Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 15

 

“S

INGGAH rumah dulu, Jeff.”

Pelawaan itu Haji Zain buat sewaktu mereka baru balik dari masjid malam itu. Selalunya dia balik dengan Haikal. Memandangkan Haikal perlu balik cepat kerana mengajar kelas tuisyen, dia menumpang kereta Jeffry.

Jeffry tidak segera menjawab. Sebenarnya  sedang berfikir sama ada dia patut menerima pelawaan itu atau tidak. Katalah dia singgah, tentu teruk dia kena usik dengan Kak Nisha dan ibu nanti. Dua insan kesayangan dia tu memang tak boleh langsung tengok dia dengan Sofea. Mulalah nak menyakat. Dia orang tak tahu agaknya, Sofea tu kalau nampak aje muka dia, asyik nak marah saja. Tak faham kenapa Sofea macam benci sangat dengan dia. Lepas tu, asyik cakap dia sombong.

Tapi kalau dia tolak pelawaan tu, rasa tak sedap pula. Sebelum ni, memang dia selalu ke rumah Haji Zain pun. Maklumlah, lelaki itu kan guru mengajinya. Dua kali dia khatam al-Quran dengan Haji Zain. Sebenarnya lebih kepada memperbetulkan bacaan kerana selama ini, dia memang boleh membaca al-Quran pun.

“Jomlah, dah lama ayah aji tak dengar Jeff baca Quran.”

“Baca Quran? Eh, seganlah ayah aji.” Sudah tentu dia segan dengan Sofea. Hajah Aida dan Haikal memang dah selalu dengar dia baca al-Quran pun. Lagipun, dia tak naklah nampak macam sengaja nak menunjuk-nunjuk di depan Sofea pula.

“Nak segan dengan siapa? Macamlah tak biasa...” Terkekeh-kekeh Haji Zain gelak. Faham sangat siapa yang Jeffry maksudkan.

“Kalau dah itu kata ayah aji, Jeff singgahlah sekejap.” Sudahnya Jeffry memberi persetujuan. Tak berapa rela sebenarnya.

Sewaktu dia masuk, cuma ada Sofea yang sedang duduk di atas lantai dalam keadaan membelakangkan dia. Sepertinya gadis itu sedang menulis atau melukis sesuatu di atas meja kopi.

“Tok ayah dah balik?” Sofea sekadar memandang Haji Zain sekilas sebelum menyambung semula lukisannya.

“Dah. Tok ma mana?”

“Tok ma ada dalam bilik, tengah tidurkan Maryam.”

“Fea buat apa tu?” Sambil itu tangan Haji Zain memberi isyarat agar Jeffry duduk di atas sofa.

“Melukis. Dah lama Fea tak melukis, tok ayah. Takut hilang pula skil nanti.” Sambil menjawab begitu, Sofea ketawa.

“Fea lukis gambar apa tu?” Faham sangat Haji Zain dengan minat cucunya itu. Dari kecil lagi Sofea  minat melukis, sehingga terbawa-bawa ke usia dewasa. Sehinggakan kursus yang diambil di universiti juga ada kaitan dengan lukisan.

“Kartun.”

Wah, macam menarik aje! Jeffry memanjangkan lehernya, cuba melihat tetapi tak nampak. Lukisan itu terlindung di sebalik tubuh Sofea.

“Tok ayah, siapa yang selalu azan kat masjid tu?” Mulut bertanya, mata dan tangan tetap pada kertas lukisan.

“Kenapa tiba-tiba Fea tanya?”

“Dari hari tu lagi Fea nak tanya, asyik lupa aje.”

“Sedap ke suara orang yang laungkan azan tu?”

“Serius, sedap sangat suara dia, tok ayah.”

“Fea suka suara dia?”

“Suka gila. Siapalah agaknya orang tu?”

“Fea kenal dia,” jawab tok ayah.

“Fea kenal? Siapa?”

“Ini haa... orangnya ada kat sini.”

“Tok ayah janganlah main-main. Takkan Fea tak kenal suara tok ayah kut? Suara tok ayah tak adalah sedap macam tu.” Sangka Sofea, tok ayah bergurau. Kebetulan, tok ayah memang suka bergurau pun.

“Fea kutuk suara tok ayah?” Gelak sudahnya Haji Zain.

Tanpa suara, Jeffry ikut gelak. Lucu juga Sofea ni. Comel pula tu.

“Mana ada kutuk? Suara tok ayah pun sedap juga. Cumanya suara tok ayah sedap sikit, suara orang tu sedap banyak.” Beria-ia Sofea ketawa. Seronok sangat dapat mengenakan tok ayah.

Kali ini Jeffry sudah tidak mampu mengawal suaranya daripada keluar. Kelakar sangat kenyataan Sofea itu. Selamba badak dia saja mengata Haji Zain.

Eh, suara tawa siapa pula tu? Yang pasti, bukan suara tok ayah. Pantas Sofea berpusing ke belakang. Melihat Jeffry, automatik mata Sofea jadi besar. Masa bila pula mamat ni masuk rumah?

Itulah, ralit sangat melukis sampaikan tak sedar kehadiran lelaki itu. Nasib baik dia sentiasa dalam keadaan bertudung dan menutup aurat. Maklumlah, duduk serumah dengan Haikal, kenalah sentiasa bersedia dan berjaga-jaga.

Jadi, Jeffrylah tukang azan yang memiliki suara merdu itu? Menyesal pula dia tanya tok ayah tadi. Menyesal juga puji lebih-lebih. Jangan Jeffry perasan, sudahlah.

“Sekejap ya Jeff, ayah aji nak ke dapur sekejap.”

Sofea sudah keras di situ. Tak tahu nak bereaksi bagaimana.

“Awak lukis apa tu?” sapa Jeffry.

“Adalah! Sibuk aje nak tau.”

“Bagilah saya tengok.”

“Tak boleh!” Kertas lukisan dari atas meja segera diambil lalu dirapatkan ke dada. Tidak mahu Jeffry nampak apa yang sedang dilukis.

“Kenapa tak boleh? Tengok aje kut.”

“Saya tak suka orang tengok lukisan saya. Lebih-lebih lagi orang yang sombong dan mulut tak ada insurans macam awak!”

Tengok tu! Tak habis-habis nak kata dia sombong. Geram pula Jeffry rasa. Tapi, memandangkan dia kini berada di rumah orang, biarlah dia mengalah saja. Tak usah dilayankan sangat tohmahan cucu Haji Zain ni.

“Jeff, jom pergi sana.” Haji Zain yang baru muncul dari dapur  menuding ke satu ruang kosong di sebelah ruang tamu. Ada satu rak empat tingkat yang dipenuhi al-Quran dan juga kitab-kitab. Kalau tidak berada di masjid atau ladang lembu, di situlah selalunya Haji Zain menghabiskan masanya. Berjam-jam menelaah kitab-kitab dan membaca al-Quran.

Sebuah al-Quran dari atas rak, Jeffry capai, juga sebuah rehal. Sambil membetulkan silanya, Jeffry meletakkan al-Quran tersebut di atas rehal betul-betul di hadapannya.

Ikutkan tadi, Sofea mahu terus masuk ke bilik, tetapi hatinya memaksa agar dia terus tunggu di situ. Dia teringin sangat nak dengar Jeffry mengaji. Kalau dah azannya sesedap itu, tentulah bacaan al-Qurannya lebih merdu lagi.

“Baca, Jeff.” Haji Zain mengarah.

Surah Nuh yang Jeffry pilih. Sepertimana merdunya suara Jeffry mengalunkan azan, begitu jugalah ketika dia menyampaikan bacaan al-Quran.

Ternyata bacaan Jeffry itu berjaya mengikat Sofea untuk terus berada di situ. Walaupun sedikit jauh, dia dapat mendengar suara Jeffry dengan jelas.

Masya Allah, sedapnya suara dia. Lebih penting, bacaannya baik dan teratur. Tak sangka lelaki bermulut menyakitkan hati macam Jeffry memiliki suara dan bacaan yang begitu mempesona.

 Baru sahaja Jeffry menamatkan bacaannya, Haji Zain menyeru nama Sofea pula.

“Tok ayah panggil Fea ke?” Sofea yang baru bercadang mahu bangun daripada duduknya, mengalihkan pandangan ke arah tok ayah.

“Ya, sinilah.”

“Kenapa nak kena ke sana pula?” Sofea sudah mula rasa tak sedap hati. Jangan jangan tok ayah nak suruh dia baca Quran. Hisy, tak naklah dia baca kat depan Jeffry!

“Dah lama tok ayah tak dengar Fea mengaji Quran. Entah boleh baca lagi ke tidak tu.”

Ya Allah, tergamak tok ayah cakap macam tu? Kat depan Jeffry pula tu! Memanglah bacaan dia tak bagus sangat, tapi dia masih boleh membaca, okey? Sejak sekolah rendah lagi dia dah khatam Quran.

Tapi itulah, dia dah jarang-jarang baca Quran sekarang. Seminggu sekali pun payah. Nak kata sibuk, tak juga. Kalau program masakan di TV, dia boleh hadap berjam-jam, begitu juga dengan aktiviti memasak, belum lagi masa yang dihabiskan untuk membelek telefon... mustahil dia tak boleh luangkan sedikit masa untuk baca Quran kan?

Sebenarnya, semua bergantung pada diri sendiri. Selalu orang sebut, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dan dia mengaku kemahuannya dalam membaca al-Quran dan lain-lain amalan, kurang atau tiada. Bila kurang atau tiada kemahuan, sudah tentu dia tidak cuba untuk mencari jalannya.

“Mari sini, biar tok ayah periksa bacaan Fea.”

Kali terakhir Haji Zain mendengar bacaan Sofea adalah sewaktu gadis itu masih di bangku sekolah menengah. Sejak itu, dia tidak pernah mendengarnya lagi. Tapi dia yakin, Sofea masih boleh membaca al-Quran dengan baik.

“Lain kali la tok ayah, Fea nak masuk tidur. Mengantuk dah ni.”

Dan-dan mengantuk! Jeffry tersenyum seraya menggeleng. Tentu gadis itu segan dengan dia.

“Tok ayah tau Fea belum mengantuk lagi tu.”

Bibir Sofea memuncung. Geram dengan tok ayah. Macamlah dah tak ada masa lain. Nak juga suruh dia baca sekarang. Menyesal pula dia tunggu. Kalau tahu, lebih baik dia cepat-cepat masuk bilik tadi.

“Fea dah tak ada wuduk.” Sofea beralasan lagi. Memang taklah dia nak baca kat depan Jeffry. Dahlah bacaan dia tak bagus sangat. Kalaulah suara dia sesedap Jeffry, tak payah tok ayah suruh. Awal-awal lagi dia dah memperdengarkan bacaannya kepada lelaki itu. Biar Jeffry tahu betapa hebatnya dia.

Astaghfirullahaladzim, apa aku mengarut ni? Patutlah Allah tak bagi dia kelebihan seperti Jeffry itu. Belum apa-apa lagi dah nak riak.

“Air banyak kat rumah kita ni, Fea. Pergi ambil wuduk sekejap. Tok ayah tunggu.”

“Kena baca sekarang juga ke tok ayah?”

“Ya, sekaranglah. Takkan nak tunggu raya haji tahun depan pula.”

Gurauan Haji Zain itu segera mengundang tawa Jeffry.

Sofea jegil mata. Sukalah tu, tok ayah perli dia macam tu!

“Cepat, Fea...”

Dengan rasa berat hati, Sofea berdiri. Namun dia tidak terus beredar. Matanya mencari wajah Jeffry terlebih dahulu.

“Awak tu dah habis baca kan?”

“Dah...” Teragak-agak Jeffry menjawab. Tak sangka akan disoal begitu.

“Dah tu, tunggu apa lagi? Baliklah!” Lepas sebut macam tu, buru-buru dia ke bilik air. Kalau dia tunggu di situ, harus kena ceramah dengan tok ayah.

“Kita kena raikan tetamu yang datang. Kena layan dengan baik. Muka kena sentiasa manis. Kalau ada apa-apa makanan kat dapur, hidangkan bagi tetamu makan. Allah suka rumah yang sentiasa didatangi tetamu. Kena ingat, tetamu yang datang itu membawa rahmat ke rumah kita.” Barangkali itulah yang tok ayah akan cakap. Tapi setakat Jeffry, tak payahlah nak layan baik sangat.

“Budak Sofea ni la.” Tok ayah geleng kepala.

“Maafkan Sofea, ya Jeff? Dia memang nakal sikit.”

Jeffry hanya ketawa. Nasib baik depan Haji Zain, kalau tidak, memang dia dah balas. Jangan harap dia nak ikut cakap Sofea. Kalau gadis itu boleh dengar bacaan dia tadi, dia pun teringin juga nak dengar bacaan Sofea.

Tapi dia yakin, cucu Haji Zain haruslah mempunyai suara dan bacaan yang baik juga. Kuah, kalau tidak ke nasi, ke mana lagi tumpahnya? Betul tak?

Lima minit kemudian, Sofea datang. Mengambil sebuah al-Quran dan rehal, dia mengambil tempat di sebelah Haji Zain, setentang dengan Jeffry.

Quran tidak dibuka, sebaliknya Sofea membawa matanya pandang Jeffry lagi. Terus terang, dia memang tak sanggup nak baca kat depan lelaki itu.

“Bacalah Fea...” gesa Haji Zain lembut.

“Fea baca merangkak-rangkak. Lagipun, bacaan Fea tak betul sangat.” Sofea tambah alasan.

"Tak apa kalau merangkak pun, tak ada masalah. Kalau bacaan Fea tak betul, tok ayah atau Jeff boleh tolong betulkan. Benda boleh belajar kan? Nabi ada sebut, sebaik-baik manusia adalah orang yang belajar al-Quran dan orang yang mengajarkannya.Tak kiralah siapa pun kita, Fea... sebagai seorang Islam kita wajib belajar Quran. Biar susah di dunia, jangan susah nak menjawab kat depan Allah nanti. Tok ayah pernah cakap kat Fea dulu, takkan dah lupa?”  

Sikit saja Sofea cakap, tapi tok ayah balas panjang berjela-jela. Macam bagi ceramah pun ada. Tapi apa nak hairan, tok ayah kan selalu dijemput beri ceramah pun.

“Fea tak nak baca depan dia. Fea tak nak dia dengar.” Sofea menjeling masam. Bibir dimuncungkan ke arah Jeffry.

“Biarlah Jeff dengar. Apa salahnya?”

Hisy, mengada-ngadanya tok ayah ni! Tapi kan, Jeffry tu lagilah mengada-ngada. Dah tahu dia tak suka, masih juga nak tunggu kat sini. Eii, bencinya!

Tahu tak surah apa Sofea pilih? Surah al-Kautsar. Sudahlah surahnya pendek, dibaca pula dengan laju dan suara yang sangat perlahan.

“Okey, sudah.” Belum sempat Haji Zain berkata apa-apa lagi, Sofea sudah bangun dan beredar dari situ. Quran dan rehal dibiarkan sahaja, tidak disimpannya semula.

“Tadi cakap baca merangkak-rangkak. Ini bukan merangkak lagi dah, memecut terus ni.”

Omelan Haji Zain itu buat Jeffry ketawa lagi. Memang lucu betul Sofea tu. Tak bolehlah kalau tak ketawa.

No comments: