Sunday, April 23, 2017

Bulan cinta bab 6



MESYUARAT sudah hampir satu jam berjalan. Tapi apa yang dibincangkan langsung tidak menarik minat Rania. Nak minat macam mana kalau dah Puan Pengerusi duk membebel sorang-sorang? Itu namanya mesyuarat syok sendiri.  

Tapi apa dia nak hairan. Cik Melly memang jenis hanya dia yang betul dan nak semua orang dengar cakap dia sahaja. Konon setiap kali bermesyuarat, dia nak semua ahli mesyuarat bersikap proaktif dan banyak bercakap. Beri cadangan dan pendapat bagaimana mahu meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan.

Kata Cik Melly, dia tidak mahu ahli mesyuarat yang sekadar datang untuk mendengar dan menjadi tukang angguk sahaja. Tapi masalah Cik Melly tu, cakapnya tak serupa bikin. Konon nak minta cadangan dan pandangan daripada semua ahli mesyuarat tapi bila ada yang memberikan idea dan pendapat semuanya ditolak, semua dibangkang.

Kalau dah macam tu, kenapa minta pendapat? Apa guna diadakan mesyuarat? Baik tak payah. Masa tak terbuang, hati pun tak sakit. Sebab itulah Rania nekad untuk diam-diam sahaja hari ini. Dia hanya akan dengar apa yang Cik Melly nak cakap.

Sedang asyik melayan hati, tiba-tiba terdengar bunyi seperti lembu melenguh. Mula-mula perlahan, tapi semakin lama semakin kuat pula. Cik Melly berhenti bercakap. Mata menghala tajam ke arah Rania. Begitu juga dengan pegawai-pegawai lain.

Eh! Apa hal pulak semua pakat tengok aku semacam ni? Aku buat salah ke? Rania  dah menggelabah.

Selepas itu baru dia perasan. Rupa-rupanya mereka semua bukan pandang dia tetapi pandang Muna yang duduk di sebelahnya. Entah masa bila Muna tertidur, dia memang tak sedar langsung. Punyalah lena sampaikan keluar bunyi dengkuran.

“Muna, bangun. Apa tidur ni?” Rania   berbisik perlahan. Di bawah meja, dia menepuk-nepuk paha Muna.

Serta merta Muna mencelikkan matanya. Yang kelakarnya sebaik celik mata, Muna dengan muka selamba terus menyanyi. Lagu rock kapak. Alah, lagu Akar dan Bumi nyanyian Bandi Amuk tu. Siap meneran-neran lagi. Konon nak bagi tahu semua orang, yang tadi tu bukan bunyi dia berdengkur tapi sedang menyanyi.

Piiiraaah Muna! Nak tipu pun agak-agaklah. Macamlah orang tak tahu. Hahaha...

Rania   dah gelak. Begitu juga dengan ahli mesyuarat lain. Tapi muka Cik Melly, serius habis. Bulat matanya merenung Muna.

“Muna, selesai mesyuarat nanti, datang jumpa saya.”

“Baik, puan pengerusi,” balas Muna tenang.

“Habis la kau, Muna. Mesti nak kena basuh tu,” bisik Rania lagi setelah semua memberikan perhatian kepada mesyuarat semula.

“Rileks la, Na. Tak ada apa la tu. Kita takut hanya dengan Allah, bukan dengan makhluk.”

Bab ni memang Rania tabik dengan Muna. Wanita itu tak pernah menggelabah. Dalam apa keadaan sekalipun, Muna masih mampu tersenyum dan bertenang walaupun semua pegawai dekat unit itu tahu macam mana Cik Melly punya ayat dan suara kalau dah marah sangat. Sifat itu yang dia tidak punya dan itu yang dia kena belajar daripada Muna.



SEDANG ralit mewarna, pintu hadapan dibuka seseorang. Tentu ayah. Sejak lepas asar tadi lagi ayah di halaman rumah menguruskan pokok-pokok hiasan. Itu adalah hobi baru ayah selepas berpencen. Kerana hobi itu jugalah, ayah kerap ke nursery di Sungai Buloh. Mencari pokok-pokok yang sesuai untuk ditanam.

Tanpa menghiraukan ayah, Rania meneruskan kerjanya. Memberikan warna-warna pada gambar lukisan. Hei! jangan fikir anak-anak kecil sahaja boleh melakukan aktiviti mewarna, orang dewasa juga boleh. Banyak buku-buku mewarna yang tersedia untuk orang dewasa di kedai-kedai buku atau boleh beli secara online juga.

Tapi bagi Rania sendiri, selain membeli di kedai-kedai buku, dia juga banyak memuat turun secara percuma dari blog-blog. Nak pilih gambar apa, semua ada tapi dia paling berminat dengan tema daun dan bunga.

          Rania memang suka mewarna. Setiap kali dapat memegang pensil pelbagai warna serta memberikan warna-warna pada  lukisan yang kosong, hati jadi tenang  sungguh. Terasa hilang semua stres dan masalah yang menghimpit diri.

          Seperti mana minatnya pada mewarna, begitu jugalah dia dengan bulan. Percaya atau tidak, dia boleh duduk berjam-jam lamanya di laman rumah hanya semata-mata untuk merenung bulan di atas sana. Di saat itu tiada apa yang dia rasa, selain tenang dan nyaman. Merenung bulan dan mewarna, dua hal yang jauh berbeza, tapi mempunyai peranan yang sama. Bisa menjadi terapi diri yang sangat mengesankan. Itu pendapat dia, pandangan orang lain mungkin tak serupa. Tapi tak salah mencuba, kan?

Seisi rumah tahu minat dia. Ayah paling memahami.

 “Ayah tahu Rara suka bulan, sangat kagum dengan bulan. Tapi apa salahnya sambil duk tengok bulan tu, sambil tu Rara berzikir, ingat Allah banyak-banyak. Tengok saja-saja pun tak guna. Buang masa dengan berangan tak sudah... itu kan perbuatan sia-sia.”

          Ya, itulah yang dilakukan. Menikmati indahnya ciptaan Allah seraya mengingati kebesaranNya. Percayalah, hati akan jadi semakin tenang dan lapang.

Tapi biasalah, tak semua orang faham kita. Samalah macam along tu. Apa yang dia buat, selalu tak kena di mata abang sulungnya itu. Hanya kerana kecintaan dia pada bulan dan mewarna, along anggap dia pelik, tak matang dan kebudak-budakan. Pada dia, tiada yang pelik pun. Masing-masing ada minat, ada kesukaan. Kebetulan apa yang dia suka, jarang disukai orang lain. Mungkin itu yang menyebabkan dia nampak pelik.

          Eh, kenapa ayah diam saja sejak tadi? Selalunya kalau masuk sahaja ke rumah, nama dia yang ayah seru dulu. Sambil berfikir begitu, Rania menjengahkan kepalanya ke ruang tamu. Automatik matanya jadi besar. Bukan ayah, sebaliknya Razlan yang sedang berdiri menghadap gambar keluarga yang tergantung pada dinding.

          Aik, apa mamat tu buat kat sini? Dia bukan ada kelas pun hari ni. Lagipun dah pukul enam lebih dah, nak mengajar apanya? Tapi kalau mengajar pun, perlu ke masuk sampai ke dalam rumah? Tak pernah-pernah pun selama ni. Ini mesti ayah yang mengajak. Biasalah ayah tu, pantang kenal orang, semua nak diajak datang ke rumah.

          Teringatkan diri yang tidak menutup aurat, Rania pantas berlari ke ruang dapur. Buku dan pensil-pensil warna dibiarkan berterabur atas meja kecil depan TV. Tak sempat nak  ambil.

          Sudah lebih lima minit. Rania sudah menggelisah di dapur. Ayah tak masuk-masuk lagi ke rumah. Dia tahu sebab dia tak dengar langsung suara ayah. Hisy, sampai bila dia nak menyorok kat sini? Pelahan-lahan dia menapak dan mengintai dari sebalik dinding yang memisahkan ruang makan dan ruang dapur. Mata terus ke ruang tamu. Razlan yang sedang duduk di sofa tiba-tiba berdiri.

          Dia terus menarik kepalanya apabila Razlan melangkah ke arah ruang rehat keluarga.

          “Alamak, buku mewarna aku. Habislah kalau dia tengok.” Rania dah jadi kalut. Mesti Razlan akan tengok lukisan yang dia sedang warnakan tadi. Tak boleh, dia tak mengizinkan Razlan buat macam tu. Dia belum bersedia untuk terima ejekan lelaki itu.

          Apa yang harus dia buat sekarang? Memang pakaian dia bersopan, tapi dia tidak pakai tudung. Takkan nak tayang rambut dia yang cantik ni dekat Razlan? Harus Razlan akan tangkap cintan terus dengan dia. Sambil itu, dia mengintai lagi. Razlan sedang mengambil buku mewarna dari atas meja. Ini tak boleh jadi. Sesuatu harus dilakukan bagi menghalang lelaki itu dari melihat hasil kerja tangannya.

          Malas nak fikir lebih panjang, Rania mencapai tudung saji dari atas meja, lantas menyerkup kepalanya. Tanpa bertangguh dia berlari meninggalkan ruang dapur, terus ke tempat Razlan sedang berdiri.

          Razlan baru nak menyelak muka surat pertama apabila Rania datang menyambar buku di tangannya. Sepantas kilat dan secepat itu pula Rania berlari ke tangga. Dengan tudung saji atas kepala itulah Rania menaiki anak-anak tangga menuju tingkat atas. Tapi baru di pertengahan tangga, tudung saji dilemparkan ke bawah.

          Tergamam, Razlan hanya pandang tanpa berkata apa-apa. Yalah, tiba-tiba aje. Tapi selepas itu dia ketawa. Perempuan ni memang kelakar. Boleh dia bertudung saji macam tu? Adoi, sakit perut dia ketawa. Cuma yang dia hairan, kenapa nak kena rampas buku tu? Dia cuma nak tengok saja. Tak ada niat lain pun.

“Laaa... kenapa tudung saji dekat sini?” Encik Raof yang baru masuk, mengambil tudung saji yang tergolek atas lantai, lantas membawanya ke dapur. Sebentar kemudian dia datang semula.

“Lan nak minum air panas atau sejuk? Pak cik buatkan.”

“Eh, tak apa pak cik, tak payah susah-susah.“

“Janganlah macam tu. Pak cik yang suruh Lan datang, kan? Kenalah minum sikit.”

“Tau... tapi saya tak ada masalah pun datang sini, pak cik. Sambil jumpa pak cik, saya boleh tengok-tengok pokok yang pak cik tanam tu.”

Encik Raof senyum. Inilah sebab kenapa dia boleh jatuh sayang dengan Razlan. Budi pekertinya baik, bersopan, hormat orang tua. Walaupun baru kenal, Razlan sangat pandai mengambil hatinya.

“Betul tak nak minum?”

“Betul.”

Baru nak labuh duduk atas sofa, mata terpandang pensil-pensil warna yang berterabur atas meja kopi.

“Hisy, Rara ni... boleh dia tinggalkan bersepah macam ni.” Sambil membebel, Encik Raof memasukkan pensil-pensil warna ke dalam kotak.

“Inilah kerja Rania kat rumah ni, Lan. Dia memang suka mewarna. Entah apa yang dia warna, bukan pak cik tau pun. Tapi itulah, tak suka nak mengemas balik.”

Rania yang sedang berdiri atas anak tangga paling atas, dah buat aksi geram. Ayah ni memang tau. Itu pun nak mengadu pada Razlan. Hisy, tak patut sangatlah ayah ni.

“Okey apa dia minat mewarna? Itu menunjukkan dia seorang yang kreatif, pak cik. Saya pun suka jugak main dengan warna tapi saya lebih kepada melukis. Cuma sekarang dah tak ada masa sangat. Siang mengajar memandu, malam kat kafe. Memang tak sempat.”

Rania dah tak berminat nak dengar jawapan ayah selepas itu sebabnya dia lebih teruja dengan pujian Razlan terhadap dia. Wah! tak sangka Razlan boleh cakap dia kreatif.

          Razlan, i love youlah. Muah, muah!         

No comments: