Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 3

 

B

ERSAMA muk yang berisi kopi di tangan, Sofea berjalan ke bilik Encik Ikmal. Perkara wajib setiap pagi. Kata Encik Ikmal, tanpa kopi dia akan rasa mengantuk dan tidak bersemangat untuk bekerja. Lebih-lebih lagi kopi yang Sofea sediakan, memang sedap dan melekat. Isteri dia, Liyana pun tak boleh buat kopi sesedap itu.

“Kopi, Encik Ikmal.” Muk berisi kopi itu diletakkan di atas meja di hadapan Encik Ikmal.

“Terima kasih, Sofea.”

“Sama-sama.” Segera Sofea berlalu ke pintu semula.

“Sofea!”

Sofea yang sudah berada hampir di pintu, berpaling lantas berjalan ke meja Encik Ikmal semula.

“Ada apa, Encik Ikmal?”

“Dalam pukul 10.00, ikut saya.”

“Ikut pergi mana?”

“Keluar jumpa klien.”

Alahai, jumpa klien lagi. Baru saja dia bercadang nak keluar makan tengah hari dengan Fiza. Saja mahu berkongsi berita gembira dengan gadis itu. Mudah-mudahan dengan berita itu, Fiza tidak lagi memandang serong dan membenci Harris.

“Boleh tak?”

“Mestilah boleh, Encik Ikmal.” Ikutkan dia nak cakap tak boleh. Tapi, tergamak ke nak jawab macam tu? Bos kut.

“Okey, terima kasih.”

Tanpa menunggu jawapan Encik Ikmal, Sofea  berjalan ke muka pintu, terus keluar dari bilik itu.

Baru punggungnya menyentuh kerusi, telefonnya menyanyi. Segera dia mencapainya dari atas meja. Harris sedang menunggu di talian.

“Assalamualaikum, abang.”

“Waalaikumussalam.” Sedikit serak suara Harris. Juga kedengaran tak bermaya. Seperti suara orang demam.

“Abang kat mana ni?”

“Kat rumah.”

“Abang tak kerja ke?”

“Abang kurang sihat sikit la. Kepala sakit, badan pun rasa lemah ni.”

“Patutlah semacam aje suara abang. Pergi klinik la bang. Jangan biar, nanti melarat.”

“Sekejap lagilah abang pergi.”

“Elok-elok bawa kereta, tau bang? Nanti dah sampai klinik, beritahu Hana. Hana nak kena keluar dengan bos sekejap lagi. Ada urusan kerja.”

 “Keluar atas urusan kerja aje tau! Jangan nak lebih-lebih pula dengan bos tu.” Sebenarnya Harris bukan serius pun. Sengaja mahu bergurau dengan Sofea. Lagipun dia kenal dan pernah berjumpa dengan Encik Ikmal.

“Dah keluar tu, kenalah lebih-lebih, abang. Paling tidak pun, ajak dia tengok wayang sambil berpimpin tangan.” Terkekeh-kekeh Sofea ketawa.

“Hanaaa...”

“Hana gurau ajelah! Hilang akal apa nak pimpin tangan Encik Ikmal?” Bukan apa, sengaja nak buat Harris cemburu. Dari situ, nampaklah Harris sayangkan dia.

Dalam tak larat, Harris ketawa. Gelagat Sofea Hana sering buat dia terhibur.

“Abang jangan lupa pergi klinik, tau?” Sekali lagi Sofea mengingatkan. Bukan apa, Harris ni jenis yang tidak suka ke klinik. Setakat demam sikit-sikit tu, selalunya dia cuma ambil panadol atau ubat tahan sakit.

“Yalah. Terima kasih sebab ambil berat pasal abang.” Begitulah Sofea setiap kali dia demam atau tidak sihat. Terserlah sikap ambil beratnya. Itu yang buat rasa sayangnya semakin bertambah.

“Sama-sama.”

“Sebenarnya ada perkara abang nak tanya Hana.”

“Abang nak tanya apa?”

“Hana dah beritahu mummy dan daddy Hana tentang lamaran abang?”

“Tak sempat beritahu lagi. Malam tadi mummy dengan daddy keluar dinner. Entah pukul berapa dia orang balik, Hana tak sedar. Hana  dah tidur masa tu.”

“Oh ya?”

“Tapi abang jangan risau, insya-Allah, malam nanti Hana akan beritahu dia orang.”

“Terima kasih, sayang. Harap-harap mummy dan daddy Hana tak keberatan terima lamaran lelaki yang serba kekurangan ni.”

“Tak ada apa yang kurang pada diri abang, semuanya okey sangat.”

Sangat banyak kebaikan dan kelebihan Harris. Tak perlulah dia senaraikan. Tapi memang betul, selama kenal Harris, hanya yang baik-baik saja yang dia nampak pada diri lelaki itu. Dan dia rasa sangat beruntung kerana dalam ramai wanita lain, dia yang Harris pilih. Dia yang berjaya memancing hati lelaki itu. Syukur alhamdulillah.

“Hana aje yang cakap macam tu. Entah-entah, daddy dan mummy Hana tak terima abang.”

“Percayalah, daddy dan mummy sangat terbuka. Hana yakin, dia orang mesti boleh terima abang dalam keluarga kami. Kalau abang nak tau, mummy dan daddy tak pernah paksa anak-anak ikut telunjuk dia orang. Lebih-lebih lagi dalam memilih pasangan hidup. Dia orang bagi kebebasan penuh pada anak-anak.”

Daripada kerusi, Sofea bangun berjalan ke arah sebuah rak di sudut bilik. Sebuah fail dikeluarkan dari situ.

“Cumanya, dia orang selalu pesan supaya Hana cari pasangan yang betul-betul jujur dan ikhlas. Bila orang tu jujur, dia takkan tergamak berbohong, menipu atau buat sesuatu yang tak betul di belakang kita. Lagi satu, mummy dan daddy nak bakal menantu yang jenis jaga solat, jaga agama. Sebab bila orang tu jaga solat, jaga agama, insya-Allah dia akan jaga kita dengan baik. Alhamdulillah, ciri-ciri yang daddy dan mummy sebut, Hana nampak ada pada diri abang.”

“Hana terlalu memuji abang. Abang tak rasa abang sebaik itu.”

“Hana cakap apa yang Hana nampak, Hana tau.”

“Apa pun, abang nak ucap terima kasih kerana Hana sudi bagi peluang pada abang. Mudah-mudahan, niat baik kita akan dipermudahkan Allah Taala.”

“Insya-Allah, aamiin. Okeylah, bang. Hana nak buat kerja ni. Lain kali kita sambung lagi ya?”

“Okey. Tapi sebelum tu, boleh tak abang minta Hana janji dengan abang?”

“Abang nak Hana janji apa?”

“Tolong jangan tinggalkan abang.”

Sofea terdiam sebentar. Rasa agak pelik dengan permintaan Harris itu. Kenapa ya?

“Kenapa Hana nak tinggalkan abang pula? Abang kan bakal suami Hana?”

“Tolong janji dengan abang. Walau apa pun  berlaku, tolong jangan tinggalkan abang, sayang.” Tanpa menghiraukan kata-kata Sofea, Harris tetap dengan permintaannya.

“Kalau abang tinggalkan Hana pula, macam mana?”

“Abang takkan buat macam tu. Abang sayang Hana dan abang akan setia dengan Hana.”

Tersentuh. Itu yang Sofea rasa saat itu. Dia dapat rasakan betapa mendalamnya cinta Harris terhadap dia. Semoga cinta mereka akan berkekalan hingga ke hujung nyawa.

“Hana belum janji lagi dengan abang.”

“Okeylah, Hana janji. Hana takkan tinggalkan abang. Tapi kalau abang yang buat macam tu, siaplah. Sampai bila-bila pun Hana takkan maafkan abang.”

“Takkan abang nak buat macam tu?”

“Hana main-main ajelah! Hana percayakan abang.”

“Terima kasih, sayang.”

“Sama-sama.”

 

 

“TAK bolehlah keluar makan dengan kau, Za. Encik Ikmal ajak aku temankan dia jumpa klien sekejap lagi. Aku dah setuju nak ikut dia.”

“Alaa... kacau daunlah Encik Ikmal ni! Macamlah tak boleh pergi sorang. Sibuk nak angkut kau juga.”

Fiza dah mulalah tu. Lepas tu nanti, adalah spekulasi yang dia akan buat. Tunggulah sekejap lagi kalau tak percaya.

“Encik Ikmal tu, bukan main rapat lagi dengan kau sekarang ni. Setiap kali keluar jumpa klien, mesti nak kena bawa kau sekali. Ni aku nak tanya, kau dengan dia ada apa-apa ke? Kau jangan buat hal, Fea. Encik Ikmal tu laki orang, tau!”

Kan betul! Fiza dan spekulasi macam isi dengan kuku. Rapat, melekat, erat.

“Kau nak tuduh aku ada skandal dengan Encik Ikmal ke ni?”

“Manalah tau...”

“Weh, aku dah ada Harris, okey? Encik Ikmal tu bos aku, tak lebih dari itu. Kak Liyana tu pun dah macam kakak aku. Anak-anak dia pun rapat dengan aku. Aku keluar dengan dia sebab setiap kali perbincangan dengan klien, aku kena catat, buat minit. Yalah, kau kerja buat akaun aje kan, mana reti tugas-tugas PA macam aku ni.” Kecil besar, kecil besar dia pandang Fiza sekarang ni. Mak cik sorang ni memang suka mengundang marah orang.

 “Tapi kan Za, bukan dah banyak kali ke aku beritahu kau pasal ni? Lepas ni, aku dah malas nak cakap lagi. Aku nak rakam aje suara aku. Lepas tu, aku tepek kat telinga kau. Dengarlah berulang kali sampai kau faham. Kalau tak faham juga, nanti aku pasang ayat rukyah kat telinga kau tu. Biar jin dan syaitan dalam badan kau tu kepanasan.”

Bukan main beria-ia lagi Fiza gelak. Seronok sangat agaknya kena bebel dengan Sofea.

“Kau ni kenapa serius sangat? Siap nak bagi ayat rukyah lagi kat telinga aku. Aku main-main aje la. Aku taulah kau tu macam mana. Luar dalam kau, aku dah kenal, tau? Takkanlah kau nak berskandal dengan Encik Ikmal tu kan? Hilang akal ke apa?”

 “Tau tak apa!” Sudahnya, Sofea ikut ketawa.

Fiza ni memang. Dah buat orang marah, sekejap lepas tu, dia boleh buat orang ketawa pula. Memang pelik kawannya yang seorang ni. Tapi pelik-pelik pun, dengan Fizalah yang dia paling selesa berkawan.

Fizalah satu-satunya kawan yang paling dia boleh percaya. Sahabat sehati sejiwa walaupun ada kalanya cara mereka bercakap macam orang nak bergaduh. Tapi begitulah mereka.

“Kau merayap kat sini, bos tak cari kau ke?” Sofea menyengih. Itu namanya menghalau secara tertib dan halus.

“Bos aku tak ada. Dia cuti hari ini.”

“Mentang-mentang bos cuti, kau curi tulang, eh? Eh, kau ingat sikit, walaupun bos tak nampak perbuatan kau tu, Allah tetap ada. Allah nampak apa yang kau buat. Dan gaji yang kau dapat bulan-bulan tu, berkat ke tidak? Sendiri mau ingat la...”

Sebenarnya, ucapan Sofea itu lebih kepada bergurau. Dia tahu Fiza bukan begitu. Sepanjang kenal, gadis itu merupakan seorang pekerja yang cemerlang, amanah dan bertanggungjawab.

“Weh, kau tak payahlah nak ceramahkan aku. Aku bukan jenis macam tu. Bos ada ke, tak ada ke, aku buat kerja aku macam biasa. Dan sekarang, aku tengah buat kerja jugak, tau? Ni tuntutan perjalanan Rina, Encik Ikmal tak tanda tangan. Aku datang sini sebab nak hantar borang ni dan nak minta tanda tangan dia, ada faham? Kerja tu kan?” Sampul bersaiz A4, Fiza letakkan di atas meja, di hadapan Sofea. Sebenarnya bukan letak, campak.

“Kau tu pun, lain kali semaklah betul-betul borang tu sebelum bagi balik kat aku. Ini tak, main bagi aje. Nama aje PA, buat kerja pun tak betul,” omel Fiza lagi.

“Alahh... biasalah sesekali buat silap. Tak payahlah nak marah sangat. Kau tunggu sekejap. Aku pergi minta tanda tangan Encik Ikmal sekarang.” Sofea lantas bangun daripada kerusi dan masuk ke bilik Encik Ikmal.

Dua minit kemudian, dia muncul semula. Sampul bersaiz A4 kembali diserahkan kepada Fiza.

“Fiza... sebelum kau pergi, aku ada benda nak cakap.”

“Hal peribadi ke?”

Angguk.

“Kau nak cakap pasal apa?”

“Harris.”

“Huh, bosan!” Fiza terus tarik muka.

“Harris ajak aku kahwin. Minggu depan keluarga dia nak datang jumpa mummy dan daddy aku.”

Kata-kata Sofea itu buat mata Fiza membulat. Terkejut dan dalam masa sama, rasa tak percaya.

“Betul ke Fea?”

Dengan wajah yang manis tersenyum, Sofea mengangguk beberapa kali.

“Bermakna... akulah yang silap tafsir Harris selama ni? Ya Allah Fea, aku kena minta maaf dengan Harris. Banyak betul dosa aku dengan dia. Aku kutuk dia, kecam dia, marah dia.”

“Nanti kau jumpa dia, kau cakap dengan dia. Aku tau dia akan maafkan kau.”

“Rupanya Harris tak seperti yang aku sangka. Dia lelaki baik dan bertanggungjawab macam yang kau selalu sebut. Dan sekarang, baru aku faham bila kau kata Harris tu lelaki yang teliti, sebab tu dia ambil masa yang lama untuk halalkan hubungan kau orang.”

Sofea tidak menyampuk. Dia sekadar menghulurkan senyumannya.

“Seronoknya aku dengar. Aku tumpang gembira untuk kau.” Tanpa sedar, air mata Fiza meleleh ke pipi. Sungguh, dia sangat gembira dan tumpang bahagia. Sebab, bahagia Sofea adalah bahagia dia juga.

“Kau nangis, Za?”

“Aku nangis untuk kau. Sungguh, aku seronok sangat-sangat.”

Dan air mata Sofea ikut sama mengalir. Memang dia sangat bahagia kerana menerima lamaran Harris, tapi saat ini dia rasa lebih bahagia kerana mempunyai sahabat seperti Fiza. Sahabat yang betul-betul ikhlas.

“Nak peluk kau, Za.” Lantas mereka berpelukan dan menangis bersama.


No comments: