Saturday, December 8, 2012

novel kompilasi (BDS & BTS)

Dua novel saya 'Bila dan suka' dan 'Bukan tak sudi' akan diterbitkan dalam bentuk kompilasi dan hanya akan dijual secara eksklusif di Kedai Buku POPULAR. Jadi, bagi sesiapa yang belum memilikinya, sila-silalah ke POPULAR ya? Harganya amat berpatutan sekali, iaitu RM32.90 sahaja.


Friday, November 2, 2012

caraku...

Hari ni genap sebulan blog saya terbiar tanpa sebarang entri. Nak kata sibuk sangat tidak juga, cumanya masa saya banyak dihabiskan dengan kerja-kerja rumah yang tak pernah berkesudahan.  Bila ada masa terluang pula, saya tengok tv... baca buku, main dengan pokok-pokok, ikan dsb. Akhirnya kerja menulis terbengkalai macam tu aje. Tapi tak apa... hari ni saya akan cuba luangkan sedikit masa untuk menulis di blog saya ni. Ceritanya pendek saja dan tak adalah best mana pun.

Suatu petang, dalam lif di tempat kerja:

Orang itu     : "Akak tinggal kat mana?"

Saya           : "Serendah".

Orang itu    :  "Jauhnya".

Saya          : "Jauh sikitlah, tapi tak rasa jauh mana pun. Mungkin sebab hari-hari duk berulang..."

Orang itu  : "Pindah ajelah kak. Cari rumah dekat dengan Cyberjaya ni. Penat kak berulang        hari-hari".

Saya          : "Kenapa nak  pindah pulak? Saya tak ada masalah pun. Tak rasa penat pun. Rasa  biasa   aje. Lagipun seronok tinggal kat situ. Jiran-jiran pun okey..."

Orang itu   : "Banyak rumah kat sekitar Cyberjaya ni. Akak boleh tinggal kat Dengkil, Puchong, Salak  Selatan, Putrajaya... pindah ajelah kak..."

Saya         : "Saya memang tak nak pindah..." ( Suara masih lembut walau hati dah mula rasa nak murah.  Payah juga orang yang terlebih prihatin ni)

Orang itu  : "Kalau  tak nak pindah rumah... apa kata akak mintak kerja lain? Cari kerja dekat dengan rumah.

Saya        : Terdiam,  tak tau nak kata apa. Betul ke tak betul dia ni?

Saya tahu wanita tadi bersimpati dengan saya. Bukan dia saja, malah sering sangat saya berhadapan dengan situasi yang sama. Cumanya yang lain tu tak adalah sampai suruh saya cari kerja lain. Mengarut sangatlah tu. Tapi macam yang saya nyatakan di atas, saya tak  kisah pun dengan jarak perjalanan yang terpaksa saya lalui setiap hari.Tak rasa ianya satu masalah dan tidak membebankan saya langsung. Saya okey dengan keadaan ni. Lagipun masa yang saya ambil tidaklah lama sangat... lebih kurang sejam saja (kalau jalan tak sesak) Cuma peringkat permulaan dulu la rasa sedikit seksa. Rasa macam jauh sangat. Tapi seperti yang saya pernah tulis sebelum ni... alah bisa tegal biasa...

Walau apa pun, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan buat wanita tersebut dan juga yang lain-lain kerana prihatin dengan keadaan saya. Insya-Allah, selagi berdaya, saya akan tetap dengan cara saya...

Monday, October 1, 2012

muara hati

Sementara saya masukkan entri baru, apa kata kita dengar lagu dulu? Muara Hati ost Adam & Hawa nyanyian Hafiz dan Dato Siti Nurhaliza. Jom dengar...



Saturday, August 4, 2012

balik beraya punya cerita

Dah 15 Ramadhan pun hari ni. Lagu-lagu raya dah mula berkumandang di corong-corong radio. Bila dengar lagu raya aje, nak-nak yang yang tangkap syahdu macam lagu  Sudirman 'Dari jauh ku mohon maaf', 'Dendang Perantau' P. Ramlee dan 'Lambaian Aidilfitri' dendangan Saleem & Jamal Abbdillah (sekadar menyebut beberapa contoh lagu), spontan perasaan nak balik ke kampung terasa membuak-buak.  Kalau boleh nak balik masa tu juga. Dah tak sabar-sabar rasanya nak jumpa ibu dan ayah (bagi yang masih ada ibu bapa) serta sanak saudara.

Tahun ni giliran balik ke kampung siapa agaknya ya? Kampung suami atau isteri? Penang atau Pahang? Balik Perak atau Kelantan? Saya, Insya-Allah kalau tiada aral akan beraya di kampung suami dulu di Johor. Biasalah... ikut giliran dan kebetulan tahun ni turn kampung suami saya pula. Walaupun kedua ibu bapa suami dah tak ada, tapi masih ada adik beradik dan saudara mara di sana. Alhamdulillah, setakat ini belum pernah lagi kami bergaduh pasal nak balik raya ni. 

Tapi saya percaya, ada pasangan suami isteri yang bergaduh dan bermasam muka hanya kerana hal ini. Yalah, kalau dah tahun lepas dan tahun sesebelum ni dah beraya kat kampung dia, takkan tahun ini pun kat kampung dia lagi? Melampau sungguh tu. Apa! ingat dia sorang aje ke yang ada kampung? Ingat dia sorang aje ke yang nak bersalam dan cium tangan mak ayah pada pagi raya? Itulah cerita yang saya dengar dari mulut kawan saya sendiri. Katanya, setiap tahun, dia dan anak-anak beraya di kampung suaminya di Perak. Dari tahun pertama mereka berkahwin sampailah anak dah ada empat, belum pernah sekalipun mereka beraya di kampungnya di Johor. Walaupun tak berpuas hati, dia turutkan saja. Bukan apa, malas nak bergaduh dan bermasam muka dengan suami.

Setelah berbelas tahun mengalah, akhirnya untuk pertama kalinya dia meminta dengan suami  agar pada tahun tersebut, mereka semua beraya di kampung dia pula. Macam yang dia dah agak, suaminya terus membantah. "Kalau awak nak balik ke kampung awak... awak baliklah. Bawak anak-anak sekali. Saya tetap nak balik kampung saya."  Sampai macam tu sekali. Ketegaq punya orang hehehe... Jadi pada tahun tersebut, buat pertama kalinya mereka terpisah di hari raya. Kawan saya dan anak-anak beraya di Johor, suaminya pula di Perak.

Masa bercinta dulu... bukan main lagi... "demi awak launtan api pun sanggup kurenangi." Tapi bila dah berkahwin...pasal balik beraya pun nak gaduh. Apa daa...  kicik punya hal pun mau gaduh ke?

Pada saya, hal ni mudah saja. Amalkan sikap bertolak ansur. Perlu ada persefahaman antara suami isteri. Jangan pentingkan diri sendiri sahaja. Buat macam saya ni haa... amalkan sistem giliriran. Tahun lepas dah kat kampung kau, tahun ini kat kampung akulah pulak. Bukan ke mudah macam tu? 

Renung-renungkan dan teruskan beramal...

Sunday, July 29, 2012

pura-pura sakit

Bangun bersahur pagi Jumaat baru-baru ni,  badan rasa lemah, tekak rasa perit, mata rasa pedih dan berair, kepala pula terasa berat semacam. Mulanya malas nak layan sangat tapi bila kepala dah mula berdenyut-denyut, saya buat keputusan untuk ke klinik. Selepas pemeriksaan, doktor mengesahkan saya demam. Dah agak dah. Sebenarnya dah agak lama juga saya tak demam. Kali terakhir... entahlah, bila ya? Okeylah.. tinggalkan dulu hal demam saya tu... tak penting pun. Sebenarnya apa yang nak saya ceritakan di sini adalah perkara yang saya saksikan ketika di klinik. Kisah seseorang yang cuba nak menipu. Okey, ceritanya macam ni...

Semasa saya sampai di klinik pagi itu, seorang lelaki baru lepas membuat pendaftaran. Orangnya masih muda, tegap dan tak nampak rupa orang sakit pun. Malah, masa menunggu giliran dipanggil bertemu doktor, sempatlah saya memerhatikan gelagatnya yang asyik berbalas-balas SMS dan menerima panggilan. Bukan main ceria lagi suaranya... siap boleh gelak-gelak lagi. Memang tak nampak macam orang sakit langsung. Saya pun tak tahu kenapa dalam ramai-ramai orang kat dalam klinik tu, saya 'berminat' pula dengan dia.

Sedang asyik memerhati, tiba-tiba nama lelaki tersebut dipanggil.  Dia segera bangun. Yang buat saya rasa nak tergelak, lelaki yang sedang berSMS itu tiba-tiba mengerang sambil kedua-dua belah tangan menekan-nekan perut. Jalan pula terbongkok-bongkok. Konon macam sakit sangatlah tu. Terus saya cuit suami di sebelah. Kata saya, lelaki itu menipu dan hanya berpura-pura sakit. Tak sempat saya nak bercerita lebih lanjut pada suami, lelaki itu keluar semula dari bilik doktor. Memang sekejap sangat dia kat dalam. Rasanya tak sampai seminit pun.

Selepas itu giliran saya pula dipanggil. Keluar dari bilik doktor beberapa minit selepas itu, lelaki tadi masih ada lagi di luar. Dia berlalu ke kaunter ubat setelah namanya dipanggil. "Ubat ni makan sekali pagi, sekali malam, antibiotic ni kena habiskan... bla bla... bla. Time slip ni doktor bagi sampai pukul 11.30 aje. Lepas tu awak kena masuk kerja balik." Nampak benar lelaki itu tak puas hati. Dia pandang muka kerani kat kaunter tu macam nak telan. Macam kerani tu bersalah pulak. 

"Kenapa encik?" tanya kerani perempuan yang masih muda itu. 
"Takkan tak dapat mc," soalnya dalam nada marah.
"Entah... mana saya tau. Tadi doktor cakap apa?"
Lelaki itu tak jawab. Tapi dia tetap berdiri di situ. Saya pula, setelah mendapat ubat saya, terus keluar dari situ. Tak tahulah apa kesudahan cerita lelaki itu.

Memang tepat tekaan saya, lelaki itu sebenarnya tidak sakit tapi berpura-pura sakit. Rasanya doktor pun dah masak dengan perangai orang-orang macam tu. Sebab itulah agaknya tak sampai seminit pun dia kat dalam bilik doktor.  Sebab itu jugalah doktor tak bagi MC.

Rasanya, banyak lagi kes lain yang sama macam yang saya temui di klinik tempoh hari. Sangat tidak faham dengan orang-orang macam ni. Hanya untuk mendapatkan sekeping sijil sakit (sah-sahlah sebab malas kerja) mereka sanggup menipu, sanggup berpura-pura sakit.  Nanti betul-betul Tuhan bagi sakit baru tau...

Saturday, July 21, 2012

bahagiamu deritaku

Sesekali layan lagu okey jugak kan? Lagu nyanyian Hafiz ni sangat sesuai untuk orang-orang yang baru putus kasih. Sedih banget... jangan sampai menitis air matanya ya.... 

Salam Ramadhan

Marhaban ya Ramadhan.... 

Ramadhan datang lagi. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa buat semua. Marilah kita sama-sama berdoa agar diberikan kesihatan dan kekuatan dalam menjalani ibadah di sepanjang  bulan penuh berkah ini. Mudah-mudahan Allah SWT akan sentiasa memberkati dan merahmati kita semua. Amiiin....