Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 12

 

“J

EMPUT minum, bang.” Secawan teh O diletakkan di atas meja di hadapan Haji Zain. Di tengah-tengah meja sudah tersedia sepinggan cucur jagung yang masih panas.

“Kal, mari minum.” Hajah Aida menjengahkan kepalanya ke arah ruang tamu di mana Haikal sedang melayan Maryam bermain.

Sambil mendukung Maryam, Haikal menyertai mereka di meja makan.

“Maryam, tolong bawa bersabar, boleh tak?” Cubaan Maryam untuk mencapai cucur di dalam pinggan tidak berjaya apabila badannya Haikal sempat tarik dan peluk.

“Maryam ni pantang nampak makanan, laju aje dia.” Tergelak Haji Zain dengan telatah si cucu.

“Maryam makan buah ni ya?” Dalam ketawa, Hajah Aida meletakkan semangkuk kecil buah naga yang sudah dipotong-potong kecil di hadapan Maryam dan papanya. Laju saja si kecil itu mencapainya.

“Fea mana ma?” tanya Haikal.

“Ada dalam bilik,” balas Hajah Aida pendek.

“Asyik terperap dalam bilik aje Fea tu. Kalau keluar pun, sekejap-sekejap. Lepas tu abang perasan, dia suka sangat termenung. Ada masalah ke dia, Da?”

“Masalah orang muda, bang.”

Faham sangat Haji Zain dengan balasan isterinya itu. Mungkin cucunya itu tengah patah hati, sakit hati, menjeruk hati atau apa-apa sahaja masalah berkaitan hati.

“Cinta tak kesampaian, bang.”

Tanpa menyampuk, Haikal sekadar menjadi pendengar. Baru dia tahu kenapa Sofea tiba-tiba balik ke sini.

“Aida pergi tengok dia sekejap ya?”

“Yalah. Kalau boleh, jangan dibiarkan sangat dia melayan rasa kecewa tu. Jangan biar dia sorang-sorang. Bukan apa, bila emosi tengah tak stabil, perasaan tertekan, masa inilah jin dan syaitan cuba ambil peluang. Itu yang abang risaukan.”

“Yalah, bang. Nanti Aida cuba cakap dengan dia.”


KETIKA menerima panggilan daripada Fiza, Sofea sedang berbaring di atas katil. Telefon yang berada di sisi diambil lalu dilekapkan ke telinga.

“Za, rindunya aku dekat kau!”

“Rindu aku konon, tapi langsung tak telefon aku. Sedih aku, tau tak?”

“Tak baik kau tuduh aku macam tu. Banyak kali aku telefon kau. Ada kau jawab? Tak ada kan? Ini dah berapa hari baru nak telefon aku balik. Aku lagi sedih, tau? Dah la aku tak ada kawan kat sini. Ada kawan baik kat KL pun lupa aku.” Sofea sengaja buat-buat sedih.

“Weh, telefon aku ada masalah. Ini baru okey balik.”

“Betul ke ni?”

“Betul la.”

“Okeylah, aku percaya. Macam mana ofis sekarang?”

“Sejak kau tak ada, nak pergi ofis pun tak ada nafsu, tau?”

“Alaa, sedihnya. Pak we aku macam mana? Dia okey ke?”

“Encik Ikmal ke?”

“Dialah! Siapa lagi pak we aku kat ofis tu.”

“Okey kut. Ni, Encik Ikmal kebetulan ada kat tempat aku ni. Kau nak cakap dengan dia ke?”

“Boleh juga.”

“Hai Sofea.” Suara Encik Ikmal menerpa ke telinga Sofea.

“Hai Encik Ikmal!”

“Macam mana awak kat sana? Okey tak?”

“Badan aje kat sini, hati saya kat KL. Saya rindu semua orang kat sana.” Sofea bercakap benar. Saat ini, dia sangat rindukan mummy, daddy dan Irfan serta kawan-kawan di ofis. Selama ini, mana dia pernah berpisah lama-lama dengan mereka.

“Kalau macam tu baliklah ke sini. Datang kerja dengan saya semula.”

Sofea hanya ketawa. Dia tahu Encik Ikmal hanya bergurau.

“Eh, saya nak beritahu awak ni, semalam Harris ada datang sini cari awak.”

“Hah, betul ke Encik Ikmal? Macam mana keadaan dia? Dia okey ke?” Sofea pun tak faham kenapa dia bertanya begitu. Sepatutnya dia tak perlu ambil kisah langsung tentang Harris. Lantaklah apa nak jadi dengan lelaki itu, bukan urusan dia pun.

“Ambil berat juga awak ya? Masih sayang dia ke?” Encik Ikmal mengusik.

“Alah, tanya aje. Tak ada maknanya saya nak ambil berat pasal dia lagi, nak sayang dia lagi...”

“Nampak dari luaran, macam okey. Cuma kaki dia belum sembuh sepenuhnya. Dia bertongkat.”

“Oh!” Hanya itu yang keluar daripada mulut Sofea.

“Dia tanya saya awak kat mana sekarang. Dia tanya alamat rumah mak ayah awak sekali.”

“Encik Ikmal beritahu ke?” Dengan nada risau, Sofea menyoal. Manalah tahu, kalau-kalau Encik Ikmal jadi terlebih peramah lalu memberikan maklumat yang Harris minta.

“Takkan saya nak beritahu dia pulak. Kan awak dah cakap tak nak jumpa dia lagi.”

“Memang betul, saya dah tak nak jumpa dia lagi sampai bila-bila. Saya anggap dia dah mati, Encik Ikmal.”

“Tapi bila  tengok dia semalam, saya rasa kesian pula, Sofea. Saya dapat rasa dia betul-betul sayang awak.”

Sofea memilih diam. Tak penting pun kenyataan Encik Ikmal tu. Apa guna sayang kalau Harris sanggup membohongi dia?

“Pada saya kan Sofea, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah nak bagi jodoh yang lebih baik untuk awak.”

Mummy dan tok ma pun cakap benda yang hampir sama. Kata-kata itu kan ibarat doa dan dia percaya, mereka semua sedang mendoakan dia. Mudah-mudahan, Allah makbulkan dan menghadirkan seorang lelaki yang benar-benar setia dan mencintai dia kerana-Nya.

Baru sebentar perbualan dengan Encik Ikmal dan Fiza tamat, pintu biliknya diketuk dari luar. Wajah tok ma tersembul di sebalik daun pintu.

Sambil duduk bersila, Sofea memintal-mintal rambutnya yang panjang hingga ke pinggang lalu dibuat sanggul. Sambil itu dia memandang tok ma yang sudah pun melabuh duduk di birai katil.

“Maryam belum balik, tok ma?” Selepas zuhur tadi, Maryam mengikut Haikal keluar. Ke kedai emak Haikal katanya.

“Dah lama dah dia balik. Ada kat dapur dengan pak su, tok ayah. Fea buat apa berkurung dalam bilik ni dari tadi?”

“Tak buat apa-apa.”

“Fea tak seronok ke tinggal kat rumah tok ma?”

“Eh, taklah. Fea okey aje tinggal kat sini.”

“Kalau betul okey, kenapa asyik termenung aje? Muka tu pun sedih aje memanjang.”

Daripada wajah tok ma, Sofea mengalihkan pandangan ke arah luar jendela. Tak rasa nak jawab pun soalan itu. Sebabnya, jawapannya sudah ada pada tok ma.

“Masih tak boleh lupa Harris?” Hajah Aida percaya, lelaki yang bernama Harris itulah yang menjadi punca Sofea bersikap sedemikian.

Sofea menghela nafas panjang, kemudian hembus perlahan-lahan.

“Susah sangat nak lupa dia, tok ma. Tak tahu nak buat macam mana lagi.” Dia fikir dengan membuang cincin pemberian Harris, dia dapat melupakan lelaki itu dengan mudah, tapi dia silap. Lelaki itu tetap datang mengganggu hati dan mindanya.

“Senang aje nak lupa dia.” Tenang Hajah Aida membalas.

Sofea bawa matanya pandang wajah Hajah Aida semula.

“Elakkan diri dari duduk sorang-sorang macam ni. Jangan bagi ruang langsung pada diri Fea untuk fikir pasal dia.” Lembut tutur bicara Hajah Aida sambil memegang tangan cucunya.

“Putus cinta bukan pengakhiran segala-galanya, Fea. Fea masih muda. Perjalanan hidup Fea masih panjang lagi, masih banyak yang Fea perlu tempuh. Janganlah kerana kecewa dengan seorang lelaki, Fea jadi lemah dan cepat putus asa.”

Bicara tok ma itu mengundang satu rasa di jiwa Sofea. Rasa kesal sebenarnya. Kesal kerana membenarkan perasaan menguasai fikiran. Tapi bukannya dia tak cuba. Dia sudah buat sehabis daya untuk melupakan Harris. Memang dia berjaya, tapi malangnya untuk sementara waktu saja. Bila bersama tok ma, tok ayah, Maryam, memang dia tak ingat lelaki itu langsung. Tapi bila bersendirian, dan-dan kenangan bersama lelaki itu kembali mengganggu ingatan.

 “Tak taulah kenapa susah sangat nak lupa dia, tok ma. Susah sangat!”

“Sebab tu tok ma cakap, jangan suka duduk sorang-sorang. Bila sorang-sorang ni, memang banyaklah peluang Fea fikir pasal dia. Masa nilah syaitan main peranan. Supaya kita jadi lalai dan buat perkara sia-sia. Sebab itulah kita kena banyakkan berzikir, selawat, baca Quran dan buat benda-benda yang berfaedah.”

Perlahan-lahan Sofea mengangguk. Insya-Allah, dia akan cuba praktikkan apa yang tok ma nasihatkan. Semoga dia berjaya menghalau lelaki itu keluar daripada hidupnya. Cukuplah Harris sekadar melukakan hatinya. Dia takkan izinkan lelaki itu merosakkan kehidupannya pula.

“Banyakkan berdoa juga, Fea. Mengadu dan minta tolong dari Allah supaya Fea boleh lupakan dia. Hati kita ni, Allah yang pegang. Dia juga yang bolak-balikkan hati kita. Tok ma percaya, Allah akan makbulkan doa Fea dan buat hati Fea cepat lupakan Harris.”

“Yalah, tok ma.” Memang dia selalu berdoa, tapi mungkin sebelum ini doanya tidak bersungguh. Insya-Allah dia akan berdoa dengan lebih bersungguh dan khusyuk selepas ini. Berkat doanya, mudah-mudahan dia akan berjaya menyingkirkan Harris keluar dari hatinya seterusnya dapat melupakan lelaki itu.

“Lagi satu, Fea kena ada ramai kawan. Bila ramai kawan, Fea tak akan ada masa langsung untuk ingat benda-benda tak berfaedah macam tu.”

“Fea nak berkawan dengan siapa, tok ma? Fea bukan kenal sangat pun orang-orang kat sini.”

“Mula-mula memanglah tak kenal orang lagi, lama-lama nanti ramailah kawan Fea.”

Entah siapalah agaknya kawan yang tok ma maksudkan. Sebabnya, di kampung ni dia jarang jumpa orang-orang muda yang sebaya dia. Kebanyakan yang dia jumpa, semuanya sudah agak berumur.

Kalau ada yang muda sikit pun, Kak Nisha dan Siti Hawa ajelah. Kak Nisha memang dah jadi kawan dia pun dan dia percaya mereka akan jadi lebih rapat selepas ini. Tapi dengan Hawa, nampak macam mustahil untuk mereka jadi kawan.

Sejak pertama kali jumpa lagi dia dah dapat rasa yang dia tidak boleh ngam dengan gadis itu. Hawa itu sebenarnya adik Haikal tetapi perangai mereka sangat jauh berbeza. Langsung tak nampak macam adik-beradik.

“J...” Seperti tempoh hari, hanya huruf J itu saja yang tok ma sebut, kemudian tok ma diam.

“J? Jiran baru?” Kalau betul jiran baru seperti yang tok ma cakap tempoh hari, memang dia sudah berbaik-baik pun dengan Puan Rahayu dan Kak Nisha.

Tok ma geleng. Siap mencemik lagi.

Eh, eh, tok ma ni... hari tu dia jugak yang cakap J itu singkatan bagi ‘jiran’ baru. Ini tak mengaku pula. Apalah!

“J... Jeffry?” Sebuah nama yang tiba-tiba terlintas di kepala meluncur laju daripada mulut Sofea. Tak syak lagi! Jeffrylah ‘J’ yang tok ma maksudkan. Sekarang barulah dia faham. Dalam diam, rupa-rupanya tok ma ada hasrat mahu merapatkan dia dengan Jeffry Asyraf, anak bujang Puan Rahayu itu.

Laju-laju tok ma mengangguk. Senyuman melebar di bibirnya.

“Betul la tu. Tok ma rasa, Fea boleh berkawan dengan Jeffry tu.”

“Jangan harap Fea nak berkawan dengan dia. Tak sukalah dia tu!” Sofea merungut.

“Kenapa pula tak suka? Dia baiklah. Tok ayah pun suka dia.”

“Kalau tok ayah suka, biar tok ayah ajelah berkawan dengan dia.”

“Mula-mula aje tak suka, lama-lama nanti sukalah tu...”

Hisy, tok ma ni! Dia pula lebih tahu diri kita.

No comments: