Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 16

 

“M

ARYAM, boleh duduk diam-diam tak? Sibuk aje nak turun ke tanah. Macamlah awak tu dah boleh berjalan.” Sambil membebel, Sofea mengangkat Maryam yang sudah pun menghulurkan kakinya ke tanah. Baru sekejap berada atas ribaan Sofea, Maryam menjerit-jerit minta dilepaskan.

“Pak su, tengoklah Maryam ni! Dia tak nak duduk diam!”

Haikal bingkas bangun meninggalkan motosikal yang sedang dicuci, lalu masuk ke rumah. Sebentar kemudian dia keluar semula dengan membawa kereta sorong bayi.

“Bagi dia duduk dalam stroller ni, Fea.” Haikal mengambil Maryam dari  Sofea, lalu meletakkannya ke dalam kereta sorong. Maryam menjerit marah. Mahu keluar dari situ.

“Pak su, Maryam marahlah.” Terkekeh-kekeh Sofea ketawa apabila sekali lagi Maryam menjerit.

“Kena tolak tu, Fea. Barulah dia suka.”

“Okey, Maryam. Kak Fea tolak ya?” Dengan berhati-hati, Sofea menolak kereta sorong bayi itu. Cukuplah dalam kawasan pagar saja. Tak perlulah nak tolak sampai ke luar sana pula.

Tiba-tiba kereta Jeffry berhenti betul-betul di depan pintu pagar rumahnya. Lelaki itu tidak berseorangan. Kak Nisha bersamanya.

“Aunty Sha sinilah! Maryam panggil ni!” laung Sofea apabila Nisha keluar dari kereta. Nisha kan suka sangat bermain dengan Maryam.

Keluar sahaja dari kereta, Nisha pantas berjalan ke arah pagar rumah Haji Zain. Namun sudah hampir dengan pagar, tiba-tiba dia berpatah balik.

“Laa, kenapa Kak Sha?” soal Sofea, hairan.

“Nanti lain kali ya, Fea? Kak Sha nak cepat ni. Ada hal sikit kat rumah.” Buru-buru Kak Nisha berjalan ke rumahnya. Tak pandang Sofea pun.

Peliklah Kak Nisha tu. Selalu tu pantang nampak Maryam, laju aje datang. Ini... boleh dia pergi macam tu saja?

Nisha yang dipanggil, Jeffry pula yang datang. Sambil tersenyum, dia melangkah ke dalam kawasan pagar.

“Awak nama Kak Sha ke?” Sofea perli. Kalau boleh dalam sehari dua ini, dia memang tak ingin berjumpa dengan lelaki itu. Dia masih segan dengan peristiwa malam tadi. Jangan Jeffry sebut balik, sudahlah.

“Laaa... awak panggil Kak Sha ke? Kenapa saya dengar macam awak panggil nama saya?” Jeffry tayang sengih.

“Tak payah nak buat lawaklah! Tak kelakar pun.” Sofea mencebik. Jelas kut suara dia panggil nama Kak Sha tadi. Lagipun, jauh sangat bunyi nama Kak Sha dengan Jeffry tu. Nak menipu pun agak-agaklah.

 “Hai, Jeff.” Haikal yang sedang duduk mencangkung di sisi motosikalnya, menegur.

“Laa... kau ada rupanya, Kal. Patutlah...” Sungguh, Jeffry mati-mati duk ingat hanya ada Sofea dan Maryam di situ. Itu yang buat dia singgah sebentar. Saja nak menyakat Sofea tentang hal malam tadi.

“Patutlah apa?” soal Haikal seraya bangun berdiri. Kebetulan kerja mencucinya sudah pun selesai.

“Patutlah ada Maryam kat sini.” Sebenarnya lain yang mahu dijawab, tapi biarlah. Tak sesuai nak sebut sekarang.

“Ooo... Maryam, ingatkan kau nak cakap apa tadi.”

“Maryam nak ikut Abang Jeff tak?” Jeffry menghampiri Maryam. Kedua-dua tangannya disuakan ke arah anak kecil itu.

Tiba-tiba Haikal ketawa.

“Kenapa kau gelak?”

“Sejak bila pula Abang Jeff ni? Sebelum ni elok aje panggil Uncle Jeff. Kau jangan bagi Maryam pening, boleh tak? Sekejap uncle, sekejap abang.”

Jeffry ketawa lagi. Haikal ni memanglah. Saja nak malukan dia kat depan Sofea.

“Abang Jeff balik dulu, Maryam.” Mulut bercakap dengan Maryam, mata melirik pada Sofea. Malangnya, gadis itu tak pandang dia pun.

“Sedaplah suara awak baca Quran semalam. Tak puas dengar. Nanti baca lagi, tau?” Perlahan saja  suara Jeffry. Cukup untuk didengar oleh telinga dia dan Sofea sahaja.

Tidak jawab, Sofea hanya mencerlung muka Jeffry. Itu rupanya tujuan Jeffry singgah ke sini, semata-mata nak sindir dia tentang kejadian malam tadi. Jeffry memang sangat menyakitkan hati!

“Okey Kal, aku balik dulu. Jangan tunggu lama-lama tau.” Sambil berkata begitu, Jeffry melangkah keluar dari kawasan pagar rumah Haji Zain dan terus menuju ke pintu pagar rumahnya.

“Jangan tunggu lama-lama? Apa maksud Jeffry cakap macam tu, pak su?” Laju Sofea menyoal. Seperti ada rahsia antara Jeffry dan Haikal.

“Entah... manalah pak su tau?” Haikal jongket bahu.

 

SEBENARNYA Sofea jarang-jarang melukis gambar pemandangan. Minatnya lebih kepada lukisan kartun dan komik. Namun, melihat pemandangan di depan mata, dia jadi teruja untuk memindahkan indahnya ciptaan Allah itu ke dalam buku lakaran lukisannya.

Dengan duduk beralaskan sandal sendiri, matanya tidak lepas memandang ke dada laut yang luas terbentang. Awan putih yang berarak, burung-burung yang berterbangan di atas langit sana, bayu laut yang menampar pipi serta ombak yang sesekali menjamah pantai buat hatinya rasa terbuai.

Kebetulan, tiada orang lain di sekitar, jadi bolehlah dia duduk di situ dan melukis sebebas-bebasnya. Tanpa ada gangguan sesiapa pun.

Lalu beralaskan riba sendiri, dia mula melakar menggunakan pensel. Dalam masa beberapa minit sahaja, lakarannya sudah hampir memenuhi dada buku.

Sedang leka melukis, tiba-tiba dia terasa seperti sedang diperhatikan. Seolah-olah ada orang lain di situ selain dia. Serta-merta dia berpaling.

Tepat sangkaannya. Di bawah sebatang pohon gelam tidak jauh dari tempat dia sedang duduk, kelihatan seorang lelaki berdiri di situ. Berbaju T hijau tanpa kolar dan berseluar denim biru. Mata lelaki yang berkulit sedikit gelap itu sedang menghala ke arahnya.

Yang buat Sofea rasa tidak sedap hati, lelaki itu memandangnya dengan pandangan tajam. Muka pula serius. Dah kenapa tengok dia macam tu? Apa masalah lelaki itu?

Cuba mengabaikan lelaki yang tidak dikenali itu, Sofea sambung melukis, tetapi matanya sahaja pada buku lakaran, hati lebih pada lelaki tadi. Lagi sekali matanya dibawa ke arah pohon gelam tersebut. Nampaknya lelaki itu masih berdiri di situ dan yang buat bulu romanya tiba-tiba berdiri, lelaki itu tetap mencerlung ke arahnya.

Bukan keputusan yang bijak kalau dia terus menunggu di situ. Dalam keadaan pantai yang sunyi tanpa pengunjung ketika itu, apa-apa sahaja boleh berlaku. Lantas, buku lakarannya segera dikatup. Bangun daripada silanya, Sofea segera menyarungkan sandal. Kemudian berjalan laju menuju ke keretanya.

Dan pandangan mata lelaki di bawah pohon gelam itu mengekori setiap langkah kaki Sofea sehinggalah kereta gadis itu meninggalkan kawasan pantai.

No comments: