Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 9

 


R

ALATNYA Sofea rasa. Mana tidaknya, dari jauh dia datang, alih-alih tok ma dan tok ayah tiada di rumah. Tapi dia tak rasa mereka pergi jauh, sebab kereta dan motosikal tok ayah ada kat depan rumah ni. Dia sudah cuba menghubungi mereka berdua, namun tiada jawapan.

Hampir 20 minit menunggu, tok ma dan tok ayah masih juga tak muncul-muncul. Setengah jam lagi waktu maghrib dah nak masuk. Kalaulah tok ma dan tok ayah tak balik juga, macam mana? Dia nak ke mana?

Memanglah ada rumah saudara-mara tok ma tak berapa jauh dari sini. Tapi dia tak biasa sangat dengan mereka. Seganlah pula nak pergi. Inilah padahnya kalau datang main redah saja. Konon, nak bagi kejutan dekat tok ma dan tok ayah. Sudahnya, dia sendiri yang kecewa.

Fikir punya fikir, akhirnya Sofea membuat keputusan untuk masuk ke kereta semula. Sementara menunggu, dia boleh pusing-pusing dulu tengok kampung. Tak pun ke pantai yang berada tidak jauh dari rumah tok ma ni.

Tapi sekiranya tok ma dan tok ayah tak balik langsung malam ni, dia bercadang untuk bermalam di hotel sahaja. Tak jauh mana pun hotel di bandar Mersing dengan Tanjung Resang ni, dalam setengah jam sahaja jika berkereta.

Belum sempat Sofea membuka pintu kereta, seseorang memberikan salam. Sambil berpusing ke belakang, salam dijawab. Segera pandangannya bertemu dengan wajah seorang wanita dalam usia lewat 50-an. Senyuman wanita itu dibalas dengan senyuman  juga. Lantas tangannya dihulurkan untuk bersalaman.

“Saya Sofea Hana. Panggil Sofea aje.”

“Mak Cik Rahayu. Ini rumah mak cik.” Puan Rahayu menuding jari telunjuknya ke arah sebuah rumah yang setentang dengan rumah Hajah Aida.

Jadinya, Puan Rahayu adalah pemilik rumah besar itu? Kali terakhir sewaktu Sofea balik ke sini, rumah Puan Rahayu masih belum siap sepenuhnya. Nampak sangat dah lama dia tak balik, sampai rumah itu siap sepenuhnya dan sudah berpenghuni pun.

“Tunggu Hajah Aida ke?”

“Ya.”

“Sofea ni siapa dengan Hajah Aida?”

“Saya cucu dia.”

“Ooo... cucu yang tinggal kat Kuala Lumpur tu ke?”

Sofea angguk. Mesti tok ma pernah bercerita tentang dia dan keluarga mereka kepada wanita ini.

“Ni baru sampai dari Kuala Lumpur ke?”

“Ya mak cik.”

“Sorang?”

“Haah, sorang.”

“Beraninya Sofea.”

“Terpaksa berani, mak cik.”

“Kalaulah Sofea ni anak mak cik, jangan harap mak cik nak lepaskan sorang-sorang macam ni.”

Kenyataan itu Sofea sambut dengan senyuman. Usahkan Mak Cik Rahayu, mummy dengan daddy pun tidak yakin untuk melepaskan dia memandu ke kampung sendirian. Tapi mungkin mereka bosan dengan rayuan dan rengekan dia yang tak henti-henti semalam, terpaksalah mereka berdua memberi keizinan. Itu pun dengan bermacam-macam pesanan. Bukan setakat doa menaiki kenderaan, mummy turut berpesan agar dia membaca doa-doa lain juga. Tak cukup dengan itu, satu buku doa mummy bekalkan untuk dia.

Sungguh, dia sangat berterima kasih dengan mummy dan daddy. Meskipun mereka kecewa dan tidak bersetuju dengan keputusan yang dia buat, tetap juga mereka mengambil berat dan tak putus-putus menghulurkan kata-kata semangat buat anak mereka yang degil ini.

“Mak cik tau tok ma dengan tok ayah ke mana?”

“Dia orang keluar tadi, tapi mak cik tak tau pula dia orang ke mana. Sofea tak cuba telefon dia orang?”

“Dah, tapi dua-dua tak jawab.”

“Tertinggal telefon dekat rumah la tu kut.”

Boleh jadi juga. Tok ma dan tok ayah memang selalu macam tu. Pakai telefon pun buat syarat aje.

“Dia orang naik apa? Kereta tok ayah ada tu.” Sofea mengalihkan pandangannya ke arah Proton Perdana milik tok ayah di hadapan rumah.

“Dia orang keluar dengan Haikal.”

“Oh, Pak Su Haikal,” balas Sofea merujuk kepada Haikal, iaitu suami kepada arwah Mak Su Farah serta menantu kepada tok ayah dan tok ma.

“Kalau macam tu, tak apalah mak cik. Saya pergi dululah. Nak tunggu tok ma dengan tok ayah ni, tak tau pulak bila dia orang nak balik.”

“Sofea nak pergi mana?”

“Nak ke pantai sekejap.”

“Kalau macam tu, tunggu kat rumah mak cik ajelah. Sekejap lagi, baliklah dia orang tu. Lagipun dah lewat sangat ni.”

“Eh, tak apalah mak cik.” Segan pula dia mahu menerima pelawaan itu. Lainlah kalau orang tu dia betul-betul kenal. Ini baru sekejap berkenalan. Macam tak berapa sesuai pula kalau dia ikut.

“Marilah. Bukan ramai pun orang kat rumah mak cik tu.”

Bukan ramai? Maknanya, ada orang lain lagilah selain mak cik ni kat dalam rumah besar tu? Entah-entah, ada anak lelaki. Hisy, lagilah dia tak nak.

“Tak apa, mak cik. Tak payah susah-susah.” Penuh berhemah Sofea cuba menolak.

“Susah apanya? Tak susah pun. Jom, ikut mak cik.”

“Tak apa...” Laju Sofea gelengkan kepala.

“Jangan degil, mari ikut mak cik!”

Sofea tidak mampu menjawab lagi apabila tangannya Puan Rahayu tarik.

 

BELUM pun setengah jam Sofea di rumah Puan Rahayu, sudah banyak yang dia tahu tentang wanita itu. Memang jenis peramah Mak Cik Rahayu ni. Walaupun baru sekejap, seperti mereka sudah kenal lama

“Sebelum ni mak cik tinggal di Kuala Lumpur. Mak cik kerja kat Kementerian Pertanian. Lepas pencen awal dua tahun lepas, mak cik balik tinggal di Endau. Tapi masa tu, anak-anak semua masih kat KL. Dia orang kerja kat sana. Tapi anak-anak mak cik ni jenis tak boleh jauh dari mak cik. Sibuk nak ikut balik tinggal kat sini.

Sambil mendengar cerita Puan Rahayu, mata Sofea ralit memandang ke sekitar ruang tamu. Semuanya cantik dan tersusun kemas. Menurut cerita Puan Rahayu tadi, baru enam bulan dia sekeluarga berpindah ke rumah itu.

Patutlah semua perabot nampak baru-baru belaka. Yang paling dia tertarik, warna-warna pastel yang dipilih membuatkan suasana nampak redup dan tenang. Memang kena sangat dengan hati dia yang sedang patah ini.

“Mulanya, mak cik larang. Yalah, kalau dia orang balik sini, dia orang nak kerja apa? Bukan senang nak dapat kerja kat kampung ni.”

“Seorang anak mak cik tu jurutera di syarikat swasta, seorang lagi akauntan. Tapi dia orang sanggup berhenti kerja semata-mata sebab mak cik. Dia orang risau mak cik sorang-sorang kat kampung.”

“Ya Allah, bagusnya anak-anak mak cik. Sanggup dia orang berhenti kerja sebab nak jaga mak cik.” Sofea rasa kagum dengan anak-anak Mak Cik Rahayu. Tapi, dia pun bagus juga. Dia juga anak mummy dan daddy yang baik. Cuma kali ini saja dia terpaksa kecewakan mereka berdua. Tapi dia berjanji, hanya sekali ini. Selepas ini, dia akan sentiasa buat mummy dan daddy tersenyum. Percayalah!

“Alhamdulillah... mak cik bersyukur dan bangga dengan semua anak mak cik. Dia oranglah harta paling bernilai yang mak cik ada.”

Mak Cik Rahayu menyambung ceritanya lagi. Setelah berbincang dengan anak-anak, mereka sepakat untuk membina beberapa buah chalet di atas tanah yang dibeli di kawasan pantai Tanjung Resang itu.

Kebetulan, Mak Cik Rahayu memiliki kebun kelapa pandan yang agak luas tidak jauh dari situ. Ia turut menjadi sumber pendapatan buat mereka sekeluarga.

“Chalet Sri Rahayu tu mak cik punya ke?” Memang Sofea tahu kewujudan chalet itu, tetapi dia tidak pernah singgah ke sana. Hanya nampak papan tandanya sahaja tercacak di jalan masuk ke kampung ini.

“Mak cik dengan anak-anak. Dah hampir setahun chalet tu beroperasi. Alhamdulillah, sambutan menggalakkan. Sebelum ni, kami berulang-alik dari Endau ke sini. Baru tahun lepas mak cik terfikir nak buat rumah atas tanah peninggalan arwah ayah mak cik ni. Taklah jauh sangat nak kena berulang.”

“Dua orang aje ke anak mak cik?”

“Tiga orang. Lagi seorang masih kat Kuala Lumpur.”

“Ooo... tiga orang. Saya dua beradik aje.”

“Sofea yang bongsu atau sulung?”

“Saya yang bongsu.”

Sedang seronok bersembang, kedengaran suara salam dari hadapan rumah.

“Ha, dah balik pun dia orang tu,” ujar Puan Rahayu usai menjawab salam.

Muncul dua orang dari muka pintu. Seorang perempuan, seorang lelaki.

“Eh, kita ada tetamu ke ibu?” Gadis dalam usia lewat 20-an itu bertanya ramah seraya berjalan menghampiri Sofea lantas menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

“Nisha Alina, panggil Kak Sha aje. Kak Sha ni anak Puan Rahayu yang cantik jelita dan anggun menawan ni.” Gadis itu ketawa terkekeh-kekeh. Kemudian dia melabuhkan duduk di sebelah Sofea.

“Kak Sha ni memang suka bergurau.” Puan Rahayu ketawa sama.

Sofea menyambut kata-kata gadis itu dengan senyuman. Nak membalas gurauan Nisha, memang dia tak reti. Maklumlah baru kenal. Tapi dia rasa, sehari dua lagi mesti dia boleh ‘ngam’ dengan wanita itu.

“Yang tu Jeffry, adik akak.”

Lelaki yang bernama Jeffry itu hanya melemparkan senyuman. Tapi sekejap sahaja dan senyumannya pun kelihatan sinis. Tak sempat Sofea nak balas, senyuman lelaki itu sudah pun mati.

Dengan wajah yang serius, lelaki itu terus mengatur langkahnya keluar dari ruang tamu itu, menuju ke belakang rumah.

Sombong! Berlagak! Itu tanggapan pertama Sofea terhadap anak lelaki Puan Rahayu itu. Berbeza benar dengan sifat Puan Rahayu dan Kak Nisha yang peramah itu.

“Jeffry tu anak mak cik yang bongsu. Dah 27 umurnya. Umur macam tu sepatutnya dah kahwin kan? Tapi Jeffry tu macam tak kisah pun. Ramai perempuan sukakan dia, tapi semua dia tolak. Entah perempuan macam mana dia nak, tak faham mak cik.”

Oh, anak bongsu rupa-rupanya, sama macam dia jugalah. Tapi bab ramai perempuan sukakan Jeffry, perlu ke Puan Rahayu cerita pada dia? Dia pun tak berminat nak tahu.

“Tak payah nak risau sangatlah ibu. Sampai masa, kahwinlah dia tu. Entah-entah... sebulan dua aje lagi.” Mengekek Nisha tergelak. Sama naik dengan Puan Rahayu.

“Ibuuu... Kak Shaaa... mengumpat Jeff, eh?” Terdengar suara Jeffry berteriak dari arah belakang rumah.

“Jeff dengar la bu.” Nisha berbisik.

Sofea sekadar tersengih. Telatah dua beranak tu buat dia terhibur.

Sedang asyik bersembang, bunyi deruan kereta kedengaran berhenti berhampiran rumah Puan Rahayu.

Sofea perlahan-lahan bangun lalu berjalan menuju ke jendela dan menyelak langsir.

“Eh, tok ma dengan tok ayah dah balik dah tu. Saya minta diri dululah ya mak cik, Kak Sha?”

Puan Rahayu membalas dengan anggukan.

“Sofea berapa lama kat sini?” Nisha menyoal sambil ikut berjalan ke muka pintu.

“Tak pasti lagi, Kak Sha. Mungkin seminggu, dua minggu, sebulan. Tengok keadaan.”

“Susah-susah sangat, tinggal aje terus kat sini.” Nisha mengusik.

Gurauan itu Sofea sambut dengan senyuman. Mustahil dia nak tinggal terus kat sini. Merajuk mummy nanti.

“Nanti selalu-selalulah datang sini. Ada juga kawan Kak Sha membawang nanti.” Tak sudah-sudah Nisha ketawa.

“Insya-Allah.”

No comments: