Wednesday, June 23, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 19


R

IUH rendah dapur rumah Puan Rahayu dengan suara jiran tetangga. Masing-masing sibuk dengan kerja merewang. Ada yang mengupas bawang merah, ada yang potong ubi kentang, ada yang menggunting cili kering. Pendek kata, semua dengan tugas masing-masing. Sofea sendiri sibuk memotong lobak merah.

Di luar rumah, kaum lelaki sibuk membersihkan ayam di bawah khemah. Haikal dan tok ayah juga ada di luar sana. Tapi Jeffrylah yang paling sibuk sekali. Maklumlah, dia kan tuan rumah. Sejak balik dari pasar tadi, lelaki itu langsung tidak duduk diam. Macam-macam yang dilakukan. Angkat periuk, besen, kuali, basuh ayam. Belum bab melayan pak cik-pak cik makan dan minum lagi.

Dari situ Sofea mula sedar yang Jeffry adalah seorang yang ringan tulang dan boleh diharap. Jeffry juga pandai melayan dan menghormati orang tua. Kagum bila melihat cara Jeffry bercakap dengan orang tua-tua. Bukan main tertib dan bersopan lagi. Berbeza benar bila Jeffry bercakap dengan dia. Kasar dan sangat menyakitkan hati.

Tapi itu sebelum inilah. Sejak mereka sepakat untuk berkawan pagi tadi, sikap Jeffry berubah 180 darjah. Rasa macam bukan Jeffry pula yang bercakap dengan dia.

Dalam ramai-ramai yang terlibat dengan kerja merewang ini, Sofea hanya kenal Puan Kalsom, yakni emak Haikal serta anak-anaknya Hawa dan Husna. Yang lain-lain, memang dia tak kenal langsung. Kira bagus jugalah aktiviti macam ni. Dapat juga dia kenal dengan penduduk kampung.

“Ayu, aku nak tanya kau sikit ni.”

“Tanyalah Som.” Puan Rahayu yang sedang mendukung dan mengagah Maryam alih pandangannya pada Puan Kalsom.

“Masa pindah rumah hari tu kau dah buat majlis doa selamat, kali ni majlis tahlil. Majlis kahwin bila pula?”

Berubah terus muka Puan Rahayu. Mungkin tak sangka dengan soalan yang tidak semena-mena itu.

“Maksud Som, majlis kahwin siapa?”

“Laa, aku tanya kau, kau tanya aku balik apa hal? Majlis kahwin anak kaulah! Takkan aku tanya bagi pihak anak Cikgu Nor pula. Tak gitu, cikgu?”

Cikgu Norliah tidak beri respons pun. Malas nak masuk campur. Bukan dia tak tahu mulut Puan Kalsom tu. Sudahnya nanti, dia pula yang terbabit.

“Insya-Allah tak lama lagi.”

Nisha segera pandang Puan Rahayu. Ibu cakap apa ni? Siapa pula yang nak kahwin? Jeffry, memang taklah. Dia sendiri, memang jauh panggang dari api.

“Oh, tak lama lagi ke? Kenduri anak kau yang mana? Nisha ke Jeffry?”

“Kak Sha kan?” Belum sempat Puan Rahayu atau Nisha menjawab, Hawa dah potong dengan soalan. Harap-harap bukan Jeffrylah, sebab Jeffry hanya layak untuk dia seorang, bukan gadis-gadis lain.

“Jangan menyampuk orang tua bercakap, boleh tak?” Bukan setakat tegur, Puan Kalsom siap jegil mata pada Hawa.

Bibir Hawa memuncung. Hisy... mak ni, tanya macam tu pun tak boleh!

“Kau tak jawab lagi soalan aku, Ayu,” kata Puan Kalsom.

“Kenduri tu nanti, kita buat serentak. Nisha dan Jeffry. Senang sekali jalan aje.”

Timun yang sedang dipotong tak semena-mena terlepas daripada tangan Nisha. Bicara ibunya buat dia sangat terkejut. Apa ibu ni? Pasal nikah kahwin pun ibu nak buat main-main ke? Atau ibu memang serius? Manalah tahu, dalam diam ibu sedang buat perancangan. Carikan calon untuk dia dan Jeffry sekali. Kalaulah Jeffry dengar ni, mesti marah adiknya tu.

Sofea pandang Puan Rahayu, kemudian pandangannya beralih kepada Nisha yang duduk di sebelahnya. Selama kenal dia orang, tak pernah pula dia tahu pasal ni. Tok ma pun tak pernah cakap apa-apa.

“Abang Jeffry nak kahwin dengan siapa, mak cik?” Laju Hawa bertanya. Mukanya nampak kecewa sungguh. Kalau benarlah Jeffry sudah mahu berkahwin, tidak mustahil malam-malam dia nanti hanya akan bertemankan air mata.

“Dengan bakal isteri dia la...” Puan Rahayu ketawa.

“Siapa?” Riak wajah Hawa dah sayu semacam. Macam nak menangis pun ada.

“Yang kau sibuk sangat nak tau ni kenapa, Hawa? Kau ingat, Jeffry tu nak kahwin dengan kau?” Lagi sekali Puan Kalsom menjegilkan mata pada Hawa. Dia memang cukup meluat dengan anak-anak dara gedik ni. Tak kiralah anak orang atau anak sendiri. Kalau ya pun tergila-gilakan anak teruna Rahayu tu, janganlah tunjuk sangat.

Sofea pandang Hawa dengan rasa simpati. Kasihan betul gadis itu. Kalau dialah di tempat Hawa, jangan harap dia tunggu lagi. Sekarang juga dia pergi dari sini. Melampau sangat mulut Puan Kalsom tu. Tergamak memalukan anak sendiri sampai macam tu sekali? Depan ramai orang pula tu.

Hawa membalas jelingan Puan Kalsom dengan jelingan juga. Geram dengan emak. Tapi apa nak hairan, memang macam tulah mulut emak kalau bercakap. Dia dah lali, dah kalis malu.

“Tak adalah, Som. Lambat lagi kenduri kahwinnya. Gurau aje tadi tu.” Puan Rahayu ketawa apabila melihat Nisha yang sudah membulatkan matanya.

Hawa senyum sampai telinga. Rasa lega sangat dengan pengakuan Puan Rahayu itu. Bermakna dia masih ada peluang untuk bergelar isteri Jeffry.

“Aku tanya betul-betul, main-main pulak kau ni, Ayu,” marah Puan Kalsom.

“Asyik tanya kita orang aje, anak-anak Mak Cik Som tu bila nak kahwin?” Nisha memberanikan diri menyoal. Yalah, setiap kali datang ke rumah atau jumpa di mana-mana, balik-balik soalan itu juga yang ditanya. Naik menyampah pula dia dengar.

Berubah terus air muka Puan Kalsom. Tak sangka Nisha berani menyoalnya begitu.

“Eh, anak aku Hawa ni baru 24. Muda lagi. Husna tu pulak, baru 22. Kau tu dah 28. Memang dah patut kahwin pun.” Panjang bibir Puan Kalsom menjuih.

Panas betul hati Nisha mendengar jawapan pedas Puan Kalsom itu. Susah kan kalau bercakap dengan orang yang sengaja tak nak faham ni? Serius, dia cukup tak faham dengan orang jenis begini.

“Mak Cik Som... jodoh, ajal maut tu kan urusan Allah. Kalau kita nak kahwin sangat-sangat pun, tapi kalau Allah tak izinkan, tak jadi juga. Semua orang nak kahwin, tapi semuanya berbalik pada jodoh,” balas Nisha selamba.

“Dengar apa Nisha cakap tu, Kak Som. Daripada Kak Som sibukkan Nisha, lebih baik Kak Som carikan jodoh untuk Hawa dan Husna ni ha. Kalau dah masuk umur 20-an, dah tak ada istilah muda lagi. Dah layak kahwin pun. Tak pun, Kak Som suruh Haikal kahwin. Sampai bila nak menduda?” Giliran Cikgu Norliah pula menyampuk. Yalah, asyik sibuk pasal  orang lain. Anak sendiri tak pula dikisahkan.

Husna yang sedang mengupas kulit bawang merah, mencebik. Emak yang buat hal, dia pula yang kena. Tak sukalah!

“Hei, kau jangan sibuk pasal anak-anak akulah, Cikgu Nor. Tahulah aku nak atur hidup dia orang!”

Cikgu Norliah dan beberapa yang lain di situ ketawa. Sebenarnya satu kampung dah masak sangat dengan perangai Puan Kalsom tu. Kalau dia mengata orang, masuk campur urusan orang, tak apa. Tapi bila orang lain cuba masuk campur urusan keluarga dia, tahu pula marah.

“Kau tu bila dah kahwin nanti, kenalah pandai jaga laki, Sha. Jangan jadi macam ibu kau tu, tak pandai jaga laki! Tak pasal-pasal laki cari orang lain.”

Semua yang ada di situ terdiam. Semua pakat pandang Puan Kalsom. Nisha sendiri naik merah padam mukanya kerana terlalu marah. Apa masalah Puan Kalsom sebenarnya ni? Kenapa suka sangat cari pasal dengan dia dan ibu?

Nisha baru nak menjawab, tapi ayatnya terlebih dahulu dipotong oleh Hawa.

“Jangan sedap sangat mengata orang, mak. Mana tahu esok lusa benda tu berbalik pada mak sendiri. Orang tengok ayah tu pun bukan main melawa lagi sekarang. Entah-entah... ayah pun dah ada perempuan lain jugak.”

“Kurang ajar kau Hawa!!!” Kuat Puan Kalsom bertempik. Tak cukup dengan menjerit, belakang Hawa ditamparnya dengan kuat.

“Sakitlah mak!” Hawa ikut menjerit.

“Padan muka kau! Lain kali kurang ajar lagi dengan aku!”

“Som buat apa ni? Tak malu ke orang lain tengok?” Hajah Aida yang kebetulan baru masuk ke ruang itu menegur. Setiap kali ada majlis yang melibatkan Puan Kalsom, pasti akan berlaku kekecohan macam ni. Tak tahulah sampai bila perangai Kalsom tu nak berubah. Suka sangat cari pasal dengan orang.

“Dahlah! Mari kita balik, Hawa, Husna! Duduk sini lama-lama pun buat sakit hati aje!” Segera Puan Kalsom bangkit daripada duduknya.

Akur, Husna meninggalkan kerja yang sedang dibuat lalu bangun dan berjalan ke arah pintu rumah. Tapi Hawa tetap tak berganjak dari tempat dia sedang duduk.

“Hawa, balik!” gesa Puan Kalsom lagi.

“Mak baliklah dulu. Orang nak tolong Mak Cik Ayu buat kerja.” Tanpa berganjak, Hawa hanya pandang wajah ibunya.

“Kau jangan nak lawan cakap aku, Hawa. Aku kata balik, kau balik!”

“Tak nak!”

“Degil kau, kan?” Baru dia nak tarik lengan Hawa, tapi suara Hajah Aida membantutkan  hasratnya.

“Som, biarlah Hawa kat sini. Som nak balik, Som balik dulu.” Lembut dia bersuara. Selalunya kalau dengan dia, Kalsom akan mengalah.

Dengan muncung yang panjang, Puan Kalsom melangkah keluar dari ruang dapur rumah Puan Rahayu. Tapi sebelum itu, sempat dia menghantar jelingan tajam ke arah Hawa. Siaplah kau balik karang!

 

 

MAJLIS rewang di rumah Puan Rahayu sudah pun selesai. Hanya tunggu majlis tahlil malam nanti.

Pada mulanya, Hawa mahu terus menunggu di rumah Puan Rahayu sehinggalah majlis berakhir malam ini. Inilah peluangnya untuk kenal lebih dekat dengan bakal ibu mertua dan kakak iparnya. Kata orang, kalau nak anaknya, kenalah pikat hati keluarga dia dulu, kan?

Tapi Abang Haikal pula kacau daun. Sibuk suruh dia balik. Walaupun tak setuju, dia terpaksa akur. Ingatkan Abang Haikal nak terus hantar dia balik, rupa-rupanya kena tunggu Abang Haikal balik dari masjid dulu. Sementara itu, Abang Haikal minta dia ke rumah Hajah Aida terlebih dahulu.

Ikutkan, dia tak suka ke rumah Hajah Aida. Lebih-lebih lagi sejak ada Sofea. Memang Sofea tak pernah kacau hidup dia, tapi masalahnya Sofea dah kacau jodoh dia, yakni Jeffry.

Bukan main mesra lagi dia nampak Sofea dan Jeffry semasa balik dari pasar pagi tadi. Berbulu saja mata dia tengok. Kalau ikutkan rasa marah, memang dia dah ganyang Sofea tu.

“Hawa nak solat ke? Kalau nak solat, masuklah bilik saya. Telekung ada kat atas katil.”

Hawa yang sedang bersandar di sofa sambil menghadap telefon, angkat muka pandang Sofea yang sedang berdiri tercegat di hadapannya.

“Tak.” Sepatah saja dia menjawab.

“Tak? Awak cuti ke?”

“Err... a’ah cuti.”

“Ooo... cuti. Duduklah dulu, saya nak ke dapur sekejap.”

Belum sempat Sofea melangkah ke dapur, Hawa menyeru namanya.

“Ada apa?”

“Tunggu sekejap. Aku ada benda nak tanya kau.”

Wajah Hawa yang kelat itu dipandang sebentar sebelum Sofea mengangguk dan duduk di atas sofa tunggal.

Entah apa yang Hawa nak tanyakan, memang dia tak boleh agak. Sebab selama di sini, baru beberapa kali dia jumpa Hawa. Dia tak rasa pun yang dia ada urusan dengan gadis itu. Tapi tak apa, dengar ajelah dulu apa yang bakal keluar daripada mulut gadis itu.

“Nak tanya apa?”

“Kau syok dekat Jeffry, eh?”

Sofea tayang muka terkejut. Sungguh, memang dia terkejut. Mentang-mentang nampak dia balik dari pasar dengan Jeffry tadi, terus nak tuduh dia macam tu. Senangnya si Hawa ni buat kesimpulan.

“Eh, tak adalah!”

“Elehh... tak mengaku. Pagi tadi tu apa? Bukan main lagi kau dengan dia tersenyum-senyum, tersengih-sengih.”

“Mengarut apa ni? Hisy, tak ada masa la nak layan.” Pantas Sofea bangun daripada sofa. Malas nak melayan benda-benda tak mendatangkan faedah macam tu. Lebih baik dia ke dapur tolong tok ma.

“Sofea, kau tunggu dulu! Aku tak habis cakap lagi.” Hawa turut bangun.

“Nak cakap apa lagi?” Sejujurnya, Sofea tak suka cari gaduh dan bermusuhan dengan sesiapa pun. Dahlah Hawa tu adik Haikal. Nanti kalau jadi apa-apa, pasti Haikal akan terbabit sama.

“Mulai sekarang, kau jangan cuba-cuba nak rapat dengan Jeffry. Dia hak aku tau?”

Spontan Sofea ketawa. Lucu sungguh dengan kenyataan Hawa itu.

“Bila masa pulak Jeffry jadi hak kau? Dia tu kan anak Mak Cik Ayu, hak Mak Cik Ayulah! Mak dia tak cakap apa-apa, kau pula yang lebih-lebih.”

Kan dah kena dengan dia. Itulah, lain kali kalau bercakap guna akal, bukannya ikut perasaan marah dan sakit hati tu.

Kali ini Sofea tak tunggu lagi. Risau perang mulut akan jadi perang tarik rambut dan tarik tudung pula. Jangan buat main, skil dia semasa di sekolah dulu masih tajam lagi, tau? Nanti tak pasal-pasal, cedera pula anak Mak Cik Kalsom tu.

“Hei, aku belum habis lagilah!” Hawa menerpa lantas menyambar lengan Sofea.

“Eh, apa tarik-tarik ni?” Lengannya yang berada dalam pegangan Hawa, Sofea sentap.

“Apa hal ni Hawa?” Tiba-tiba terdengar suara Haikal.

Soalan abangnya tidak dijawab, sebaliknya Hawa menjeling Sofea tajam. Nasib baik Abang Haikal cepat sampai, kalau tidak, memang dia dah tampar muka Sofea tu. Berani Sofea cakap begitu dekat dia tadi? Sengaja cari pasal dengan dia. Nampaknya Sofea belum kenal lagi siapa Hawa.

“Hawa jangan cuba nak buat hal kat sini pulak!”  Haikal memberi amaran. Dia tahu, Hawa sengaja cari pasal dengan Sofea.

“Sofea pergi dapur dulu ya, pak su?”

“Yalah.” Sempat Haikal menghadiahkan senyuman pada Sofea.

Meluat pula Hawa dengan abangnya itu. Dengan dia marah-marah, dengan Sofea boleh pulak Abang Haikal senyum.

“Hawa ada masalah apa dengan Sofea?”

“Adalah... abang tak payah tau.”

“Hawa jangan macam-macam ya? Tolong jangan malukan abang.”

“Sofea tu yang macam-macam. Bukan orang!”

Bab menjawab, serahlah dekat dia. Tahu sangat Haikal dengan mulut adiknya itu.

“Sudah, sudah! Jom abang hantar Hawa balik.”

No comments: