Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 18

 

M

ALAM Jumaat itu, berlangsung majlis tahlil di rumah Puan Rahayu. Sehari sebelum majlis, Nisha mengajak Sofea menemani dia ke pasar. Nak beli barang-barang keperluan sebagai persiapan majlis katanya. Sofea jadi teruja. Maklumlah, selama ini mana dia pernah pergi pasar? Selalunya barang-barang dapur, termasuklah barang-barang basah, mummy dan daddy beli di pasar raya sahaja.

Buat dia lebih teruja, akan ada aktiviti merewang juga nanti. Maklumlah, sudah lama dia tidak terlibat dengan aktiviti sebegitu. Kali terakhir, sewaktu majlis perkahwinan Mak Su Farah dan Pak Su Haikal hampir dua tahun lalu. Lepas tu terus tak ada sebarang majlis sampai sekarang.

“Assalamualaikum Kak Sha!” Seraya berdiri di depan muka pintu yang bertutup, Sofea memberi salam.

“Kak Shaa!”

Baru sempat panggil nama, pintu dibuka dari dalam. Tapi bukan Kak Nisha, sebaliknya Jeffry yang muncul di muka pintu.

“Awalnya awak datang?”

Memang pun awal lagi. Baru pukul 6.45 pagi. Tapi, dah Kak Sha yang pesan supaya mereka pergi awal, dia ikut sajalah.

“Kak Sha ada?”

“Kak Sha tak ada. Saya adalah!” Entah bergurau entahkan serius. Nak kata bergurau, muka Jeffry nampak serius pula.

“Awak nak buat apa? Saya tanya Kak Shalah.”

“Saya ni lagi penting dari Kak Sha, tau?”

Kali ini Sofea tidak jawab, tapi sempatlah dia tayang muka pelik kat depan Jeffry. Yalah, dah Jeffry cakap benda pelik kan?

“Jangan nak fikir bukan-bukan, eh!” Jeffry memberi amaran.

Hisy, Jeffry ni! Dia yang cakap macam tu, lepas tu tak bagi orang fikir bukan-bukan pula. Mengarut betul!

“Maksud penting dalam ayat saya tadi... kalau saya tak ada, awak dengan Kak Sha tak boleh ke pasar, tau? Sebab saya yang akan bawa kereta.”

Laa, pergi dengan Jeffry ke? Kalau dah ada Jeffry, kenapa Kak Sha ajak dia sekali?

“Kalau macam tu, saya baliklah! Tak jadi ikut.”

“Hei, hei, hei! Awak dah janji dengan Kak Sha kan? Ikut ajelah.”

“Kak Sha tak cakap pulak awak ikut sekali.”

“Ada masalah ke kalau saya ikut?”

Malas nak menjawab, Sofea hanya tayang muka ketatnya kepada Jeffry. Masalah memanglah tak ada, tapi dia yang kurang selesa. Sebetulnya, sejak kejadian dia menjerit di pantai tempoh hari, kalau boleh dia dah tak nak jumpa Jeffry lagi.

Malu sebenarnya dengan lelaki itu. Risau pun ada. Manalah tahu, kalau-kalau Jeffry akan mengungkit tentang hal itu lagi. Lebih-lebih lagi di depan orang lain. Kalau boleh, dia tidak mahu orang tahu langsung. Tok ma lainlah, neneknya sendiri. Lebih penting, tok ma sangat memahami cucu dia yang seorang ini.

Lagi satu, dia tak berapa gemar dengan mulut Jeffry yang lebih pedas daripada cili itu. Kalau bercakap, tahunya cuma nak menghangatkan hati orang saja. Cuma kelmarin, semasa Jeffry bantu dia kopek durian, lelaki itu nampak macam okey sikit.

Tapi bila dah hujung-hujung tu, Jeffry kembali buat dia marah. Ada ke patut Jeffry cakap dia jampi air tu? Saja nak bagi orang marah.

“Kalau awak nak tau, saya ni adik merangkap driver Kak Sha. Kakak saya tu, mana berani memandu jauh-jauh? Setakat dalam kampung ni, bolehlah. Harapkan saya ajelah bawa dia ke mana-mana. Jadi, nak pergi ke pasar pagi ni pun, saya jugalah yang kena bawa dia.”

 Sofea tak menjawab. Tidak mahu terus berdiri di muka pintu, dia berjalan ke arah bangku di tepi pagar lantas duduk di situ. Biarlah dia menunggu Kak Sha di situ sahaja. Tapi dia tak sangka pula Jeffry akan mengekorinya dan duduk atas bangku yang sama.

“Tapi kan, awak ni boleh ke pergi pasar? Macam tak percaya aje minah KL nak masuk pasar yang hanyir dan lecak tu.”

Amboi, mulut... lebih-lebih nampak! Pagi-pagi hari lagi dah nak cari pasal dengan dia ke apa ni? Dia nak ikut Kak Sha ke pasar ni dah kira mujur, tau? Lagi nak komen macam-macam.

Automatik Sofea memandang lelaki di sebelah.

“Kalau macam tu, saya tak jadilah ikut pergi pasar. Minah KL macam saya ni mana boleh masuk pasar yang hanyir dan lecak tu kan?” Ayat sindiran Sofea bagi.

Terdiam terus dibuatnya Jeffry. Tak sangka agaknya Sofea nak cakap macam tu.

“Gurau ajelah. Takkan tak boleh?”

Huh, dan-dan bergurau!

Yang Kak Sha pun satu. Kenapa tak keluar-keluar lagi ni? Kata nak pergi pasar cepat, tapi sampai sekarang tak nampak batang hidung lagi.

“Jeff, Fea!”

Kak Nisha yang ditunggu, Puan Rahayu pula yang muncul di muka pintu.

Jeffry bingkas bangun daripada bangku, terus menonong ke arah ibunya. Tiada pilihan, Sofea mengikut. Yalah, nama dia pun Puan Rahayu panggil sekali kan? Kenalah pergi.

“Ada apa ibu?” Jeffry menyoal.

“Kak Sha tak dapat pergi pasar. Dia tak sihat,” beritahu Puan Rahayu.

“Hah, Kak Sha tak sihat? Dia sakit apa pulak, bu?” Laju Jeffry menyoal. Ada sedikit ragu dalam hati. Yalah, sewaktu balik dari masjid sepuluh minit tadi, elok saja dia nampak Kak Sha bersembang dengan ibu. Tak nampak pula macam orang sakit.

“Sakit orang perempuanlah! Jeff mana tau? Nah, ni senarai bahan yang nak kena beli. Balik cepat sikit, tau! Pukul 10.00 orang dah mula datang nak buat kerja.” Dalam senafas saja Puan Rahayu menyebut.

Tak sempat Jeffry dan Sofea nak mencelah, Puan Rahayu cepat-cepat masuk ke rumah semula.

Jeffry dan Sofea saling berpandangan.

“Sakit orang perempuan?” Jeffry termangu. Mengharap jawapan daripada gadis itu.

Period pain la tu.” Mendatar saja Sofea menjawab.

“Ooo... okey, faham.” Jeffry tayang sengih.

“Saya balik dululah.” Sofea mula mengatur langkah ke arah rumah tok ma dan tok ayah.

Jeffry menurut.

“Nak balik? Habis, siapa nak pergi pasar ni?”

Langkah Sofea terhenti serta-merta. Langkah Jeffry juga. Sekali lagi pandangan mata mereka bertemu.

“Awak la!” balas Sofea.

“Takkan saya pergi sorang?”

“Apa salahnya awak pergi sorang?”

“Banyak barang nak kena beli. Tak mampu saya beli sorang.” Jeffry tayang senarai barangan yang ibunya bagi tadi kat depan mata Sofea.

“Bukan urusan saya. Awak fikirlah sendiri.”

“Awak tak kesiankan saya ke?”

“Buat apa nak kesiankan awak? Awak bukan siapa-siapa pun dengan saya. Abang bukan, tunang bukan, suami jauh sekali.”

“Tapi kita boleh jadi kawan, kan?”

“Saya tak nak ada kawan macam awak.”

“Eh, perempuan lain berebut-rebat nak berkawan dengan saya tau? Awak kenapa tak nak pula?”

“Suka hati sayalah! Saya bukan perempuan lain tu semua. Lagipun saya tak nampak apa perlunya saya berkawan dengan awak.”

“Sekarang memanglah awak tak nampak lagi. Akan datang, awak akan tau betapa awak perlukan anak Mak Cik Ayu ni dalam hidup awak.” Senyuman paling menawan Jeffry hadiahkan buat gadis cantik menawan, cucu Hajah Aida dan Haji Zain itu.

“Tak habis-habis nak perasan.” Sofea menjeling tajam. Sedikit pun tidak terkesan dengan pujukan dan senyuman Jeffry itu.

“Okey, abaikan aje kata-kata saya tu. Kita kawan, eh?” Jeffry buat-buat tak nampak pandangan mata Sofea yang dah macam nak kunyah orang tu. Tetap dengan sesi memujuk dia.

“Tak nak!” Tegas suara Sofea.

“Kenapa?”

“Saya tak suka berkawan dengan lelaki, lebih-lebih lagi awak!”

“Sampai hati awak. Teruk sangat ke saya ni? Jahat sangat ke saya ni?” Sedih bunyi suara Jeffry. Matanya tidak lepas daripada memandang wajah Sofea.

“Saya baru kenal awak, mana la saya tau awak tu teruk ke tak, jahat ke tak. Tapi mulut awak tu memang saya menyampah!”

“Kenapa dengan mulut saya?” Spontan tangan dibawa menyentuh bibir.

“Takkan awak tak sedar mulut awak tu macam mana?”

 “Okey saya tau. Mulut saya memang selalu buat awak sakit hati, selalu buat awak marah. Tapi saya janji, mulai sekarang saya akan jaga mulut saya elok-elok. Saya akan cakap benda-benda yang baik aje kat depan awak. Okey, puas hati?”

Sofea tidak menjawab. Hanya matanya yang masih mencerlung tajam muka Jeffry.

“Jadi kawan saya, eh? Boleh la, boleh la...”

Lambat-lambat Sofea mengangguk. Ikutkan, boleh saja dia bersetuju dari awal. Tak ada masalah pun. Terlanjur dah rapat dengan Mak Cik Ayu dan Kak Nisha, apa salahnya dia berkawan dengan Jeffry juga?

Lagipun dia yakin sangat Jeffry tu anak yang baik, lelaki yang baik. Tapi sajalah nak ‘dera’ si Jeffry ni sikit. Lagipun, dia suka juga tengok Jeffry merayu-rayu macam tu.

“Awak setuju?” Ceria suara Jeffry, seceria wajahnya.

“Dengan syarat!”

“Perlu ke ada syarat?”

“Nak jadi kawan saya, tak?”

“Naklah. Okey, okey, apa syaratnya?”

“Tolong rahsiakan hal saya dari semua orang.”

“Hal apa?”

“Takkan tak ingat.”

“Betul, saya tak ingat.”

“Alahh, yang saya menjerit kat pantai tu la.”

“Ooo... hal awak putus cinta dengan Harris yang awak cakap mangkuk ayun tu ke?” Jeffry sengih tayang gigi. Kalau hal yang satu tu, memang dia ingat sangat-sangat.

“Ke awak dah cerita dekat Kak Sha dan ibu awak?”

“Dah.”

“Awaaakkk!”

“Apa?”

“Tak nak kawan dengan awak, tak nak ikut awak pergi pasar.”

“Alahh, saya tipu ajelah.”

“Nasib baik.”

“Awak tak payah risaulah. Saya tak beritahu sesiapa pun. Dan saya janji, hal ni akan saya simpan untuk diri saya aje. Okey, puas hati?”

Sambil tersenyum, Sofea mengangguk. Walaupun tak berkenan dengan mulut Jeffry sebelum ini, dia yakin lelaki itu bercakap benar. Dan dalam diam, dia agak kagum dengan lelaki itu. Tak sangka Jeffry Asyraf sudi menyimpan cerita yang memalukan itu untuk dirinya seorang. Jenis menjaga aib orang rupanya Jeffry ni.

“Okey, jom pergi pasar.”

Tanpa membuang masa, Jeffry dan Sofea segera bergerak ke arah Ford Ranger yang diparkir di luar pagar.

 

“SAYA Jeffry Asyraf Azmi, anak bongsu dari tiga adik-beradik. Satu-satunya lelaki dalam keluarga. Dilahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Lulusan Universiti Malaysia Pahang dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik. Tarikh lahir 15 Jun, umur rahsia.”

Baru lima minit berada dalam perut kereta, Jeffry memperkenalkan dirinya. Nampak kesungguhannya untuk berkawan dengan Sofea.

“Amboi, siap bagi tarikh lahir lagi tu.” Sofea tergelak.

“Sajalah, mana tahu awak nak bagi hadiah masa hari jadi saya nanti.” Jeffry bergurau.

“Tapi tang umur tu, tak payahlah nak rahsia sangat. Saya dah tau umur awak, 27 kan?” Bukan setakat umur, banyak lagi tentang Jeffry yang Puan Rahayu dan Kak Nisha beritahu dia. Tapi selalunya dia buat endah tak endah saja. Sebab dia memang tak berminat dan tak suka sangat nak dengar. Bukannya penting pun Jeffry tu.

“Ibu beritahu awak kan? Kalau bukan ibu, tentu Kak Sha.”

Yalah, dua orang itu saja pun yang selalu bersama Sofea. Dan dua orang kesayangan itu jugalah yang suka bercerita perihal dia kepada gadis itu. Sebenarnya, ibu dan Kak Sha sedang dalam usaha mempromosikan anak bujang ibu ni, yakni Jeffry Asyraf kepada Sofea Hana. Tahu sangat dia dengan niat dua orang itu.

“Dia orang tu memang! Kalau boleh, semua benda pasal saya dia orang nak cerita kat awak.”

“Biarlah. Dia orang bukan cerita benda tak elok pun. Semua yang baik-baik aje yang dia orang sebut.”

“Ya ke? Dia orang cerita apa, hah?” Jeffry jadi teruja pula. Yalah, nak juga tahu perkara baik apa tentang dia yang mereka sebut depan Sofea.

“Entah, lupa dah.”

Jeffry mencebik. Dan-dan lupa!

“Awak dah tau banyak pasal saya. Sekarang, saya nak tau pasal awak pulak.”

“Kisah hidup saya tak menarik pun. Tak payah tau pun tak apa.”

“Saya tak percaya. Saya tahu kisah hidup awak sangat menarik dan pasti akan lebih menarik lagi lepas ni. Tak percaya, tunggulah nanti.”

Hisy, dia pula yang lebih tahu daripada kita. Pandai-pandai aje buat spekulasi dan ramalan macam tu.

“Ceritalah pasal awak, saya nak dengar. Mula-mula, perkenalkan diri awak dulu.”

“Bukan awak dah kenal saya ke?”

“Kita mula balik. Anggap sebelum ni kita tak pernah kenal langsung.”

“Okeylah. Saya Sofea Hana Mohamad Adam. Umur nak masuk 25, anak bongsu daripada dua adik-beradik. Saya lulusan Fakulti Creative Multimedia, MMU.”

“Awak ambik kursus apa?”

“Animation.”

“Oh! Patutlah awak lukis kartun malam tu. Rupa-rupanya awak memang ambil bidang tu. Ingatkan awak setakat conteng-conteng aje. Sebelum ni, awak kerja kat mana?”

“Saya PA di sebuah syarikat IT.”

“Aik, belajar animation tapi kerja sebagai PA?”

“Saya memang minat melukis, buat animasi, games... sebab itulah saya belajar dalam bidang tu. Pada mulanya saya fikir itulah cita-cita saya. Saya nak jadi animator dan sebagainya, tapi semakin lama, saya mula sedar yang ia cuma minat saya, bukan cita-cita saya yang sebenarnya.”

“Apa sebenarnya cita-cita awak?”

“Kalau saya cerita, awak janji jangan gelak tau?”

“Ceritalah, saya tak gelak.”

“Sebenarnya sejak zaman sekolah lagi, cita-cita saya selalu berubah-ubah. Sekejap nak jadi pensyarah, sekejap nak jadi doktor, lain waktu nak jadi peguam pulak. Ada satu masa tu, hati saya melonjak-lonjak nak jadi tentera laut. Paling tak masuk akal, saya pernah bercita-cita nak jadi angkasawan.”

Berasa lucu, Sofea ketawa. Jeffry ikut ketawa. Lupa dengan janjinya tadi. Nasib baiklah Sofea tak marah.

Meneruskan ceritanya lagi, Sofea menjelaskan bahawa minat melukis memang sudah wujud sejak dia kecil lagi. Waktu lapangnya sering diisi dengan melukis. Malah, dia pernah menghasilkan komik juga. Dan komik yang dihasilkan masih tersimpan sampai hari ini.

Cuma untuk tatapan dia seorang kerana dia memang tak suka menunjukkan hasil karyanya kepada orang lain. Harris yang dia pernah sayang sepenuh hati itu pun tak pernah tengok hasil lukisannya. Pernah dia bermasam muka dengan Irfan kerana abangnya itu mencuri tengok hasil kerjanya.

“Pada saya, tak salah kalau awak tunjuk dekat orang karya awak tu. Kenapa nak kena sorok pulak? Sayang bakat yang Allah bagi pada awak.”

“Tak apalah, itu pendapat awak. Saya tetap dengan cara saya.”

“Saya hormati cara awak walaupun saya sebenarnya teringin sangat nak tengok hasil lukisan awak tu. Okey, sekarang saya nak tanya, apa impian awak?”

“Impian saya?”

“Ya... impian awak untuk masa akan datang.”

“Impian saya cuma nak hidup bahagia di samping orang yang saya sayang dan mereka yang sayang saya. Bahagia di dunia, bahagia di akhirat.”

Dari jalan raya, pandangan Jeffry beralih arah kepada Sofea. Bicara gadis itu terdengar sangat tulus, sangat ikhlas dan tanpa sedar, hatinya tersentuh.

“Bahagia di akhirat bermakna menjadi penghuni syurga Allah bila kita dibangkitkan di akhirat kelak, setuju?”

Sofea mengangguk perlahan.

“Saya kagum dengan awak, Sofea. Saya percaya impian awak adalah impian setiap Muslim di atas muka bumi ini termasuklah saya sendiri. Tapi sebelum nak bahagia di akhirat, kenalah ada usaha ke arah itu. Betul tak?”

“Ya betul.” Perlahan suara Sofea.

“Semua orang nak bahagia di akhirat. Semua orang pun nak masuk syurga, Sofea. Tapi tak bolehlah setakat sebut aje. Kita kena sentiasa bermuhasabah diri. Ke mana kita habiskan masa sepanjang hidup atas dunia ni? Dalam sehari, berapa banyak kebaikan yang kita  buat? Kalau al-Quran pun kita tak pernah sentuh, beristighfar pun tak nak, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW pun malas, bersedekah pun tak ada, amalan apa yang boleh kita harapkan untuk Allah reda dengan kehidupan kita? Untuk kita bawa sebagai bekal ke syurga?”

 Hilang sudah suara Sofea. Mungkin Jeffry tiada niat untuk menyindir. Tapi dia sangat terasa dengan bicara lelaki itu. Konon nak masuk syurga, konon nak hidup bahagia di akhirat, tapi malas nak buat amalan.

Sekadar solat lima waktu sehari semalam dan berpuasa di bulan Ramadan, setakat itu saja amalan yang dia ada. Itu pun tak tahulah sama ada Allah terima atau tidak.  

Tiba-tiba Sofea rasa malu dengan Jeffry. Impian bukan main tinggi menggunung, tapi langsung tiada usaha ke arah itu.

“Kenapa tiba-tiba diam ni?”

“Tak ada apa.”

“Awak terasa ke apa yang saya cakap?”

Tetap Sofea memilih diam.

“Kalau awak terasa saya minta maaf. Saya tak maksudkan awak pun, Sofea. Pesanan tu bersifat umum sebenarnya, untuk sesiapa aje... termasuk  diri saya sendiri.”

Pandang Sofea sekilas, Jeffry menghulurkan senyumannya.

 “Kita semua tak lari dari buat salah dan dosa, Sofea. Selagi Allah beri peluang, kita cuba perbaiki mana-mana yang patut. Ubah mana-mana yang perlu.”

Sofea sudah jadi bisu. Kalau sebelum ini dia hanya kenal Jeffry yang sangat menjengkelkan, pagi ini dia nampak sisi Jeffry yang sangat berbeza.

“Sofea.”

“Ya.” 

“Kita kejar impian tu sama-sama ya?”

Pandang Jeffry, Sofea mengangguk.

No comments: