Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 7


“S

URAT untuk Encik Ikmal.” Sofea menghulurkan sampul surat berwarna putih itu kepada bosnya.

“Surat apa ni, Sofea?” Mulut bertanya, dalam masa yang sama surat dikeluarkan dari sampul.

Sofea tidak memberi respons. Dia memerhatikan sahaja perbuatan Encik Ikmal.

“Awak bagi saya notis berhenti kerja 24 jam Sofea?” soal Encik Ikmal usai isi kandungan surat tersebut dibaca. Suaranya yang tenang tadi, mendadak jadi tinggi. Matanya mencerlung ke arah gadis yang sedang berdiri di hadapan mejanya.

Sofea membalas dengan anggukan.

“Awak ada masalah ke bekerja di syarikat ni?”

“Tak ada.”

“Atau awak ada masalah dengan saya sendiri?

“Saya tak pernah ada masalah dengan Encik Ikmal. Macam yang saya pernah cakap sebelum ni, Encik Ikmal adalah bos yang paling baik pernah saya bekerja. Saya tak rasa saya akan dapat jumpa lagi bos macam Encik Ikmal lepas ni. Berat sebenarnya untuk saya buat keputusan ni, tapi saya terpaksa, Encik Ikmal.”

“Kalau betul awak rasa berat hati, tak payah berhenti. Saya tak nampak kenapa awak perlu buat macam ni?”

"Saya kena berhenti juga, Encik Ikmal. Bukan tindakan bijak kalau saya terus bekerja kat sini.”

“Awak buat keputusan ni sebab Harris kan?” Tidak susah untuk Encik Ikmal teka. Sudah tentulah lelaki itu menjadi puncanya. Sejak kejadian di hospital tempoh hari, Sofea banyak berubah. Gadis itu jadi pendiam dan hilang senyuman juga. Dia faham, Sofea masih bersedih dengan apa yang terjadi. Tentunya tidak mudah untuk gadis itu.

Sofea langsung tidak bereaksi. Tak perlu, sebab apa yang Encik Ikmal sebut itu adalah benar. Memang Harris puncanya. Lelaki itulah yang menyebabkan dia terpaksa meninggalkan syarikat ini dan ketua yang sangat disayangi.

“Kalau betul Harris puncanya, kenapa awak sampai kena berhenti kerja, Sofea? Itu yang saya tak faham.”

Masih tidak memberi respons. Sofea sekadar tunduk memandang lantai.

“Awak dah janji dengan saya, awak akan lupakan Harris dan tak nak ingat dia lagi. Awak juga beritahu saya, dia tak layak untuk awak sebab awak layak dengan lelaki yang jauh lebih baik daripada dia. Sekarang beritahu saya, kenapa tiba-tiba awak jadi lemah dan senang sangat mengalah ni?”

Panjang bebelan Encik Ikmal. Semata-mata mahu menyedarkan Sofea. Dia tidak mahu Sofea merugikan diri sendiri hanya disebabkan kecewa dengan seorang lelaki.

“Awak sebenarnya cuba lari dari masalah, padahal ke mana pun awak pergi, masalah tu tetap akan ikut awak. Semakin awak lari, semakin jauh awak dari jalan penyelesaian, Sofea.”

“Saya bukan nak lari dari masalah, saya cuma nak pergi jauh dari Harris, Encik Ikmal.”

“Harris tu bukan masalah awak ke Sofea?”

“Ya, saya mengaku, memang dia masalah saya. Sebab itulah saya nak lari jauh daripada dia. Kalau boleh, saya tak nak jumpa dia lagi. Sebab saya tau saya tak kuat. Saya takut saya akan kalah dengan kata-kata dan pujukan dia. Memang saya marah dia, sakit hati dengan dia... tapi kat dalam hati ni, masih ada dia, Encik Ikmal.” Tangannya dibawa menyentuh dada. Suara bertukar sebak, mata bergenang.

“Okey, saya faham kalau awak masih sayangkan dia, cintakan dia. Tak mudah untuk awak lupakan dia, itu pun saya faham. Tapi dalam keadaan dia yang terlantar, atau mungkin dah mati macam yang awak selalu sebut sebelum ni, mustahil awak akan jumpa dia lagi kan?”

“Sebenarnya saya silap. Keadaan dia tak seteruk yang saya sangkakan, Encik Ikmal. Dan dia juga tak mati seperti yang kita pernah fikir.”

“Mana awak tau?”

“Dia telefon saya.”

Encik Ikmal tayang muka terkejut.

Memang patut pun Encik Ikmal terkejut. Sofea sendiri sangat terkejut saat menerima panggilan telefon daripada lelaki itu petang semalam.

“Bila dia telefon awak?”

“Semalam. Hari ni dia telefon lagi.”

“Bukan awak dah sekat nombor dia ke?”

“Dia telefon ofis.”

“Awak bercakap dengan dia?”

“Saya dengar aje dia bercakap.”

“Dia cakap apa?”

“Dia cakap dia tak faham kenapa saya layan dia macam tu. Kenapa saya sekat nombor dia, kenapa saya cuba lari daripada dia?”

“Bermakna dia masih tak tau yang awak dah tau status dia?”

“Entahlah, sebab tak sempat dia cakap banyak, saya cepat-cepat letak telefon.”

“Biar saya jumpa dia. Saya nak bagi amaran supaya dia tak kacau awak lagi, Sofea.” Serius suara Encik Ikmal kali ini.

“Jangan, Encik Ikmal!”

“Eh, dia dah ganggu pekerja saya. Saya ada hak nak buat macam tu!”

“Encik Ikmal ingat, Harris akan dengar cakap Encik Ikmal?”

“Nak tak nak, dia kena dengar. Kalau perlu guna kekerasan, saya akan buat. Saya tak peduli dah.”

Laju Sofea menggeleng. Tak setuju langsung. Sejahat-jahat Harris, dia takkan izinkan Encik Ikmal buat macam tu.

“Tak payahlah buat macam tu, Encik Ikmal. Saya tetap dengan keputusan saya. Saya akan berhenti kerja.”

“Degilnya awak, Sofea.” Kecewa benar nada suara Encik Ikmal.

“Encik Ikmal, maafkan saya. Tapi saya rasa inilah keputusan terbaik yang boleh saya buat. Sebelum dia datang ke sini cari saya, biarlah saya berhenti dulu.”

“Awak ingat, dia tak boleh pergi rumah awak?”

“Dia tak pernah tau rumah saya, Encik Ikmal.”

Ada hikmahnya juga dia tidak memperkenalkan Harris dengan orang tuanya. Sekali gus tidak mempelawa lelaki itu datang ke rumah. Sekurang-kurangnya Harris susah untuk menjejaki dia selepas ini. Mungkin Harris boleh datang ke pejabatnya, tetapi yang penting, lelaki itu tidak akan jumpa dia dan tidak akan memperoleh sebarang maklumat mengenai dia.

Encik Ikmal mendengus. Sofea memang degil dan suka menjawab. Dia cakap begini, Sofea jawab begitu.

“Awak ingat KL ni kecil, Sofea? Esok, lusa atau tulat dia akan jumpa dengan awak juga.”

“Sebab itulah saya kena berhenti kerja, Encik Ikmal. Saya nak tinggalkan KL.”

Membuntang mata Encik Ikmal. Dalam tempoh tak sampai sepuluh minit, sudah dua kali Sofea buat dia terperanjat. Tadi dengan surat notis berhenti kerja 24 jam, sekarang ni dengan berita mahu meninggalkan Kuala Lumpur pula. Hanya kerana seorang Harris Shah, Sofea sampai sanggup membuat keputusan yang begitu besar dalam hidupnya.

“Awak nak pergi mana, Sofea?”

“Belum tahu lagi.” Sebenarnya, dari awal lagi dia sudah memilih destinasi yang bakal dituju, tapi biarlah dia rahsiakan dahulu. Mana tahu, kalau-kalau dia berubah fikiran.

Wajah terperanjat Encik Ikmal sebentar tadi kini bertukar muram. Belum lagi Sofea pergi, dia sudah rasa kehilangan. Tentulah hari-harinya selepas ini akan jadi tidak seronok tanpa pembantu peribadi yang bernama Sofea Hana ini. Dan pagi-pagi yang bakal dilalui juga akan lesu tanpa kopi Sofea.

Bukan senang nak cari pengganti yang rajin, berdisiplin, berdedikasi serta tidak berkira kerja macam Sofea itu. Sofea juga seorang PA yang sangat amanah. Tak pernah menjaja cerita buruk tentang dia, tak pernah mengumpat, tidak mengadu domba, tak ada langsung! Memang dia rasa ralat. Sampai bila-bila pun dia takkan jumpa PA macam tu.

“Encik Ikmal, selagi saya diberikan amanah untuk bekerja di bawah Encik Ikmal, insya-Allah saya akan cuba sedaya upaya untuk sentiasa menjaga nama baik Encik Ikmal. Macam mana saya menjaga aib saya, macam tu juga saya akan sentiasa jaga aib Encik Ikmal. Lagipun Encik Ikmal baik, jadi tak ada sebab kenapa saya nak buat cerita buruk tentang Encik Ikmal.” Itu yang pernah Sofea katakan kepadanya suatu ketika dahulu dan dia percayakan gadis itu.

“Awak selalu cakap, saya bos paling baik yang awak pernah jumpa, tapi apa gunanya kalau awak sanggup tinggalkan saya, Sofea?”

“Encik Ikmal, janganlah cakap macam tu. Sedih saya, tau?” Tanpa sedar, air mata Sofea mengalir lesu ke pipi. Sungguh, kalau Encik Ikmal sedih, kesedihan dia berganda. Bekerja di bawah Encik Ikmal merupakan pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan. Pastinya dia akan merindui lelaki itu.

“Sedih konon, tapi tetap nak tinggalkan saya.” Suara Encik Ikmal turut sebak.

“Kalaulah Encik Ikmal masih bujang, mesti dah lama saya mengurat Encik Ikmal. Saya dah ajak Encik Ikmal kahwin.” Sengaja Sofea membuat lawak.

Encik Ikmal langsung tak ketawa. Tengah sedih, macam mana nak ketawa?

“Kalau saya bujang sekalipun, awak ingat saya nak perempuan lemah dan cepat mengalah macam awak ni? Tak naklah saya!”

 “Jual mahal Encik Ikmal ni. Perempuan cantik macam saya pun Encik Ikmal tak nak.” Mulut saja ketawa, tapi air jernih masih juga mengalir dari tubir mata.

“Saya keluar dulu, Encik Ikmal.”

Belum sempat Sofea melangkah, Encik Ikmal  menyeru namanya.

“Ada apa, Encik Ikmal?”

“Pintu pejabat saya ni sentiasa terbuka untuk awak. Bila-bila masa awak rasa nak datang kerja balik, awak datanglah.”

Lambat-lambat Sofea mengangguk.

“Terima kasih, Encik Ikmal.”

“Jangan lupakan saya, Sofea.”

“Saya janji saya takkan lupakan Encik Ikmal.”

“Tolong beritahu saya bila dah sampai kat tempat tu nanti.”

“Insya-Allah.”

No comments: