Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 2

 


M

ELIHAT senyuman Harris yang terlajak manis itu, Sofea jadi jatuh cinta lagi. Hanya kerana senyuman itu juga, segala rasa sangsi, curiga, ragu, waswas yang bersarang dalam dada sejak dua minggu lalu segera berlalu pergi.

Kalau boleh, dia nak pandang muka Harris saja. Kalau bolehlah, sebabnya bila dah berjumpa depan-depan macam ni, memang tak bolehlah nak tengok muka lelaki itu lama-lama. Dia jadi menggelabah semacam.

Dia, yakni Sofea Hana adalah jenis yang bercakap banyak hanya dalam telefon. Bila dah berhadapan macam ni, lidahnya automatik jadi tak pandai berkata-kata. Walaupun sudah agak lama bercinta, perasaan malu dan segan tetap menebal dalam diri.

Mungkin sebab hanya mereka berdua di situ. Sebenarnya, ini kali pertama mereka keluar tanpa ditemani orang lain. Kebetulan, Fiza ada hal dan Harris juga datang sendirian kerana Zikri kurang sihat.

Kalau bukan kerana hal penting yang Harris ingin sampaikan, mungkin dia tidak berada di sini petang ini. Ini pun dia sudah rasa bersalah kerana dalam tidak sedar, dia sudah ‘membohongi’ mummy dan daddy.

Ya, mummy dan daddy memang jenis sporting dan berfikiran terbuka tetapi dalam urusan percintaan, mereka agak tegas. Banyak peraturan yang dia kena ikut. Salah satunya, apa yang sedang dia buat inilah. Tidak dibenarkan keluar berdua-duaan dengan teman lelaki.

“Apa yang penting sangat abang nak jumpa Hana?” Semasa bertanyakan soalan tu, mata Sofea hanya pandang mamak yang sedang menebar roti canai. Tapi dia sedar, mata Harris bersama senyuman dia yang manis terlampau itu sedang merenung muka dia.

“Rindu.”

Hanya itu yang Harris jawab, tapi sudah cukup buat muka Sofea rasa hangat. Macam nak terbakar kedua-dua belah pipinya. Mata masih tidak lari daripada si penebar roti canai di hadapan sana.

Harris turut menoleh ke arah yang sama.

“Muka mamak tu lebih lawa dari muka abang ke?”

“Mana ada!”

“Dah tu, Hana asyik pandang dia aje dari tadi?”

Sebenarnya hanya Harris seorang yang panggil dia Hana. Konon kata Harris, sebab Sofea Hana itu tersangat istimewa di hatinya, jadinya panggilan kenalah istimewa juga dan berbeza daripada orang lain.

“Cemburu ke?” Sofea mengusik. Sempat dia melirik pandang muka Harris sekejap.

“Mestilah cemburu. Rasa nak tumbuk aje muka mamat tu. Biar jadi leper macam roti canai yang dia tengah tebar tu.”

Sofea gelak. Suka sebenarnya Harris cakap macam tu. Yalah, cemburu tu kan tanda sayang. Semua orang tahu.

“Hana tau tak kenapa semakin hari, abang semakin sayang dekat Hana?”

“Kenapa?”

“Sebab Hana baik, lemah lembut, bersopan...”

Baik, lembut, bersopan santun? Kalaulah Harris tahu sejarah lampau dia, haruslah persepsi lelaki itu akan berubah terhadap dia. Tahu tak, masa zaman sekolah dulu, dia sangat terkenal sebagai kaki buli, kaki ponteng sekolah, kaki melawan.

Ketika itu, dia banyak menyusahkan mummy dan daddy. Mana taknya, hampir setiap bulan mereka berdua dipanggil ke sekolah kerana kesalahan yang dia lakukan. Percaya tak, dia pernah didenda mencuci tandas sekolah gara-gara ponteng kerana pergi menonton wayang?

Tapi itu dulu. Bila meningkat dewasa, sikapnya turut berubah. Alhamdulillah, dia bukan lagi Sofea Hana yang terlajak nakal itu.

“Jujur abang cakap, abang dah tak sabar nak ambil Hana jadi isteri abang. Abang nak habiskan hari-hari abang bersama Hana, bersama anak-anak kita, sampai abang tutup mata.”

Sofea yang menunduk, perlahan-lahan angkat muka. Kali ini, dia memberanikan diri memandang wajah Harris. Ketika itu, apa yang dia nampak adalah seraut wajah yang sedang berbahagia. Mata Harris tampak bercahaya dan senyuman yang terpamer di bibir itu kelihatan sangat tulus dan ikhlas.

“Sayang, pejam mata.”

“Kenapa nak kena pejam pula?”

“Pejam ajelah.”

Sofea menurut. Hampir seminit juga mata dia dalam keadaan terpejam begitu.

“Sekarang dah boleh buka.”

Sebaik mata dibuka, yang mula-mula Sofea nampak adalah sebuah kotak kecil yang sudah terbuka. Sebentuk cincin bermata satu bertenggek cantik di dalam kotak itu.

 Tanpa sedar, air mata Sofea tumpah perlahan ke pipi. Kalau benarlah lelaki itu mahu menghalalkan hubungan mereka, dia rasa sangat terharu. Kebelakangan ini, dia asyik mempersoalkan keikhlasan Harris. Ternyata, tanggapannya tersasar. Sudah terbukti, Harris benar-benar ikhlas.

“Sayang suka?”

Mestilah suka. Lagi nak tanya!

“Suka.” Perlahan dia menjawab.

“Kesat air mata tu. Malulah orang tengok.” Tisu dari dalam kotak berhampiran dicapai, lalu dihulurkan kepada Sofea.

“Hana.” Lembut suara Harris kali ini.

“Apa?”

Harris tidak terus membalas. Dia sekadar menyedekahkan senyumannya lagi.

“Abang nak cakap apa?” Lambat sangat Harris ni, Sofea jadi kurang sabar.

“Hana sudi kahwin dengan abang?”

Hisy... soalan apa ni? Tak ada ke soalan yang lebih mengarut daripada ini? Kalau dia tak sudi, tak adanya dia nak buang masa hampir dua tahun menunggu Harris.

Laju Sofea mengangguk. Bukan sekali, malah berkali-kali. Dan air mata yang keluar, sama laju dengan anggukannya.

Meletus tawa Harris. Lucu dengan reaksi si buah hati.

“Terlebih sudi dah tu.” Harris mengusik.

Sofea membalas dengan tawanya juga. Sudah pasti tawa gembira.

“Pakailah cincin tu.”

“Nanti-nantilah Hana pakai.” Kalau boleh, biarlah dia memakainya selepas mummy dan daddy tahu tentang hasrat hati Harris. Selagi mummy dan daddy belum tahu, selagi itulah cincin ini tidak akan tersarung di jarinya.

“Kalau macam tu, Hana simpan dululah.”

Akur, Sofea menyimpan bekas cincin itu ke dalam beg tangannya. Tapi sebelum itu, sempat dia membelek cincin itu.

“Insya-Allah, bulan depan pihak rombongan abang akan ke rumah Hana jumpa daddy dan mummy Hana, bincang tentang perkahwinan kita. Tak payahlah bertunang, kita kahwin aje terus. Kalau boleh, abang nak kita kahwin dalam masa tiga bulan lagi.”

Tiga bulan lagi? Secepat itukah dia akan bergelar isteri Harris? Alhamdulillah, syukur pada-Mu, ya Allah. Terima kasih banyak-banyak. Sesungguhnya, Kau mendengar doaku.

Tapi apa-apa pun, dia perlu berbincang dengan daddy dan mummy dahulu. Dengar apa kata mereka. Ikutkan, memang dia setuju dengan rancangan Harris itu, tapi pandangan daddy dan mummy lebih penting untuk dia turuti. Sayang macam mana sekalipun dia pada Harris, dia tidak akan sesekali membelakangkan kedua-dua orang tuanya.

“Abang, jom balik. Dah lewat ni.” Sudah setengah jam mereka di situ. Walaupun belum puas bersama lelaki itu, dia terpaksa balik sekarang. Nanti risau pula mummy di rumah.

“Bawa kereta elok-elok. Ingat, abang sayang Hana tau? Sayang sangat-sangat.” Saat Harris menyebut begitu, Sofea sudah pun berada di dalam perut kereta. Tingkap kereta memang sengaja dibuka.

Senyuman Harris dibalas senyuman juga oleh Sofea. Dan dia yakin sekali, senyuman lelaki itu akan terus menemaninya sepanjang malam nanti.

“Hana tak nak cakap apa-apa ke?”

“Cakap apa?”

“Cakaplah apa saja yang boleh abang bawa dalam tidur abang malam ni.”

“Hana sayang abang!” Laju-laju dia menyebut. Segera cermin keretanya dinaikkan. Maluuuu!

Di sebalik cermin tingkap, dia nampak Harris ketawa dan dalam perut Honda BRV, dia ikut ketawa sama.

Betul abang, Hana memang betul-betul sayangkan abang. Hanya abang seorang.

 

MALAM itu Sofea buat panggilan video ke kampung. Maklumlah, sudah lebih seminggu dia tidak menghubungi tok ma tersayang. Bermakna, sudah lebih seminggu juga dia tidak ‘bertemu’ Maryam yang comel itu.

“Maryam, pandanglah sini. Nak pergi mana tu?” jerit Sofea apabila Maryam cuba melepaskan diri daripada pegangan tok ma.

“Dia nampak tok ayahlah tu.” Sudahnya, Hajah Aida hanya memerhatikan Maryam yang merangkak ke arah suaminya.

“Makin lasak pula dia kan, tok ma?” Dalam tempoh sepuluh minit mereka dalam talian, Maryam tidak duduk diam. Sekejap saja dengan tok ma, lepas tu Maryam akan meronta-ronta minta dilepaskan.

“Tak nampak ke tok ma makin ramping ni? Asyik mengejar dia aje. Itu belum pandai berjalan lagi, dah boleh berjalan esok, lagilah susah nak kawal.”

“Ya ke makin ramping? Kenapa Fea nampak tok ma makin montel aje?” Terkekeh-kekeh Sofea ketawa apabila tok ma menjegilkan matanya.

“Bila Fea nak balik? Tok ma rindu Fea la.”

“Ni dah nampak Fea, takkan rindu lagi?”

“Tak sama, sayang. Tengok macam ni tak boleh pegang, tak boleh peluk. Setakat tengok aje.”

“Tunggu rayalah tok ma.”

“Raya tahun depan... lambat lagi, Fea. Raya baru-baru ni dahlah semua tak balik.”

Dengar suara tok ma yang seperti sedang merajuk itu, terus Sofea jadi tak sedap hati. Memang patut pun tok ma merajuk, sudah lama sangat dia tidak menjenguk kampung. Baru-baru ini  memang dia berniat nak ikut mummy dan daddy balik, tapi keadaan pula tidak mengizinkan.

“Yalah, bukan seronok pun kampung ni. Bukan macam KL sana tu.” Rajuk Hajah Aida bersambung.

“Salah tu, tok ma. Bagi Fea, suasana kampung lagi seronok berbanding kat sini. Kat kampung ada pantai, ada bukit, ada lembu tok ayah, ada...”

“Tapi kat sini tak ada Harris. Tu yang sayang sangat nak tinggalkan KL kan?” Hajah Aida memotong ayat Sofea yang belum habis. Dia masih tidak lupa cerita Sofea tentang buah hatinya yang bernama Harris itu.

“Mana ada macam tu, tok ma? Walaupun  bercinta, kita orang jarang jumpa.” Memang dia bercakap perkara yang benar. Selama bercinta, boleh dikira dengan jari berapa kali sahaja dia dan Harris keluar bersama. Selebihnya, mereka hanya berbual di telefon atau bertukar-tukar mesej.

“Tak hairan pun tok ma dengan Harris tu.” Hajah Aida mencebik.

“Eh, eh, tok ma ni...” Nampak sangat tok ma tak sukakan Harris. Tapi dia tak ambil hati pun. Yalah, tok ma tak pernah jumpa Harris lagi. Kalau dah jumpa nanti, tentu melambung pujian tok ma untuk bakal cucu menantunya itu.

“Kat sini lagi seronok sebab ada J...” Hanya satu huruf itu yang sempat Hajah Aida sebut. Spontan dia menepuk-nepuk mulutnya sendiri.

Lagi sekali Sofea gelak. Comel sangat reaksi tok ma tu.

“J? Apa tu? Jambu? Jagung? Jalan raya? Kat sini pun ada semua tu, tok ma.” Sofea berlucu.

“J untuk jiran. Ya, kat sini ada jiran.” Dengan yakin sekali Hajah Aida menyebut.

“Kat sini pun ada jiran tok ma, berbagai bangsa lagi. Satu Malaysia, tau? Kat kampung tak ada kan?”

“Tak sama. Ini jiran baru. Jumpa dulu baru tau.”

“Wah, tok ma... ni yang buat Fea rasa teruja ni.” Sengaja Sofea cakap macam tu. Nak ambil hati tok ma. Kalau setakat jiran, rasanya tak adalah seronok sangat pun.

“Nanti balik tau? Ajak Irfan sekali.”

“Nanti-nanti Fea baliklah. Cuma Fea tak janji bila.”

“Suka hati Fealah.”

“Janganlah merajuk, tok ma. Tak cantik dah tok ma Fea ni.”

“Pandailah Fea tu...”


 

No comments: