Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 10

 


M

ARYAM AMANI. Dalam tak sedar, sudah lebih sembilan bulan usia si kecil itu. Bermakna sudah sembilan bulan juga Farah pergi meninggalkan mereka semua.

Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Sesiapa saja pasti tahu akan hakikat itu. Cuma ketika itu, dia belum cukup bersedia. Bayangkan, Farah pergi begitu saja tanpa sebarang petanda.

Pada awalnya memang perit, memang sakit. Susah sungguh nak terima yang Farah sudah tiada lagi di dunia ini. Namun, memikirkan insan-insan lain yang diuji lebih teruk, Haikal jadi insaf dan bersyukur. Sekurang-kurangnya dia ada Maryam, hadiah daripada Allah, tanda cinta dia dan Farah. Si kecil yang menjadi buah hati pengarang jantung semua orang  dalam rumah ini.

Syukur alhamdulillah, anak kecil itu membesar dengan sihat dan tidak banyak ragamnya. Walaupun masih terlalu kecil, Maryam pandai bawa diri. Maryam seolah-olah tahu yang dia sudah tidak punya ibu dan tidak mahu memberi kesusahan kepada orang lain.

Berhati-hati Haikal memakaikan lampin Maryam. Sesudah itu, dia menyarungkan pakaian pula ke badan si comel itu.

Sekarang ini Maryam dah tak reti diam. Asyik bergerak kaki dan tangannya. Memang agak sukar nak uruskan dia. Tambahan pula sejak Maryam dah merangkak laju ni. Mencabar betul. Semput jugalah nak mengejar.

Apa pun, dia tak pernah rasa susah. Tak pernah merungut. Dapat melihat Maryam membesar di depan mata, itu merupakan satu nikmat yang cukup besar yang Allah Taala berikan kepada dia.

“Dah cantik dah anak papa ni.” Pipi anak yang berada di atas ribaannya dicium lembut. Hmm, wangi!

“Aloloo... comelnya cucu tok ma ni.” Hajah Aida yang baru muncul di situ menggerak-gerakkan tangannya di hadapan Maryam.

Maryam ketawa menunjukkan barisan giginya yang enam batang itu. Empat di bahagian atas, dua lagi di bawah.

“Maryam, sini dekat Kak Fea,” panggil Sofea pula.

 Segera Maryam menghulurkan kedua-dua tangannya, minta didukung.

Hampir serentak mereka ketawa. Memang begitulah Maryam sejak ada Sofea. Kalau dah nampak kelibat Sofea, papanya pun dia sanggup tinggalkan.

“Amboi... dan-dan tinggalkan papa ya? Tak nak dah kawan dengan Maryam lepas ni.” Masih dalam tawa, Haikal lalu menyerahkan Maryam kepada Sofea.

 “Ayah mana, ma? Tak nampak dia pun,” tanya Haikal.

“Ayah lepas balik dari masjid tadi, terus ke ladang. Tak sabar nak jenguk lembu-lembu dialah tu.” Hajah Aida merujuk kepada ladang lembu yang Haji Zain usahakan.

“Ada masalah ke dengan lembu-lembu tu?”

“Tak ada apa. Saja ayah tu, dah lama tak jenguk katanya. Harapkan si Azrul dengan Pak Man aje.”

“Ma, Kal pergi kerja dulu.” Seperti selalu, Haikal menyalami dan mencium tangan ibu mertuanya.

“Maryam, papa pergi dulu. Duduk kat rumah jangan nakal-nakal, tau? Nanti Aunty Fea tak nak kawan.” Haikal mengusik.

“Aunty? Eiii... tak sesuai!” Sofea membuka matanya luas-luas.

“Kakak lagi tak sesuai. Umur Fea tu beza tiga tahun aje dari pak su. Memang layak sangatlah kalau kena panggil aunty.” Hajah Aida pula menyakat.

“Betul kata mama tu.” Haikal tergelak. Kemudian dia bergerak ke muka pintu.

“Ah, tak kira! Kak Fea juga! Tok ma juga cakap, panggilan kena ikut pangkat. Maryam ni sepupu Fea kan?”

“Suka hati Fealah.” Sudahnya itu yang Hajah Aida sebut.

“Fea tak tau pula pak su tinggal kat sini.” Selama ini dia fikir, cuma Maryam yang tinggal di rumah tok ma. Haikal mungkin sesekali saja datang. Tok ma pun tak pernah bercerita. Mummy dan daddy pun tak beritahu apa-apa. Padahal mereka ada balik ke sini baru-baru ini.

“Sebenarnya tok ma dengan tok ayah yang ajak pak su tinggal kat sini. Boleh juga tok ma tengok-tengokkan Maryam bila pak su pergi kerja atau nak ke mana-mana. Tok ma tak yakinlah orang lain jaga Maryam.”

“Mak ayah pak su pun tinggal kat kampung ni kan, tok ma?”

“Betul. Rumah dia orang kat hujung simpang sana. Pak su tu dari awal lagi memang tak nak tinggal di rumah keluarga dia. Adik-beradik dia kan ramai. Sesak sikit katanya kat rumah tu.”

“Seronok apa duduk ramai-ramai satu rumah? Kalau Fea, suka aje. Tengok macam Fea ni, berdua aje dengan Abang Irfan. Balik-balik Fea tengok muka Abang Irfan, Abang Irfan tengok muka Fea. Betul tak Maryam?” Hidungnya sempat mencium leher gebu Maryam dengan penuh geram. Maryam mengekek-ngekek.

“Fea tak suka ke pak su tinggal kat sini?”

“Eh, tak adalah! Fea tanya aje. Okeylah dia tinggal kat sini.”

“Tok ma nak tanya Fea sikit ni.”

“Sikit aje tau tok ma? Tak nak tanya banyak-banyak.”

“Soalan cepumas ni.”

Sofea menjuihkan bibir. Tu tak ada lainlah tu, mesti nak tanya soal kahwin. Dia tahu sangat.

“Bila Fea nak kahwin?”

Hah, tak silap kan apa yang dia fikir tadi? Tok ma kalau jumpa dia, tak sah kalau tak tanya soal kahwin. Peninglah macam ni!

“Siapa nama kawan Fea dulu tu? Lupa dah tok ma. Dia tak cakap ke bila dia nak masuk meminang Fea?”

Adoi la tok ma ni. Tahu tak, betapa bersungguh-sungguhnya dia mahu melupakan lelaki itu? Kenapa tok ma sebut pasal dia pula? Tapi, dia tak rasa tok ma lupa. Tok ma sengaja buat-buat lupa. Tempoh hari masa dia buat panggilan video, elok aje tok ma sebut nama Harris.

Silap dia juga sebab beritahu tok ma tentang Harris. Sepatutnya dia rahsiakan dulu.

“Siapa nama dia, Fea?” Tok ma mengulang tanya.

“Harris.” Perlahan Sofea menyebut. Kalau diberi pilihan, dia tidak mahu menyebut langsung nama itu. Nama itu buat dia kembali teringatkan insiden yang menyedihkan di hospital tempoh hari.

“Oh ya, Harris. Baru tok ma ingat. Bila dia nak masuk meminang Fea?” Lagi sekali tok ma menyoal.

Sofea geleng kepala.

“Kenapa geleng?”

“Tak jadi, tok ma. Tak ada jodoh.”

Terdiam Hajah Aida seketika sambil memandang wajah cucu yang mendadak berubah mendung.

“Tok ma dah agak dah...”

Wajah neneknya dipandang. Kenapa tok ma cakap macam tu? Apa yang tok ma dah agak?

“Ada sebab kenapa Fea balik ke sini. Fea sebenarnya balik bawa hati yang lara.”

“Amboi... ayat tok ma.” Ada duka dalam tawa Sofea. Sungguh, luka yang Harris hadiahkan sangat terkesan di hatinya. Sampai sekarang masih terasa pedihnya.

“Kesian cucu tok ma ni. Tapi tak apa. Ada la tu hikmahnya. Tok ma percaya, ada seseorang yang sedang tunggu Fea. Seseorang yang lebih baik, beriman dan bertanggungjawab. Paling penting, seseorang yang boleh bawa Fea ke syurga.”

Ayat tok ma itu berjaya mengundang rasa sebak Sofea. Itu jugalah yang mummy tuturkan kepada dia. Matanya tiba-tiba rasa hangat. Rasa macam nak menangis.

Dia tahu, tok ma sengaja nak hiburkan hati cucunya yang sedang berdukacita ini. Sejujurnya, dia dah malas nak fikir soal lelaki. Mungkin sampai satu masa sehingga dia betul-betul dapat melupakan perbuatan Harris. Lagipun bukan senang nak jumpa lelaki yang betul-betul baik, beriman dan bertanggungjawab bak kata tok ma dan mummy tu. Harris yang nampak sangat baik itu pun menipu. Ada jaminankah yang dia tidak akan ditipu lagi oleh lelaki lain?

No comments: