Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 6


S

UDAH lebih dua minggu berlalu sejak kejadian itu. Sejujurnya, Sofea tidak tahu langsung perkembangan lelaki yang bernama Harris Shah itu. Entah hidup, entahkan mati. Biarlah! Malas dia nak ambil peduli. Betul, kalau ikutkan, itu yang dia mahu. Dan itu pun yang sepatutnya dia buat. Melupakan dan membuang terus lelaki itu dari ingatannya. Namun tidak semudah itu. Melupakan Harris Shah sama sukarnya dengan mengingat subjek yang kita tidak pernah belajar di sekolah.

Terus terang, sudah bermacam-macam cara dia lakukan semata-mata untuk melupakan lelaki itu. Keluar membeli-belah bersama Fiza, menonton wayang dengan Irfan, mencuba resipi baru bersama mummy, sembang politik dengan daddy, tetap juga Harris mencelah masuk ke dalam fikirannya.

Secara jujurnya, walaupun dia rasa marah, kecewa dan sakit hati yang amat, rasa sayang buat lelaki itu tetap ada. Susah sungguh nak buang. Tapi tak apa, bersama peredaran masa, pasti rasa sayang dan rindu yang masih bersisa dalam hatinya akan beredar pergi. Dia sangat yakin tentang itu.

“Sia-sia aje aku menangis untuk dia hari tu. Aku rasa macam nak minta ganti rugi sebab dah bazirkan air mata aku. Geramnya!” Sambil membebel, Fiza mencucuk-cucuk ayam dalam pinggannya dengan garpu. Marahkan Harris, ayam yang jadi mangsa.

Itu jugalah yang Sofea rasa. Terlalu banyak air matanya yang disia-siakan hanya untuk lelaki penipu itu. Gembira kena lamar, dia menangis. Dapat tahu Harris kemalangan, dia menangis lagi. Sampai kena marah dengan Encik Ikmal. Tapi paling teruk dia menangis adalah di saat dia sedar yang dia sudah ditipu oleh Harris.

“Kau nak minta ganti rugi dari siapa?” Lucu pula omelan Fiza itu, tapi dalam keadaan sekarang, ketawa  macam dah susah nak keluar daripada mulut Sofea.

“Dengan dialah! Itu pun kalau dia masih hiduplah.” Sinis suara Fiza.

“Harris tu kan, muka punyalah nampak baik, tapi perangai... nauzubillah! Jahat sangat dia buat kau macam tu. Kalau dia ada kat depan aku sekarang, aku simbah muka dia dengan asid.”

Fiza yang baru nak belajar menyukai Harris, kembali membenci lelaki itu. Fiza, kalau tak suka orang, memang nampak sangat. Mulalah dia bercakap yang bukan-bukan.

Sebenarnya, itu juga merupakan salah satu sebab kenapa Sofea jadi sukar melupakan Harris. Setiap kali bertemu Fiza, gadis itu tak pernah gagal menyebut nama Harris. Harris itulah, Harris inilah. Kalau dah nama itu yang disebut berulang kali, macam mana caranya dia mahu mengenyahkan lelaki itu daripada fikirannya?

“Dia bukan jahatlah, Za.”

“Tak jahat kau kata? Eh, dia dah tipu kau hidup-hidup tau? Bujang konon... padahal dah berbini, ada anak lagi!”

“Bila masa dia tipu aku? Dia tak pernah kata dia bujang. Cuma dia tak pernah cakap yang dia dah kahwin. Itu aje.” Ayat bagi menghentikan makian dan cacian Fiza terhadap Harris. Sedangkan dia sendiri berpandangan sama. Harris jahat. Harris melampau buat dia macam tu.

“Sofea Hana buat lawak.” Konon ketawa, tapi muka Fiza bengis semacam. Memang dia sakit hati dengan Harris, tapi dia lebih geram dengan Sofea. Dah kena ‘kencing’ dengan Harris pun masih nak bela lelaki itu. Kalau dialah di tempat Sofea, dia dah berterus terang dengan isteri Harris hari tu, biar wanita itu tahu macam mana teruknya perangai suaminya.

“Mungkin silap aku tak pernah tanya dia. Tapi aku yakin, kalau aku tanya, mesti dia jawab betul-betul.” Jawapan sekadar mahu menyedapkan hati sendiri. Sedangkan dia bersetuju dengan Fiza. Kalaupun dia tidak pernah bertanya, masakan Harris boleh diamkan hal sepenting itu? Sepatutnya dari awal lagi Harris memaklumkan statusnya.

“Ya ke? Aku tak rasa dia akan berterus terang.” Benci benar Fiza sampai terjuih-juih bibirnya.

“Za, boleh tak kita jangan cakap pasal dia lagi? Benda dah lepas, bukan boleh patah balik pun. Lagipun kita tak tau macam mana keadaan dia sekarang ni. Entah-entah dah meninggal. Tak baik kita mengata orang yang dah mati, Za.”

Sayu suara Sofea saat ini. Kalaulah benar Harris sudah tiada di dunia ini, dia turut bersedih. Malah, dia amat bersimpati dengan isteri dan anak Harris. Tentu mereka rasa sangat kehilangan dan hilang tempat bergantung.

 

 

“SOFEA, ada panggilan untuk kau ni. Nak aku sambung ke tak?” Suara Rafida, si telefonis tiba-tiba menembusi telinga Sofea.

“Panggilan dari siapa tu, Fida?”

“Nama dia Encik Shah. Katanya klien syarikat ni.”

“Encik Shah?” Siapa pula klien bernama Encik Shah ni? Macam tak pernah dengar nama tu. Barangkali klien baru yang Encik Ikmal lupa atau belum beritahu dia. Ya, boleh jadi...

“Boleh aku sambung?”

“Okeylah, kau sambung,” ujar Sofea. Lalu gagang diangkat serta dirapatkan ke telinga.

“Helo, assalamualaikum. Saya Sofea Hana, pembantu peribadi Encik Ikmal. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Seperti selalu, begitulah cara Sofea memperkenalkan diri. Lembut dan penuh berhemah.

Senyap. Tiada balasan daripada si pemanggil.

“Helo, Encik Shah dengar tak suara saya?” Sofea menguatkan sedikit suaranya. Mungkin Encik Shah tidak dengar atau mungkin taliannya bermasalah.

“Helo, Encik Shah...”

Baru bercadang nak letak telefon, tiba-tiba lelaki itu bersuara. Suara yang menyebabkan dada Sofea mendadak didatangi debaran.

“Hana... abang ni.”

Ya Allah, Harris! Tak perlu ambil masa, mata Sofea serta-merta didatangi rasa hangat. Tangan dah kaki tiba-tiba menggeletar. Hidup lagi rupanya Harris ni. Ingatkan dah mati. Tak pun, masih terlantar tak sedarkan diri.

“Abang rindu Hana. Kenapa jauhkan diri dari abang? Kenapa buat abang macam ni, sayang?” Suara Harris seperti sedang menahan tangis.

Sofea pejam mata, lantas beberapa titis air jernih tumpah ke pipi. Memang dia sangat marah dan sakit hati dengan perbuatan Harris , tetapi rintihan lelaki itu buat dia jadi bersimpati. Ini sebabnya kenapa dia cuba menghindarkan diri daripada Harris. Hati dia tak kuat.

“Tolong cakap dengan abang, sayang. Abang nak sangat dengar suara Hana. Abang rindu Hana sangat-sangat. Tanpa Hana, hidup abang kosong dan sunyi sepi.”

Dengan telefon masih di telinga, Sofea hanya mendiamkan diri. Dia pun tidak faham kenapa dia masih nak dengar suara lelaki itu. Padahal boleh saja dia terus matikan talian.

“Abang tertanya-tanya, apa salah abang sampai Hana sanggup buat abang macam ni? Hana tak hubungi abang, nombor abang pun Hana sekat. Hana dah janji tak nak tinggalkan abang, tapi tengok... apa yang Hana dah buat dekat abang? Sampai hati Hana kan? Hana tau tak abang tengah sakit sekarang?”

Sakit pula hati Sofea dengan kata-kata Harris itu. Sekarang ini, Harris berlakon seolah-olah dia pula yang jadi mangsa. Seperti dia tak buat salah langsung. Kalau dah jenis penipu tu, sampai bila-bila pun dia akan menipu!

Sebelum marahnya bertambah, sebelum dia  hilang sabar lalu mengeluarkan perkataan bukan-bukan, lebih baik dia putuskan talian. Segera gagang diletakkan di tempatnya semula.

Sofea mengusap-usap dada yang masih berdebar-debar. Mudah-mudahan ini kali terakhir dia mendengar suara Harris. Dia tidak akan benarkan lelaki itu mengganggu hidupnya lagi.

Ya Allah, Kau berikanlah aku ketenangan, Kau berikanlah aku sabar dan Kau jauhkanlah aku dari lelaki yang bernama Harris Shah itu!

No comments: