Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 8

 


AK ada angin tak ada ribut, tiba-tiba  nak balik kampung ni, kenapa Fea?”

Sofea membiarkan saja soalan mummy itu tidak berjawab. Tangannya sibuk memasukkan pakaian ke dalam bagasi.

“Lama ke Fea nak balik kampung?” Tahu pertanyaannya tidak akan dijawab, Puan Alesha mengajukan soalan lain pula.

“Belum tau lagi, mummy. Mungkin seminggu, dua minggu atau mungkin lebih. Tengoklah macam mana.”

 Melopong sudahnya Puan Alesha. Lain macam sungguh jawapan Sofea itu. Macam ada yang tidak kena.

“Lama sangat Fea cuti, tak apa ke?” Dia kenal benar Encik Ikmal, bos Sofea tu. Masakan Encik Ikmal mengizinkan Sofea bercuti lama-lama. Setakat sehari dua tu, dia sendiri tak pelik.

Lagi sekali Sofea mendiamkan diri.

“Mummy tanya Fea ni, Fea dengar tak?” Lembut saja suara Puan Alesha meskipun cara Sofea melayan pertanyaannya buat sabarnya menipis. Entah kenapa Sofea nampak lain sangat malam ini.

“Tak apa kut.”

“Ya ke tak apa? Takkan Encik Ikmal benarkan PA dia bercuti lama-lama macam tu? Eh, mummy pun PA tau? Kerja jaga bos macam kita ni, mana boleh cuti lama sangat!”

“Itu bos mummy, mana nak sama dengan bos Fea...”

“Fea, tolonglah berterus terang dengan mummy. Tolong jangan buat mummy tertanya-tanya macam ni.” Kata-kata Sofea tentang bosnya yang tidak sama dengan bos dia sendiri, dia tak mahu ulas. Dia dapat rasakan yang Sofea sedang menyembunyikan sesuatu. Sesuatu yang sangat serius.

Mendengar suara mummy yang separuh merayu itu, Sofea rasa kasihan pula. Tak patut sangat kalau dia terus berlakon.

“Kalau Fea cerita, mummy janji jangan marah, tau?”

“Kenapa cakap macam tu? Fea ada buat salah ke?”

“Tengok tu... belum apa-apa lagi mummy dah cakap macam tu.”

“Mummy tanya ajelah. Okey, sekarang cerita kat mummy. Mummy janji takkan marah.”

“Fea dah berhenti kerja.” Tenang sahaja suara Sofea.

“Apa! Fea berhenti kerja?” Terkejut besar Puan Alesha dengan kenyataan Sofea itu sampaikan suaranya mendadak jadi tinggi.

 “Kenapa Fea berhenti kerja? Fea ada masalah ke dekat ofis? Atau Fea ada masalah dengan Encik Ikmal?”

“Tak ada apalah. Fea okey aje dengan semua orang.”

“Kalau okey, kenapa Fea berhenti kerja? Fea, berapa ramai orang yang tengah menganggur kat luar sana? Tapi Fea yang dah kerja dengan gaji yang selesa, senang-senang aje berhenti.”

“Mummy dah janji tak nak marah Fea tadi kan?”

“Mummy bukannya marah, tapi mummy terkejut dan mummy nak Fea bagi alasan kenapa Fea buat keputusan berhenti kerja tiba-tiba macam tu.”

“Fea dah bosan kerja kat situ.”

Puan Alesha terkebil-kebil. Bosan? Itu sajakah alasan Sofea? Tidak, dia tak percaya langsung! Mustahil hanya itu sebabnya. Pasti ada alasan lain. Dan hatinya kuat mengatakan yang Harris ada kaitan dengan keputusan tak masuk akal Sofea itu.

“Apa Harris dah buat pada Fea?” Terus Puan Alesha bertanya begitu. Tak perlu nak cakap berlapik atau berkias sangat.

Mendengar nama itu, mata Sofea serta merta terasa panas. Kesal dan sakit bersilih ganti menyapa hati. Ya. Kerana Harrislah dia terpaksa mengambil keputusan berat itu. Keputusan yang dia sendiri tidak rela.

“Kita orang dah tak ada apa-apa lagi, mummy. Kita orang dah putus.”

Sedikit pun Puan Alesha tak terkejut. Dari awal lagi dia sudah tidak yakin dengan Harris. Dia dapat rasakan lelaki itu tidak ikhlas dengan Sofea. Kalau betul ikhlas, sudah lama Harris menyunting Sofea untuk dijadikan isteri.

“Kalau betul pun kau orang dah putus, kenapa Fea nak kena berhenti kerja? Lepas tu nak lari balik kampung, apa ni Fea?” Malas dia nak tanya kenapa mereka putus. Biarlah, tak penting pun untuk dia ambil tahu.

“Dia cari Fea kat ofis. Dia ganggu Fea, mummy.” Serentak itu, air mata Sofea segera menjamah pipi.

“Bagi nombor telefon dia. Biar mummy ‘sekolahkan’ dia. Suka hati dia aje buat anak mummy macam ni!”

Laju Sofea menggeleng. Biarlah apa pun mummy nak kata, dia tidak akan sesekali membenarkan mummy bercakap dengan Harris. Bimbang keadaan akan jadi lebih buruk.

“Cepat bagi mummy nombor Harris, Fea.”

“Fea dah tak simpan nombor dia. Fea dah buang.”

“Takkan Fea tak ingat langsung?”

“Tak ingat.”

Puan Alesha tahu Sofea tidak bercakap benar. Tapi yalah, apa yang dia boleh buat? Takkan sampai nak pukul Sofea pula?

“Okey, macam nilah. Apa kata, Fea tarik balik surat peletakan jawatan tu? Tak payah berhenti kerja. Cuma Fea ambil cuti lama sikit. Seminggu ke, dua minggu ke. Cuba tenangkan hati dan fikiran Fea tu. Bila hati Fea dah betul-betul rasa tenang, baru Fea masuk kerja balik. Okey tak idea mummy tu?”

Tidak memberi respons, hanya wajah mummy yang jadi tatapan mata Sofea.

“Nanti mummy beritahu Encik Ikmal ya?”

“Jangan!”

“Fea...” Daripada raut wajah Puan Alesha, nampak sangat dia kecewa.

“Keputusan Fea muktamad. Fea dah tak nak kerja kat situ lagi.”

Nafasnya, Puan Alesha hela. Kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Sofea memang jenis degil dan tidak mendengar kata. Tapi itu dulu, sewaktu anaknya itu masih di bangku sekolah. Meningkat dewasa, semua perangai negatif Sofea beransur-ansur pergi dan hilang.

Sejak itu, hanya ada Sofea yang menyenangkan hati semua orang. Tidak pernah lagi dia terasa hati atau tersinggung dengan Sofea kerana tiada sebab untuk dia rasa macam tu. Gadis itu cukup pandai menjaga tingkah laku dan tutur katanya. Tapi hari ini, dia seolah-olah nampak Sofea Hana yang masih di bangku sekolah itu semula.

“Tak baik Fea tipu mummy.” Baru sahaja Puan Alesha beredar, suara Irfan tiba-tiba muncul dari arah belakangnya. Sofea yang masih dengan aktiviti memasukkan pakaian ke dalam beg, serta-merta menoleh.

“Bila masa Fea tipu mummy?”

“Jangan nak berlakonlah, Fea. Abang dengar Fea cakap dengan mummy tadi. Tak ingat nombor telefon Harris, konon!”

“Abang pasang telinga, eh? Saja curi-curi dengar orang bercakap, kan?”

Irfan berjalan masuk ke dalam kamar lalu duduk di birai katil, berhampiran adiknya yang sedang duduk bersila di atas lantai.

“Siapa cakap abang curi dengar? Abang terdengarlah!” Sedikit tinggi suara Irfan. Tak puas hati dengan tuduhan adiknya.

“Jangan cakap kuat-kuat, boleh tak? Nanti mummy dengar.” Tak cukup dengan marah, jemarinya laju mencubit lengan Irfan.

“Lepaslah Fea. Sakit tau tak?”

“Padan muka abang! Bercakap macam nak bagi satu Cheras ni dengar. Suara mengalahkan bunyi guruh.”

Dari birai katil, Irfan beralih ke lantai. Bersila di sebelah adiknya.

“Kenapa Fea tipu mummy? Kesian mummy, tau tak?” Irfan berbalik kepada soalannya tadi.

“Habis, abang nak suruh Fea bagi nombor telefon malaun tu?”

“Apa salahnya Fea bagi?”

“Gila ke apa abang ni? Abang, Harris tu dah ada isteri, tau tak? Katalah masa mummy telefon, isteri dia yang jawab, macam mana? Nanti tak pasal-pasal dia tau suami dia curang.”

“Biarlah isteri dia tau. Biar padan dengan muka Harris tu!” Serius benar suara Irfan.

Saat mendengar aduan Sofea tentang Harris tempoh hari, memang dia rasa marah sungguh. Pada awalnya, memang dia nak pergi cari Harris. Dia mahu buat perhitungan dengan lelaki itu. Terus terang, dia tak boleh terima orang buat adik dia macam tu. Nasib baik masa tu Harris di hospital. Kalau tidak, tak tahulah apa yang akan jadi.

“Isteri dia tak bersalah, abang. Anak dia juga tak bersalah. Jangan kerana kesilapan Harris, dia orang  jadi mangsa. Fea tak nak macam tu.”

Ikutkan rasa marah, Sofea juga nak isteri Harris tahu. Biar perempuan malang yang bernama Najla itu sedar penipuan yang telah suaminya lakukan. Tapi sekiranya hal tersebut boleh mengundang pergaduhan di antara suami dan isteri itu, dia lebih rela jika isteri Harris tidak tahu. Dia tidak mahu menjadi penyebab keruntuhan rumah tangga orang.

“Abang tak rasa mummy akan berdiam diri. Silap-silap, dia akan telefon Encik Ikmal, minta batalkan surat peletakan jawatan Fea.”

“Terpulang pada mummy, tapi macam Fea cakap kat mummy tadi... keputusan Fea muktamad. Fea tak akan ubah dah.”

“Pada abang, Fea tak perlu pun berhenti kerja. Fea dah merugikan diri sendiri, tau tak? Kalau abang jadi Fea, abang takkan ke mana-mana. Abang akan kerja macam biasa, jalani kehidupan seperti biasa. Rugi tau Fea, Harris tu entah-entah tengah seronok dengan anak bini dia, yang Fea pulak duduk melayan kecewa sampai sanggup tinggalkan semua yang Fea sayang kat Kuala Lumpur ni.”

Terhenti terus kerja Sofea. Dengan muka yang masam mencuka, dia mencerlung ke wajah Irfan.

“Kenapa tengok abang macam tu? Tak betul ke apa abang cakap?”

“Abang sengaja tak nak faham Fea kan? Sia-sia aje Fea bercerita macam-macam kat abang hari itu.”

Selain Encik Ikmal dan Fiza, Irfan merupakan orang ketiga yang dimaklumkan tentang insiden menyedihkan di Unit Kecemasan hospital tempoh hari. Keputusannya untuk berhenti kerja dan balik menetap di kampung juga sudah dimaklumkan kepada Irfan.

Memanglah pada mulanya Irfan menentang, tetapi setelah dia memberikan alasan, Irfan mula faham dan memberikan sokongan. Tetapi hari ini, kenapa kata-kata abangnya bernada lain pula?

“Maknanya hari tu, abang pura-pura sokong Fea ajelah ya?”

“Memang hari tu abang sokong Fea, tapi bila abang fikir-fikir balik, abang rasa keputusan Fea tu tak betul. Sepatutnya, Fea tunjuk dekat Harris yang Fea tak terkesan langsung dengan perbuatan dia tu dan Fea boleh hidup tanpa dia.”

Bercakap memanglah senang, tapi hakikatnya tidak semudah itu. Kalaulah melupakan dan mengenyahkan Harris dari hatinya semudah dia menerima cinta lelaki itu suatu masa dahulu, tidak perlulah dia buat keputusan yang dia sendiri tidak rela.

“Tentu sunyi rumah ni bila Fea tak ada nanti. Belum lagi Fea pergi, abang dah rasa tak seronok. Abang pasti akan rindu Fea.” Sayu suara Irfan seraya mengusap-usap kepala adiknya.

“Fea pun akan rindu abang juga.“

“Boleh percaya ke Fea ni? Entah-entah... dah sampai sana nanti, Fea lupa semua orang kat sini.”

“Percayalah, Fea takkan lupa abang langsung. Bukan abang aje, mummy dan daddy jugak.”

“Fea.”

“Apa?”

“Boleh tak Fea batalkan niat Fea tu? Tolong jangan pergi, dik.”

Kepala Sofea serta-merta menegak. Sekali lagi matanya dibawa pandang ke arah abangnya.

“Abang, keputusan Fea muktamad. Fea tetap akan pergi. Tapi Fea tak rasa Fea akan pergi lama. Bila hati Fea dah stabil, Fea akan balik ke KL semula.”

“Nanti dah jumpa mamat kat sana, langsung dah tak ingat balik KL.”

“Tak ada maknanya!”

“Jangan yakin sangat, Fea.”

“Ya, Fea yakin.”


No comments: