Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 13

 

S

ERAYA mengelap badan Ford Ranger hitamnya dengan tuala kecil, mata Jeffry sesekali terarah ke pintu rumah Hajah Aida. Manalah tahu, kalau-kalau Sofea muncul di situ. Tapi setelah sepuluh minit berlalu, langsung tak nampak kelibat gadis itu.

Sebenarnya bukan dia nak basuh kereta sangat pun. Selama ini pun, mana dia pernah basuh kereta kat rumah. Tapi demi Sofea, dia terpaksa rajinkan diri. Bukanlah ada niat tak baik, cuma dia mahu pulangkan cincin yang gadis itu buang tempoh hari.

Cincin emas macam tu, tidak kurang RM1000 juga harganya. Buang cincin macam buang kain buruk. Tak sayang harta benda sungguhlah si Sofea tu. Atas alasan apa sekalipun Sofea bertindak begitu, pada dia perbuatan itu sangat tidak wajar.

Kalau dah tak sudi simpan, sedekahkan sahaja kepada orang yang memerlukan. Tak pun, pulangkan semula kepada si pemberinya. Tak gitu?

“Amboi Abang Jeff, rajinnya cuci kereta.”

Satu suara tiba-tiba menyapa. Gedik dan manja semacam bunyinya. Tak payah toleh pun Jeffry sudah tahu siapa gerangan pemilik suara itu.

“Nak Hawa tolong ke abang?” Si gadis yang sudah berdiri di hadapannya menayang sengih.

“Eh, eh, tak payah. Dah siap dah pun.” Cepat-cepat Jeffry mencampakkan tuala ke dalam baldi.

“Saya masuk dulu.” Dengan membawa baldi, Jeffry melangkah laju ke arah pintu pagar.

“Abang Jeff, tunggu! Hawa ada benda nak cakap dengan abang ni!” Hawa tarik muka sambil memandang Jeffry yang sudah pun berlalu ke dalam rumah.

“Eii... bencilah Abang Jeff ni! Bukannya nak layan kita pun.”

“Kau jangan gatal sangat boleh tak Hawa? Berbulu aje mata aku ni tengok. Setakat muka kau tu, mana Jeffry nak pandang?”

Hisy, mulut emak ni! Bukannya nak doa yang baik-baik untuk anak sendiri. Dihinanya lagi ada. Saja nak bagi orang patah semangat tau?

“Jeffry tak pandang orang? Tunggulah mak. Orang akan buktikan yang kata-kata mak tu salah.”

“Dalam mimpi ajelah, Hawa.” Puan Kalsom mencebik.

“Maaakk!” Teruknya mulut emak ni. Dahlah tak bagi sokongan, boleh pula diejek anak dia macam tu. Tak patut sungguh!

“Sudah! Aku ajak kau datang sini sebab nak jumpa abang kau. Bukan nak suruh kau menggelenyar dengan Jeffry tu!” Sebaik berkata begitu, tangan Hawa ditarik ke pintu pagar rumah Hajah Aida. Bukan jauh mana pun, beberapa meter sahaja dari situ.

Belum sempat memberi salam, pintu rumah Hajah Aida terbuka. Sofea keluar sambil membimbit mangkuk tingkat.

Puan Kalsom dan Hawa saling berpandangan. Kemudian pandang Sofea.

“Laa... ada tetamu rupanya. Jemput masuk, mak cik.” Ramah Sofea menyapa. Mangkuk tingkat  diletakkan di atas meja taman, lalu dia bersalaman dengan Puan Kalsom dan Hawa.

“Haikal ada?”

“Pak su ada kat dalam. Masuklah.”

“Tak apa, aku tunggu kat luar ni aje.”

“Saya panggil dia ya?” Tanpa menanti jawapan Puan Kalsom, Sofea segera masuk ke rumah semula.

Beberapa minit kemudian, Sofea keluar bersama Haikal dan Hajah Aida.

“Fea pergilah,” arah Hajah Aida apabila Sofea masih tercegat di situ. Jari telunjuknya dihalakan ke arah rumah Puan Rahayu.

Sofea mengangguk seraya mencapai mangkuk tingkat tadi dari atas meja.

“Nak pergi mana?” Hawa lekas-lekas bertanya. Dia nampak arah jari telunjuk Hajah Aida. Dah tentu Hajah Aida menyuruh Sofea menghantar mangkuk tingkat itu ke rumah Jeffry.

“Nak hantar ni sekejap kat rumah Mak Cik Ayu.” Sofea menunjuk mangkuk tingkat di tangannya.

“Eh, bak sini, bagi aku hantar. Aku memang nak jumpa Mak Cik Ayu pun.” Hawa cuba mencapai mangkuk tingkat dari tangan Sofea. Belum sempat dia berbuat begitu, Puan Kalsom menepis tangannya.

“Kau jangan nak tunjuk rajin sangatlah, Hawa. Aku tau sangat niat kau tu. Nak jumpa Mak Cik Ayu, konon. Kau sebenarnya nak jumpa Jeffry, kan? Hisy, tak habis-habis dengan Jeffry! Tak faham betul aku dengan kau ni.”

Hawa tarik muncung. Mak ni saja nak malukan dia di depan Sofea. Abang Haikal dan Hajah Aida memang dah selalu dengar dia kena petir dengan emak, ini Sofea pula.

Sofea segera meminta diri lalu mengatur langkah ke arah pintu pagar.

Dengan rasa tak puas hati, Hawa mengekori setiap langkah Sofea dengan pandangan matanya. Bukan Sofea yang sepatutnya menghantar mangkuk tingkat itu, tapi dia. Calon menantu Puan Rahayu ni. Emak la punya pasal. Geramnya!

“Masuk bersembang kat dalamlah, Som. Boleh makan nasi minyak sekali. Sofea yang masak tadi,” pelawa Hajah Aida.

Akur, Puan Kalsom dan Hawa bergerak masuk ke rumah. Lalu duduk di atas sofa di ruang tamu. Haikal juga.

“Bila cucu Kak Aida tu balik sini?” tanya Puan Kalsom.

“Dah dekat seminggu dah.”

“Kenapa dia datang?”

“Kenapa Som tanya macam tu? Ini kan rumah nenek dan atuk dia. Takkan nak datang pun kena ada sebab.” Hajah Aida ketawa perlahan. Macam-macamlah Kalsom ni.

“Kak Aida masuk dulu ya? Som bersembanglah dengan Kal.”

Hajah Aida tahu, kalau Puan Kalsom datang ke mari, adalah perkara yang wanita itu tak puas hati dengan Haikal. Kali ini entah sebab apa lagilah agaknya. Kadang-kadang dia kasihan juga dengan Haikal tu.

Dia tahu, Haikal banyak makan hati dengan emaknya. Tapi Haikal tu memang anak yang baik. Apa saja yang Puan Kalsom lakukan, menantunya itu tak pernah ambil hati. Apa lagi nak memburuk-burukkan emaknya.

“Ada apa mak datang sini?” Lembut Haikal bertanya.

“Salah ke aku datang?” Keras nada suara Puan Kalsom.

“Eh, mana ada? Kal tanya aje. Mana tau kalau mak ada apa-apa masalah nak beritahu Kal?”

“Pandai pun kau! Aku memang ada masalah.”

“Masalah apa, mak?” Cepat Haikal bertanya.

“Kau la masalah aku!” sahut Puan Kalsom geram.

“Kal?” Sambil ketawa, Haikal menggeleng. Tak faham kenapa emak berkata begitu.

“Kal buat apa mak?”

“Aku tak suka kau tinggal kat sini. Aku nak kau balik tinggal kat rumah kita.”

Haikal mengeluh. Tak sangka emak akan mengungkit hal itu lagi. Dia sangkakan, bila dia sudah bagi sebab dan alasan, emak akan faham. Rupa-rupanya emak tetap emak, tak pernah cuba nak faham dia.

“Mak, kalau Abang Kal balik, dia nak guna bilik mana? Rumah kita tu ada empat bilik aje kan? Mak dengan ayah dah satu bilik. Bilik tengah, Kak Lina dengan Abang Sham. Bilik lagi satu, Haziq. Lagi satu bilik, orang kongsi dengan Husna.”

“Kau dengan Husna boleh pindah bilik sebelah dapur tu.”

“Mak, itu kan bilik stor. Kecik gila kut bilik tu! Muat-muat katil orang aje. Habis katil Husna, almari pakaian, rak, nak letak kat mana?” Besar mata Hawa. Emak ni mengarut sungguhlah. Dah elok-elok Abang Haikal tinggal kat sini, sibuk nak ajak balik ke rumah.

“Yang mak nak sangat Abang Kal balik tu, kenapa? Biarlah Abang Kal tinggal sini. Nanti siapa nak jaga Maryam kalau Abang Kal pergi kerja? Mak tu bukannya suka budak walaupun budak tu cucu mak sendiri.”

“Kurang ajar kau kan? Berani kau cakap macam tu dengan aku?” Bulat mata Puan Kalsom mencerlung ke arah Hawa.

“Memang betul apa orang cakap. Qisya sorang kat rumah tu pun mak dah tak boleh tahan, nak tambah dengan Maryam pulak?”

“Qisya tu kuat melalak! Sebab tu aku marah. Yang Kak Lina pulak biarkan aje, bukannya reti nak pujuk. Samalah dengan Abang Sham kau tu!”

“Elok-elok Kak Lina tinggal kat rumah mertua dia, mak paksa dia orang pindah rumah kita. Peliklah mak ni. Abang Kal, dengar cakap orang ni. Tak payah balik. Dah elok dah Abang Kal tinggal kat sini. Maryam pun dah selesa dengan tok ma dan tok ayah dia. Dia orang jaga dia pun elok. Kalau mak yang jaga, silap-silap kena dera budak Maryam tu. Percayalah cakap orang, bang.”

“Eh, jahat betul mulut kau ni kan?” Puan Kalsom bingkas bangun daripada kerusi lantas menerpa dan mencubit pipi Hawa.

“Sakitlah mak!”

“Hasutlah lagi Abang Haikal kau tu!”

“Orang cakap benda betul. Mak nak ke jaga Maryam tu?”

“Siapa cakap aku yang jaga Maryam?”

“Habis, siapa nak jaga?”

“Kau la!”

“Hisy! Tak ada maknanya. Tak naklah jadi pengasuh macam tu.” Hawa mencebik.

Haikal sekadar memerhati perang mulut di antara emak dan adiknya itu. Dia tak hairan pun. Dari dulu lagi dia dah hadap benda ni. Dah lali. Adiknya itu pula memang jenis kuat melawan dan memberontak. Mujurlah anak-anak emak yang lain tak macam tu.

Selalu juga dia menegur dan menasihati Hawa supaya tidak berkasar dan kurang ajar dengan emak, tapi nasihatnya ibarat mencurah air ke daun keladi. Tetap begitu juga sikap Hawa. Yalah, teruk macam mana pun, emak yang melahirkan dan membesarkan kita di dunia ini. Emak yang wajib kita sanjungi dan hormati.

 “Kal minta maaf mak, Kal tak boleh balik. Apa pula kata mama dan ayah nanti? Kecik hati dia orang. Lagipun, mak sendiri cakap mak tak boleh jaga Maryam kan? Biarlah Kal dengan Maryam kat sini aje.”

Puan Kalsom mendengus. Memang dia dah boleh agak jawapan Haikal itu. Sikit-sikit nak sebelahkan Hajah Aida dan Haji Zain tu. Sakit pula hati dia. Haikal lebih pentingkan orang lain daripada emaknya sendiri.

“Kecil hati mertua aje yang kau fikir, kecil hati aku ni, kau tak kisah pun kan? Aku ni emak kau, Haikal! Dia orang tu mertua aje. Siapa lebih penting?”

“Kal tak ada niat pun nak kecilkan hati mak, belakangkan mak. Keputusan Kal ni untuk kebaikan keluarga kita juga. Kalau Kal balik, tentu menyusahkan Hawa dan Husna. Tak pasal-pasal dia orang kena pindah ke bilik stor. Kesian dia orang mak.”

“Orang setuju.”

“Kau diam, Hawa!” bidas Puan Kalsom.

Dah nama pun Hawa. Bukan dia peduli pun sergahan emaknya tu. Selagi dia tak puas hati, selagi itu dia akan bercakap.

“Orang nak tau jugak, kenapa mak beria-ia sangat suruh Abang Kal pindah ke rumah kita tu? Abang Kal selalu aje balik jenguk kita. Bagi duit kat mak, bagi kat kita orang, bagi makanan lagi. Apa masalah mak sebenarnya ni?”

Puan Kalsom tidak segera memberikan jawapan. Dia memanjangkan lehernya ke arah dapur. Tidak mahu kata-katanya nanti didengari Hajah Aida.

“Masalahnya, aku tak nak duit abang kau ni masuk poket mertua dia! Faham? Dia orang tu mertua aje. Yang bersusah payah membesarkan abang kau ni aku, tau? Jadi, aku aje yang layak dapat duit dari abang kau ni!”

Astaghfirullahaladzim. Dalam hati, Haikal beristighfar panjang. Emak dari dulu tak pernah berubah. Taasub sangat dengan wang ringgit. Ingatkan semakin tua, semakin berubah ke arah kebaikan, sebaliknya semakin menjadi-jadi pula.

“Mak ni mata duitan betul!” tuduh Hawa.

“Hawa, tak baik cakap mak macam tu,” tegur Haikal.

Hawa menjuihkan bibir. Mengada-ngada betul Abang Haikal ni. Orang nak tolong dia, dia tempelak kita balik.

“Untuk pengetahuan mak, mama dan ayah langsung tak ambil duit Kal. Memang Kal ada bagi dia orang setiap bulan. Tapi semuanya dia orang masukkan ke dalam akaun Maryam. Dia orang tak nak pun duit Kal sebab dia orang sendiri dah ada duit. Lagipun mama dan ayah selalu cakap, umur macam dia orang, duit bukan lagi jadi keutamaan.”

Sebenarnya banyak lagi yang Haikal nak sebut, tapi rasanya tak perlu. Takut emak fikir dia mahu mengajar pula.

Terjuih bibir Puan Kalsom. Meluat pula dengan kata-kata Haikal itu. Nak menyindir dia la tu!

“Kalau dia orang tak nak duit tu, apa susah? Kau bagi akulah!”

“Eh, eh, mak ni. Tak cukup ke RM500 yang Abang Kal bagi setiap bulan tu mak? Ayah lagi bagi. Kak Lina dengan Haziq pun tak pernah tak bagi mak duit. Tu kedai runcit mak tu, berlambak duit masuk setiap bulan. Mak nak buat apa duit banyak sangat? Bukannya boleh bawa mati pun. Hisy, tak fahamlah orang dengan mak ni!”

“Kau nak mengajar aku?” Puan Kalsom jegil mata.

“Orang cakap benda betul. Banyak mana pun duit mak, nanti bila mak mati, semuanya kena tinggal. Lepas tu nanti, anak-anak mak pulak yang bergaduh rebutkan duit tu.”

“Makin menjadi-jadi mulut kau ni, kan? Sebelum aku hilang sabar, jom kita balik!” Puan Kalsom lantas bangun dari sofa sambil menarik tangan Hawa.

“Kal, jangan lupa duit aku!”

“Abang Kal, jangan layan mak tu!”

“Diamlah kau! Mari balik cepat!” Kali ini lengan Hawa pula ditariknya terus ke muka pintu. Semakin lama dia di sini, semakin melampau pula mulut Hawa tu. Asyik nak menghasut Haikal saja dari tadi. Silap-silap, Haikal boleh terpengaruh pula.

“Mak, orang nak makan nasi minyak dulu. Mak aji ada ajak tadi, kan?” Ketika itu mereka sudah pun sampai ke kereta.

“Tak payah! Aku boleh masakkan.”

“Macamlah mak tu rajin sangat masak.”

“Eh, budak ni!”

“Mak, nak nasi minyak!”

“Masuk, Siti Hawa!” Sebaik pintu sebelah penumpang dibuka, Puan Kalsom menolak tubuh Hawa masuk lalu menutup pintu semula. Kemudian dia bergegas ke sebelah pemandu pula.

“Mak, Kal nak salam.” Haikal datang sambil menghulurkan kedua-dua belah tangannya.

Pintu tidak jadi dibuka. Puan Kalsom turut menghulurkan tangannya.

Haikal menunduk lalu mencium tangan Puan Kalsom.

“Jangan lupa apa yang aku cakap tadi.” Sempat lagi Puan Kalsom berpesan.

“Tengok dulu mak, Kal tak janji.”

“Haikaall!!

No comments: