Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 4

 







“SOFEA, saya ada benda nak tanya awak ni. Harap-harap awak tak tuduh saya suka jaga tepi kain awak pulak.”

Sewaktu pertanyaan itu diajukan, Encik Ikmal sedang memandu manakala Sofea pula berada di sebelahnya. Sebetulnya, mereka baru sahaja selesai bertemu klien di sebuah hotel dan sedang dalam perjalanan balik semula ke pejabat.

“Tanya ajelah apa yang Encik Ikmal rasa nak tanya. Saya okey aje.”

“Kenapa awak dengan Fiza menangis tadi?”

“Eh, Encik Ikmal nampak ke?”

“Apa tak nampak pulak? Kat depan bilik saya awak berdua menangis, siap berpeluk-peluk lagi.”

“Kita orang menangis gembira, Encik Ikmal.”

“Gembira apanya sampai menangis beria-ia macam tu? Awak peluk Fiza, Fiza peluk awak. Gaya macam orang mati laki.”

Spontan Sofea ketawa. Memang betul kata Encik Ikmal. Reaksi dia dan Fiza tengah hari tadi memang macam orang mati suami.

“Encik Ikmal betul-betul nak tau ke?”

“Yalah, sebab tu saya tanya.”

“Hampir dua tahun saya dan Harris bercinta, Encik Ikmal. Dan selama tempoh tu saya selalu tertanya-tanya, bila agaknya dia nak jumpa mummy dan daddy saya? Bila agaknya dia nak kenalkan saya dengan orang tua dia dan yang paling saya tertunggu-tunggu, bila agaknya dia nak ajak saya kahwin? Memang dia selalu cakap dia cintakan saya, sayang saya tapi setakat itu ajelah."

Ringan sahaja mulut Sofea bercerita. Biarlah Encik Ikmal tahu. Lagipun selama ini memang Encik Ikmal dah kenal Harris.

“Dan semalam, saat yang saya tunggu-tunggu sampai juga akhirnya. Dia lamar saya, Encik Ikmal. Hanya Tuhan yang tahu hati saya masa tu. Saya rasa bahagia sangat. Allah dah makbulkan doa saya.”

Encik Ikmal menyambut cerita itu dengan senyuman. Tumpang gembira untuk Sofea.

“Sebab itulah saya dan Fiza menangis tadi. Saya gembira dan Fiza pun tumpang gembira untuk saya.”

“Okey, sekarang saya faham. Saya doakan semoga semuanya dipermudahkan. Mudah-mudahan apa yang awak impikan selama ini akan jadi kenyataan, Sofea.”

“Insya-Allah Encik Ikmal, dengan izin Allah. Saya percaya Harris akan bahagiakan saya. Dia lelaki baik, Encik Ikmal, sangat baik. Susah nak jumpa lelaki macam dia.”

“Oh, ya? Tapi... kenapa saya rasa saya lagi baik daripada dia, hah?” Encik Ikmal buat lawak.

“Betul la tu, Encik Ikmal pun baik juga.”

Lagi sepuluh minit nak sampai ke pejabat, telefon yang kebetulan berada dalam genggaman Sofea bergegar. Melihat nama Harris pada skrin, senyuman Sofea automatik merekah di bibir.

“Assalamualaikum.” Seperti biasa, Sofea menghulurkan salam.

“Waalaikumussalam.”

Sebaik mendengar suara yang menjawab salamnya, Sofea pantas melarikan telefon daripada telinganya lantas memandang skrin sekali lagi. Betul, memang nama Harris yang terpapar di situ, tapi suara siapa pula di talian? Telefon kembali dilekapkan ke telinga.

“Encik siapa?”

“Saya Fauzi.”

“Fauzi? Mana Harris?”

“Oh, nama dia Harris ke?”

Peliknya. Apa yang berlaku sebenarnya ni?

“Ya, memang nama dia Harris. Macam mana telefon dia boleh ada pada encik pula?”

“Oh! Ada orang jumpa di tempat kejadian. Jadi, dia serahkan kepada pihak hospital.”

“Jumpa di tempat kejadian? Serah kepada pihak hospital? Apa maksud encik ni? Saya tak faham.” Dada Sofea mula berdebar-debar. Terasa seperti ada berita buruk yang bakal lelaki itu sampaikan sebentar lagi.

“Sebelum tu saya nak tanya, apa hubungan awak dengan dia?”

“Saya bakal is... err... saya kawan dia.”

“Ooo... kawan. Sebenarnya awak orang terakhir yang bercakap dengan dia. Itu sebab saya telefon awak. Tapi saya dah hubungi ibu dia juga tadi.”

“Encik, apa sebenarnya yang dah berlaku pada Harris?” Sofea jadi hilang sabar. Perlu ke lelaki itu bercerita tentang semua itu? Orang nak tahu tentang Harris la!

“Dia kemalangan jalan raya.”

“Hah?” Hanya itu yang mampu keluar daripada mulut Sofea.

“Ya, dia kemalangan dengan sebuah lori.”

“Habis, macam mana keadaan Harris sekarang? Dia selamat kan? Tak ada apa-apa berlaku pada dia kan?”

Bersama soalan-soalan yang terhambur keluar daripada mulut, air mata Sofea pantas terjun dari kolam mata. Soalannya hanya sekadar untuk menyedapkan hati sendiri. Sedang jauh di sudut hatinya, dia dapat rasa keadaan Harris serius. Kalau tidak serius, sudah tentu Harris sendiri yang akan menghubungi dia dan memaklumkan tentang keadaan dirinya.

“Dengarnya, kereta dia remuk teruk. Harris kat hospital sekarang ni.”

Sepanjang lelaki itu memberi penjelasan, air mata Sofea tidak henti-henti menjamah di pipi. Kalau boleh, dia tidak mahu dengar berita seumpama itu kerana dia tahu dia jenis yang tidak kuat. Tetapi dia juga mahu tahu keadaan sebenar Harris.

“Sofea?” seru Encik Ikmal sejurus perbualan Sofea dan Fauzi tamat. Dia tidak akan bertanya. Biarlah Sofea sendiri yang bercerita. Tapi, daripada  tangisan dan wajah gadis itu yang sudah dibanjiri air mata, dia tahu yang Harris mengalami kecederaan serius.

“Encik Ikmal, Harris...” Hanya nama itu yang mampu Sofea sebut. Kemudian dia menangis lagi.

“Sabar, Sofea. Banyakkan berdoa. Saya yakin, Harris akan selamat.”

“Saya takut Harris tinggalkan saya. Saya belum bersedia untuk kehilangan dia, Encik Ikmal.” Sofea sambung menangis.

“Sofea, awak tak boleh macam ni. Awak kena kuat. Awak kena yakin yang Harris akan selamat.”

“Saya takut apa-apa berlaku pada Harris.” Semakin kuat tangisan Sofea. Hilang malunya pada Encik Ikmal.

“Saya tau awak risau, tapi tolong jangan macam ni, boleh tak? Kita tak tau lagi keadaan Harris macam mana. Entah-entah dia tak seteruk yang awak sangka.”

“Tapi... orang tu cakap Harris cedera teruk.”

“Mungkin pada dia teruk, hakikatnya Harris tak teruk mana.” Encik Ikmal cuba menenangkan.

“Kalau tak teruk, kenapa orang lain yang telefon saya, kenapa bukan Harris sendiri? Lagipun orang tu cakap Harris tak sedarkan diri tadi.”

“Mungkin masa tu dia pengsan sekejap, kita tak tau kan?” Masih cuba memujuk walaupun kedegilan Sofea buat dia jadi geram.

“Tak payahlah Encik Ikmal nak sedapkan hati saya. Saya tau keadaan Harris serius.”

“Awak ni dah kenapa, Sofea? Nak sangat ke Harris jadi macam tu? Sepatutnya awak berdoa supaya dia dalam keadaan baik, minta Allah permudahkan urusan dia. Ini tidak, duk fikir yang bukan-bukan. Apalah awak ni?” Encik Ikmal mula meninggikan suara. Memang dia jenis orang yang sabar, tapi kedegilan Sofea buat dia jadi hilang sabar pula.

Masih menangis, Sofea kalih muka pandang Encik Ikmal. Sampai hati Encik Ikmal marah dia. Dia bukan suka-suka nak menangis, nak merintih macam ni. Encik Ikmal tahu tak, betapa risau dan takutnya dia sekarang? Dia takut Harris mati, dia takut Harris tinggalkan dia.

“Encik Ikmal, tolong berhenti kat depan tu!”

“Eh, kenapa pulak?”

“Saya nak pergi hospital. Saya nak ambil Grab.”

“Tak payah ambil Grab. Pergi aje dengan saya.”

“Saya tak nak menyusahkan Encik Ikmal.”

“Kenapa cakap macam tu, kecil hati dengan saya ke?”

Memang dia kecil hati dengan Encik Ikmal. Dia bukan sengaja nak buat perangai, dia risaukan Harris. Tapi Encik Ikmal macam tak faham pula.

“Awak tau tak, saya risau tengok awak sekarang ni. Saya tau dalam keadaan emosi awak yang tak stabil macam ni, awak tak boleh bersendirian. Awak perlukan teman.”

Sofea masih tidak jawab. Cuma matanya yang dibawa pandang Encik Ikmal.

“Boleh kan saya temankan awak?”

Akhirnya Sofea mengangguk. Memang dia tak mahu menyusahkan Encik Ikmal, tapi ada baiknya juga kalau Encik Ikmal ikut. Sekurang-kurangnya ada orang yang boleh beri dia kata-kata semangat.

“Di pejabat memang saya bos awak. Tapi kat luar, awak boleh aje anggap saya macam abang awak. Ingat tu.”

“Terima kasih, Encik Ikmal.”

“Sama-sama.”

No comments: