Tuesday, June 22, 2021

Ada Yang Tertinggal - Bab 7


“S

URAT untuk Encik Ikmal.” Sofea menghulurkan sampul surat berwarna putih itu kepada bosnya.

“Surat apa ni, Sofea?” Mulut bertanya, dalam masa yang sama surat dikeluarkan dari sampul.

Sofea tidak memberi respons. Dia memerhatikan sahaja perbuatan Encik Ikmal.

“Awak bagi saya notis berhenti kerja 24 jam Sofea?” soal Encik Ikmal usai isi kandungan surat tersebut dibaca. Suaranya yang tenang tadi, mendadak jadi tinggi. Matanya mencerlung ke arah gadis yang sedang berdiri di hadapan mejanya.

Sofea membalas dengan anggukan.

“Awak ada masalah ke bekerja di syarikat ni?”

“Tak ada.”

“Atau awak ada masalah dengan saya sendiri?

“Saya tak pernah ada masalah dengan Encik Ikmal. Macam yang saya pernah cakap sebelum ni, Encik Ikmal adalah bos yang paling baik pernah saya bekerja. Saya tak rasa saya akan dapat jumpa lagi bos macam Encik Ikmal lepas ni. Berat sebenarnya untuk saya buat keputusan ni, tapi saya terpaksa, Encik Ikmal.”

“Kalau betul awak rasa berat hati, tak payah berhenti. Saya tak nampak kenapa awak perlu buat macam ni?”

"Saya kena berhenti juga, Encik Ikmal. Bukan tindakan bijak kalau saya terus bekerja kat sini.”

“Awak buat keputusan ni sebab Harris kan?” Tidak susah untuk Encik Ikmal teka. Sudah tentulah lelaki itu menjadi puncanya. Sejak kejadian di hospital tempoh hari, Sofea banyak berubah. Gadis itu jadi pendiam dan hilang senyuman juga. Dia faham, Sofea masih bersedih dengan apa yang terjadi. Tentunya tidak mudah untuk gadis itu.

Sofea langsung tidak bereaksi. Tak perlu, sebab apa yang Encik Ikmal sebut itu adalah benar. Memang Harris puncanya. Lelaki itulah yang menyebabkan dia terpaksa meninggalkan syarikat ini dan ketua yang sangat disayangi.

“Kalau betul Harris puncanya, kenapa awak sampai kena berhenti kerja, Sofea? Itu yang saya tak faham.”

Masih tidak memberi respons. Sofea sekadar tunduk memandang lantai.

“Awak dah janji dengan saya, awak akan lupakan Harris dan tak nak ingat dia lagi. Awak juga beritahu saya, dia tak layak untuk awak sebab awak layak dengan lelaki yang jauh lebih baik daripada dia. Sekarang beritahu saya, kenapa tiba-tiba awak jadi lemah dan senang sangat mengalah ni?”

Panjang bebelan Encik Ikmal. Semata-mata mahu menyedarkan Sofea. Dia tidak mahu Sofea merugikan diri sendiri hanya disebabkan kecewa dengan seorang lelaki.

“Awak sebenarnya cuba lari dari masalah, padahal ke mana pun awak pergi, masalah tu tetap akan ikut awak. Semakin awak lari, semakin jauh awak dari jalan penyelesaian, Sofea.”

“Saya bukan nak lari dari masalah, saya cuma nak pergi jauh dari Harris, Encik Ikmal.”

“Harris tu bukan masalah awak ke Sofea?”

“Ya, saya mengaku, memang dia masalah saya. Sebab itulah saya nak lari jauh daripada dia. Kalau boleh, saya tak nak jumpa dia lagi. Sebab saya tau saya tak kuat. Saya takut saya akan kalah dengan kata-kata dan pujukan dia. Memang saya marah dia, sakit hati dengan dia... tapi kat dalam hati ni, masih ada dia, Encik Ikmal.” Tangannya dibawa menyentuh dada. Suara bertukar sebak, mata bergenang.

“Okey, saya faham kalau awak masih sayangkan dia, cintakan dia. Tak mudah untuk awak lupakan dia, itu pun saya faham. Tapi dalam keadaan dia yang terlantar, atau mungkin dah mati macam yang awak selalu sebut sebelum ni, mustahil awak akan jumpa dia lagi kan?”

“Sebenarnya saya silap. Keadaan dia tak seteruk yang saya sangkakan, Encik Ikmal. Dan dia juga tak mati seperti yang kita pernah fikir.”

“Mana awak tau?”

“Dia telefon saya.”

Encik Ikmal tayang muka terkejut.

Memang patut pun Encik Ikmal terkejut. Sofea sendiri sangat terkejut saat menerima panggilan telefon daripada lelaki itu petang semalam.

“Bila dia telefon awak?”

“Semalam. Hari ni dia telefon lagi.”

“Bukan awak dah sekat nombor dia ke?”

“Dia telefon ofis.”

“Awak bercakap dengan dia?”

“Saya dengar aje dia bercakap.”

“Dia cakap apa?”

“Dia cakap dia tak faham kenapa saya layan dia macam tu. Kenapa saya sekat nombor dia, kenapa saya cuba lari daripada dia?”

“Bermakna dia masih tak tau yang awak dah tau status dia?”

“Entahlah, sebab tak sempat dia cakap banyak, saya cepat-cepat letak telefon.”

“Biar saya jumpa dia. Saya nak bagi amaran supaya dia tak kacau awak lagi, Sofea.” Serius suara Encik Ikmal kali ini.

“Jangan, Encik Ikmal!”

“Eh, dia dah ganggu pekerja saya. Saya ada hak nak buat macam tu!”

“Encik Ikmal ingat, Harris akan dengar cakap Encik Ikmal?”

“Nak tak nak, dia kena dengar. Kalau perlu guna kekerasan, saya akan buat. Saya tak peduli dah.”

Laju Sofea menggeleng. Tak setuju langsung. Sejahat-jahat Harris, dia takkan izinkan Encik Ikmal buat macam tu.

“Tak payahlah buat macam tu, Encik Ikmal. Saya tetap dengan keputusan saya. Saya akan berhenti kerja.”

“Degilnya awak, Sofea.” Kecewa benar nada suara Encik Ikmal.

“Encik Ikmal, maafkan saya. Tapi saya rasa inilah keputusan terbaik yang boleh saya buat. Sebelum dia datang ke sini cari saya, biarlah saya berhenti dulu.”

“Awak ingat, dia tak boleh pergi rumah awak?”

“Dia tak pernah tau rumah saya, Encik Ikmal.”

Ada hikmahnya juga dia tidak memperkenalkan Harris dengan orang tuanya. Sekali gus tidak mempelawa lelaki itu datang ke rumah. Sekurang-kurangnya Harris susah untuk menjejaki dia selepas ini. Mungkin Harris boleh datang ke pejabatnya, tetapi yang penting, lelaki itu tidak akan jumpa dia dan tidak akan memperoleh sebarang maklumat mengenai dia.

Encik Ikmal mendengus. Sofea memang degil dan suka menjawab. Dia cakap begini, Sofea jawab begitu.

“Awak ingat KL ni kecil, Sofea? Esok, lusa atau tulat dia akan jumpa dengan awak juga.”

“Sebab itulah saya kena berhenti kerja, Encik Ikmal. Saya nak tinggalkan KL.”

Membuntang mata Encik Ikmal. Dalam tempoh tak sampai sepuluh minit, sudah dua kali Sofea buat dia terperanjat. Tadi dengan surat notis berhenti kerja 24 jam, sekarang ni dengan berita mahu meninggalkan Kuala Lumpur pula. Hanya kerana seorang Harris Shah, Sofea sampai sanggup membuat keputusan yang begitu besar dalam hidupnya.

“Awak nak pergi mana, Sofea?”

“Belum tahu lagi.” Sebenarnya, dari awal lagi dia sudah memilih destinasi yang bakal dituju, tapi biarlah dia rahsiakan dahulu. Mana tahu, kalau-kalau dia berubah fikiran.

Wajah terperanjat Encik Ikmal sebentar tadi kini bertukar muram. Belum lagi Sofea pergi, dia sudah rasa kehilangan. Tentulah hari-harinya selepas ini akan jadi tidak seronok tanpa pembantu peribadi yang bernama Sofea Hana ini. Dan pagi-pagi yang bakal dilalui juga akan lesu tanpa kopi Sofea.

Bukan senang nak cari pengganti yang rajin, berdisiplin, berdedikasi serta tidak berkira kerja macam Sofea itu. Sofea juga seorang PA yang sangat amanah. Tak pernah menjaja cerita buruk tentang dia, tak pernah mengumpat, tidak mengadu domba, tak ada langsung! Memang dia rasa ralat. Sampai bila-bila pun dia takkan jumpa PA macam tu.

“Encik Ikmal, selagi saya diberikan amanah untuk bekerja di bawah Encik Ikmal, insya-Allah saya akan cuba sedaya upaya untuk sentiasa menjaga nama baik Encik Ikmal. Macam mana saya menjaga aib saya, macam tu juga saya akan sentiasa jaga aib Encik Ikmal. Lagipun Encik Ikmal baik, jadi tak ada sebab kenapa saya nak buat cerita buruk tentang Encik Ikmal.” Itu yang pernah Sofea katakan kepadanya suatu ketika dahulu dan dia percayakan gadis itu.

“Awak selalu cakap, saya bos paling baik yang awak pernah jumpa, tapi apa gunanya kalau awak sanggup tinggalkan saya, Sofea?”

“Encik Ikmal, janganlah cakap macam tu. Sedih saya, tau?” Tanpa sedar, air mata Sofea mengalir lesu ke pipi. Sungguh, kalau Encik Ikmal sedih, kesedihan dia berganda. Bekerja di bawah Encik Ikmal merupakan pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan. Pastinya dia akan merindui lelaki itu.

“Sedih konon, tapi tetap nak tinggalkan saya.” Suara Encik Ikmal turut sebak.

“Kalaulah Encik Ikmal masih bujang, mesti dah lama saya mengurat Encik Ikmal. Saya dah ajak Encik Ikmal kahwin.” Sengaja Sofea membuat lawak.

Encik Ikmal langsung tak ketawa. Tengah sedih, macam mana nak ketawa?

“Kalau saya bujang sekalipun, awak ingat saya nak perempuan lemah dan cepat mengalah macam awak ni? Tak naklah saya!”

 “Jual mahal Encik Ikmal ni. Perempuan cantik macam saya pun Encik Ikmal tak nak.” Mulut saja ketawa, tapi air jernih masih juga mengalir dari tubir mata.

“Saya keluar dulu, Encik Ikmal.”

Belum sempat Sofea melangkah, Encik Ikmal  menyeru namanya.

“Ada apa, Encik Ikmal?”

“Pintu pejabat saya ni sentiasa terbuka untuk awak. Bila-bila masa awak rasa nak datang kerja balik, awak datanglah.”

Lambat-lambat Sofea mengangguk.

“Terima kasih, Encik Ikmal.”

“Jangan lupakan saya, Sofea.”

“Saya janji saya takkan lupakan Encik Ikmal.”

“Tolong beritahu saya bila dah sampai kat tempat tu nanti.”

“Insya-Allah.”

Ada Yang Tertinggal - Bab 6


S

UDAH lebih dua minggu berlalu sejak kejadian itu. Sejujurnya, Sofea tidak tahu langsung perkembangan lelaki yang bernama Harris Shah itu. Entah hidup, entahkan mati. Biarlah! Malas dia nak ambil peduli. Betul, kalau ikutkan, itu yang dia mahu. Dan itu pun yang sepatutnya dia buat. Melupakan dan membuang terus lelaki itu dari ingatannya. Namun tidak semudah itu. Melupakan Harris Shah sama sukarnya dengan mengingat subjek yang kita tidak pernah belajar di sekolah.

Terus terang, sudah bermacam-macam cara dia lakukan semata-mata untuk melupakan lelaki itu. Keluar membeli-belah bersama Fiza, menonton wayang dengan Irfan, mencuba resipi baru bersama mummy, sembang politik dengan daddy, tetap juga Harris mencelah masuk ke dalam fikirannya.

Secara jujurnya, walaupun dia rasa marah, kecewa dan sakit hati yang amat, rasa sayang buat lelaki itu tetap ada. Susah sungguh nak buang. Tapi tak apa, bersama peredaran masa, pasti rasa sayang dan rindu yang masih bersisa dalam hatinya akan beredar pergi. Dia sangat yakin tentang itu.

“Sia-sia aje aku menangis untuk dia hari tu. Aku rasa macam nak minta ganti rugi sebab dah bazirkan air mata aku. Geramnya!” Sambil membebel, Fiza mencucuk-cucuk ayam dalam pinggannya dengan garpu. Marahkan Harris, ayam yang jadi mangsa.

Itu jugalah yang Sofea rasa. Terlalu banyak air matanya yang disia-siakan hanya untuk lelaki penipu itu. Gembira kena lamar, dia menangis. Dapat tahu Harris kemalangan, dia menangis lagi. Sampai kena marah dengan Encik Ikmal. Tapi paling teruk dia menangis adalah di saat dia sedar yang dia sudah ditipu oleh Harris.

“Kau nak minta ganti rugi dari siapa?” Lucu pula omelan Fiza itu, tapi dalam keadaan sekarang, ketawa  macam dah susah nak keluar daripada mulut Sofea.

“Dengan dialah! Itu pun kalau dia masih hiduplah.” Sinis suara Fiza.

“Harris tu kan, muka punyalah nampak baik, tapi perangai... nauzubillah! Jahat sangat dia buat kau macam tu. Kalau dia ada kat depan aku sekarang, aku simbah muka dia dengan asid.”

Fiza yang baru nak belajar menyukai Harris, kembali membenci lelaki itu. Fiza, kalau tak suka orang, memang nampak sangat. Mulalah dia bercakap yang bukan-bukan.

Sebenarnya, itu juga merupakan salah satu sebab kenapa Sofea jadi sukar melupakan Harris. Setiap kali bertemu Fiza, gadis itu tak pernah gagal menyebut nama Harris. Harris itulah, Harris inilah. Kalau dah nama itu yang disebut berulang kali, macam mana caranya dia mahu mengenyahkan lelaki itu daripada fikirannya?

“Dia bukan jahatlah, Za.”

“Tak jahat kau kata? Eh, dia dah tipu kau hidup-hidup tau? Bujang konon... padahal dah berbini, ada anak lagi!”

“Bila masa dia tipu aku? Dia tak pernah kata dia bujang. Cuma dia tak pernah cakap yang dia dah kahwin. Itu aje.” Ayat bagi menghentikan makian dan cacian Fiza terhadap Harris. Sedangkan dia sendiri berpandangan sama. Harris jahat. Harris melampau buat dia macam tu.

“Sofea Hana buat lawak.” Konon ketawa, tapi muka Fiza bengis semacam. Memang dia sakit hati dengan Harris, tapi dia lebih geram dengan Sofea. Dah kena ‘kencing’ dengan Harris pun masih nak bela lelaki itu. Kalau dialah di tempat Sofea, dia dah berterus terang dengan isteri Harris hari tu, biar wanita itu tahu macam mana teruknya perangai suaminya.

“Mungkin silap aku tak pernah tanya dia. Tapi aku yakin, kalau aku tanya, mesti dia jawab betul-betul.” Jawapan sekadar mahu menyedapkan hati sendiri. Sedangkan dia bersetuju dengan Fiza. Kalaupun dia tidak pernah bertanya, masakan Harris boleh diamkan hal sepenting itu? Sepatutnya dari awal lagi Harris memaklumkan statusnya.

“Ya ke? Aku tak rasa dia akan berterus terang.” Benci benar Fiza sampai terjuih-juih bibirnya.

“Za, boleh tak kita jangan cakap pasal dia lagi? Benda dah lepas, bukan boleh patah balik pun. Lagipun kita tak tau macam mana keadaan dia sekarang ni. Entah-entah dah meninggal. Tak baik kita mengata orang yang dah mati, Za.”

Sayu suara Sofea saat ini. Kalaulah benar Harris sudah tiada di dunia ini, dia turut bersedih. Malah, dia amat bersimpati dengan isteri dan anak Harris. Tentu mereka rasa sangat kehilangan dan hilang tempat bergantung.

 

 

“SOFEA, ada panggilan untuk kau ni. Nak aku sambung ke tak?” Suara Rafida, si telefonis tiba-tiba menembusi telinga Sofea.

“Panggilan dari siapa tu, Fida?”

“Nama dia Encik Shah. Katanya klien syarikat ni.”

“Encik Shah?” Siapa pula klien bernama Encik Shah ni? Macam tak pernah dengar nama tu. Barangkali klien baru yang Encik Ikmal lupa atau belum beritahu dia. Ya, boleh jadi...

“Boleh aku sambung?”

“Okeylah, kau sambung,” ujar Sofea. Lalu gagang diangkat serta dirapatkan ke telinga.

“Helo, assalamualaikum. Saya Sofea Hana, pembantu peribadi Encik Ikmal. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Seperti selalu, begitulah cara Sofea memperkenalkan diri. Lembut dan penuh berhemah.

Senyap. Tiada balasan daripada si pemanggil.

“Helo, Encik Shah dengar tak suara saya?” Sofea menguatkan sedikit suaranya. Mungkin Encik Shah tidak dengar atau mungkin taliannya bermasalah.

“Helo, Encik Shah...”

Baru bercadang nak letak telefon, tiba-tiba lelaki itu bersuara. Suara yang menyebabkan dada Sofea mendadak didatangi debaran.

“Hana... abang ni.”

Ya Allah, Harris! Tak perlu ambil masa, mata Sofea serta-merta didatangi rasa hangat. Tangan dah kaki tiba-tiba menggeletar. Hidup lagi rupanya Harris ni. Ingatkan dah mati. Tak pun, masih terlantar tak sedarkan diri.

“Abang rindu Hana. Kenapa jauhkan diri dari abang? Kenapa buat abang macam ni, sayang?” Suara Harris seperti sedang menahan tangis.

Sofea pejam mata, lantas beberapa titis air jernih tumpah ke pipi. Memang dia sangat marah dan sakit hati dengan perbuatan Harris , tetapi rintihan lelaki itu buat dia jadi bersimpati. Ini sebabnya kenapa dia cuba menghindarkan diri daripada Harris. Hati dia tak kuat.

“Tolong cakap dengan abang, sayang. Abang nak sangat dengar suara Hana. Abang rindu Hana sangat-sangat. Tanpa Hana, hidup abang kosong dan sunyi sepi.”

Dengan telefon masih di telinga, Sofea hanya mendiamkan diri. Dia pun tidak faham kenapa dia masih nak dengar suara lelaki itu. Padahal boleh saja dia terus matikan talian.

“Abang tertanya-tanya, apa salah abang sampai Hana sanggup buat abang macam ni? Hana tak hubungi abang, nombor abang pun Hana sekat. Hana dah janji tak nak tinggalkan abang, tapi tengok... apa yang Hana dah buat dekat abang? Sampai hati Hana kan? Hana tau tak abang tengah sakit sekarang?”

Sakit pula hati Sofea dengan kata-kata Harris itu. Sekarang ini, Harris berlakon seolah-olah dia pula yang jadi mangsa. Seperti dia tak buat salah langsung. Kalau dah jenis penipu tu, sampai bila-bila pun dia akan menipu!

Sebelum marahnya bertambah, sebelum dia  hilang sabar lalu mengeluarkan perkataan bukan-bukan, lebih baik dia putuskan talian. Segera gagang diletakkan di tempatnya semula.

Sofea mengusap-usap dada yang masih berdebar-debar. Mudah-mudahan ini kali terakhir dia mendengar suara Harris. Dia tidak akan benarkan lelaki itu mengganggu hidupnya lagi.

Ya Allah, Kau berikanlah aku ketenangan, Kau berikanlah aku sabar dan Kau jauhkanlah aku dari lelaki yang bernama Harris Shah itu!

Ada Yang Tertinggal - Bab 5



S

ESAMPAI saja di Unit Kecemasan, Sofea dan Encik Ikmal bergegas ke kaunter pendaftaran. Mereka dimaklumkan yang Harris sedang menjalani pemeriksaan.

“Macam mana keadaan dia puan?” Soalan itu Sofea ajukan kepada jururawat yang berusia dalam lingkungan 30-an yang bertugas di kaunter pendaftaran.

“Belum pasti lagi. Kita tunggu hasil pemeriksaan dulu, ya cik?” Si jururawat membalas lembut seraya tersenyum.

“Takkan puan tak nampak keadaan dia tadi?”

“Cik duduk dulu. Dah dapat keputusan nanti, doktor akan beritahu.” Sabar benar si jururawat melayan soalan Sofea.

“Takkan puan tak tau langsung?”

Jururawat itu menggeleng.

“Jom kita duduk dulu, Sofea.” Encik Ikmal yang memerhati dari tadi, menghalakan jari telunjuknya ke arah deretan kerusi di sebelah kanan kaunter.

“Tak nak. Saya nak tau pasal Harris.”

“Sia-sia aje awak tunggu kat kaunter ini. Bukan dia orang boleh jawab pun. Kita kena tunggu hasil pemeriksaan doktor dulu. Dengar doktor cakap macam mana. Lagipun, perbuatan awak ni akan mengganggu tugas dia orang.”

“Encik Ikmal janganlah paksa saya, saya nak tunggu kat sini!” Sofea tetap mengeraskan badannya di hadapan kaunter itu.

“Sofea, mari ikut saya.” Lembut Encik Ikmal memujuk.

Kali ini Sofea tidak jawab, namun tetap tidak berganjak dari situ. Matanya bulat merenung Encik Ikmal.

“Sofea!”

“Kenapa Encik Ikmal ikut saya tadi? Sepatutnya, Encik Ikmal biarkan saya sorang-sorang.” Air mata yang memang sudah lama berkumpul di kolam mata, merambu semula ke pipi. Geram, Encik Ikmal seperti sengaja tak nak faham apa yang sedang dia tanggung.

“Sofea, awak jangan degil boleh tak?” Tiada pilihan, Encik Ikmal menarik tangan Sofea agar beredar dari situ.

“Lepaskan tangan saya, Encik Ikmal.” Sofea cuba melepaskan tangannya daripada pegangan Encik Ikmal.

“Saya hanya akan lepaskan kalau awak janji akan ikut semua cakap saya.” Bukan nak ugut sangat, tapi dia terpaksa buat begitu.

“Okey, okey, saya ikut cakap Encik Ikmal!”

Segera Encik Ikmal melepaskan tangan Sofea.

“Duduk situ.” Jari telunjuknya, Encik Ikmal halakan ke salah satu kerusi di hadapan mereka.

Dengan muka yang masam mencuka, Sofea mencerlung Encik Ikmal. Namun tetap mengikut arahan lelaki itu. Dengan kasar, dia melabuhkan punggungnya.

Tanpa sepatah kata, Encik Ikmal berlalu dari situ. Lima minit kemudian, dia kembali semula. Plastik kecil berisi tisu dihulurkan kepada Sofea.

“Lap air mata awak tu.”

Baru sahaja tisu berada di tapak tangannya, air mata Sofea mencurah lagi ke pipi. Terbayang-bayang di matanya Harris yang menghulurkan tisu di saat dia menangis kebahagiaan selepas dilamar lelaki itu semalam. Hari ini, tetap dia dihulurkan tisu. Malangnya, untuk mengelap air mata kedukaan.

“Nah, minum air ni.” Sebotol air mineral pula bertukar tangan. Tapi sebelum itu, Encik Ikmal  membukakan penutup botolnya terlebih dahulu.

Sofea menyambut botol itu, lalu meneguk perlahan.

“Terima kasih, Encik Ikmal.” Dia memandang sebentar lelaki yang sudah pun duduk di sebelahnya.

“Sama-sama.”

Selepas itu, kedua-duanya diam. Encik Ikmal menghadap telefon bimbitnya. Sofea pula menyandarkan kepalanya ke dinding sambil memejamkan mata. Namun tak sampai sepuluh minit, dia membuka matanya semula. Lalu pandang Encik Ikmal lagi.

“Encik Ikmal.”

Tanpa berkata apa-apa, Encik Ikmal menoleh. Telefon di tangan disimpan semula ke dalam poket kemejanya.

“Saya minta maaf. Tadi saya tak dapat kawal perasaan saya. Tak pasal-pasal Encik Ikmal kena marah.” Tiba-tiba dia rasa bersalah. Tak patut dia buat macam tu tadi. Meninggikan suara kepada lelaki yang selama ini sangat dihormati sebagai seorang ketua. Memang Encik Ikmal baik, tetapi itu bukan alasan untuk dia berbuat sesuka hati.

“Tak apa, saya faham Sofea. Fikiran awak tengah tak tenang. Saya pun nak minta maaf sebab tarik tangan awak tadi.”

Sofea angguk. Dia tahu, Encik Ikmal bukan sengaja nak buat macam tu. Kedegilan dialah yang memaksa lelaki itu berbuat begitu.

“Encik Ikmal tau tak apa yang Harris cakap dekat saya pagi tadi?”

“Dia cakap apa?”

“Dia minta saya janji supaya tak tinggalkan dia.”

“Oh!”

“Tapi dia sendiri yang nak tinggalkan saya.” Air mata Sofea jatuh lagi ke pipi. Cepat-cepat dia mengesat dengan tisu di tangan.

“Sofea, tolong jangan mulakan lagi.” Encik Ikmal menegur lembut.

Ditegur begitu, Sofea tidak jadi menyambung kata.

Beberapa minit kemudian, beberapa orang masuk ke ruang yang sama lalu terus ke kaunter pendaftaran. Seorang lelaki muda dalam awal 20-an bersama dua orang wanita. Seorang berusia sekitar awal 30-an, manakala seorang lagi dalam lingkungan usia 60-an. Bersama-sama mereka juga, seorang kanak-kanak perempuan berusia lebih kurang empat tahun.

Hanya seketika di kaunter, keempat-empat mereka mengambil tempat duduk di kerusi berdekatan Sofea dan Encik Ikmal. Mereka bersalaman sambil memperkenalkan nama masing-masing. Wanita yang lebih muda itu bernama Najla, sementara wanita yang agak berusia itu adalah ibu mertua Najla, Puan Zaimah.

“Saya, Hafizie.” Lelaki yang bersama mereka memperkenalkan diri seraya menghulurkan tangannya kepada Encik Ikmal. Lalu mereka berjabat tangan dan saling bertukar senyuman.

“Datang dari mana ni?” tanya Encik Ikmal selepas memperkenalkan namanya.

“Selayang,” jawab Hafizie ringkas.

“Datang melawat siapa?”

“Abang saya. Dia kemalangan jalan raya.” Ramah Hafizie bercerita. Najla dan Puan Zaimah tidak bersuara, wajah mereka tampak sugul. Mata dan hidung merah kesan menangis.

“Abang pula datang melawat siapa?” soal Hafizie pula.

Sebelum memberikan jawapan, Encik Ikmal mengalihkan pandangan kepada Sofea sebentar, tetapi gadis itu tidak pandang dia pun. Sofea hanya memandang ke hadapan dengan pandangan kosong.

“Kawan.”

“Dia sakit apa?”

“Kemalangan jalan raya juga.”

“Teruk ke dia bang?”

“Tak tahulah, kami pun belum jumpa dia lagi. Tengah tunggu keputusan pemeriksaan doktor.”

“Mama... mana papa? Mama cakap tadi kita nak jumpa papa.” Tiba-tiba anak kecil yang sedari tadi sedang ralit makan gula-gula kapas mula merengek. Patutlah, gula-gula kapasnya sudah habis dimakan.

“Hannah, sabar ya? Sekejap lagi kita jumpa papa.” Si ibu memujuk lembut.

“Tak nak jumpa sekejap lagi, Hannah nak jumpa papa sekarang!” Hannah mula menangis sambil menghentak-hentakkan kedua-dua belah kakinya ke lantai.

“Hannah, tak naklah macam ni.” Najla memeluk si kecil seraya mengucup kepala anaknya. Beberapa titik air mata mengenai pipinya.

“Nak papa, Hannah nak papa jugak!”

Tangisan anak kecil itu berjaya mengundang air mata Sofea semula. Sungguh, melihat keadaan dan mendengar rengekan anak kecil itu, dia jadi lupa dengan kesedihan sendiri.

Apa sangatlah ujian dia berbanding si comel itu. Dia mungkin akan ditinggalkan kekasih, tetapi si kecil itu mungkin akan kehilangan seorang ayah dalam usia yang terlalu muda.

“Ya Allah, kesiannya dia...” Tanpa sedar, Sofea berbisik. Memang dia kasihankan anak itu. Apa sekalipun yang berlaku, mudah-mudahan Allah permudahkan semua urusan mereka dan bapa kepada anak itu akan kembali pulih serta dapat menjalani kehidupan seperti sediakala.

Sibuk memerhatikan si kecil Hannah, Sofea sampai tak sedar kehadiran doktor di situ.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Hampir serentak salam dijawab, termasuklah Sofea sendiri.

“Boleh saya tau siapa waris Harris Shah?”

Sofea baru saja mahu berdiri dan bersuara bagi menjawab pertanyaan doktor itu, tetapi tidak sempat. Hafizie terlebih dahulu berdiri, diikuti oleh Najla dan Puan Zaimah.

“Saya Najla Syafina, isteri Harris Shah dan ini ibu Harris.”

“Mari ikut saya,” ujar doktor yang memakai tanda nama Bachtiar seraya melangkah pergi dari situ. Hafizie bersama ibu, kakak ipar dan anak saudaranya mengekori.

Encik Ikmal yang sudah berdiri, duduk semula. Matanya tidak lari daripada memandang Sofea. Kalau dia sendiri cukup terperanjat dengan apa yang baru berlaku di depan mata, apatah lagi Sofea. Haruslah hati gadis itu koyak-rabak dan semakin tertekan dengan apa yang berlaku.

Kebenaran yang sangat menyakitkan. Baru tengah hari tadi Sofea begitu ghairah bercerita tentang Harris. Bukan main menggunung pujian Sofea terhadap lelaki itu. Sepertinya Harris itu sangat sempurna dan tiada cacat cela sedikit pun.

Tapi itulah, bila kita tidak jujur, tidak amanah, lambat-laun kebenaran akan terbongkar jua. Tapi sayang, kebenaran tentang Harris terbongkar dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Kasihan Sofea...

“Sofea, awak nak tengok Harris ke?” Tidak sesuai langsung soalan Encik Ikmal itu memandangkan apa yang berlaku sebentar tadi. Tapi nak buat macam mana, dah terlanjur bertanya.

Sofea tidak menjawab. Hanya sepasang mata sayunya merenung Encik Ikmal tidak berkelip.

“Kalau macam tu, jomlah kita balik.” Faham sangat Encik Ikmal dengan renungan mata Sofea itu.

Perlahan-lahan Sofea bangun. Namun baru berdiri, dia duduk semula. Nampak badannya seperti tidak stabil.

“Boleh tak ni?” tanya Encik Ikmal

“Bagi saya lima minit, boleh Encik Ikmal?” Sofea cuba mengawal suara yang bergetar. Dalam masa sama, cuba mengawal diri agar tidak menangis lagi. Cukup-cukuplah, dia sudah banyak membuang air mata secara sia-sia hari ini. Tak perlulah dia bazirkan air matanya lagi.

Ada Yang Tertinggal - Bab 4

 







“SOFEA, saya ada benda nak tanya awak ni. Harap-harap awak tak tuduh saya suka jaga tepi kain awak pulak.”

Sewaktu pertanyaan itu diajukan, Encik Ikmal sedang memandu manakala Sofea pula berada di sebelahnya. Sebetulnya, mereka baru sahaja selesai bertemu klien di sebuah hotel dan sedang dalam perjalanan balik semula ke pejabat.

“Tanya ajelah apa yang Encik Ikmal rasa nak tanya. Saya okey aje.”

“Kenapa awak dengan Fiza menangis tadi?”

“Eh, Encik Ikmal nampak ke?”

“Apa tak nampak pulak? Kat depan bilik saya awak berdua menangis, siap berpeluk-peluk lagi.”

“Kita orang menangis gembira, Encik Ikmal.”

“Gembira apanya sampai menangis beria-ia macam tu? Awak peluk Fiza, Fiza peluk awak. Gaya macam orang mati laki.”

Spontan Sofea ketawa. Memang betul kata Encik Ikmal. Reaksi dia dan Fiza tengah hari tadi memang macam orang mati suami.

“Encik Ikmal betul-betul nak tau ke?”

“Yalah, sebab tu saya tanya.”

“Hampir dua tahun saya dan Harris bercinta, Encik Ikmal. Dan selama tempoh tu saya selalu tertanya-tanya, bila agaknya dia nak jumpa mummy dan daddy saya? Bila agaknya dia nak kenalkan saya dengan orang tua dia dan yang paling saya tertunggu-tunggu, bila agaknya dia nak ajak saya kahwin? Memang dia selalu cakap dia cintakan saya, sayang saya tapi setakat itu ajelah."

Ringan sahaja mulut Sofea bercerita. Biarlah Encik Ikmal tahu. Lagipun selama ini memang Encik Ikmal dah kenal Harris.

“Dan semalam, saat yang saya tunggu-tunggu sampai juga akhirnya. Dia lamar saya, Encik Ikmal. Hanya Tuhan yang tahu hati saya masa tu. Saya rasa bahagia sangat. Allah dah makbulkan doa saya.”

Encik Ikmal menyambut cerita itu dengan senyuman. Tumpang gembira untuk Sofea.

“Sebab itulah saya dan Fiza menangis tadi. Saya gembira dan Fiza pun tumpang gembira untuk saya.”

“Okey, sekarang saya faham. Saya doakan semoga semuanya dipermudahkan. Mudah-mudahan apa yang awak impikan selama ini akan jadi kenyataan, Sofea.”

“Insya-Allah Encik Ikmal, dengan izin Allah. Saya percaya Harris akan bahagiakan saya. Dia lelaki baik, Encik Ikmal, sangat baik. Susah nak jumpa lelaki macam dia.”

“Oh, ya? Tapi... kenapa saya rasa saya lagi baik daripada dia, hah?” Encik Ikmal buat lawak.

“Betul la tu, Encik Ikmal pun baik juga.”

Lagi sepuluh minit nak sampai ke pejabat, telefon yang kebetulan berada dalam genggaman Sofea bergegar. Melihat nama Harris pada skrin, senyuman Sofea automatik merekah di bibir.

“Assalamualaikum.” Seperti biasa, Sofea menghulurkan salam.

“Waalaikumussalam.”

Sebaik mendengar suara yang menjawab salamnya, Sofea pantas melarikan telefon daripada telinganya lantas memandang skrin sekali lagi. Betul, memang nama Harris yang terpapar di situ, tapi suara siapa pula di talian? Telefon kembali dilekapkan ke telinga.

“Encik siapa?”

“Saya Fauzi.”

“Fauzi? Mana Harris?”

“Oh, nama dia Harris ke?”

Peliknya. Apa yang berlaku sebenarnya ni?

“Ya, memang nama dia Harris. Macam mana telefon dia boleh ada pada encik pula?”

“Oh! Ada orang jumpa di tempat kejadian. Jadi, dia serahkan kepada pihak hospital.”

“Jumpa di tempat kejadian? Serah kepada pihak hospital? Apa maksud encik ni? Saya tak faham.” Dada Sofea mula berdebar-debar. Terasa seperti ada berita buruk yang bakal lelaki itu sampaikan sebentar lagi.

“Sebelum tu saya nak tanya, apa hubungan awak dengan dia?”

“Saya bakal is... err... saya kawan dia.”

“Ooo... kawan. Sebenarnya awak orang terakhir yang bercakap dengan dia. Itu sebab saya telefon awak. Tapi saya dah hubungi ibu dia juga tadi.”

“Encik, apa sebenarnya yang dah berlaku pada Harris?” Sofea jadi hilang sabar. Perlu ke lelaki itu bercerita tentang semua itu? Orang nak tahu tentang Harris la!

“Dia kemalangan jalan raya.”

“Hah?” Hanya itu yang mampu keluar daripada mulut Sofea.

“Ya, dia kemalangan dengan sebuah lori.”

“Habis, macam mana keadaan Harris sekarang? Dia selamat kan? Tak ada apa-apa berlaku pada dia kan?”

Bersama soalan-soalan yang terhambur keluar daripada mulut, air mata Sofea pantas terjun dari kolam mata. Soalannya hanya sekadar untuk menyedapkan hati sendiri. Sedang jauh di sudut hatinya, dia dapat rasa keadaan Harris serius. Kalau tidak serius, sudah tentu Harris sendiri yang akan menghubungi dia dan memaklumkan tentang keadaan dirinya.

“Dengarnya, kereta dia remuk teruk. Harris kat hospital sekarang ni.”

Sepanjang lelaki itu memberi penjelasan, air mata Sofea tidak henti-henti menjamah di pipi. Kalau boleh, dia tidak mahu dengar berita seumpama itu kerana dia tahu dia jenis yang tidak kuat. Tetapi dia juga mahu tahu keadaan sebenar Harris.

“Sofea?” seru Encik Ikmal sejurus perbualan Sofea dan Fauzi tamat. Dia tidak akan bertanya. Biarlah Sofea sendiri yang bercerita. Tapi, daripada  tangisan dan wajah gadis itu yang sudah dibanjiri air mata, dia tahu yang Harris mengalami kecederaan serius.

“Encik Ikmal, Harris...” Hanya nama itu yang mampu Sofea sebut. Kemudian dia menangis lagi.

“Sabar, Sofea. Banyakkan berdoa. Saya yakin, Harris akan selamat.”

“Saya takut Harris tinggalkan saya. Saya belum bersedia untuk kehilangan dia, Encik Ikmal.” Sofea sambung menangis.

“Sofea, awak tak boleh macam ni. Awak kena kuat. Awak kena yakin yang Harris akan selamat.”

“Saya takut apa-apa berlaku pada Harris.” Semakin kuat tangisan Sofea. Hilang malunya pada Encik Ikmal.

“Saya tau awak risau, tapi tolong jangan macam ni, boleh tak? Kita tak tau lagi keadaan Harris macam mana. Entah-entah dia tak seteruk yang awak sangka.”

“Tapi... orang tu cakap Harris cedera teruk.”

“Mungkin pada dia teruk, hakikatnya Harris tak teruk mana.” Encik Ikmal cuba menenangkan.

“Kalau tak teruk, kenapa orang lain yang telefon saya, kenapa bukan Harris sendiri? Lagipun orang tu cakap Harris tak sedarkan diri tadi.”

“Mungkin masa tu dia pengsan sekejap, kita tak tau kan?” Masih cuba memujuk walaupun kedegilan Sofea buat dia jadi geram.

“Tak payahlah Encik Ikmal nak sedapkan hati saya. Saya tau keadaan Harris serius.”

“Awak ni dah kenapa, Sofea? Nak sangat ke Harris jadi macam tu? Sepatutnya awak berdoa supaya dia dalam keadaan baik, minta Allah permudahkan urusan dia. Ini tidak, duk fikir yang bukan-bukan. Apalah awak ni?” Encik Ikmal mula meninggikan suara. Memang dia jenis orang yang sabar, tapi kedegilan Sofea buat dia jadi hilang sabar pula.

Masih menangis, Sofea kalih muka pandang Encik Ikmal. Sampai hati Encik Ikmal marah dia. Dia bukan suka-suka nak menangis, nak merintih macam ni. Encik Ikmal tahu tak, betapa risau dan takutnya dia sekarang? Dia takut Harris mati, dia takut Harris tinggalkan dia.

“Encik Ikmal, tolong berhenti kat depan tu!”

“Eh, kenapa pulak?”

“Saya nak pergi hospital. Saya nak ambil Grab.”

“Tak payah ambil Grab. Pergi aje dengan saya.”

“Saya tak nak menyusahkan Encik Ikmal.”

“Kenapa cakap macam tu, kecil hati dengan saya ke?”

Memang dia kecil hati dengan Encik Ikmal. Dia bukan sengaja nak buat perangai, dia risaukan Harris. Tapi Encik Ikmal macam tak faham pula.

“Awak tau tak, saya risau tengok awak sekarang ni. Saya tau dalam keadaan emosi awak yang tak stabil macam ni, awak tak boleh bersendirian. Awak perlukan teman.”

Sofea masih tidak jawab. Cuma matanya yang dibawa pandang Encik Ikmal.

“Boleh kan saya temankan awak?”

Akhirnya Sofea mengangguk. Memang dia tak mahu menyusahkan Encik Ikmal, tapi ada baiknya juga kalau Encik Ikmal ikut. Sekurang-kurangnya ada orang yang boleh beri dia kata-kata semangat.

“Di pejabat memang saya bos awak. Tapi kat luar, awak boleh aje anggap saya macam abang awak. Ingat tu.”

“Terima kasih, Encik Ikmal.”

“Sama-sama.”

Ada Yang Tertinggal - Bab 3

 

B

ERSAMA muk yang berisi kopi di tangan, Sofea berjalan ke bilik Encik Ikmal. Perkara wajib setiap pagi. Kata Encik Ikmal, tanpa kopi dia akan rasa mengantuk dan tidak bersemangat untuk bekerja. Lebih-lebih lagi kopi yang Sofea sediakan, memang sedap dan melekat. Isteri dia, Liyana pun tak boleh buat kopi sesedap itu.

“Kopi, Encik Ikmal.” Muk berisi kopi itu diletakkan di atas meja di hadapan Encik Ikmal.

“Terima kasih, Sofea.”

“Sama-sama.” Segera Sofea berlalu ke pintu semula.

“Sofea!”

Sofea yang sudah berada hampir di pintu, berpaling lantas berjalan ke meja Encik Ikmal semula.

“Ada apa, Encik Ikmal?”

“Dalam pukul 10.00, ikut saya.”

“Ikut pergi mana?”

“Keluar jumpa klien.”

Alahai, jumpa klien lagi. Baru saja dia bercadang nak keluar makan tengah hari dengan Fiza. Saja mahu berkongsi berita gembira dengan gadis itu. Mudah-mudahan dengan berita itu, Fiza tidak lagi memandang serong dan membenci Harris.

“Boleh tak?”

“Mestilah boleh, Encik Ikmal.” Ikutkan dia nak cakap tak boleh. Tapi, tergamak ke nak jawab macam tu? Bos kut.

“Okey, terima kasih.”

Tanpa menunggu jawapan Encik Ikmal, Sofea  berjalan ke muka pintu, terus keluar dari bilik itu.

Baru punggungnya menyentuh kerusi, telefonnya menyanyi. Segera dia mencapainya dari atas meja. Harris sedang menunggu di talian.

“Assalamualaikum, abang.”

“Waalaikumussalam.” Sedikit serak suara Harris. Juga kedengaran tak bermaya. Seperti suara orang demam.

“Abang kat mana ni?”

“Kat rumah.”

“Abang tak kerja ke?”

“Abang kurang sihat sikit la. Kepala sakit, badan pun rasa lemah ni.”

“Patutlah semacam aje suara abang. Pergi klinik la bang. Jangan biar, nanti melarat.”

“Sekejap lagilah abang pergi.”

“Elok-elok bawa kereta, tau bang? Nanti dah sampai klinik, beritahu Hana. Hana nak kena keluar dengan bos sekejap lagi. Ada urusan kerja.”

 “Keluar atas urusan kerja aje tau! Jangan nak lebih-lebih pula dengan bos tu.” Sebenarnya Harris bukan serius pun. Sengaja mahu bergurau dengan Sofea. Lagipun dia kenal dan pernah berjumpa dengan Encik Ikmal.

“Dah keluar tu, kenalah lebih-lebih, abang. Paling tidak pun, ajak dia tengok wayang sambil berpimpin tangan.” Terkekeh-kekeh Sofea ketawa.

“Hanaaa...”

“Hana gurau ajelah! Hilang akal apa nak pimpin tangan Encik Ikmal?” Bukan apa, sengaja nak buat Harris cemburu. Dari situ, nampaklah Harris sayangkan dia.

Dalam tak larat, Harris ketawa. Gelagat Sofea Hana sering buat dia terhibur.

“Abang jangan lupa pergi klinik, tau?” Sekali lagi Sofea mengingatkan. Bukan apa, Harris ni jenis yang tidak suka ke klinik. Setakat demam sikit-sikit tu, selalunya dia cuma ambil panadol atau ubat tahan sakit.

“Yalah. Terima kasih sebab ambil berat pasal abang.” Begitulah Sofea setiap kali dia demam atau tidak sihat. Terserlah sikap ambil beratnya. Itu yang buat rasa sayangnya semakin bertambah.

“Sama-sama.”

“Sebenarnya ada perkara abang nak tanya Hana.”

“Abang nak tanya apa?”

“Hana dah beritahu mummy dan daddy Hana tentang lamaran abang?”

“Tak sempat beritahu lagi. Malam tadi mummy dengan daddy keluar dinner. Entah pukul berapa dia orang balik, Hana tak sedar. Hana  dah tidur masa tu.”

“Oh ya?”

“Tapi abang jangan risau, insya-Allah, malam nanti Hana akan beritahu dia orang.”

“Terima kasih, sayang. Harap-harap mummy dan daddy Hana tak keberatan terima lamaran lelaki yang serba kekurangan ni.”

“Tak ada apa yang kurang pada diri abang, semuanya okey sangat.”

Sangat banyak kebaikan dan kelebihan Harris. Tak perlulah dia senaraikan. Tapi memang betul, selama kenal Harris, hanya yang baik-baik saja yang dia nampak pada diri lelaki itu. Dan dia rasa sangat beruntung kerana dalam ramai wanita lain, dia yang Harris pilih. Dia yang berjaya memancing hati lelaki itu. Syukur alhamdulillah.

“Hana aje yang cakap macam tu. Entah-entah, daddy dan mummy Hana tak terima abang.”

“Percayalah, daddy dan mummy sangat terbuka. Hana yakin, dia orang mesti boleh terima abang dalam keluarga kami. Kalau abang nak tau, mummy dan daddy tak pernah paksa anak-anak ikut telunjuk dia orang. Lebih-lebih lagi dalam memilih pasangan hidup. Dia orang bagi kebebasan penuh pada anak-anak.”

Daripada kerusi, Sofea bangun berjalan ke arah sebuah rak di sudut bilik. Sebuah fail dikeluarkan dari situ.

“Cumanya, dia orang selalu pesan supaya Hana cari pasangan yang betul-betul jujur dan ikhlas. Bila orang tu jujur, dia takkan tergamak berbohong, menipu atau buat sesuatu yang tak betul di belakang kita. Lagi satu, mummy dan daddy nak bakal menantu yang jenis jaga solat, jaga agama. Sebab bila orang tu jaga solat, jaga agama, insya-Allah dia akan jaga kita dengan baik. Alhamdulillah, ciri-ciri yang daddy dan mummy sebut, Hana nampak ada pada diri abang.”

“Hana terlalu memuji abang. Abang tak rasa abang sebaik itu.”

“Hana cakap apa yang Hana nampak, Hana tau.”

“Apa pun, abang nak ucap terima kasih kerana Hana sudi bagi peluang pada abang. Mudah-mudahan, niat baik kita akan dipermudahkan Allah Taala.”

“Insya-Allah, aamiin. Okeylah, bang. Hana nak buat kerja ni. Lain kali kita sambung lagi ya?”

“Okey. Tapi sebelum tu, boleh tak abang minta Hana janji dengan abang?”

“Abang nak Hana janji apa?”

“Tolong jangan tinggalkan abang.”

Sofea terdiam sebentar. Rasa agak pelik dengan permintaan Harris itu. Kenapa ya?

“Kenapa Hana nak tinggalkan abang pula? Abang kan bakal suami Hana?”

“Tolong janji dengan abang. Walau apa pun  berlaku, tolong jangan tinggalkan abang, sayang.” Tanpa menghiraukan kata-kata Sofea, Harris tetap dengan permintaannya.

“Kalau abang tinggalkan Hana pula, macam mana?”

“Abang takkan buat macam tu. Abang sayang Hana dan abang akan setia dengan Hana.”

Tersentuh. Itu yang Sofea rasa saat itu. Dia dapat rasakan betapa mendalamnya cinta Harris terhadap dia. Semoga cinta mereka akan berkekalan hingga ke hujung nyawa.

“Hana belum janji lagi dengan abang.”

“Okeylah, Hana janji. Hana takkan tinggalkan abang. Tapi kalau abang yang buat macam tu, siaplah. Sampai bila-bila pun Hana takkan maafkan abang.”

“Takkan abang nak buat macam tu?”

“Hana main-main ajelah! Hana percayakan abang.”

“Terima kasih, sayang.”

“Sama-sama.”

 

 

“TAK bolehlah keluar makan dengan kau, Za. Encik Ikmal ajak aku temankan dia jumpa klien sekejap lagi. Aku dah setuju nak ikut dia.”

“Alaa... kacau daunlah Encik Ikmal ni! Macamlah tak boleh pergi sorang. Sibuk nak angkut kau juga.”

Fiza dah mulalah tu. Lepas tu nanti, adalah spekulasi yang dia akan buat. Tunggulah sekejap lagi kalau tak percaya.

“Encik Ikmal tu, bukan main rapat lagi dengan kau sekarang ni. Setiap kali keluar jumpa klien, mesti nak kena bawa kau sekali. Ni aku nak tanya, kau dengan dia ada apa-apa ke? Kau jangan buat hal, Fea. Encik Ikmal tu laki orang, tau!”

Kan betul! Fiza dan spekulasi macam isi dengan kuku. Rapat, melekat, erat.

“Kau nak tuduh aku ada skandal dengan Encik Ikmal ke ni?”

“Manalah tau...”

“Weh, aku dah ada Harris, okey? Encik Ikmal tu bos aku, tak lebih dari itu. Kak Liyana tu pun dah macam kakak aku. Anak-anak dia pun rapat dengan aku. Aku keluar dengan dia sebab setiap kali perbincangan dengan klien, aku kena catat, buat minit. Yalah, kau kerja buat akaun aje kan, mana reti tugas-tugas PA macam aku ni.” Kecil besar, kecil besar dia pandang Fiza sekarang ni. Mak cik sorang ni memang suka mengundang marah orang.

 “Tapi kan Za, bukan dah banyak kali ke aku beritahu kau pasal ni? Lepas ni, aku dah malas nak cakap lagi. Aku nak rakam aje suara aku. Lepas tu, aku tepek kat telinga kau. Dengarlah berulang kali sampai kau faham. Kalau tak faham juga, nanti aku pasang ayat rukyah kat telinga kau tu. Biar jin dan syaitan dalam badan kau tu kepanasan.”

Bukan main beria-ia lagi Fiza gelak. Seronok sangat agaknya kena bebel dengan Sofea.

“Kau ni kenapa serius sangat? Siap nak bagi ayat rukyah lagi kat telinga aku. Aku main-main aje la. Aku taulah kau tu macam mana. Luar dalam kau, aku dah kenal, tau? Takkanlah kau nak berskandal dengan Encik Ikmal tu kan? Hilang akal ke apa?”

 “Tau tak apa!” Sudahnya, Sofea ikut ketawa.

Fiza ni memang. Dah buat orang marah, sekejap lepas tu, dia boleh buat orang ketawa pula. Memang pelik kawannya yang seorang ni. Tapi pelik-pelik pun, dengan Fizalah yang dia paling selesa berkawan.

Fizalah satu-satunya kawan yang paling dia boleh percaya. Sahabat sehati sejiwa walaupun ada kalanya cara mereka bercakap macam orang nak bergaduh. Tapi begitulah mereka.

“Kau merayap kat sini, bos tak cari kau ke?” Sofea menyengih. Itu namanya menghalau secara tertib dan halus.

“Bos aku tak ada. Dia cuti hari ini.”

“Mentang-mentang bos cuti, kau curi tulang, eh? Eh, kau ingat sikit, walaupun bos tak nampak perbuatan kau tu, Allah tetap ada. Allah nampak apa yang kau buat. Dan gaji yang kau dapat bulan-bulan tu, berkat ke tidak? Sendiri mau ingat la...”

Sebenarnya, ucapan Sofea itu lebih kepada bergurau. Dia tahu Fiza bukan begitu. Sepanjang kenal, gadis itu merupakan seorang pekerja yang cemerlang, amanah dan bertanggungjawab.

“Weh, kau tak payahlah nak ceramahkan aku. Aku bukan jenis macam tu. Bos ada ke, tak ada ke, aku buat kerja aku macam biasa. Dan sekarang, aku tengah buat kerja jugak, tau? Ni tuntutan perjalanan Rina, Encik Ikmal tak tanda tangan. Aku datang sini sebab nak hantar borang ni dan nak minta tanda tangan dia, ada faham? Kerja tu kan?” Sampul bersaiz A4, Fiza letakkan di atas meja, di hadapan Sofea. Sebenarnya bukan letak, campak.

“Kau tu pun, lain kali semaklah betul-betul borang tu sebelum bagi balik kat aku. Ini tak, main bagi aje. Nama aje PA, buat kerja pun tak betul,” omel Fiza lagi.

“Alahh... biasalah sesekali buat silap. Tak payahlah nak marah sangat. Kau tunggu sekejap. Aku pergi minta tanda tangan Encik Ikmal sekarang.” Sofea lantas bangun daripada kerusi dan masuk ke bilik Encik Ikmal.

Dua minit kemudian, dia muncul semula. Sampul bersaiz A4 kembali diserahkan kepada Fiza.

“Fiza... sebelum kau pergi, aku ada benda nak cakap.”

“Hal peribadi ke?”

Angguk.

“Kau nak cakap pasal apa?”

“Harris.”

“Huh, bosan!” Fiza terus tarik muka.

“Harris ajak aku kahwin. Minggu depan keluarga dia nak datang jumpa mummy dan daddy aku.”

Kata-kata Sofea itu buat mata Fiza membulat. Terkejut dan dalam masa sama, rasa tak percaya.

“Betul ke Fea?”

Dengan wajah yang manis tersenyum, Sofea mengangguk beberapa kali.

“Bermakna... akulah yang silap tafsir Harris selama ni? Ya Allah Fea, aku kena minta maaf dengan Harris. Banyak betul dosa aku dengan dia. Aku kutuk dia, kecam dia, marah dia.”

“Nanti kau jumpa dia, kau cakap dengan dia. Aku tau dia akan maafkan kau.”

“Rupanya Harris tak seperti yang aku sangka. Dia lelaki baik dan bertanggungjawab macam yang kau selalu sebut. Dan sekarang, baru aku faham bila kau kata Harris tu lelaki yang teliti, sebab tu dia ambil masa yang lama untuk halalkan hubungan kau orang.”

Sofea tidak menyampuk. Dia sekadar menghulurkan senyumannya.

“Seronoknya aku dengar. Aku tumpang gembira untuk kau.” Tanpa sedar, air mata Fiza meleleh ke pipi. Sungguh, dia sangat gembira dan tumpang bahagia. Sebab, bahagia Sofea adalah bahagia dia juga.

“Kau nangis, Za?”

“Aku nangis untuk kau. Sungguh, aku seronok sangat-sangat.”

Dan air mata Sofea ikut sama mengalir. Memang dia sangat bahagia kerana menerima lamaran Harris, tapi saat ini dia rasa lebih bahagia kerana mempunyai sahabat seperti Fiza. Sahabat yang betul-betul ikhlas.

“Nak peluk kau, Za.” Lantas mereka berpelukan dan menangis bersama.


Ada Yang Tertinggal - Bab 2

 


M

ELIHAT senyuman Harris yang terlajak manis itu, Sofea jadi jatuh cinta lagi. Hanya kerana senyuman itu juga, segala rasa sangsi, curiga, ragu, waswas yang bersarang dalam dada sejak dua minggu lalu segera berlalu pergi.

Kalau boleh, dia nak pandang muka Harris saja. Kalau bolehlah, sebabnya bila dah berjumpa depan-depan macam ni, memang tak bolehlah nak tengok muka lelaki itu lama-lama. Dia jadi menggelabah semacam.

Dia, yakni Sofea Hana adalah jenis yang bercakap banyak hanya dalam telefon. Bila dah berhadapan macam ni, lidahnya automatik jadi tak pandai berkata-kata. Walaupun sudah agak lama bercinta, perasaan malu dan segan tetap menebal dalam diri.

Mungkin sebab hanya mereka berdua di situ. Sebenarnya, ini kali pertama mereka keluar tanpa ditemani orang lain. Kebetulan, Fiza ada hal dan Harris juga datang sendirian kerana Zikri kurang sihat.

Kalau bukan kerana hal penting yang Harris ingin sampaikan, mungkin dia tidak berada di sini petang ini. Ini pun dia sudah rasa bersalah kerana dalam tidak sedar, dia sudah ‘membohongi’ mummy dan daddy.

Ya, mummy dan daddy memang jenis sporting dan berfikiran terbuka tetapi dalam urusan percintaan, mereka agak tegas. Banyak peraturan yang dia kena ikut. Salah satunya, apa yang sedang dia buat inilah. Tidak dibenarkan keluar berdua-duaan dengan teman lelaki.

“Apa yang penting sangat abang nak jumpa Hana?” Semasa bertanyakan soalan tu, mata Sofea hanya pandang mamak yang sedang menebar roti canai. Tapi dia sedar, mata Harris bersama senyuman dia yang manis terlampau itu sedang merenung muka dia.

“Rindu.”

Hanya itu yang Harris jawab, tapi sudah cukup buat muka Sofea rasa hangat. Macam nak terbakar kedua-dua belah pipinya. Mata masih tidak lari daripada si penebar roti canai di hadapan sana.

Harris turut menoleh ke arah yang sama.

“Muka mamak tu lebih lawa dari muka abang ke?”

“Mana ada!”

“Dah tu, Hana asyik pandang dia aje dari tadi?”

Sebenarnya hanya Harris seorang yang panggil dia Hana. Konon kata Harris, sebab Sofea Hana itu tersangat istimewa di hatinya, jadinya panggilan kenalah istimewa juga dan berbeza daripada orang lain.

“Cemburu ke?” Sofea mengusik. Sempat dia melirik pandang muka Harris sekejap.

“Mestilah cemburu. Rasa nak tumbuk aje muka mamat tu. Biar jadi leper macam roti canai yang dia tengah tebar tu.”

Sofea gelak. Suka sebenarnya Harris cakap macam tu. Yalah, cemburu tu kan tanda sayang. Semua orang tahu.

“Hana tau tak kenapa semakin hari, abang semakin sayang dekat Hana?”

“Kenapa?”

“Sebab Hana baik, lemah lembut, bersopan...”

Baik, lembut, bersopan santun? Kalaulah Harris tahu sejarah lampau dia, haruslah persepsi lelaki itu akan berubah terhadap dia. Tahu tak, masa zaman sekolah dulu, dia sangat terkenal sebagai kaki buli, kaki ponteng sekolah, kaki melawan.

Ketika itu, dia banyak menyusahkan mummy dan daddy. Mana taknya, hampir setiap bulan mereka berdua dipanggil ke sekolah kerana kesalahan yang dia lakukan. Percaya tak, dia pernah didenda mencuci tandas sekolah gara-gara ponteng kerana pergi menonton wayang?

Tapi itu dulu. Bila meningkat dewasa, sikapnya turut berubah. Alhamdulillah, dia bukan lagi Sofea Hana yang terlajak nakal itu.

“Jujur abang cakap, abang dah tak sabar nak ambil Hana jadi isteri abang. Abang nak habiskan hari-hari abang bersama Hana, bersama anak-anak kita, sampai abang tutup mata.”

Sofea yang menunduk, perlahan-lahan angkat muka. Kali ini, dia memberanikan diri memandang wajah Harris. Ketika itu, apa yang dia nampak adalah seraut wajah yang sedang berbahagia. Mata Harris tampak bercahaya dan senyuman yang terpamer di bibir itu kelihatan sangat tulus dan ikhlas.

“Sayang, pejam mata.”

“Kenapa nak kena pejam pula?”

“Pejam ajelah.”

Sofea menurut. Hampir seminit juga mata dia dalam keadaan terpejam begitu.

“Sekarang dah boleh buka.”

Sebaik mata dibuka, yang mula-mula Sofea nampak adalah sebuah kotak kecil yang sudah terbuka. Sebentuk cincin bermata satu bertenggek cantik di dalam kotak itu.

 Tanpa sedar, air mata Sofea tumpah perlahan ke pipi. Kalau benarlah lelaki itu mahu menghalalkan hubungan mereka, dia rasa sangat terharu. Kebelakangan ini, dia asyik mempersoalkan keikhlasan Harris. Ternyata, tanggapannya tersasar. Sudah terbukti, Harris benar-benar ikhlas.

“Sayang suka?”

Mestilah suka. Lagi nak tanya!

“Suka.” Perlahan dia menjawab.

“Kesat air mata tu. Malulah orang tengok.” Tisu dari dalam kotak berhampiran dicapai, lalu dihulurkan kepada Sofea.

“Hana.” Lembut suara Harris kali ini.

“Apa?”

Harris tidak terus membalas. Dia sekadar menyedekahkan senyumannya lagi.

“Abang nak cakap apa?” Lambat sangat Harris ni, Sofea jadi kurang sabar.

“Hana sudi kahwin dengan abang?”

Hisy... soalan apa ni? Tak ada ke soalan yang lebih mengarut daripada ini? Kalau dia tak sudi, tak adanya dia nak buang masa hampir dua tahun menunggu Harris.

Laju Sofea mengangguk. Bukan sekali, malah berkali-kali. Dan air mata yang keluar, sama laju dengan anggukannya.

Meletus tawa Harris. Lucu dengan reaksi si buah hati.

“Terlebih sudi dah tu.” Harris mengusik.

Sofea membalas dengan tawanya juga. Sudah pasti tawa gembira.

“Pakailah cincin tu.”

“Nanti-nantilah Hana pakai.” Kalau boleh, biarlah dia memakainya selepas mummy dan daddy tahu tentang hasrat hati Harris. Selagi mummy dan daddy belum tahu, selagi itulah cincin ini tidak akan tersarung di jarinya.

“Kalau macam tu, Hana simpan dululah.”

Akur, Sofea menyimpan bekas cincin itu ke dalam beg tangannya. Tapi sebelum itu, sempat dia membelek cincin itu.

“Insya-Allah, bulan depan pihak rombongan abang akan ke rumah Hana jumpa daddy dan mummy Hana, bincang tentang perkahwinan kita. Tak payahlah bertunang, kita kahwin aje terus. Kalau boleh, abang nak kita kahwin dalam masa tiga bulan lagi.”

Tiga bulan lagi? Secepat itukah dia akan bergelar isteri Harris? Alhamdulillah, syukur pada-Mu, ya Allah. Terima kasih banyak-banyak. Sesungguhnya, Kau mendengar doaku.

Tapi apa-apa pun, dia perlu berbincang dengan daddy dan mummy dahulu. Dengar apa kata mereka. Ikutkan, memang dia setuju dengan rancangan Harris itu, tapi pandangan daddy dan mummy lebih penting untuk dia turuti. Sayang macam mana sekalipun dia pada Harris, dia tidak akan sesekali membelakangkan kedua-dua orang tuanya.

“Abang, jom balik. Dah lewat ni.” Sudah setengah jam mereka di situ. Walaupun belum puas bersama lelaki itu, dia terpaksa balik sekarang. Nanti risau pula mummy di rumah.

“Bawa kereta elok-elok. Ingat, abang sayang Hana tau? Sayang sangat-sangat.” Saat Harris menyebut begitu, Sofea sudah pun berada di dalam perut kereta. Tingkap kereta memang sengaja dibuka.

Senyuman Harris dibalas senyuman juga oleh Sofea. Dan dia yakin sekali, senyuman lelaki itu akan terus menemaninya sepanjang malam nanti.

“Hana tak nak cakap apa-apa ke?”

“Cakap apa?”

“Cakaplah apa saja yang boleh abang bawa dalam tidur abang malam ni.”

“Hana sayang abang!” Laju-laju dia menyebut. Segera cermin keretanya dinaikkan. Maluuuu!

Di sebalik cermin tingkap, dia nampak Harris ketawa dan dalam perut Honda BRV, dia ikut ketawa sama.

Betul abang, Hana memang betul-betul sayangkan abang. Hanya abang seorang.

 

MALAM itu Sofea buat panggilan video ke kampung. Maklumlah, sudah lebih seminggu dia tidak menghubungi tok ma tersayang. Bermakna, sudah lebih seminggu juga dia tidak ‘bertemu’ Maryam yang comel itu.

“Maryam, pandanglah sini. Nak pergi mana tu?” jerit Sofea apabila Maryam cuba melepaskan diri daripada pegangan tok ma.

“Dia nampak tok ayahlah tu.” Sudahnya, Hajah Aida hanya memerhatikan Maryam yang merangkak ke arah suaminya.

“Makin lasak pula dia kan, tok ma?” Dalam tempoh sepuluh minit mereka dalam talian, Maryam tidak duduk diam. Sekejap saja dengan tok ma, lepas tu Maryam akan meronta-ronta minta dilepaskan.

“Tak nampak ke tok ma makin ramping ni? Asyik mengejar dia aje. Itu belum pandai berjalan lagi, dah boleh berjalan esok, lagilah susah nak kawal.”

“Ya ke makin ramping? Kenapa Fea nampak tok ma makin montel aje?” Terkekeh-kekeh Sofea ketawa apabila tok ma menjegilkan matanya.

“Bila Fea nak balik? Tok ma rindu Fea la.”

“Ni dah nampak Fea, takkan rindu lagi?”

“Tak sama, sayang. Tengok macam ni tak boleh pegang, tak boleh peluk. Setakat tengok aje.”

“Tunggu rayalah tok ma.”

“Raya tahun depan... lambat lagi, Fea. Raya baru-baru ni dahlah semua tak balik.”

Dengar suara tok ma yang seperti sedang merajuk itu, terus Sofea jadi tak sedap hati. Memang patut pun tok ma merajuk, sudah lama sangat dia tidak menjenguk kampung. Baru-baru ini  memang dia berniat nak ikut mummy dan daddy balik, tapi keadaan pula tidak mengizinkan.

“Yalah, bukan seronok pun kampung ni. Bukan macam KL sana tu.” Rajuk Hajah Aida bersambung.

“Salah tu, tok ma. Bagi Fea, suasana kampung lagi seronok berbanding kat sini. Kat kampung ada pantai, ada bukit, ada lembu tok ayah, ada...”

“Tapi kat sini tak ada Harris. Tu yang sayang sangat nak tinggalkan KL kan?” Hajah Aida memotong ayat Sofea yang belum habis. Dia masih tidak lupa cerita Sofea tentang buah hatinya yang bernama Harris itu.

“Mana ada macam tu, tok ma? Walaupun  bercinta, kita orang jarang jumpa.” Memang dia bercakap perkara yang benar. Selama bercinta, boleh dikira dengan jari berapa kali sahaja dia dan Harris keluar bersama. Selebihnya, mereka hanya berbual di telefon atau bertukar-tukar mesej.

“Tak hairan pun tok ma dengan Harris tu.” Hajah Aida mencebik.

“Eh, eh, tok ma ni...” Nampak sangat tok ma tak sukakan Harris. Tapi dia tak ambil hati pun. Yalah, tok ma tak pernah jumpa Harris lagi. Kalau dah jumpa nanti, tentu melambung pujian tok ma untuk bakal cucu menantunya itu.

“Kat sini lagi seronok sebab ada J...” Hanya satu huruf itu yang sempat Hajah Aida sebut. Spontan dia menepuk-nepuk mulutnya sendiri.

Lagi sekali Sofea gelak. Comel sangat reaksi tok ma tu.

“J? Apa tu? Jambu? Jagung? Jalan raya? Kat sini pun ada semua tu, tok ma.” Sofea berlucu.

“J untuk jiran. Ya, kat sini ada jiran.” Dengan yakin sekali Hajah Aida menyebut.

“Kat sini pun ada jiran tok ma, berbagai bangsa lagi. Satu Malaysia, tau? Kat kampung tak ada kan?”

“Tak sama. Ini jiran baru. Jumpa dulu baru tau.”

“Wah, tok ma... ni yang buat Fea rasa teruja ni.” Sengaja Sofea cakap macam tu. Nak ambil hati tok ma. Kalau setakat jiran, rasanya tak adalah seronok sangat pun.

“Nanti balik tau? Ajak Irfan sekali.”

“Nanti-nanti Fea baliklah. Cuma Fea tak janji bila.”

“Suka hati Fealah.”

“Janganlah merajuk, tok ma. Tak cantik dah tok ma Fea ni.”

“Pandailah Fea tu...”


 

Ada Yang Tertinggal - Bab 1


6

.30 PETANG. Dengan langkah tak bermaya, Sofea berjalan masuk ke dalam rumah. Beg tangan dan kunci kereta dicampak ke atas meja kopi dan dia sendiri merebahkan badannya di atas sofa panjang. Memang dia penat sungguh-sungguh. Nak naik ke tingkat atas pun dah tak larat rasanya.

Baru 10 minit dia di situ, kedengaran bunyi kereta berhenti di halaman. Mummylah tu. Selalunya waktu macam inilah mummy balik. Irfan dan daddy selalunya lepas azan maghrib baru sampai rumah.

Sofea tetap dalam posisi tadi. Baring dalam keadaan terlentang dengan mata yang terpejam. Tak rasa nak bangun pun.

Sebentar kemudian, Puan Alesha masuk ke rumah. Langkahnya terhenti apabila melihat Sofea di situ.

“Fea, kenapa ni? Tak sihat ke?” Segera dia menerpa sambil menyentuh dahi si anak.

“Taklah, Fea okey.”

“Dah tu, yang terbaring kat sini kenapa?”

“Penat sangatlah.”

“Fea buat kerja apa yang penat sangat tu?”

“Hari ni Fea buat kerja kat rumah Encik Ikmal. Jaga anak-anak dia.”

Memang dia jaga anak-anak Encik Ikmal pun, tapi tidaklah penat mana. Sebetulnya, Harris yang buat dia jadi penat. Macam mana tak penat kalau dia terlalu sangat memikirkan lelaki itu? Kesannya bukan setakat di minda, dengan badannya sekali ikut penat.

Kata-kata Fizalah yang menyebabkan dia jadi banyak berfikir tentang Harris hari ini. Bukan setakat fikir, tapi hati sudah mula rasa waswas dan goyah. Sungguh, dia mula meragui lelaki itu. Tapi nak salahkan Fiza pun tak boleh juga sebab apa yang gadis itu cakap memang logik, memang ada benarnya.

Bayangkan, sudah hampir dua tahun bercinta, Harris tak nampak bersungguh pun mahu membawa hubungan mereka ke fasa selanjutnya. Cakap sayang dia, cintakan dia, apa buktinya?

 

KAU pernah beritahu aku, kau nak kahwin masa umur kau 25 tahun. Maknanya tak lama lagilah. Lagi beberapa bulan aje umur kau dah masuk 25, Fea.”

Itulah kata-kata Fiza sewaktu mereka berbual di telefon tengah hari tadi. Kata-kata yang menjadi punca keadaan dia sekarang.

“Aku tunggu Harris lamar aku.”

“Kau yakin dia akan lamar kau dalam masa terdekat?” Bila masuk saja bab Harris, suara Fiza yang lunak mendadak bertukar sinis. Menyampah benar dia dengan lelaki pujaan hati Sofea itu.

Memang dialah yang akan menemankan Sofea setiap kali gadis itu bertemu Harris, tapi tahu tak betapa menyampahnya dia untuk terlibat dalam pertemuan pasangan kekasih itu?

“Insya-Allah.”

“Kalau kau orang putus, mesti kau boleh dapat lelaki yang lebih baik.”

“Eh, kau cakap apa ni? Kenapa pulak kita orang nak putus?” Terus tinggi suara Sofea. Matanya bulat mencerlung skrin telefon. Seolah-olah Fiza yang dia sedang cerlungkan.

“Kata-kata kita ni ibarat doa tau, Za? Selalu sangat kau sebut macam tu. Buatnya betul-betul jadi, macam mana?”

“Aku cakap kalau, kan?”

“Tak payah nak kalau sangatlah. Aku dengan Harris takkan putus. Aku tak nak lelaki lain, aku nak dia aje,” ucap Sofea bersungguh-sungguh.

“Tapi kan Fea... kau dengan Harris dah dekat dua tahun bercinta. Nak tunggu apa lagi?”

“Itu kau jangan tanya aku, tanya dia.” Ikutkan Sofea sendiri dah tak sabar nak tunggu saat dan ketikanya. Tapi kalau dah Harris sendiri tak kata apa-apa, dia nak buat macam mana? Takkan dia nak jadi perigi cari timba pula?

“Okey, nanti aku tanya dia.”

“Eh, janganlah!”

“Hisy, kau ni! Tadi suruh aku tanya, lepas tu tak bagi pula.”

“Aku kalau boleh, biarlah dia lamar aku dengan kerelaan hati dia sendiri. Aku tak nak dia rasa terpaksa, Za.”

“Dia tu sebenarnya tak serius dengan kau!” tuduh Fiza.

“Siapa cakap?” marah Sofea. Tidak senang dengan dakwaan Fiza itu.

“Aku yang cakap.”

“Tak baik kau tuduh dia macam tu.”

“Nak buat macam mana, dah itu yang aku rasa,” balas Fiza dengan suara yang mengendur.

 

 “KENAPA Fea pula kena jaga anak-anak Encik Ikmal? Liyana pergi mana?”

Mati terus cerita dia dengan Fiza tengah hari tadi dengan pertanyaan mummy itu.

“Kak Liyana demam denggi, kena tahan kat wad. Encik Ikmal minta Fea ke rumah dia tolong jagakan Melia dan Medina. Tak tahulah berapa hari Fea kat rumah dia. Bergantung berapa hari Kak Liyana ditahan di wad.”

Menjadi PA atau pembantu peribadi kepada Encik Ikmal menyebabkan dia turut mengenali keluarga ketuanya itu. Bukan setakat kenal, malah dia juga sangat rapat dengan anak-anak dan isteri Encik Ikmal, Liyana. Skop tugas dia bukan setakat di pejabat, malah turut melibatkan hal-hal peribadi Encik Ikmal juga. Itulah untungnya jadi pemilik syarikat. Peraturan,  sendiri yang buat. Siapa pun tak boleh marah.

“Penat sangat ke jaga dia orang?” Puan Alesha cuba mengorek rahsia. Dia pernah jumpa Melia dan Medina. Kembar empat tahun itu pun dah besar, dah pandai bawa diri. Rasanya tak teruk mana pun nak jaga budak sebesar itu.

Entah kenapa Puan Alesha tak rasa tugas di rumah Encik Ikmal itu menjadi penyebabnya. Mesti ada hal lain. Entah-entah, lelaki bernama Harris itu yang jadi punca.

“Tak juga.”

“Dah tu, penat kenapa?”

“Susahlah nak cakap.”

“Penat sebab asyik fikirkan Harris kan?” tebak Puan Alesha.

Mata Sofea yang sedang terpejam, automatik terbuka.

“Macam mana mummy tahu Fea fikir pasal Harris?”

“Mummy teka aje.”

Agak lama Sofea memandang muka mummynya. Sebolehnya, dia mahu berlaku jujur dengan mummy. Biar mummy tahu duduk perkara sebenar. Tapi dia juga tidak mahu Harris nampak buruk di mata mummy.

“Ceritalah dengan mummy.”

Perlahan-lahan Sofea bangun daripada baring dan duduk bersandar di sofa. Tangan Puan Alesha yang sedang berdiri itu dicapai, lalu ditarik agar duduk di sebelahnya.

“Mummy rasa Harris tu ikhlas tak dengan Fea? Maksud Fea, dia saja nak main-mainkan Fea atau memang nak Fea jadi isteri dia?”

“Memang betullah sebab Harris ni?” Puan Alesha tergelak.

“Jawablah mummy...”

“Manalah mummy tau? Fea yang lebih kenal dia kan? Dahlah tak pernah bawa jumpa mummy pun.”

Benar, memang mummy tak pernah jumpa Harris. Daddy dan Irfan pun sama. Masing-masing cuma kenal Harris daripada cerita-cerita yang Sofea sampaikan.

Sebenarnya Sofea ada perancangannya sendiri. Dia hanya akan memperkenalkan Harris kepada mummy, daddy dan abangnya, Irfan setelah menerima lamaran lelaki itu. Sebelum saat itu, biarlah mereka hanya kenal nama dahulu. Lebih baik begitu.

Bila? Dia sendiri tidak punya jawapan. Lagipun Harris sendiri tidak pernah menunjukkan minat untuk bertemu keluarganya. Itu juga salah satu sebab yang membuatkan dia mahu menuduh Harris tidak serius dalam hubungan mereka.

“Mummy tak nak cakap banyak. Macam selalu, mummy cuma mampu berdoa agar Allah temukan Fea dengan lelaki yang baik-baik, lelaki yang ikhlas sayangkan Fea kerana Allah Taala. Lelaki yang boleh bawa Fea ke syurga. Siapa pun orangnya, mummy terima dengan rela hati.”

Seperti selalu, itulah yang mummy akan sebut. Mummy tak pernah nak mengulas panjang tentang Harris. Sampaikan dia pernah terfikir yang mummy mungkin tidak merestui hubungannya dengan lelaki itu.

Tetapi dia cepat-cepat mematikan sangka buruk itu. Dah mummy tak kenal Harris, nak suruh cakap macam mana lagi kan? Tapi dia percaya, kalaulah mummy dah jumpa Harris, tentu bicara mummy jadi berbeza.

Harris Shah, lelaki berusia 32 tahun yang berjawatan senior engineer di sebuah syarikat automotif itu agak kacak orangnya. Orangnya sederhana tinggi serta mempunyai kulit sawo matang. Baik budi bahasanya, tidak sombong serta sangat mengambil berat. Paling penting, Harris adalah seorang lelaki yang sangat menjaga batas pergaulan. Sepanjang mereka kenal, tak pernah sekali pun Harris mengambil kesempatan terhadap dia.

Mereka juga tidak pernah keluar berdua-duaan, pasti ada yang menemani. Kalau Harris bawa Zikri, dia pula ajak Fiza. Gadis itu yang selalu kena paksa untuk temankan dia.

Harris juga jenis lelaki yang menjaga solatnya. Solatnya pula sering di awal waktu. Tak mainlah lelaki jenis solat hujung-hujung waktu tu. Memang dia tak pernah tengok Harris solat, tapi dah itu yang Harris sebut. Jadi dia percaya.

Moto hidup dia mudah. Mahu hidup bahagia di dunia dan akhirat. Dan untuk mencapai kebahagiaan yang hakiki itu, sudah tentulah dia perlukan seorang imam yang benar-benar boleh membimbing dia ke jalan yang lurus, jalan yang diredai. Siapa lagi kalau bukan Harris?

“Dahlah, mummy nak naik, nak mandi. Fea tu pun, cepat-cepatlah mandi. Tak lama lagi dah nak masuk waktu maghrib.”

“Yalah, mummy.”

“Malam ni biar mummy masak. Fea tak larat tu.”

“Fea okeylah, mummy. Tak apa, Fea masak.” Memang dah jadi tugas Sofea memasak dalam rumah ini. Selalunya mummy tolong sikit-sikit saja. Sebetulnya dari zaman bangku sekolah lagi dia gemar memasak. Bukanlah nak membangga diri, tapi masakannya memang sedap. Selalu juga dia dapat pujian daripada keluarga dan teman-teman yang pernah merasa masakannya.

“Sebelum tu...” Baru berdiri, Puan Alesha duduk semula.

“Besok mummy dengan daddy nak balik kampung.”

“Balik Tanjung Resang?”

“Haah, tapi sebelum tu kita orang nak balik Penyabong dulu.”

Tanjung Resang adalah kampung sebelah mummy, manakala Penyabong pula kampung keluarga daddy. Kedua-duanya terletak di Mukim Endau dalam Daerah Mersing. Tapi setiap kali balik kampung, Tanjung Resanglah tempat mereka tuju. Maklumlah, nenek dan datuk sebelah daddy sudah lama meninggal dunia. Cuma tinggal saudara-mara saja di sana. Adik-beradik daddy juga semuanya sudah berhijrah ke tempat lain.

“Mummy!” Sofea jegilkan mata.

“Apa dia?”

“Kenapa tak cakap awal-awal nak balik kampung? Fea nak ikut!”

“Jomlah ikut.”

“Mana boleh! Siapa nak jaga anak-anak Encik Ikmal tu? Kak Liyana kan masih kat hospital.”

“Allah, lupa pula mummy.”

“Nak balik kampung jugak!”

Balik kampung memang sesuatu yang sangat menggembirakan pada Sofea. Rasa macam nak terbang balik saat itu juga. Dia rindu sangat nak jumpa tok ma, tok ayah dan paling penting, dia nak peluk si kecil Maryam yang comel. Dia juga rindu nak ke pantai yang cantik lagi mendamaikan itu.

Kali terakhir mereka semua balik ke kampung ialah pada hari kematian Mak Su Farah. Sudah hampir sembilan bulan. Maknanya, sudah hampir sembilan bulan juga usia Maryam. Nasib baiklah sekarang ni boleh buat panggilan video. Walaupun bukan setiap hari, sekurang-kurangnya dia boleh lihat perkembangan Maryam. Tapi yalah, tengok dalam video mana nak sama dengan melihat depan-depan.

“Mummy balik sekejap aje. Daddy nak uruskan hal tanah dengan adik-beradik dia. Lusa dah balik sini semula. Lain kalilah kita balik lagi, okey sayang? Kita ambil cuti lama sikit.”

“Baiklah, mummy.”