Wednesday, June 23, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 20

 

“MENUNG aje, Sha? Fikir apa ni?”

Dari kaca TV, Nisha alih pandangan kepada ibu yang baru duduk di sofa sebelahnya.

“Mana ada menung? Sha kan tengah tengok TV ni, bu.”

Puan Rahayu ketawa terkekeh-kekeh. Ingat dia nak percaya? Mata Nisha saja ke kaca TV, fikirannya entah merayau ke mana. Bukan sekali ni, dah selalu sangat Nisha tertangkap sewaktu sedang termenung panjang. Tapi macam selalulah, bila ditanya, tak pernah nak mengaku.

Sebetulnya, memang ada perkara yang sedang mengganggu fikiran Nisha. Tapi macam tak sesuai pula nak berkongsi dengan ibu. Tunggulah bila tiba masa dan ketikanya nanti. Ibu akan tahu juga.

“Bila Sha nak kahwin?”

Terus mata Nisha membulat. Angin tak ada, ribut tak ada, apa hal ibu tiba-tiba tanya pasal kahwin ni? Selama ni, tak pernah pula ibu ambil kisah tentang hal itu.

“Ibu ni mesti berjangkit virus Mak Cik Som ni kan?”

Semakin kuat Puan Rahayu ketawa. Lucu sangat komen Nisha tu. Tapi memang betul pun. Sejak asyik diasak dengan soalan yang sama oleh Puan Kalsom, dia tiba-tiba terfikir tentang itu. Yalah, sampai bila Nisha mahu terus bersendiri? Umur Nisha bukan semakin muda pun.

"Hisy, ada pulak nak kaitkan ibu dengan Mak Cik Som tu. Tak kena langsung.”

“Dah tu, sebab apa lagi? Sebelum ni ibu tak kisah pun. Tup-tup, hari ni pulak ibu nak tanya.”

“Ibu dah tua, Sha. Kalau boleh, sebelum ibu tutup mata, ibu nak tengok Sha bahagia dengan suami, dengan anak-anak.”

Ucapan Puan Rahayu yang bernada sayu itu berjaya buat Nisha sebak. Mata cepat benar nak bergenang.

“Ibu, jodoh tu kan urusan Allah. Kalau Allah dah kata esok jodoh Sha, esok juga Sha kahwin. Jodoh tak pernah silap alamat, bu. Jadi, ibu tak payah risau sangat pasal Sha, okey?”

“Memanglah jodoh tu urusan Allah, tapi kita pun kena usaha, Sha. Tak bolehlah berdiam diri aje.”

Ketawa jadinya Nisha dengan bicara Puan Rahayu itu.

“Sekarang ni ibu nak suruh Sha usaha macam mana? Cari lelaki, lepas tu ajak dia kahwin, macam tu? Bu, Sha ni kan perempuan. Tak naklah Sha jadi perigi cari timba pula.”

“Apa salahnya sesekali perigi cari timba?”

“Kalau dah itu kata ibu, esok juga Sha jumpa bakal menantu ibu tu. Sha terus ajak dia kahwin, okey?”

Belum sempat Puan Rahayu membalas gurauan Nisha itu, Jeffry tiba-tiba muncul dengan wajah ceria.

“Hei, Kak Sha nak kahwin ke? Syukur, alhamdulillah!” Kedua-dua tangannya ditadahkan ke atas, kemudian disapukan ke muka.

Puan Rahayu dan Nisha saling bertatapan sebelum kedua-duanya tertawa. Lucu dengan gelagat Jeffry itu.

“Kak Sha dah beritahu dia ke?” Bukan main teruja suara Jeffry.

“Dia siapa?” Puan Rahayu tayang muka berkerut, muka yang penuh tanda tanya. Seperti ada sesuatu yang disorokkan daripada dia.

“Jeff maksudkan siapa ni?” Giliran Nisha pula menyoal. Bulat matanya pandang Jeffry. Nak tahu juga. Sebabnya, bukan sekali ni adiknya menyebut begitu. Dah beberapa kali. Itu yang buat dia musykil.

“Eleh... pura-pura tanya konon!”

“Jeff, Kak Sha tak pura-pura la. Kak Sha tanya betul-betul ni. Sebab Jeff macam lebih tahu dari Kak Sha sendiri.”

“Betul Kak Sha tak tau?”

“Betul la!” Keras suara Nisha.

“Okey, Jeff cakap sekarang. Orang tu ialah...” Penuh yakin Jeffry menyebut, tetapi suaranya terhenti di situ. Tiba-tiba dia rasa tak yakin. Risau juga kalau telahannya itu tak betul. Nanti marah pula Kak Sha.

“Tak apalah, lain kali aje Jeff cakap.” Sudahnya itu yang keluar daripada mulut Jeffry.

 

“MARYAM tak boleh ikut, tau? Kat sana banyak nyamuk.”

Bising mulut Maryam apabila Sofea menyerahkannya kepada Hajah Aida.

“Amboi, dah pandai marah dah Maryam sekarang ya?” Pipi cucunya itu dicium lama. Lagi kuat suara Maryam menjerit.

“Nanti bila dah pandai bercakap, mesti Maryam ni kuat membebel kan, tok ma?”

“Nampak gaya macam tu la.” Lagi sekali hidung Hajah Aida melekap di pipi Maryam.

“Pergi la Fea. Tok ayah dah tunggu tu.” Bibir Hajah Aida  memuncung ke arah suaminya yang berdiri di sebelah kereta.

Sofea segera keluar dari pagar, lantas berjalan ke arah kereta Haji Zain yang diparkir di luar. Bersebelahan pagar rumah Puan Rahayu.

Patutlah tok ayah tak masuk-masuk ke dalam kereta, rupa-rupanya tengah bersembang dengan Jeffry. Lelaki itu sedang mengelap keretanya.

“Jeff tak pergi chalet ke hari ni?”

“Pagi ni chalet kosong, tak ada yang menginap. Petang karang baru ada yang masuk. Petang karanglah Jeff jenguk sekejap.” Terhenti seketika kerja Jeffry apabila Sofea datang.

“Tok ayah nak ke mana tu?” Melihat Sofea yang sudah berdiri di sebelah tempat duduk penumpang, Jeffry dapat mengagak yang Haji Zain nak bawa gadis itu ke mana-mana.

Tok ayah? Aik, sejak bila pula Jeffry panggil datuknya ni dengan panggilan tok ayah? Tempoh hari dah panggil tok ma. Hisy, sibuk aje nak panggil datuk dan nenek dia macam tu.

“Tok ayah nak bawa Fea melawat ladang lembu sekejap. Fea nak jumpa kawan dia kat situ.” Ayat tok ayah itu diakhiri tawa yang kuat.

Amboi, Haji Zain ni pun sama naik membahasakan dirinya tok ayah. Tapi siapa kawan yang tok ayah cakap dia nak jumpa tu? Musykil!

“Azrul tu kawan awak ke?” Laju Jeffry menyoal. Merujuk kepada  Azrul, pemuda yang bekerja di ladang lembu kepunyaan Haji Zain.

Laju Sofea menggeleng. Tak kenal pun siapa Azrul tu.

“Kawan Sofea tu, Jenab, Jali, Jijah, Jamian...”

Belum pun habis ayat Haji Zain, Jeffry dah tergelak dulu sambil memandang muka Sofea yang kebingungan.

“Kenapa awak gelak?”

“Jenab, Jali, Jijah dan Jamian tu nama lembu tok ayah la,” balas Jeffry bersama sisa tawanya.

“Tok ayah!!!” Sofea jegilkan mata.

Tok ayah ni memang la. Manalah dia tau lembu-lembu tu semua ada nama.

“Jeff tak nak ikut sekali?” Sambil membuka pintu kereta, Haji Zain mempelawa.

“Boleh juga!” Meninggalkan keretanya, Jeffry segera ke kereta Haji Zain.

 

“LAMBAT lagi ke tok ayah tu? Saya nak baliklah.” Sudah setengah jam mereka di kandang yang menempatkan 52 ekor lembu dan 36 ekor kambing itu dan Sofea tak rasa dia boleh berlama-lama lagi di situ.

“Tak tahan bau busuk ke?” Jeffry labuhkan punggung di atas bangku simen di sebelah Sofea.

“Kalau setakat bau lembu dengan kambing tu, saya boleh tahan lagi, tapi...” Sampai situ saja ayat Sofea. Nak sambung, tapi takut dikata perasan pula.

“Saya tau, awak terganggu dengan Azrul kan?”

“Awak pun perasan ke?”

Macam mana Jeffry tak perasan kalau dah mata Azrul asyik tertala pada Sofea saja dari awal mereka sampai tadi. Terang-terangan, tak sorok langsung. Cuma di depan Haji Zain saja Azrul menjaga matanya.

“Mestilah perasan. Dia pandang awak macam nak dikunyahnya hidup-hidup. Ikut hati, saya nak tegur aje dia tadi. Tapi risau tok ayah kata apa pulak.”

Sungguh, mulut dia rasa ringan saja tadi nak menegur Azrul. Tegur secara lembut, bukan tegur untuk cari gaduh. Cumanya dia tak ada peluang nak buat macam tu. Tok ayah sentiasa ada bersama Azrul. Lagi satu, dia terfikir juga bagaimana orangnya Azrul itu? Adakah jenis yang boleh menerima teguran atau sebaliknya?

“Macam tak pernah tengok perempuan.” Sofea merungut.

“Perempuan cantik macam awak kut dia tak pernah tengok.”

Sofea mencebik. Kalau orang lain boleh pandang dia dengan pandangan biasa, kenapa Azrul mesti pandang dia macam tu? Mulalah dia terfikir yang bukan-bukan.

“Saya, cantik?” Sofea lekapkan tangan ke dadanya sendiri.

“Cantik!” Jujur Jeffry mengaku. Yalah, dah memang Sofea cantik, dia cakaplah cantik.

“Kalau betul sebab cantik dia pandang saya macam tu, kenapa awak tak pandang saya macam tu juga?”

Jeffry tergelak kecil.

“Awak mana boleh samakan saya dengan dia. Malah awak tak boleh samakan saya dengan mana-mana lelaki pun, Sofea.”

Okey, dia setuju dengan Jeffry. Tidak sepatutnya dia berkata begitu.

“Awak tau tak apa yang ada dalam fikiran saya sekarang?” Sofea bertanya.

“Saya rasa saya tau.”

“Apa dia?”

“Awak nak cakap yang Azrul tu suka awak kan?” 

Perlahan Sofea geleng.

“Dia bukan suka saya, awak. Dia macam ada niat tak baik pada saya. Pandangan dia tu pandangan bernafsu. Dan saya rasa saya tau apa yang ada dalam kepala dia sepanjang dia tengok saya tadi.”

“Hisy! Jangan cepat bersangka buruk dengan orang, Sofea. Entah-entah tanggapan awak tu tak betul. Takut jadi fitnah pula nanti.”

Terus Sofea terdiam. Memanglah tak elok berburuk sangka, tapi hati kecilnya yang merasakan begitu.

“Baru saya teringat...” Tiba-tiba Sofea menyebut begitu.

“Apa yang awak ingat?”

“Saya pernah nampak Azrul sebelum ni.”

“Awak nampak dia kat mana?”

 “Kat pantai. Masa tu saya tengah melukis. Dia pulak asyik pandang saya. Cara dia pandang saya samalah macam ni. Masa tu saya dah rasa tak sedap hati. Cepat-cepat saya balik.”

“Tak pernah pula awak beritahu saya.”

“Masa tu kan kita tak kawan lagi.”

Serentak Sofea dan Jeffry ketawa.

“Apa pun, awak berhati-hati ajelah. Tapi awak jangan risau. Selagi saya ada, saya akan jadi pelindung awak. Saya takkan benarkan sesiapa pun apa-apakan awak.” Lembut suara Jeffry saat menuturkan kata-kata itu.

Sofea bawa matanya pandang Jeffry. Agak lama dia menilik wajah lelaki itu. Kenapa lain macam sangat bunyi ayat Jeffry itu? Seperti ada maksud tertentu. Atau dia yang perasan sendiri?

“Kenapa pandang saya macam tu?”

Serta-merta Sofea melarikan pandangannya ke hadapan. Segan pula bila Jeffry tanya macam tu.

“Manalah tau kalau-kalau awak nampak Harris kat muka saya ni.” Jeffry pura-pura ketawa. Sebenarnya nak hilangkan rasa gabra kesan renungan Sofea tadi.

“Boleh tak awak jangan sebut nama dia lagi?”

“Kalau saya sebut juga?”

“Saya potong lidah awak. Biar awak jadi bisu terus.”

“Wei, ganasnya awak!” Berdekah-dekah Jeffry ketawa.

“Baru tau ke?” Sofea ikut ketawa.

“Tak hairanlah. Awak dulu kan gangster kat sekolah.”

Terjegil mata Sofea. Mana Jeffry tahu ni? Siapa yang beritahu dia?

“Siapa cerita kat awak?” Sofea menyoal.

Sebetulnya tak payah tanya pun. Sudah tentulah tok ayah yang beritahu. Tok ayah kan rapat dengan Jeffry. Dah macam cucu sendiri tok ayah melayan Jeffry tu. Kalau nak ke mana-mana, mesti diajaknya Jeffry sekali. Macam sekarang ni.

“Tok ayah. Tapi awak janganlah marah tok ayah pulak. Niat tok ayah tu bukan nak malukan awak pun. Lagipun tok ayah beritahu saya aje. Alhamdulillah sampai sekarang, masih jadi rahsia saya sorang.” Dan lagi sekali Jeffry menghulurkan kata-kata maaf. Minta maaf bagi pihak tok ayah sebenarnya.

Sofea senyum. Tak rasa pun nak marah Jeffry mahupun tok ayah sendiri. Yalah, benda betul kan? Lagipun perkara itu dah lama berlalu. Yang penting, Sofea Hana sekarang sudah jauh berubah. Walaupun tidaklah seratus peratus baik, sekurang-kurangnya dia bukan lagi Sofea yang banyak menyusahkan ibu bapa dan keluarga.

“Saya tak marah pun. Jangan risau.”

“Betul ni?”

“Betul.”

“Okey, kalau macam tu kita berbalik pasal  tadi.”

“Pasal apa?”

“Harris. Saya nak tanya awak sikit ni.”

Jelingan tajam Sofea beri pada Jeffry. Tak habis-habis dengan Harris. Entah apa yang Jeffry berminat sangat dengan Harris, dia pun tak faham.

“Suka jaga tepi kain orang jugak awak ni kan?”

“Saya jaga tepi kain awak aje, bukan tepi kain orang lain pun.”

“Okey, apa yang awak nak tau sangat?”

“Awak memang betul-betul dah putus dengan dia ke?”

Sofea tayang muka bosan. Takkanlah Jeffry tak boleh fikir sendiri? Lagi mahu tanya.

“Okey, saya dah tau jawapan dia. Tapi kan, Harris buat apa sampai awak tergamak tinggalkan dia?”

“Dia tak jujur dengan saya, dia permainkan perasaan saya, dia tipu saya.”

“Maksud awak?”

“Dia tak pernah beritahu saya yang dia dah kahwin dan dah ada anak.”

“Dia cakap kat awak, dia masih bujang?”

“Dia tak pernahlah cakap macam tu, tapi bila dia tak berterus terang tentang status dia, mestilah saya anggap dia bujang kan?”

“Habis, macam mana awak dapat tahu yang dia dah kahwin?”

Kalau boleh, Sofea dah tak nak ingat lagi peristiwa yang memilukan itu. Biarlah ini kali terakhir dia bercerita dan Jeffry menjadi orang terakhir yang mendengar kisah malang itu.

“Bila dapat tahu dia kemalangan jalan raya, saya terus ke hospital. Sepanjang di hospital, saya tak henti-henti menangis. Risau fikirkan dia. Saya takut dia mati. Saya takut saya akan hilang dia. Bayangkan, saya langsung tak tau keadaan sebenar dia masa tu.”

Cerita Sofea bersambung dengan kehadiran isteri dan ahli keluarga Harris di hospital.

“Saya siap berkenalan lagi dengan dia orang, awak. Lepas tu baru saya tau, rupa-rupanya kami melawat orang yang sama. Perempuan tu isteri Harris dan budak yang merengek-rengek nak jumpa ayah dia tu, anak Harris.”

“Perempuan tu tau hubungan awak dengan suami dia?”

Pantas Sofea menggeleng.

“Lepas tahu yang perempuan tu isteri Harris, saya tak tunggu lagi, terus balik.”

Sambil bercerita, mata Sofea bergenang. Memang dia rasa sedih dan marah dengan ketidakjujuran Harris, tetapi sejujurnya dia lebih kasihankan isteri dan anak lelaki itu. Mereka jadi mangsa kepada suami dan ayah yang tidak bertanggungjawab.

“Maknanya, Harris tak tau yang awak dah tau status dia?”

Kali ini Sofea mengangguk.

Jeffry melepas nafas kasar. Tak hairanlah kenapa di pantai tempoh hari, Sofea tidak dapat mengawal perasaan sehingga menjerit-jerit seperti orang hilang akal. Malah, sanggup membuang cincin yang dia yakin sekali adalah pemberian Harris.

Mengenai cincin itu, biarlah dia simpan dahulu. Dia cuma menunggu masa yang sesuai untuk menyerahkannya semula kepada Sofea. Mungkin bila Sofea dah benar-benar boleh lupakan Harris.

“Kenapa dia buat macam tu, awak? Kenapa dia tergamak tipu saya, tipu isteri dia? Apa yang dia nak sebenarnya?”

Jeffry ketawa perlahan. Takkan Sofea tak boleh fikir apa yang Harris mahukan?

 “Dah tau, lagi mau tanya. Apalah saya ni, kan? Mestilah dia nak tambah stok isteri dia. Betul tak,  Jeff?” Wajah Jeffry yang sedang tersenyum itu menjadi tatapan mata Sofea.

“Mungkin ada perempuan yang tak kisah kahwin dengan suami orang, tak kisah dimadukan. Yang pasti, orang tu bukan saya.”

“Kalau isteri dia izinkan?”

“Tetap saya tak nak. Saya bukan jenis yang suka berkongsi hak saya dengan orang lain.”

“Tamaknya awak ni.” Jeffry mengusik.

“Dalam bab tu, memang saya tamak.” Sofea sambut dengan tawa kecil. Kemudian dia pandang Jeffry lagi.

 “Awak tau tak, sepatutnya keluarga dia dah datang jumpa famili saya hujung minggu lepas untuk tetapkan tarikh perkahwinan kami. Tapi lepas apa yang dah berlaku, akhirnya di sinilah saya.”

“Saya tumpang sedih.”

“Tak payah nak sedih sangatlah. Sepatutnya, awak  gembira sebab saya tak sempat jadi perosak rumah tangga orang.”

“Betul juga kata awak. Saya sepatutnya gembira sebab adalah peluang saya untuk jadi cucu menantu tok ayah dengan tok ma. ”

 “Perasan!” Sofea jelir lidah.

“Gurau ajelah. Saya tak naklah awak tu.”

“Saya pun tak nak awak.”

Jeffry tergelak bila Sofea mencebik.

“Katalah awak terjumpa Harris kat mana-mana lepas ni. Agak-agak apa awak nak buat?”

“Saya nak lempang dia laju-laju. Biar otak dia bergegar. Biar dia jadi tak betul. Biar dia jadi sewel terus.”

Makin kuat Jeffry ketawa. Boleh Sofea terfikir macam tu? Betul-betul gangster la perempuan ni.

“Marah betul awak dengan dia ya?”

“Memang saya marah. Disebabkan dia, saya hilang kerja, hidup saya jadi huru-hara. Saya tinggalkan mummy, daddy, Irfan dan segala-gala yang saya ada di KL juga disebabkan dia.”

“Kalaupun awak marah sangat, kenapa perlu lari ke sini? Kenapa perlu tinggalkan semua kat KL sana? Pada saya, awak tak perlu pun buat semua tu.”

“Sebab saya dah tak nak jumpa dia lagi. Saya dah tak nak ada kaitan dengan dia lagi. Awak tau tak, sampai sekarang dia masih cari saya.”

Fiza yang beritahu dia kelmarin. Kata Fiza, Harris datang lagi ke pejabat semata-mata nak minta maklumat tentang dia.

“Tapi sebenarnya saya suka aje awak balik sini. Dan saya rasa saya patut berterima kasih dengan Harris. Sebab dialah saya dapat jumpa awak, kenal awak... jadi kawan awak.” Lembut dan mesra suara Jeffry saat ini. Selembut renungannya kepada Sofea.

Sofea memalingkan muka pandang anak teruna Puan Rahayu itu entah untuk kali ke berapa. Kenapa lain macam benar ucapan Jeffry tu? Dan senyuman itu, kenapa nampak sangat berbeza daripada senyuman-senyuman Jeffry sebelum ini?

Renungan yang lembut tapi tajam menikam itu seperti ingin memberitahunya sesuatu. Dia dapat rasa Jeffry dah mula sayangkan dia.

Ya Allah, dah kenapa dengan aku ni? Tiba-tiba dia tersedar. Tidak sepatutnya dia berfikir yang bukan-bukan macam tu. Jeffry kan dah anggap dia sebagai kawan? Pelik ke bila seorang kawan tumpang gembira dan bahagia untuk kawannya?

“Awak tolong doakan supaya dia tak muncul lagi kat depan saya. Saya takut ada yang cacat otak aje nanti kena tampar dengan saya.” Sofea sengaja tidak melayan ucapan Jeffry itu.

Lagi sekali Jeffry memuntahkan tawanya. Tak boleh tahanlah dengan jenaka Sofea itu.

 “Janganlah awak buat yang bukan-bukan, Sofea. Tolong kesian sikit kat anak bini dia. Dia orang tak bersalah.”

“Kalau macam tu, saya sepak aje dia, tak pun saya tunjal kepala dia.”

“Nak jugak tunjuk samseng awak kat sekolah dulu kan?”

“Eh, mestilah! Bila lagi saya nak tunjuk bakat luar biasa saya tu kat depan awak? Sekarang la...”

Kata-kata Sofea itu berjaya mengundang tawa Jeffry lagi.

Ada Yang Tertinggal - Bab 19


R

IUH rendah dapur rumah Puan Rahayu dengan suara jiran tetangga. Masing-masing sibuk dengan kerja merewang. Ada yang mengupas bawang merah, ada yang potong ubi kentang, ada yang menggunting cili kering. Pendek kata, semua dengan tugas masing-masing. Sofea sendiri sibuk memotong lobak merah.

Di luar rumah, kaum lelaki sibuk membersihkan ayam di bawah khemah. Haikal dan tok ayah juga ada di luar sana. Tapi Jeffrylah yang paling sibuk sekali. Maklumlah, dia kan tuan rumah. Sejak balik dari pasar tadi, lelaki itu langsung tidak duduk diam. Macam-macam yang dilakukan. Angkat periuk, besen, kuali, basuh ayam. Belum bab melayan pak cik-pak cik makan dan minum lagi.

Dari situ Sofea mula sedar yang Jeffry adalah seorang yang ringan tulang dan boleh diharap. Jeffry juga pandai melayan dan menghormati orang tua. Kagum bila melihat cara Jeffry bercakap dengan orang tua-tua. Bukan main tertib dan bersopan lagi. Berbeza benar bila Jeffry bercakap dengan dia. Kasar dan sangat menyakitkan hati.

Tapi itu sebelum inilah. Sejak mereka sepakat untuk berkawan pagi tadi, sikap Jeffry berubah 180 darjah. Rasa macam bukan Jeffry pula yang bercakap dengan dia.

Dalam ramai-ramai yang terlibat dengan kerja merewang ini, Sofea hanya kenal Puan Kalsom, yakni emak Haikal serta anak-anaknya Hawa dan Husna. Yang lain-lain, memang dia tak kenal langsung. Kira bagus jugalah aktiviti macam ni. Dapat juga dia kenal dengan penduduk kampung.

“Ayu, aku nak tanya kau sikit ni.”

“Tanyalah Som.” Puan Rahayu yang sedang mendukung dan mengagah Maryam alih pandangannya pada Puan Kalsom.

“Masa pindah rumah hari tu kau dah buat majlis doa selamat, kali ni majlis tahlil. Majlis kahwin bila pula?”

Berubah terus muka Puan Rahayu. Mungkin tak sangka dengan soalan yang tidak semena-mena itu.

“Maksud Som, majlis kahwin siapa?”

“Laa, aku tanya kau, kau tanya aku balik apa hal? Majlis kahwin anak kaulah! Takkan aku tanya bagi pihak anak Cikgu Nor pula. Tak gitu, cikgu?”

Cikgu Norliah tidak beri respons pun. Malas nak masuk campur. Bukan dia tak tahu mulut Puan Kalsom tu. Sudahnya nanti, dia pula yang terbabit.

“Insya-Allah tak lama lagi.”

Nisha segera pandang Puan Rahayu. Ibu cakap apa ni? Siapa pula yang nak kahwin? Jeffry, memang taklah. Dia sendiri, memang jauh panggang dari api.

“Oh, tak lama lagi ke? Kenduri anak kau yang mana? Nisha ke Jeffry?”

“Kak Sha kan?” Belum sempat Puan Rahayu atau Nisha menjawab, Hawa dah potong dengan soalan. Harap-harap bukan Jeffrylah, sebab Jeffry hanya layak untuk dia seorang, bukan gadis-gadis lain.

“Jangan menyampuk orang tua bercakap, boleh tak?” Bukan setakat tegur, Puan Kalsom siap jegil mata pada Hawa.

Bibir Hawa memuncung. Hisy... mak ni, tanya macam tu pun tak boleh!

“Kau tak jawab lagi soalan aku, Ayu,” kata Puan Kalsom.

“Kenduri tu nanti, kita buat serentak. Nisha dan Jeffry. Senang sekali jalan aje.”

Timun yang sedang dipotong tak semena-mena terlepas daripada tangan Nisha. Bicara ibunya buat dia sangat terkejut. Apa ibu ni? Pasal nikah kahwin pun ibu nak buat main-main ke? Atau ibu memang serius? Manalah tahu, dalam diam ibu sedang buat perancangan. Carikan calon untuk dia dan Jeffry sekali. Kalaulah Jeffry dengar ni, mesti marah adiknya tu.

Sofea pandang Puan Rahayu, kemudian pandangannya beralih kepada Nisha yang duduk di sebelahnya. Selama kenal dia orang, tak pernah pula dia tahu pasal ni. Tok ma pun tak pernah cakap apa-apa.

“Abang Jeffry nak kahwin dengan siapa, mak cik?” Laju Hawa bertanya. Mukanya nampak kecewa sungguh. Kalau benarlah Jeffry sudah mahu berkahwin, tidak mustahil malam-malam dia nanti hanya akan bertemankan air mata.

“Dengan bakal isteri dia la...” Puan Rahayu ketawa.

“Siapa?” Riak wajah Hawa dah sayu semacam. Macam nak menangis pun ada.

“Yang kau sibuk sangat nak tau ni kenapa, Hawa? Kau ingat, Jeffry tu nak kahwin dengan kau?” Lagi sekali Puan Kalsom menjegilkan mata pada Hawa. Dia memang cukup meluat dengan anak-anak dara gedik ni. Tak kiralah anak orang atau anak sendiri. Kalau ya pun tergila-gilakan anak teruna Rahayu tu, janganlah tunjuk sangat.

Sofea pandang Hawa dengan rasa simpati. Kasihan betul gadis itu. Kalau dialah di tempat Hawa, jangan harap dia tunggu lagi. Sekarang juga dia pergi dari sini. Melampau sangat mulut Puan Kalsom tu. Tergamak memalukan anak sendiri sampai macam tu sekali? Depan ramai orang pula tu.

Hawa membalas jelingan Puan Kalsom dengan jelingan juga. Geram dengan emak. Tapi apa nak hairan, memang macam tulah mulut emak kalau bercakap. Dia dah lali, dah kalis malu.

“Tak adalah, Som. Lambat lagi kenduri kahwinnya. Gurau aje tadi tu.” Puan Rahayu ketawa apabila melihat Nisha yang sudah membulatkan matanya.

Hawa senyum sampai telinga. Rasa lega sangat dengan pengakuan Puan Rahayu itu. Bermakna dia masih ada peluang untuk bergelar isteri Jeffry.

“Aku tanya betul-betul, main-main pulak kau ni, Ayu,” marah Puan Kalsom.

“Asyik tanya kita orang aje, anak-anak Mak Cik Som tu bila nak kahwin?” Nisha memberanikan diri menyoal. Yalah, setiap kali datang ke rumah atau jumpa di mana-mana, balik-balik soalan itu juga yang ditanya. Naik menyampah pula dia dengar.

Berubah terus air muka Puan Kalsom. Tak sangka Nisha berani menyoalnya begitu.

“Eh, anak aku Hawa ni baru 24. Muda lagi. Husna tu pulak, baru 22. Kau tu dah 28. Memang dah patut kahwin pun.” Panjang bibir Puan Kalsom menjuih.

Panas betul hati Nisha mendengar jawapan pedas Puan Kalsom itu. Susah kan kalau bercakap dengan orang yang sengaja tak nak faham ni? Serius, dia cukup tak faham dengan orang jenis begini.

“Mak Cik Som... jodoh, ajal maut tu kan urusan Allah. Kalau kita nak kahwin sangat-sangat pun, tapi kalau Allah tak izinkan, tak jadi juga. Semua orang nak kahwin, tapi semuanya berbalik pada jodoh,” balas Nisha selamba.

“Dengar apa Nisha cakap tu, Kak Som. Daripada Kak Som sibukkan Nisha, lebih baik Kak Som carikan jodoh untuk Hawa dan Husna ni ha. Kalau dah masuk umur 20-an, dah tak ada istilah muda lagi. Dah layak kahwin pun. Tak pun, Kak Som suruh Haikal kahwin. Sampai bila nak menduda?” Giliran Cikgu Norliah pula menyampuk. Yalah, asyik sibuk pasal  orang lain. Anak sendiri tak pula dikisahkan.

Husna yang sedang mengupas kulit bawang merah, mencebik. Emak yang buat hal, dia pula yang kena. Tak sukalah!

“Hei, kau jangan sibuk pasal anak-anak akulah, Cikgu Nor. Tahulah aku nak atur hidup dia orang!”

Cikgu Norliah dan beberapa yang lain di situ ketawa. Sebenarnya satu kampung dah masak sangat dengan perangai Puan Kalsom tu. Kalau dia mengata orang, masuk campur urusan orang, tak apa. Tapi bila orang lain cuba masuk campur urusan keluarga dia, tahu pula marah.

“Kau tu bila dah kahwin nanti, kenalah pandai jaga laki, Sha. Jangan jadi macam ibu kau tu, tak pandai jaga laki! Tak pasal-pasal laki cari orang lain.”

Semua yang ada di situ terdiam. Semua pakat pandang Puan Kalsom. Nisha sendiri naik merah padam mukanya kerana terlalu marah. Apa masalah Puan Kalsom sebenarnya ni? Kenapa suka sangat cari pasal dengan dia dan ibu?

Nisha baru nak menjawab, tapi ayatnya terlebih dahulu dipotong oleh Hawa.

“Jangan sedap sangat mengata orang, mak. Mana tahu esok lusa benda tu berbalik pada mak sendiri. Orang tengok ayah tu pun bukan main melawa lagi sekarang. Entah-entah... ayah pun dah ada perempuan lain jugak.”

“Kurang ajar kau Hawa!!!” Kuat Puan Kalsom bertempik. Tak cukup dengan menjerit, belakang Hawa ditamparnya dengan kuat.

“Sakitlah mak!” Hawa ikut menjerit.

“Padan muka kau! Lain kali kurang ajar lagi dengan aku!”

“Som buat apa ni? Tak malu ke orang lain tengok?” Hajah Aida yang kebetulan baru masuk ke ruang itu menegur. Setiap kali ada majlis yang melibatkan Puan Kalsom, pasti akan berlaku kekecohan macam ni. Tak tahulah sampai bila perangai Kalsom tu nak berubah. Suka sangat cari pasal dengan orang.

“Dahlah! Mari kita balik, Hawa, Husna! Duduk sini lama-lama pun buat sakit hati aje!” Segera Puan Kalsom bangkit daripada duduknya.

Akur, Husna meninggalkan kerja yang sedang dibuat lalu bangun dan berjalan ke arah pintu rumah. Tapi Hawa tetap tak berganjak dari tempat dia sedang duduk.

“Hawa, balik!” gesa Puan Kalsom lagi.

“Mak baliklah dulu. Orang nak tolong Mak Cik Ayu buat kerja.” Tanpa berganjak, Hawa hanya pandang wajah ibunya.

“Kau jangan nak lawan cakap aku, Hawa. Aku kata balik, kau balik!”

“Tak nak!”

“Degil kau, kan?” Baru dia nak tarik lengan Hawa, tapi suara Hajah Aida membantutkan  hasratnya.

“Som, biarlah Hawa kat sini. Som nak balik, Som balik dulu.” Lembut dia bersuara. Selalunya kalau dengan dia, Kalsom akan mengalah.

Dengan muncung yang panjang, Puan Kalsom melangkah keluar dari ruang dapur rumah Puan Rahayu. Tapi sebelum itu, sempat dia menghantar jelingan tajam ke arah Hawa. Siaplah kau balik karang!

 

 

MAJLIS rewang di rumah Puan Rahayu sudah pun selesai. Hanya tunggu majlis tahlil malam nanti.

Pada mulanya, Hawa mahu terus menunggu di rumah Puan Rahayu sehinggalah majlis berakhir malam ini. Inilah peluangnya untuk kenal lebih dekat dengan bakal ibu mertua dan kakak iparnya. Kata orang, kalau nak anaknya, kenalah pikat hati keluarga dia dulu, kan?

Tapi Abang Haikal pula kacau daun. Sibuk suruh dia balik. Walaupun tak setuju, dia terpaksa akur. Ingatkan Abang Haikal nak terus hantar dia balik, rupa-rupanya kena tunggu Abang Haikal balik dari masjid dulu. Sementara itu, Abang Haikal minta dia ke rumah Hajah Aida terlebih dahulu.

Ikutkan, dia tak suka ke rumah Hajah Aida. Lebih-lebih lagi sejak ada Sofea. Memang Sofea tak pernah kacau hidup dia, tapi masalahnya Sofea dah kacau jodoh dia, yakni Jeffry.

Bukan main mesra lagi dia nampak Sofea dan Jeffry semasa balik dari pasar pagi tadi. Berbulu saja mata dia tengok. Kalau ikutkan rasa marah, memang dia dah ganyang Sofea tu.

“Hawa nak solat ke? Kalau nak solat, masuklah bilik saya. Telekung ada kat atas katil.”

Hawa yang sedang bersandar di sofa sambil menghadap telefon, angkat muka pandang Sofea yang sedang berdiri tercegat di hadapannya.

“Tak.” Sepatah saja dia menjawab.

“Tak? Awak cuti ke?”

“Err... a’ah cuti.”

“Ooo... cuti. Duduklah dulu, saya nak ke dapur sekejap.”

Belum sempat Sofea melangkah ke dapur, Hawa menyeru namanya.

“Ada apa?”

“Tunggu sekejap. Aku ada benda nak tanya kau.”

Wajah Hawa yang kelat itu dipandang sebentar sebelum Sofea mengangguk dan duduk di atas sofa tunggal.

Entah apa yang Hawa nak tanyakan, memang dia tak boleh agak. Sebab selama di sini, baru beberapa kali dia jumpa Hawa. Dia tak rasa pun yang dia ada urusan dengan gadis itu. Tapi tak apa, dengar ajelah dulu apa yang bakal keluar daripada mulut gadis itu.

“Nak tanya apa?”

“Kau syok dekat Jeffry, eh?”

Sofea tayang muka terkejut. Sungguh, memang dia terkejut. Mentang-mentang nampak dia balik dari pasar dengan Jeffry tadi, terus nak tuduh dia macam tu. Senangnya si Hawa ni buat kesimpulan.

“Eh, tak adalah!”

“Elehh... tak mengaku. Pagi tadi tu apa? Bukan main lagi kau dengan dia tersenyum-senyum, tersengih-sengih.”

“Mengarut apa ni? Hisy, tak ada masa la nak layan.” Pantas Sofea bangun daripada sofa. Malas nak melayan benda-benda tak mendatangkan faedah macam tu. Lebih baik dia ke dapur tolong tok ma.

“Sofea, kau tunggu dulu! Aku tak habis cakap lagi.” Hawa turut bangun.

“Nak cakap apa lagi?” Sejujurnya, Sofea tak suka cari gaduh dan bermusuhan dengan sesiapa pun. Dahlah Hawa tu adik Haikal. Nanti kalau jadi apa-apa, pasti Haikal akan terbabit sama.

“Mulai sekarang, kau jangan cuba-cuba nak rapat dengan Jeffry. Dia hak aku tau?”

Spontan Sofea ketawa. Lucu sungguh dengan kenyataan Hawa itu.

“Bila masa pulak Jeffry jadi hak kau? Dia tu kan anak Mak Cik Ayu, hak Mak Cik Ayulah! Mak dia tak cakap apa-apa, kau pula yang lebih-lebih.”

Kan dah kena dengan dia. Itulah, lain kali kalau bercakap guna akal, bukannya ikut perasaan marah dan sakit hati tu.

Kali ini Sofea tak tunggu lagi. Risau perang mulut akan jadi perang tarik rambut dan tarik tudung pula. Jangan buat main, skil dia semasa di sekolah dulu masih tajam lagi, tau? Nanti tak pasal-pasal, cedera pula anak Mak Cik Kalsom tu.

“Hei, aku belum habis lagilah!” Hawa menerpa lantas menyambar lengan Sofea.

“Eh, apa tarik-tarik ni?” Lengannya yang berada dalam pegangan Hawa, Sofea sentap.

“Apa hal ni Hawa?” Tiba-tiba terdengar suara Haikal.

Soalan abangnya tidak dijawab, sebaliknya Hawa menjeling Sofea tajam. Nasib baik Abang Haikal cepat sampai, kalau tidak, memang dia dah tampar muka Sofea tu. Berani Sofea cakap begitu dekat dia tadi? Sengaja cari pasal dengan dia. Nampaknya Sofea belum kenal lagi siapa Hawa.

“Hawa jangan cuba nak buat hal kat sini pulak!”  Haikal memberi amaran. Dia tahu, Hawa sengaja cari pasal dengan Sofea.

“Sofea pergi dapur dulu ya, pak su?”

“Yalah.” Sempat Haikal menghadiahkan senyuman pada Sofea.

Meluat pula Hawa dengan abangnya itu. Dengan dia marah-marah, dengan Sofea boleh pulak Abang Haikal senyum.

“Hawa ada masalah apa dengan Sofea?”

“Adalah... abang tak payah tau.”

“Hawa jangan macam-macam ya? Tolong jangan malukan abang.”

“Sofea tu yang macam-macam. Bukan orang!”

Bab menjawab, serahlah dekat dia. Tahu sangat Haikal dengan mulut adiknya itu.

“Sudah, sudah! Jom abang hantar Hawa balik.”

Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 18

 

M

ALAM Jumaat itu, berlangsung majlis tahlil di rumah Puan Rahayu. Sehari sebelum majlis, Nisha mengajak Sofea menemani dia ke pasar. Nak beli barang-barang keperluan sebagai persiapan majlis katanya. Sofea jadi teruja. Maklumlah, selama ini mana dia pernah pergi pasar? Selalunya barang-barang dapur, termasuklah barang-barang basah, mummy dan daddy beli di pasar raya sahaja.

Buat dia lebih teruja, akan ada aktiviti merewang juga nanti. Maklumlah, sudah lama dia tidak terlibat dengan aktiviti sebegitu. Kali terakhir, sewaktu majlis perkahwinan Mak Su Farah dan Pak Su Haikal hampir dua tahun lalu. Lepas tu terus tak ada sebarang majlis sampai sekarang.

“Assalamualaikum Kak Sha!” Seraya berdiri di depan muka pintu yang bertutup, Sofea memberi salam.

“Kak Shaa!”

Baru sempat panggil nama, pintu dibuka dari dalam. Tapi bukan Kak Nisha, sebaliknya Jeffry yang muncul di muka pintu.

“Awalnya awak datang?”

Memang pun awal lagi. Baru pukul 6.45 pagi. Tapi, dah Kak Sha yang pesan supaya mereka pergi awal, dia ikut sajalah.

“Kak Sha ada?”

“Kak Sha tak ada. Saya adalah!” Entah bergurau entahkan serius. Nak kata bergurau, muka Jeffry nampak serius pula.

“Awak nak buat apa? Saya tanya Kak Shalah.”

“Saya ni lagi penting dari Kak Sha, tau?”

Kali ini Sofea tidak jawab, tapi sempatlah dia tayang muka pelik kat depan Jeffry. Yalah, dah Jeffry cakap benda pelik kan?

“Jangan nak fikir bukan-bukan, eh!” Jeffry memberi amaran.

Hisy, Jeffry ni! Dia yang cakap macam tu, lepas tu tak bagi orang fikir bukan-bukan pula. Mengarut betul!

“Maksud penting dalam ayat saya tadi... kalau saya tak ada, awak dengan Kak Sha tak boleh ke pasar, tau? Sebab saya yang akan bawa kereta.”

Laa, pergi dengan Jeffry ke? Kalau dah ada Jeffry, kenapa Kak Sha ajak dia sekali?

“Kalau macam tu, saya baliklah! Tak jadi ikut.”

“Hei, hei, hei! Awak dah janji dengan Kak Sha kan? Ikut ajelah.”

“Kak Sha tak cakap pulak awak ikut sekali.”

“Ada masalah ke kalau saya ikut?”

Malas nak menjawab, Sofea hanya tayang muka ketatnya kepada Jeffry. Masalah memanglah tak ada, tapi dia yang kurang selesa. Sebetulnya, sejak kejadian dia menjerit di pantai tempoh hari, kalau boleh dia dah tak nak jumpa Jeffry lagi.

Malu sebenarnya dengan lelaki itu. Risau pun ada. Manalah tahu, kalau-kalau Jeffry akan mengungkit tentang hal itu lagi. Lebih-lebih lagi di depan orang lain. Kalau boleh, dia tidak mahu orang tahu langsung. Tok ma lainlah, neneknya sendiri. Lebih penting, tok ma sangat memahami cucu dia yang seorang ini.

Lagi satu, dia tak berapa gemar dengan mulut Jeffry yang lebih pedas daripada cili itu. Kalau bercakap, tahunya cuma nak menghangatkan hati orang saja. Cuma kelmarin, semasa Jeffry bantu dia kopek durian, lelaki itu nampak macam okey sikit.

Tapi bila dah hujung-hujung tu, Jeffry kembali buat dia marah. Ada ke patut Jeffry cakap dia jampi air tu? Saja nak bagi orang marah.

“Kalau awak nak tau, saya ni adik merangkap driver Kak Sha. Kakak saya tu, mana berani memandu jauh-jauh? Setakat dalam kampung ni, bolehlah. Harapkan saya ajelah bawa dia ke mana-mana. Jadi, nak pergi ke pasar pagi ni pun, saya jugalah yang kena bawa dia.”

 Sofea tak menjawab. Tidak mahu terus berdiri di muka pintu, dia berjalan ke arah bangku di tepi pagar lantas duduk di situ. Biarlah dia menunggu Kak Sha di situ sahaja. Tapi dia tak sangka pula Jeffry akan mengekorinya dan duduk atas bangku yang sama.

“Tapi kan, awak ni boleh ke pergi pasar? Macam tak percaya aje minah KL nak masuk pasar yang hanyir dan lecak tu.”

Amboi, mulut... lebih-lebih nampak! Pagi-pagi hari lagi dah nak cari pasal dengan dia ke apa ni? Dia nak ikut Kak Sha ke pasar ni dah kira mujur, tau? Lagi nak komen macam-macam.

Automatik Sofea memandang lelaki di sebelah.

“Kalau macam tu, saya tak jadilah ikut pergi pasar. Minah KL macam saya ni mana boleh masuk pasar yang hanyir dan lecak tu kan?” Ayat sindiran Sofea bagi.

Terdiam terus dibuatnya Jeffry. Tak sangka agaknya Sofea nak cakap macam tu.

“Gurau ajelah. Takkan tak boleh?”

Huh, dan-dan bergurau!

Yang Kak Sha pun satu. Kenapa tak keluar-keluar lagi ni? Kata nak pergi pasar cepat, tapi sampai sekarang tak nampak batang hidung lagi.

“Jeff, Fea!”

Kak Nisha yang ditunggu, Puan Rahayu pula yang muncul di muka pintu.

Jeffry bingkas bangun daripada bangku, terus menonong ke arah ibunya. Tiada pilihan, Sofea mengikut. Yalah, nama dia pun Puan Rahayu panggil sekali kan? Kenalah pergi.

“Ada apa ibu?” Jeffry menyoal.

“Kak Sha tak dapat pergi pasar. Dia tak sihat,” beritahu Puan Rahayu.

“Hah, Kak Sha tak sihat? Dia sakit apa pulak, bu?” Laju Jeffry menyoal. Ada sedikit ragu dalam hati. Yalah, sewaktu balik dari masjid sepuluh minit tadi, elok saja dia nampak Kak Sha bersembang dengan ibu. Tak nampak pula macam orang sakit.

“Sakit orang perempuanlah! Jeff mana tau? Nah, ni senarai bahan yang nak kena beli. Balik cepat sikit, tau! Pukul 10.00 orang dah mula datang nak buat kerja.” Dalam senafas saja Puan Rahayu menyebut.

Tak sempat Jeffry dan Sofea nak mencelah, Puan Rahayu cepat-cepat masuk ke rumah semula.

Jeffry dan Sofea saling berpandangan.

“Sakit orang perempuan?” Jeffry termangu. Mengharap jawapan daripada gadis itu.

Period pain la tu.” Mendatar saja Sofea menjawab.

“Ooo... okey, faham.” Jeffry tayang sengih.

“Saya balik dululah.” Sofea mula mengatur langkah ke arah rumah tok ma dan tok ayah.

Jeffry menurut.

“Nak balik? Habis, siapa nak pergi pasar ni?”

Langkah Sofea terhenti serta-merta. Langkah Jeffry juga. Sekali lagi pandangan mata mereka bertemu.

“Awak la!” balas Sofea.

“Takkan saya pergi sorang?”

“Apa salahnya awak pergi sorang?”

“Banyak barang nak kena beli. Tak mampu saya beli sorang.” Jeffry tayang senarai barangan yang ibunya bagi tadi kat depan mata Sofea.

“Bukan urusan saya. Awak fikirlah sendiri.”

“Awak tak kesiankan saya ke?”

“Buat apa nak kesiankan awak? Awak bukan siapa-siapa pun dengan saya. Abang bukan, tunang bukan, suami jauh sekali.”

“Tapi kita boleh jadi kawan, kan?”

“Saya tak nak ada kawan macam awak.”

“Eh, perempuan lain berebut-rebat nak berkawan dengan saya tau? Awak kenapa tak nak pula?”

“Suka hati sayalah! Saya bukan perempuan lain tu semua. Lagipun saya tak nampak apa perlunya saya berkawan dengan awak.”

“Sekarang memanglah awak tak nampak lagi. Akan datang, awak akan tau betapa awak perlukan anak Mak Cik Ayu ni dalam hidup awak.” Senyuman paling menawan Jeffry hadiahkan buat gadis cantik menawan, cucu Hajah Aida dan Haji Zain itu.

“Tak habis-habis nak perasan.” Sofea menjeling tajam. Sedikit pun tidak terkesan dengan pujukan dan senyuman Jeffry itu.

“Okey, abaikan aje kata-kata saya tu. Kita kawan, eh?” Jeffry buat-buat tak nampak pandangan mata Sofea yang dah macam nak kunyah orang tu. Tetap dengan sesi memujuk dia.

“Tak nak!” Tegas suara Sofea.

“Kenapa?”

“Saya tak suka berkawan dengan lelaki, lebih-lebih lagi awak!”

“Sampai hati awak. Teruk sangat ke saya ni? Jahat sangat ke saya ni?” Sedih bunyi suara Jeffry. Matanya tidak lepas daripada memandang wajah Sofea.

“Saya baru kenal awak, mana la saya tau awak tu teruk ke tak, jahat ke tak. Tapi mulut awak tu memang saya menyampah!”

“Kenapa dengan mulut saya?” Spontan tangan dibawa menyentuh bibir.

“Takkan awak tak sedar mulut awak tu macam mana?”

 “Okey saya tau. Mulut saya memang selalu buat awak sakit hati, selalu buat awak marah. Tapi saya janji, mulai sekarang saya akan jaga mulut saya elok-elok. Saya akan cakap benda-benda yang baik aje kat depan awak. Okey, puas hati?”

Sofea tidak menjawab. Hanya matanya yang masih mencerlung tajam muka Jeffry.

“Jadi kawan saya, eh? Boleh la, boleh la...”

Lambat-lambat Sofea mengangguk. Ikutkan, boleh saja dia bersetuju dari awal. Tak ada masalah pun. Terlanjur dah rapat dengan Mak Cik Ayu dan Kak Nisha, apa salahnya dia berkawan dengan Jeffry juga?

Lagipun dia yakin sangat Jeffry tu anak yang baik, lelaki yang baik. Tapi sajalah nak ‘dera’ si Jeffry ni sikit. Lagipun, dia suka juga tengok Jeffry merayu-rayu macam tu.

“Awak setuju?” Ceria suara Jeffry, seceria wajahnya.

“Dengan syarat!”

“Perlu ke ada syarat?”

“Nak jadi kawan saya, tak?”

“Naklah. Okey, okey, apa syaratnya?”

“Tolong rahsiakan hal saya dari semua orang.”

“Hal apa?”

“Takkan tak ingat.”

“Betul, saya tak ingat.”

“Alahh, yang saya menjerit kat pantai tu la.”

“Ooo... hal awak putus cinta dengan Harris yang awak cakap mangkuk ayun tu ke?” Jeffry sengih tayang gigi. Kalau hal yang satu tu, memang dia ingat sangat-sangat.

“Ke awak dah cerita dekat Kak Sha dan ibu awak?”

“Dah.”

“Awaaakkk!”

“Apa?”

“Tak nak kawan dengan awak, tak nak ikut awak pergi pasar.”

“Alahh, saya tipu ajelah.”

“Nasib baik.”

“Awak tak payah risaulah. Saya tak beritahu sesiapa pun. Dan saya janji, hal ni akan saya simpan untuk diri saya aje. Okey, puas hati?”

Sambil tersenyum, Sofea mengangguk. Walaupun tak berkenan dengan mulut Jeffry sebelum ini, dia yakin lelaki itu bercakap benar. Dan dalam diam, dia agak kagum dengan lelaki itu. Tak sangka Jeffry Asyraf sudi menyimpan cerita yang memalukan itu untuk dirinya seorang. Jenis menjaga aib orang rupanya Jeffry ni.

“Okey, jom pergi pasar.”

Tanpa membuang masa, Jeffry dan Sofea segera bergerak ke arah Ford Ranger yang diparkir di luar pagar.

 

“SAYA Jeffry Asyraf Azmi, anak bongsu dari tiga adik-beradik. Satu-satunya lelaki dalam keluarga. Dilahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Lulusan Universiti Malaysia Pahang dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik. Tarikh lahir 15 Jun, umur rahsia.”

Baru lima minit berada dalam perut kereta, Jeffry memperkenalkan dirinya. Nampak kesungguhannya untuk berkawan dengan Sofea.

“Amboi, siap bagi tarikh lahir lagi tu.” Sofea tergelak.

“Sajalah, mana tahu awak nak bagi hadiah masa hari jadi saya nanti.” Jeffry bergurau.

“Tapi tang umur tu, tak payahlah nak rahsia sangat. Saya dah tau umur awak, 27 kan?” Bukan setakat umur, banyak lagi tentang Jeffry yang Puan Rahayu dan Kak Nisha beritahu dia. Tapi selalunya dia buat endah tak endah saja. Sebab dia memang tak berminat dan tak suka sangat nak dengar. Bukannya penting pun Jeffry tu.

“Ibu beritahu awak kan? Kalau bukan ibu, tentu Kak Sha.”

Yalah, dua orang itu saja pun yang selalu bersama Sofea. Dan dua orang kesayangan itu jugalah yang suka bercerita perihal dia kepada gadis itu. Sebenarnya, ibu dan Kak Sha sedang dalam usaha mempromosikan anak bujang ibu ni, yakni Jeffry Asyraf kepada Sofea Hana. Tahu sangat dia dengan niat dua orang itu.

“Dia orang tu memang! Kalau boleh, semua benda pasal saya dia orang nak cerita kat awak.”

“Biarlah. Dia orang bukan cerita benda tak elok pun. Semua yang baik-baik aje yang dia orang sebut.”

“Ya ke? Dia orang cerita apa, hah?” Jeffry jadi teruja pula. Yalah, nak juga tahu perkara baik apa tentang dia yang mereka sebut depan Sofea.

“Entah, lupa dah.”

Jeffry mencebik. Dan-dan lupa!

“Awak dah tau banyak pasal saya. Sekarang, saya nak tau pasal awak pulak.”

“Kisah hidup saya tak menarik pun. Tak payah tau pun tak apa.”

“Saya tak percaya. Saya tahu kisah hidup awak sangat menarik dan pasti akan lebih menarik lagi lepas ni. Tak percaya, tunggulah nanti.”

Hisy, dia pula yang lebih tahu daripada kita. Pandai-pandai aje buat spekulasi dan ramalan macam tu.

“Ceritalah pasal awak, saya nak dengar. Mula-mula, perkenalkan diri awak dulu.”

“Bukan awak dah kenal saya ke?”

“Kita mula balik. Anggap sebelum ni kita tak pernah kenal langsung.”

“Okeylah. Saya Sofea Hana Mohamad Adam. Umur nak masuk 25, anak bongsu daripada dua adik-beradik. Saya lulusan Fakulti Creative Multimedia, MMU.”

“Awak ambik kursus apa?”

“Animation.”

“Oh! Patutlah awak lukis kartun malam tu. Rupa-rupanya awak memang ambil bidang tu. Ingatkan awak setakat conteng-conteng aje. Sebelum ni, awak kerja kat mana?”

“Saya PA di sebuah syarikat IT.”

“Aik, belajar animation tapi kerja sebagai PA?”

“Saya memang minat melukis, buat animasi, games... sebab itulah saya belajar dalam bidang tu. Pada mulanya saya fikir itulah cita-cita saya. Saya nak jadi animator dan sebagainya, tapi semakin lama, saya mula sedar yang ia cuma minat saya, bukan cita-cita saya yang sebenarnya.”

“Apa sebenarnya cita-cita awak?”

“Kalau saya cerita, awak janji jangan gelak tau?”

“Ceritalah, saya tak gelak.”

“Sebenarnya sejak zaman sekolah lagi, cita-cita saya selalu berubah-ubah. Sekejap nak jadi pensyarah, sekejap nak jadi doktor, lain waktu nak jadi peguam pulak. Ada satu masa tu, hati saya melonjak-lonjak nak jadi tentera laut. Paling tak masuk akal, saya pernah bercita-cita nak jadi angkasawan.”

Berasa lucu, Sofea ketawa. Jeffry ikut ketawa. Lupa dengan janjinya tadi. Nasib baiklah Sofea tak marah.

Meneruskan ceritanya lagi, Sofea menjelaskan bahawa minat melukis memang sudah wujud sejak dia kecil lagi. Waktu lapangnya sering diisi dengan melukis. Malah, dia pernah menghasilkan komik juga. Dan komik yang dihasilkan masih tersimpan sampai hari ini.

Cuma untuk tatapan dia seorang kerana dia memang tak suka menunjukkan hasil karyanya kepada orang lain. Harris yang dia pernah sayang sepenuh hati itu pun tak pernah tengok hasil lukisannya. Pernah dia bermasam muka dengan Irfan kerana abangnya itu mencuri tengok hasil kerjanya.

“Pada saya, tak salah kalau awak tunjuk dekat orang karya awak tu. Kenapa nak kena sorok pulak? Sayang bakat yang Allah bagi pada awak.”

“Tak apalah, itu pendapat awak. Saya tetap dengan cara saya.”

“Saya hormati cara awak walaupun saya sebenarnya teringin sangat nak tengok hasil lukisan awak tu. Okey, sekarang saya nak tanya, apa impian awak?”

“Impian saya?”

“Ya... impian awak untuk masa akan datang.”

“Impian saya cuma nak hidup bahagia di samping orang yang saya sayang dan mereka yang sayang saya. Bahagia di dunia, bahagia di akhirat.”

Dari jalan raya, pandangan Jeffry beralih arah kepada Sofea. Bicara gadis itu terdengar sangat tulus, sangat ikhlas dan tanpa sedar, hatinya tersentuh.

“Bahagia di akhirat bermakna menjadi penghuni syurga Allah bila kita dibangkitkan di akhirat kelak, setuju?”

Sofea mengangguk perlahan.

“Saya kagum dengan awak, Sofea. Saya percaya impian awak adalah impian setiap Muslim di atas muka bumi ini termasuklah saya sendiri. Tapi sebelum nak bahagia di akhirat, kenalah ada usaha ke arah itu. Betul tak?”

“Ya betul.” Perlahan suara Sofea.

“Semua orang nak bahagia di akhirat. Semua orang pun nak masuk syurga, Sofea. Tapi tak bolehlah setakat sebut aje. Kita kena sentiasa bermuhasabah diri. Ke mana kita habiskan masa sepanjang hidup atas dunia ni? Dalam sehari, berapa banyak kebaikan yang kita  buat? Kalau al-Quran pun kita tak pernah sentuh, beristighfar pun tak nak, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW pun malas, bersedekah pun tak ada, amalan apa yang boleh kita harapkan untuk Allah reda dengan kehidupan kita? Untuk kita bawa sebagai bekal ke syurga?”

 Hilang sudah suara Sofea. Mungkin Jeffry tiada niat untuk menyindir. Tapi dia sangat terasa dengan bicara lelaki itu. Konon nak masuk syurga, konon nak hidup bahagia di akhirat, tapi malas nak buat amalan.

Sekadar solat lima waktu sehari semalam dan berpuasa di bulan Ramadan, setakat itu saja amalan yang dia ada. Itu pun tak tahulah sama ada Allah terima atau tidak.  

Tiba-tiba Sofea rasa malu dengan Jeffry. Impian bukan main tinggi menggunung, tapi langsung tiada usaha ke arah itu.

“Kenapa tiba-tiba diam ni?”

“Tak ada apa.”

“Awak terasa ke apa yang saya cakap?”

Tetap Sofea memilih diam.

“Kalau awak terasa saya minta maaf. Saya tak maksudkan awak pun, Sofea. Pesanan tu bersifat umum sebenarnya, untuk sesiapa aje... termasuk  diri saya sendiri.”

Pandang Sofea sekilas, Jeffry menghulurkan senyumannya.

 “Kita semua tak lari dari buat salah dan dosa, Sofea. Selagi Allah beri peluang, kita cuba perbaiki mana-mana yang patut. Ubah mana-mana yang perlu.”

Sofea sudah jadi bisu. Kalau sebelum ini dia hanya kenal Jeffry yang sangat menjengkelkan, pagi ini dia nampak sisi Jeffry yang sangat berbeza.

“Sofea.”

“Ya.” 

“Kita kejar impian tu sama-sama ya?”

Pandang Jeffry, Sofea mengangguk.

Ada Yang Tertinggal - Bab 17

 

M

ELEPASI saja pintu pagar rumah, pandangan Sofea segera menangkap beberapa biji buah durian di atas meja batu. Patutlah keluar saja dari kereta, bau durian terus menerpa hidung. Rupa-rupanya memang ada buahnya kat sini.

Niat untuk masuk ke rumah ditangguhkan. Kalau perkara lain, dia boleh bersabar lagi. Bila melibatkan buah durian, sabarnya akan jadi senipis kulit bawang. Tok ma dan tok ayah dah faham sangat dengan cucu mereka yang seorang ini. Dari kecil lagi Sofea merupakan peminat durian nombor satu.

“Tok ma, durian siapa ni?” jerit Sofea dari luar rumah.

Jeritan Sofea yang agak nyaring itu segera menyapa pendengaran Jeffry yang sedang berbaring di atas sofa ruang tamu rumahnya. Bangun daripada baring, Jeffry berjalan ke jendela lalu menjenguk ke luar.

“Durian tok ayah beli kat Mersing tadi,” sahut tok ma dari arah muka pintu.

“Fea nak makan, boleh?”

“Boleh... memang tok ayah beli untuk makan pun. Tunggu tok ayah balik dululah. Tok ayah pergi ladang sekejap. Ada orang nak beli lembu. Pak su pun tak ada kat rumah ni.”

“Fea nak makan sekaranglah, tok ma.” Dia dah tak sabar nak makan, boleh pula tok ma suruh tunggu tok ayah. Memang taklah!

“Kut ya pun, bawalah durian tu masuk dalam dulu, Fea.”

“Malaslah Fea nak angkut masuk rumah. Makan kat sini pun okey juga kan, tok ma?”

“Tau ke Fea kopek durian tu?”

“Soalan apa pelik sangat ni, tok ma? Jangan pandang Fea tak ada mata ya? Setakat kopek durian, apalah sangat.”

Dari jendela rumahnya, Jeffry ketawa. Kelakar betul Sofea tu. Berlagak pula tu. Entah kenapa, suka pula dia melihat gelagat gadis itu. Tapi kalaulah Sofea tahu dirinya sedang diperhati, harus dia kena marah.

Tergelak Hajah Aida dengan bebelan cucunya. Dia kemudian menghilang ke dalam rumah, sebelum muncul semula di muka pintu dengan sebilah parang kecil dan tuala dapur. Menyerahkan parang tersebut kepada Sofea, dia cepat-cepat masuk ke rumah semula. Nak mandikan Maryam, katanya.

Sofea mengambil sebiji durian. Tak merekah pula kulitnya. Ditukar pula dengan yang lain, sama juga. Malah, kelima-lima biji durian di atas meja itu mempunyai sifat yang sama. Semuanya tidak merekah.

Sofea memusing-musingkan pula buah durian itu, cuba mencari  garisan. Ada garisannya, tapi tak jelas. Mata parang kemudiannya dihalakan ke arah garisan itu lalu ditekannya kuat-kuat. Tak berkesan langsung. Diulang perkara sama, masih sama juga keadaannya.

Tiada pilihan, Sofea akhirnya menghentakkan mata parang ke arah buah durian yang agak besar itu. Sekali, dua kali, tiga kali, empat kali hentak. Sampai naik hancur kulit durian itu dikerjakan. Baru nak angkat parang lagi sekali, terdengar suara seseorang menegur. Parang tak jadi dihentak, sebaliknya wajahnya segera dipalingkan ke arah si pemilik suara itu. Jeffry lagi! Dah tak ada muka lain ke?

“Awak buat apa sampai teruk sangat rupa buah durian tu? Kata pandai sangat. Kalau pandai, takkan sampai hancur lumat durian tu awak kerjakan?” Sambil bercekak pinggang, Jeffry menghalakan pandangannya ke arah durian atas meja.

“Awak skodeng saya?” Bulat mata Sofea mencerlung Jeffry yang berdiri di sebelahnya. Dahlah datang tak diundang! Mulut tu kalau tak mengata dia, tak sah!

“Mana ada skodeng? Angin yang bawa suara awak tu sampai ke rumah saya. Bawa dengan bau durian sekali. Sebab tu la saya datang. Nak tolong awak kopekkan durian. Bukan apa, nanti kempunan pula cucu Haji Zain tak dapat makan durian.”

Malas melayan kata-kata Jeffry, Sofea hanya memandang buah durian di atas meja dengan wajah yang kecewa.

“Nak saya tolong?”

“Boleh ke? Tak menyusahkan awak?” Durian punya pasal, biarlah dia lupakan sekejap mulut Jeffry yang menyakitkan hati itu.

“Boleh. Mana ada susah? Bak sini parang tu.”

Parang sudah pun berada di tangan Jeffry. Kemudian dia mengambil tuala pula, lalu membalut tangan kirinya. Durian yang hampir hancur tadi diletakkan ke tepi. Lantas dia mengambil sebiji lagi durian.

“Ini teknik yang betul untuk kopek durian. Mula-mula, awak potong tangkai ni dulu. Buang semua, jangan tinggalkan sikit pun. Lepas tu awak dirikan durian ni. Dah berdiri macam ni, awak tekan dekat garisan ni kuat-kuat. Haa... tengok, dah terkopek pun.” Durian yang sudah dikopek semua pangsa, diletakkan di hadapan Sofea.

Wah, senang sangat! Macam tu aje Jeffry buat? Tanpa menghiraukan Jeffry yang berada di sebelah, Sofea segera mencapai ulas durian yang kekuningan itu lalu dimasukkan ke mulut. Ya Allah, sedapnya!

“Kut ya pun, duduklah dulu. Tak sopanlah makan berdiri macam ni. Bismillah pun tak baca. Apalah awak ni.” Laju Jeffry menegur.

Dah kena tegur, terus Sofea duduk di atas bangku. Sempat pula mulutnya melafazkan bismillah. Itulah, gelojoh sangat.

Seulas, dua ulas... sampailah lima ulas dimakannya. Barulah dia teringatkan Jeffry yang hanya melihat dia makan. Punyalah suka sangat dengan durian, sampaikan dia terlupa untuk mempelawa lelaki itu.

“Eh, awak makanlah.”

”Boleh ke?”

“Mestilah boleh.”

“Saya kopek satu lagi ya?”

“Okey.”

Tak banyak mana pun Jeffry makan. Hanya tiga ulas. Dia bukanlah jenis hantu durian macam Sofea tu.

“Awak memang suka durian ke?” Sebetulnya tak perlu tanya pun. Tengok dari cara Sofea makan durian pun dah boleh tahu.

“Suka sangat. Lima biji ni saya boleh habiskan sorang aje tau?”

“Biar betul awak ni?”

“Betul! Awak tau tak, dulu tok ayah ada dusun durian. Siap ada pondok tok ayah buat kat dusun tu. Setiap kali balik kampung, kalau kebetulan musim durian, kita orang ramai-ramai akan duduk lepak-lepak kat pondok tu sambil kutip durian gugur. Yang paling seronok, tok ma siap masak lempuk kat sana.”

“Seronoknya...” Jeffry mencelah.

“Memang seronok. Rindu sangat nak rasa suasana macam tu lagi. Tapi dusun tok ayah dah tak terjaga sekarang. Pondok tu pun dah tak ada agaknya. Kalau teringin nak makan durian, terpaksalah beli.”

“Awak nak tau sesuatu?” soal Jeffry.

“Apa dia?”

“Saya memang dalam perancangan nak tanam durian Musang King, tau? Insya-Allah kalau tak ada apa-apa halangan, kita akan mula tak lama lagi.”

“Seriuslah!” Nampak teruja benar Sofea. Durian punya hal, dia sampai lupa dengan ketidaksenangannya terhadap Jeffry selama ini.

“Memang saya serius. Buat permulaan, kita akan tanam dalam 25 pokok dulu.”

“Wah, syoknya! Nanti awak buatlah pondok. Sambil tunggu durian gugur, boleh la kita duduk kat pondok tu. Kalau boleh, awak buat pondok yang cantik sikit. Biar ada semua kelengkapan macam dalam rumah. Senang kalau nak masak ke, nak berehat ke... Dusun tok ayah dulu, pondok bodoh aje.”

“Pondok bodoh? Macam mana la rupanya tu?” Jeffry ketawa.

“Yalah... pondok petak, dinding pun tak ada. Itu maksud saya.”

“Bagus juga idea awak tu. Nanti kita bincang lagi, eh?”

“Tak sabarlah nak tunggu Musang King awak berbuah.”

“Saya pun tak sabar. Nanti kita tunggu durian gugur sama-sama, okey?”

“Okey! Tapi awak janganlah jual mahal sangat kat saya durian tu nanti.”

“Siapa cakap saya nak jual kat awak?”

“Kenapa tak nak jual kat saya pulak? Memanglah Musang King mahal, tapi saya boleh bayar, okey?”

Jeffry ni memanglah. Belum pun pokok duriannya berbuah, bayang pokok pun tak nampak lagi, dah nak menyombong. Benci tau!

“Walaupun awak boleh bayar, saya tetap tak nak jual.”

“Tapi kenapa?” Sofea dah jegil mata.

“Sebab... saya akan beri awak makan secara percuma aje, Sofea. Tak payah bayar satu ssen pun. Awak nak makan sebanyak mana pun tak apa. Nak duduk 24 jam kat dusun tu pun boleh.” Lembut dan mesra suara Jeffry seraya melemparkan senyuman manis buat si dia yang manis.

“Oh!” Sofea jadi malu dengan lintasan yang muncul di hatinya sebentar tadi. Tak pasal-pasal dia bersangka buruk dengan Jeffry.

“Awak perasan tak, kita makan durian tak minum air dari tadi? Mana boleh? Dah makan durian, kenalah minum air. Durian ni panas tau?” Ucapan Sofea itu hanyalah helah bagi menutup rasa malunya.

“Betul la. Patutlah tekak saya pun dah rasa panas ni,” sambut Jeffry. Sajalah buat-buat cakap macam tu. Tak nak bagi Sofea malu.

“Awak tunggu sekejap, saya pergi ambilkan air. Risau demam pula anak teruna Mak Cik Ayu ni. Jenuh saya nak menjawab dengan ibu awak nanti.” Tanpa menunggu jawapan Jeffry, Sofea berjalan laju masuk ke rumah.

Jeffry menggeleng. Nak ambil air tu, ambil ajelah. Nak juga berbunyi mulut tu. Saja nak buat dia ketawa. Dan Jeffry memang ketawa pun.

Selang beberapa minit, Sofea kembali dengan dua gelas air kosong. Satu diserahkan kepada Jeffry, satu lagi buat diri dia sendiri. Duduk di tempat tadi semula, dia meneguk perlahan.

“Ini, awak ada jampi apa-apa tak air ni? Kalau lepas ni saya asyik teringatkan awak, memang sah kena jampi dengan awaklah tu.” Niat Jeffry sekadar mahu bergurau, tapi mungkin caranya tak kena.

Apa lagi, marahlah Sofea. Bulat matanya mencerlung wajah Jeffry.

“Eiii, jangan nak perasan, boleh tak? Tak ingin la saya nak jampi awak tu. Dahlah, malas layan awak, saya nak masuk.” Cepat-cepat Sofea bangun dari bangku, kemudian berjalan ke arah dalam rumah semula.

“Hei, Sofea!” Jeffry panggil.

“Apa?” Dalam marah, Sofea tetap menghentikan langkahnya. Panggilan Jeffry tetap dia sahut.

“Sebenarnya, saya suka aje kena jampi dengan awak.”

“Uweekk!” Membuat gaya nak termuntah, Sofea pantas menyambung langkahnya masuk ke rumah.

Sambil berjalan keluar dari pintu pagar rumah Haji Zain, Jeffry sambung ketawa.

Sofea, awaklah makhluk paling comel yang pernah saya jumpa.

Ada Yang Tertinggal - Bab 16

 

“M

ARYAM, boleh duduk diam-diam tak? Sibuk aje nak turun ke tanah. Macamlah awak tu dah boleh berjalan.” Sambil membebel, Sofea mengangkat Maryam yang sudah pun menghulurkan kakinya ke tanah. Baru sekejap berada atas ribaan Sofea, Maryam menjerit-jerit minta dilepaskan.

“Pak su, tengoklah Maryam ni! Dia tak nak duduk diam!”

Haikal bingkas bangun meninggalkan motosikal yang sedang dicuci, lalu masuk ke rumah. Sebentar kemudian dia keluar semula dengan membawa kereta sorong bayi.

“Bagi dia duduk dalam stroller ni, Fea.” Haikal mengambil Maryam dari  Sofea, lalu meletakkannya ke dalam kereta sorong. Maryam menjerit marah. Mahu keluar dari situ.

“Pak su, Maryam marahlah.” Terkekeh-kekeh Sofea ketawa apabila sekali lagi Maryam menjerit.

“Kena tolak tu, Fea. Barulah dia suka.”

“Okey, Maryam. Kak Fea tolak ya?” Dengan berhati-hati, Sofea menolak kereta sorong bayi itu. Cukuplah dalam kawasan pagar saja. Tak perlulah nak tolak sampai ke luar sana pula.

Tiba-tiba kereta Jeffry berhenti betul-betul di depan pintu pagar rumahnya. Lelaki itu tidak berseorangan. Kak Nisha bersamanya.

“Aunty Sha sinilah! Maryam panggil ni!” laung Sofea apabila Nisha keluar dari kereta. Nisha kan suka sangat bermain dengan Maryam.

Keluar sahaja dari kereta, Nisha pantas berjalan ke arah pagar rumah Haji Zain. Namun sudah hampir dengan pagar, tiba-tiba dia berpatah balik.

“Laa, kenapa Kak Sha?” soal Sofea, hairan.

“Nanti lain kali ya, Fea? Kak Sha nak cepat ni. Ada hal sikit kat rumah.” Buru-buru Kak Nisha berjalan ke rumahnya. Tak pandang Sofea pun.

Peliklah Kak Nisha tu. Selalu tu pantang nampak Maryam, laju aje datang. Ini... boleh dia pergi macam tu saja?

Nisha yang dipanggil, Jeffry pula yang datang. Sambil tersenyum, dia melangkah ke dalam kawasan pagar.

“Awak nama Kak Sha ke?” Sofea perli. Kalau boleh dalam sehari dua ini, dia memang tak ingin berjumpa dengan lelaki itu. Dia masih segan dengan peristiwa malam tadi. Jangan Jeffry sebut balik, sudahlah.

“Laaa... awak panggil Kak Sha ke? Kenapa saya dengar macam awak panggil nama saya?” Jeffry tayang sengih.

“Tak payah nak buat lawaklah! Tak kelakar pun.” Sofea mencebik. Jelas kut suara dia panggil nama Kak Sha tadi. Lagipun, jauh sangat bunyi nama Kak Sha dengan Jeffry tu. Nak menipu pun agak-agaklah.

 “Hai, Jeff.” Haikal yang sedang duduk mencangkung di sisi motosikalnya, menegur.

“Laa... kau ada rupanya, Kal. Patutlah...” Sungguh, Jeffry mati-mati duk ingat hanya ada Sofea dan Maryam di situ. Itu yang buat dia singgah sebentar. Saja nak menyakat Sofea tentang hal malam tadi.

“Patutlah apa?” soal Haikal seraya bangun berdiri. Kebetulan kerja mencucinya sudah pun selesai.

“Patutlah ada Maryam kat sini.” Sebenarnya lain yang mahu dijawab, tapi biarlah. Tak sesuai nak sebut sekarang.

“Ooo... Maryam, ingatkan kau nak cakap apa tadi.”

“Maryam nak ikut Abang Jeff tak?” Jeffry menghampiri Maryam. Kedua-dua tangannya disuakan ke arah anak kecil itu.

Tiba-tiba Haikal ketawa.

“Kenapa kau gelak?”

“Sejak bila pula Abang Jeff ni? Sebelum ni elok aje panggil Uncle Jeff. Kau jangan bagi Maryam pening, boleh tak? Sekejap uncle, sekejap abang.”

Jeffry ketawa lagi. Haikal ni memanglah. Saja nak malukan dia kat depan Sofea.

“Abang Jeff balik dulu, Maryam.” Mulut bercakap dengan Maryam, mata melirik pada Sofea. Malangnya, gadis itu tak pandang dia pun.

“Sedaplah suara awak baca Quran semalam. Tak puas dengar. Nanti baca lagi, tau?” Perlahan saja  suara Jeffry. Cukup untuk didengar oleh telinga dia dan Sofea sahaja.

Tidak jawab, Sofea hanya mencerlung muka Jeffry. Itu rupanya tujuan Jeffry singgah ke sini, semata-mata nak sindir dia tentang kejadian malam tadi. Jeffry memang sangat menyakitkan hati!

“Okey Kal, aku balik dulu. Jangan tunggu lama-lama tau.” Sambil berkata begitu, Jeffry melangkah keluar dari kawasan pagar rumah Haji Zain dan terus menuju ke pintu pagar rumahnya.

“Jangan tunggu lama-lama? Apa maksud Jeffry cakap macam tu, pak su?” Laju Sofea menyoal. Seperti ada rahsia antara Jeffry dan Haikal.

“Entah... manalah pak su tau?” Haikal jongket bahu.

 

SEBENARNYA Sofea jarang-jarang melukis gambar pemandangan. Minatnya lebih kepada lukisan kartun dan komik. Namun, melihat pemandangan di depan mata, dia jadi teruja untuk memindahkan indahnya ciptaan Allah itu ke dalam buku lakaran lukisannya.

Dengan duduk beralaskan sandal sendiri, matanya tidak lepas memandang ke dada laut yang luas terbentang. Awan putih yang berarak, burung-burung yang berterbangan di atas langit sana, bayu laut yang menampar pipi serta ombak yang sesekali menjamah pantai buat hatinya rasa terbuai.

Kebetulan, tiada orang lain di sekitar, jadi bolehlah dia duduk di situ dan melukis sebebas-bebasnya. Tanpa ada gangguan sesiapa pun.

Lalu beralaskan riba sendiri, dia mula melakar menggunakan pensel. Dalam masa beberapa minit sahaja, lakarannya sudah hampir memenuhi dada buku.

Sedang leka melukis, tiba-tiba dia terasa seperti sedang diperhatikan. Seolah-olah ada orang lain di situ selain dia. Serta-merta dia berpaling.

Tepat sangkaannya. Di bawah sebatang pohon gelam tidak jauh dari tempat dia sedang duduk, kelihatan seorang lelaki berdiri di situ. Berbaju T hijau tanpa kolar dan berseluar denim biru. Mata lelaki yang berkulit sedikit gelap itu sedang menghala ke arahnya.

Yang buat Sofea rasa tidak sedap hati, lelaki itu memandangnya dengan pandangan tajam. Muka pula serius. Dah kenapa tengok dia macam tu? Apa masalah lelaki itu?

Cuba mengabaikan lelaki yang tidak dikenali itu, Sofea sambung melukis, tetapi matanya sahaja pada buku lakaran, hati lebih pada lelaki tadi. Lagi sekali matanya dibawa ke arah pohon gelam tersebut. Nampaknya lelaki itu masih berdiri di situ dan yang buat bulu romanya tiba-tiba berdiri, lelaki itu tetap mencerlung ke arahnya.

Bukan keputusan yang bijak kalau dia terus menunggu di situ. Dalam keadaan pantai yang sunyi tanpa pengunjung ketika itu, apa-apa sahaja boleh berlaku. Lantas, buku lakarannya segera dikatup. Bangun daripada silanya, Sofea segera menyarungkan sandal. Kemudian berjalan laju menuju ke keretanya.

Dan pandangan mata lelaki di bawah pohon gelam itu mengekori setiap langkah kaki Sofea sehinggalah kereta gadis itu meninggalkan kawasan pantai.