Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 1


6

.30 PETANG. Dengan langkah tak bermaya, Sofea berjalan masuk ke dalam rumah. Beg tangan dan kunci kereta dicampak ke atas meja kopi dan dia sendiri merebahkan badannya di atas sofa panjang. Memang dia penat sungguh-sungguh. Nak naik ke tingkat atas pun dah tak larat rasanya.

Baru 10 minit dia di situ, kedengaran bunyi kereta berhenti di halaman. Mummylah tu. Selalunya waktu macam inilah mummy balik. Irfan dan daddy selalunya lepas azan maghrib baru sampai rumah.

Sofea tetap dalam posisi tadi. Baring dalam keadaan terlentang dengan mata yang terpejam. Tak rasa nak bangun pun.

Sebentar kemudian, Puan Alesha masuk ke rumah. Langkahnya terhenti apabila melihat Sofea di situ.

“Fea, kenapa ni? Tak sihat ke?” Segera dia menerpa sambil menyentuh dahi si anak.

“Taklah, Fea okey.”

“Dah tu, yang terbaring kat sini kenapa?”

“Penat sangatlah.”

“Fea buat kerja apa yang penat sangat tu?”

“Hari ni Fea buat kerja kat rumah Encik Ikmal. Jaga anak-anak dia.”

Memang dia jaga anak-anak Encik Ikmal pun, tapi tidaklah penat mana. Sebetulnya, Harris yang buat dia jadi penat. Macam mana tak penat kalau dia terlalu sangat memikirkan lelaki itu? Kesannya bukan setakat di minda, dengan badannya sekali ikut penat.

Kata-kata Fizalah yang menyebabkan dia jadi banyak berfikir tentang Harris hari ini. Bukan setakat fikir, tapi hati sudah mula rasa waswas dan goyah. Sungguh, dia mula meragui lelaki itu. Tapi nak salahkan Fiza pun tak boleh juga sebab apa yang gadis itu cakap memang logik, memang ada benarnya.

Bayangkan, sudah hampir dua tahun bercinta, Harris tak nampak bersungguh pun mahu membawa hubungan mereka ke fasa selanjutnya. Cakap sayang dia, cintakan dia, apa buktinya?

 

KAU pernah beritahu aku, kau nak kahwin masa umur kau 25 tahun. Maknanya tak lama lagilah. Lagi beberapa bulan aje umur kau dah masuk 25, Fea.”

Itulah kata-kata Fiza sewaktu mereka berbual di telefon tengah hari tadi. Kata-kata yang menjadi punca keadaan dia sekarang.

“Aku tunggu Harris lamar aku.”

“Kau yakin dia akan lamar kau dalam masa terdekat?” Bila masuk saja bab Harris, suara Fiza yang lunak mendadak bertukar sinis. Menyampah benar dia dengan lelaki pujaan hati Sofea itu.

Memang dialah yang akan menemankan Sofea setiap kali gadis itu bertemu Harris, tapi tahu tak betapa menyampahnya dia untuk terlibat dalam pertemuan pasangan kekasih itu?

“Insya-Allah.”

“Kalau kau orang putus, mesti kau boleh dapat lelaki yang lebih baik.”

“Eh, kau cakap apa ni? Kenapa pulak kita orang nak putus?” Terus tinggi suara Sofea. Matanya bulat mencerlung skrin telefon. Seolah-olah Fiza yang dia sedang cerlungkan.

“Kata-kata kita ni ibarat doa tau, Za? Selalu sangat kau sebut macam tu. Buatnya betul-betul jadi, macam mana?”

“Aku cakap kalau, kan?”

“Tak payah nak kalau sangatlah. Aku dengan Harris takkan putus. Aku tak nak lelaki lain, aku nak dia aje,” ucap Sofea bersungguh-sungguh.

“Tapi kan Fea... kau dengan Harris dah dekat dua tahun bercinta. Nak tunggu apa lagi?”

“Itu kau jangan tanya aku, tanya dia.” Ikutkan Sofea sendiri dah tak sabar nak tunggu saat dan ketikanya. Tapi kalau dah Harris sendiri tak kata apa-apa, dia nak buat macam mana? Takkan dia nak jadi perigi cari timba pula?

“Okey, nanti aku tanya dia.”

“Eh, janganlah!”

“Hisy, kau ni! Tadi suruh aku tanya, lepas tu tak bagi pula.”

“Aku kalau boleh, biarlah dia lamar aku dengan kerelaan hati dia sendiri. Aku tak nak dia rasa terpaksa, Za.”

“Dia tu sebenarnya tak serius dengan kau!” tuduh Fiza.

“Siapa cakap?” marah Sofea. Tidak senang dengan dakwaan Fiza itu.

“Aku yang cakap.”

“Tak baik kau tuduh dia macam tu.”

“Nak buat macam mana, dah itu yang aku rasa,” balas Fiza dengan suara yang mengendur.

 

 “KENAPA Fea pula kena jaga anak-anak Encik Ikmal? Liyana pergi mana?”

Mati terus cerita dia dengan Fiza tengah hari tadi dengan pertanyaan mummy itu.

“Kak Liyana demam denggi, kena tahan kat wad. Encik Ikmal minta Fea ke rumah dia tolong jagakan Melia dan Medina. Tak tahulah berapa hari Fea kat rumah dia. Bergantung berapa hari Kak Liyana ditahan di wad.”

Menjadi PA atau pembantu peribadi kepada Encik Ikmal menyebabkan dia turut mengenali keluarga ketuanya itu. Bukan setakat kenal, malah dia juga sangat rapat dengan anak-anak dan isteri Encik Ikmal, Liyana. Skop tugas dia bukan setakat di pejabat, malah turut melibatkan hal-hal peribadi Encik Ikmal juga. Itulah untungnya jadi pemilik syarikat. Peraturan,  sendiri yang buat. Siapa pun tak boleh marah.

“Penat sangat ke jaga dia orang?” Puan Alesha cuba mengorek rahsia. Dia pernah jumpa Melia dan Medina. Kembar empat tahun itu pun dah besar, dah pandai bawa diri. Rasanya tak teruk mana pun nak jaga budak sebesar itu.

Entah kenapa Puan Alesha tak rasa tugas di rumah Encik Ikmal itu menjadi penyebabnya. Mesti ada hal lain. Entah-entah, lelaki bernama Harris itu yang jadi punca.

“Tak juga.”

“Dah tu, penat kenapa?”

“Susahlah nak cakap.”

“Penat sebab asyik fikirkan Harris kan?” tebak Puan Alesha.

Mata Sofea yang sedang terpejam, automatik terbuka.

“Macam mana mummy tahu Fea fikir pasal Harris?”

“Mummy teka aje.”

Agak lama Sofea memandang muka mummynya. Sebolehnya, dia mahu berlaku jujur dengan mummy. Biar mummy tahu duduk perkara sebenar. Tapi dia juga tidak mahu Harris nampak buruk di mata mummy.

“Ceritalah dengan mummy.”

Perlahan-lahan Sofea bangun daripada baring dan duduk bersandar di sofa. Tangan Puan Alesha yang sedang berdiri itu dicapai, lalu ditarik agar duduk di sebelahnya.

“Mummy rasa Harris tu ikhlas tak dengan Fea? Maksud Fea, dia saja nak main-mainkan Fea atau memang nak Fea jadi isteri dia?”

“Memang betullah sebab Harris ni?” Puan Alesha tergelak.

“Jawablah mummy...”

“Manalah mummy tau? Fea yang lebih kenal dia kan? Dahlah tak pernah bawa jumpa mummy pun.”

Benar, memang mummy tak pernah jumpa Harris. Daddy dan Irfan pun sama. Masing-masing cuma kenal Harris daripada cerita-cerita yang Sofea sampaikan.

Sebenarnya Sofea ada perancangannya sendiri. Dia hanya akan memperkenalkan Harris kepada mummy, daddy dan abangnya, Irfan setelah menerima lamaran lelaki itu. Sebelum saat itu, biarlah mereka hanya kenal nama dahulu. Lebih baik begitu.

Bila? Dia sendiri tidak punya jawapan. Lagipun Harris sendiri tidak pernah menunjukkan minat untuk bertemu keluarganya. Itu juga salah satu sebab yang membuatkan dia mahu menuduh Harris tidak serius dalam hubungan mereka.

“Mummy tak nak cakap banyak. Macam selalu, mummy cuma mampu berdoa agar Allah temukan Fea dengan lelaki yang baik-baik, lelaki yang ikhlas sayangkan Fea kerana Allah Taala. Lelaki yang boleh bawa Fea ke syurga. Siapa pun orangnya, mummy terima dengan rela hati.”

Seperti selalu, itulah yang mummy akan sebut. Mummy tak pernah nak mengulas panjang tentang Harris. Sampaikan dia pernah terfikir yang mummy mungkin tidak merestui hubungannya dengan lelaki itu.

Tetapi dia cepat-cepat mematikan sangka buruk itu. Dah mummy tak kenal Harris, nak suruh cakap macam mana lagi kan? Tapi dia percaya, kalaulah mummy dah jumpa Harris, tentu bicara mummy jadi berbeza.

Harris Shah, lelaki berusia 32 tahun yang berjawatan senior engineer di sebuah syarikat automotif itu agak kacak orangnya. Orangnya sederhana tinggi serta mempunyai kulit sawo matang. Baik budi bahasanya, tidak sombong serta sangat mengambil berat. Paling penting, Harris adalah seorang lelaki yang sangat menjaga batas pergaulan. Sepanjang mereka kenal, tak pernah sekali pun Harris mengambil kesempatan terhadap dia.

Mereka juga tidak pernah keluar berdua-duaan, pasti ada yang menemani. Kalau Harris bawa Zikri, dia pula ajak Fiza. Gadis itu yang selalu kena paksa untuk temankan dia.

Harris juga jenis lelaki yang menjaga solatnya. Solatnya pula sering di awal waktu. Tak mainlah lelaki jenis solat hujung-hujung waktu tu. Memang dia tak pernah tengok Harris solat, tapi dah itu yang Harris sebut. Jadi dia percaya.

Moto hidup dia mudah. Mahu hidup bahagia di dunia dan akhirat. Dan untuk mencapai kebahagiaan yang hakiki itu, sudah tentulah dia perlukan seorang imam yang benar-benar boleh membimbing dia ke jalan yang lurus, jalan yang diredai. Siapa lagi kalau bukan Harris?

“Dahlah, mummy nak naik, nak mandi. Fea tu pun, cepat-cepatlah mandi. Tak lama lagi dah nak masuk waktu maghrib.”

“Yalah, mummy.”

“Malam ni biar mummy masak. Fea tak larat tu.”

“Fea okeylah, mummy. Tak apa, Fea masak.” Memang dah jadi tugas Sofea memasak dalam rumah ini. Selalunya mummy tolong sikit-sikit saja. Sebetulnya dari zaman bangku sekolah lagi dia gemar memasak. Bukanlah nak membangga diri, tapi masakannya memang sedap. Selalu juga dia dapat pujian daripada keluarga dan teman-teman yang pernah merasa masakannya.

“Sebelum tu...” Baru berdiri, Puan Alesha duduk semula.

“Besok mummy dengan daddy nak balik kampung.”

“Balik Tanjung Resang?”

“Haah, tapi sebelum tu kita orang nak balik Penyabong dulu.”

Tanjung Resang adalah kampung sebelah mummy, manakala Penyabong pula kampung keluarga daddy. Kedua-duanya terletak di Mukim Endau dalam Daerah Mersing. Tapi setiap kali balik kampung, Tanjung Resanglah tempat mereka tuju. Maklumlah, nenek dan datuk sebelah daddy sudah lama meninggal dunia. Cuma tinggal saudara-mara saja di sana. Adik-beradik daddy juga semuanya sudah berhijrah ke tempat lain.

“Mummy!” Sofea jegilkan mata.

“Apa dia?”

“Kenapa tak cakap awal-awal nak balik kampung? Fea nak ikut!”

“Jomlah ikut.”

“Mana boleh! Siapa nak jaga anak-anak Encik Ikmal tu? Kak Liyana kan masih kat hospital.”

“Allah, lupa pula mummy.”

“Nak balik kampung jugak!”

Balik kampung memang sesuatu yang sangat menggembirakan pada Sofea. Rasa macam nak terbang balik saat itu juga. Dia rindu sangat nak jumpa tok ma, tok ayah dan paling penting, dia nak peluk si kecil Maryam yang comel. Dia juga rindu nak ke pantai yang cantik lagi mendamaikan itu.

Kali terakhir mereka semua balik ke kampung ialah pada hari kematian Mak Su Farah. Sudah hampir sembilan bulan. Maknanya, sudah hampir sembilan bulan juga usia Maryam. Nasib baiklah sekarang ni boleh buat panggilan video. Walaupun bukan setiap hari, sekurang-kurangnya dia boleh lihat perkembangan Maryam. Tapi yalah, tengok dalam video mana nak sama dengan melihat depan-depan.

“Mummy balik sekejap aje. Daddy nak uruskan hal tanah dengan adik-beradik dia. Lusa dah balik sini semula. Lain kalilah kita balik lagi, okey sayang? Kita ambil cuti lama sikit.”

“Baiklah, mummy.”

No comments: