Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 11


L

AUT dan langit yang membiru tidak pernah gagal memberinya rasa tenang dan tenteram. Tapi tidak untuk kali ini. Sepuluh minit dia di situ, makin berserabut pula rasanya. Macam mana nak rasa tenteram, nak tenang, kalau dalam diri dipenuhi rasa marah dan sakit hati?

Sambil berdiri di atas batu, matanya hanya tertala pada cincin di tangan. Cincin yang pernah buat dia mengalirkan air mata bahagia. Cincin sama yang bikin hatinya retak seribu. Yang pasti, cincin itu tidak akan pernah tersarung di jarinya sampai bila-bila.

Entah sampai bila agaknya dia harus membiarkan Harris mengganggu tenang hidupnya. Bukan tak pernah cuba melupakan, tapi sukar sungguh. Banyak sangat memori mereka berdua. Semuanya manis dan indah. Lalu bagaimana dia boleh membuang lelaki itu dari hati dan mindanya dengan mudah?

Harris pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya, lalu apabila bahagian itu tiba-tiba tiada, tentulah dia perlukan masa untuk kembali kepada kehidupan asalnya.

Tanpa sedar, air matanya meleleh lagi ke pipi. Betul, dia sudah berjanji untuk tidak menangis lagi. Apakan daya, dia cuma insan biasa yang punya hati dan perasaan seperti orang lain juga. Kini hati itu masih sakit hasil penipuan Harris. Dan kesan kesakitan itu, hari ini dia menangis lagi. Dia membuang air matanya lagi.

Mungkin di depan semua orang dia boleh berpura-pura bahagia dan gembira. Tapi bila bersendirian, dia adalah Sofea Hana yang sedang terluka dan berduka. Kejam betul perbuatan Harris itu. Bukan terhadap dia sahaja, tetapi terhadap isteri dan anaknya juga.

“Harris penipu, pembohong, Harris syaitan  bertopengkan manusia!!! Pergi kau jauh-jauh dari hidup aku, mangkuk ayun! Kau tak layak untuk aku! Kau tak layak langsung, kau tau tak!” Sofea menjerit sekuat hatinya lalu dengan segenap tenaga, cincin yang berada dalam genggaman dibaling ke arah lautan yang membiru. Biar tenggelam terus ke dasar lautan. Kalau boleh, tenggelamkan sekali cinta Harris yang penuh kepura-puraan itu.

“Hoi! Apa hal jerit-jerit ni? Tak boleh tengok orang senang!” Tiba-tiba satu suara menerjah di pendengaran dari arah hadapan. Lelaki yang sedang berbaring di atas batu itu segera bangun lalu berjalan ke arah Sofea. Tapi sebelum itu, dia sempat mengutip sesuatu di situ.

Alamak, ada oranglah! Sofea dah menggelabah. Tangannya cepat-cepat dibawa mengesat muka yang basah. Jangan sampai orang itu nampak dia menangis.

Kalaulah dia tahu ada orang lain, tak adalah dia datang ke situ dan memekik sekuat hati macam tu. Sungguh, dia tak nampak langsung kewujudan lelaki itu. Mungkin sebab berbaring kut. Kebetulan pula, pakaiannya hampir sama warna dengan batu.

Lelaki yang agak tinggi dan berkulit cerah itu berkaca mata hitam, memakai kemeja-T berwarna putih, berjaket serta seluar berwarna kelabu gelap. Kacak dan bergaya orangnya.

Laa... si sombong ni ke? Itu yang terdetik di hati Sofea saat lelaki itu datang mendekat. Dia masih tidak lupa wajah lelaki itu. Malah, namanya juga dia masih ingat. Jeffry.

“Awak rupanya!” Jeffry menyapa sinis. Wajah gadis kecil molek berkulit kuning langsat, bertudung bawal putih, berblaus labuh warna merah hati dan berseluar putih itu menjadi tatapan matanya. Walaupun baru sekali bertemu dan dalam tempoh yang sangat singkat, dia masih ingat cucu jiran depan rumahnya itu.

Sofea tidak bereaksi. Dia hanya memandang Jeffry yang berjarak sedepa darinya itu.

“Yang awak terpekik terlolong macam orang kena sampuk tu, dah kenapa? Ini kan tempat awam. Perbuatan awak tu boleh mengganggu orang lain, awak sedar tak?”

“Mana ada orang lain kat sini?”

“Saya bukan orang?”

“Mana saya tau awak ada kat sini!”

“Sebab tu, kalau nak buat apa-apa, kena siasat dulu... kena perhati betul-betul, ada orang lain ke tidak.”

“Tak ada masa saya nak perhati.”

“Menjerit tak tentu pasal.” Jeffry merungut.

“Siapa cakap tak tentu pasal? Adalah pasalnya, sebab tu saya menjerit.”

“Pasal apa?”

“Kenapa pula saya nak kena beritahu awak?”

“Eleh... macamlah saya tak tau. Awak menjerit sebab kecewa dengan lelaki kan?”

“Sibuk aje. Bukan masalah awaklah!”

“Kalau awak nak tau, benda tu dah jadi masalah saya sekarang. Awak jerit tadi kuat, tau? Gegendang telinga saya sampai bergegar la. Kalau apa-apa jadi kat telinga saya, awak kena bertanggungjawab.”

Darah Sofea terasa menggelegak tiba-tiba. Mata yang mengecil dibuka besar-besar. Anak teruna Puan Rahayu ni memang melampau! Sesuka hati dia cakap macam tu. Betul-betul bikin dia naik angin.

“Hei, awak mengarut apa ni? Kalau jadi apa-apa kat telinga awak, itu tanggungjawab awak sendiri, apasal saya pulak? Dah telinga awak tu telinga cap ayam, nasib la!”

Amboi, cantiknya bahasa cucu Haji Zain ni.

“Eh, tak kiralah telinga cap ayam ke, apa ke, kalau dah jerit mengalahkan Tarzan tercekik dodol macam tu, siapa pun boleh jadi pekak, tau tak?”

“Eleh, setakat jerit macam tu, nak pekak apanya?”

“Hei, kuat tau awak jerit tadi! Saya boleh dengar sebiji-sebiji apa yang awak sebut. Harris penipu, pembohong, Harris syaitan  bertopengkan manusia!!! Pergi kau jauh-jauh dari hidup aku, mangkuk ayun! Kau tak layak untuk aku! Kau tak layak langsung, kau tau tak!”  Betul kan awak sebut macam tu tadi?”  

Berubah terus air muka Sofea. Tak sangka Jeffry boleh dengar dengan jelas. Siap boleh ajuk ayat dia seketul seketul. Adoi, tak pasal-pasal Jeffry tahu tentang Harris. Habislah kalau Jeffry cerita pada orang lain.

“Malang betullah nasib mamat yang bernama Harris tu. Tak pasal-pasal dapat mangkuk ayun sebiji. Kalau dapat semangkuk tom yam, tak apalah juga.”

Sofea rasa lucu pula bila Jeffry sebut macam tu. Tapi dia tidak akan sesekali ketawa.

Setakat kena tinggal dengan kekasih, apalah sangat...”

“Siapa cakap dia tinggalkan saya? Saya yang tinggalkan dia!”

Jeffry ketawa, tapi nadanya sinis. Nampak sangat ketawa menyindir.

“Awak yang tinggalkan dia, dah kenapa awak berkelakuan macam orang tak siuman macam ni? Agaknya kalau dia yang tinggalkan awak, macam mana pula agaknya aksi awak ya?”

Besar mata Sofea mencerlung Jeffry. Melampaunya mulut mamat ni. Tak siuman dipanggilnya aku?

“Setakat hilang kekasih, apalah yang nak kecoh sangat? Sekurang-kurangnya awak masih ada keluarga, ada tempat tinggal, boleh makan, boleh minum. Tolonglah belajar bersyukur sikit.”

“Habis dah awak bercakap?” Sambil berpeluk tubuh, pandangan Sofea menikam ke wajah Jeffry.

“Eh, ada lagi,” sambut Jeffry.

“Cuba tengok orang kat luar sana yang tak ada tempat tinggal, makan minum pun harapkan belas ihsan orang. Kalau sakit atau demam, dia orang biarkan aje sakit tu sembuh sendiri. Sebab apa? Sebab dia orang tak ada duit nak pergi klinik atau hospital. Tapi tak ada pula dia orang datang ke pantai ni, menjerit-menjerit macam awak tu.”

Semakin sakit pula hati Sofea. Perlukah membandingkan dia dengan orang lain? Masalah mereka tak sama, kehidupan mereka juga berbeza. Sangatlah tidak adil untuk Jeffry berkata begitu.

“Lantak dia oranglah! Tak payahlah awak sibuk nak cerita kat saya. Bukannya ada kena-mengena dengan saya pun.”

“Saya ni tengah nasihatkan awak tau? Tak payahlah nak melenting.”

Nak bagi nasihat konon! Bahasa bukan main ‘cantik’ lagi.

“Lagi satu, awak juga yang sebut Harris tu penipu, pembohong, syaitan bertopengkan manusia. Sepatutnya, awak bersyukur sebab terlepas dari lelaki perangai macam tu. Yang nak menangis, meraung tu, dah kenapa? Tak fahamlah.”

“Eh, saya kenal awak pun tidak, tiba-tiba nak menyibuk pasal saya ni, apa hal?”

“Apa pulak tak kenal? Awak kan yang datang rumah saya kelmarin? Awak cucu Hajah Aida dan Haji Zain, betul tak?”

Sofea tidak beri respons. Pandangannya masih tidak lari daripada wajah Jeffry.

“Awak memang tak ingat saya ke? Baiklah saya perkenalkan diri saya sekarang. Saya Jeffry Asyraf bin Azmi, panggil Jeff aje. Anak bongsu dari tiga adik beradik. Hobi saya berkebun, memasak dan membaca.”

“Tak tanya pun!” Segera langkahnya, Sofea atur pergi dari situ. Malas nak layan si sombong dan berlagak ni.

“Sombongnya minah ni!” Jeffry menurut dari belakang.

“Siapa dulu yang sombong? Awak kan?”

“Jangan pandai-pandai buat fitnah. Berdosa!”

“Bila masa saya buat fitnah? Dah memang awak sombong pun. Kelmarin masa saya kat rumah awak, tak ingat?” Serta-merta langkah Sofea terhenti. Matanya kembali menikam ke wajah Jeffry.

Jeffry cuba mengingat semula. Okey, mula-mula sekali dia dan Kak Nisha masuk ke rumah. Ketika itu dia nampak seorang gadis cantik manis sedang berbual-bual dengan ibu. Gadis itu diperkenalkan sebagai Sofea, iaitu cucu kepada Hajah Aida dan Haji Zain. Itu saja kerana semuanya berlangsung begitu cepat dan pantas.

Selepas itu dia tergesa-gesa  ke belakang sebab dah tak tahan sangat nak ‘membuang’. Tapi dari dalam bilik air, dia dapat dengar namanya disebut berulang kali. Sudah tentu ibu dan Kak Nisha sibuk bercerita tentang dia kepada Sofea. Sungguh, dia tak ingat langsung masa bila dia tunjuk perangai sombong tu. Lagipun bukan sifat dia macam tu.

“Saya tak sombong. Baik awak tarik balik kata-kata awak tadi.”

“Tak nak!”

“Tarik balik!”

“Dahlah, saya nak balik. Malas layan awak.” Tanpa menunggu lagi, Sofea segera melangkah laju ke arah keretanya.

“Awak, tunggu dulu!”

Sofea buat-buat tak dengar. Sesampai di kereta, dia membuka pintu, masuk, hidupkan enjin lalu terus pergi dari situ.

Jeffry termangu. Macam mana dengan cincin dia ni? Takkan nak buang kut? Hisy! Tak baik membazir, amalan syaitan tu.

Matanya memandang sekejap cincin di tangan sebelum dia memasukkan ke dalam poket seluarnya.

No comments: