Lumpur. Masih lagi dengan kerja yang tak pernah habis. Dia dapat merasakan peristiwa kena tumbuk itu adalah peringatan untuk dirinya yang telah melalaikan seorang ibu. Ya, nampak ada hikmahnya di situ.
Betui ka rindu mama?” Puan Khalida ikut sebak.
Betui la. Tapi mama tak rindu Lan pun. Ajak dok dengan Lan kat KL pun tak mau.”
“Tak baik tuduh mama lagu tu. Emak mana tak sayang anak, Lan. Emak mana tak rindu anak bila duk jauh lagu ni? Kalaulah Lan tau apa yang dok ada kat dalam hati mama ni.”
“Dah tu... mai la ikut Lan dok KL.”
 “Pokok petai, ram...”
“Pokok petai, rambutan, langsat, dughian mama yang tengah dok berbuah tu kan?” Cepat Razlan potong bicara Puan Khalida. Tak sempat mama nak habiskan ayat. Mama ni kan, selagi boleh beralasan selagi itulah mama akan cipta alasan.
Cepat mama angguk.
“Okey, agak-agak berapa hasil yang mama dapat dari pokok-pokok tu? Lan boleh bayaq.”
“lima ribu.”
“Okey... nanti Lan bagi mama lima ribu.”
“Mama melawak ja. Mama tak mau duit Lan.”
“Suka hati mamalah. Yang Lan tau, mama kena ikut Lan balik KL.”
“Tiga haghi.”
“Tiga haghi? Awat sat sangat?”

“Lan mana boleh tinggai gheja lama-lama ma? Ini pun nasib baik ada oghang ganti Lan kat sekolah memandu tu. Kat kafe tu pun payah juga kalau Lan tak dak. Ni pun Lan balik sebab mama.”
Sambil pandang Razlan, Puan Khalida senyum. Razlan memang anak yang baik.
“Lagi tiga haghi mama ikut Lan balik KL.”
“Tak mau aih.”
“Syarat yang mama bagi kat Lan dulu, ada Lan ikut? Tak dak kan?”
“Syarat?” Razlan buat-buat berfikir. Konon nak beritahu mama yang dia lupa. Sebenarnya tak lupa pun. Mana boleh lupa dengan permintaan mama itu? Tapi itulah, mama ingat senang ke nak cari calon? Dia tak rasa dia boleh jumpa dalam masa yang singkat.
Selain beriman, cantik, baik hati dan dapat terima dia seadanya, ada satu ciri yang paling utama yang perlu ada pada bakal isterinya. Gadis itu haruslah boleh jadi kawan baik mama dan boleh sayang mama seperti mana dia sendiri. Pada dia, gadis macam itulah yang paling susah dia nak dapat.
“Amboi, dia nak kata dia tak ingat la tu.” Mama mencebik.
“Ingat, ma. Lan tengah dok caghi la ni.” Cakaplah dulu macam tu walaupun dia tak pernah mencari pun. Malah belum terfikir pun ke arah itu. Fokusnya adalah untuk membahagiakan mama terlebih dahulu.
“Mama tak percaya.”

No comments: