Saturday, April 20, 2013

tolong edit...

Assalamualaikum & salah sejahtera,

20 April 2013. Maka selesailah sudah proses penamaan calon untuk PRU ke13 yang akan diadakan pada 5 Mei nanti. Kebetulan tarikh itu jatuh pada hari terakhir pesta buku (PBAKL2013). Macam mana tu ya? Agak-agak ke mana dulu saya nak pergi pada hari tersebut? Pesta buku atau mengundi? Insya-Allah saya akan mengundi terlebih dahulu, kemudian barulah bergerak ke PWTC. Harap-harap semuanya akan berjalan dengan lancar. Seperti beberapa penggal lepas, sekali lagi saya akan membuang undi di Parlimen Hulu Selangor dan DUN Batang Kali...


Berbalik kepada tajuk enti saya hari ini... 'tolong edit..' Sebenarnya saya banyak menerima permintaan daripada rakan dan juga pembaca... baik melalui emel, panggilan telefon atau secara berhadapan.  Mereka meminta saya menilai dan mengedit karya mereka. Bila didatangi permintaan sebegini, saya jadi serba salah. Bukan apa... risau ada yang berkecil hati. Terus terang, bukan tak nak tolong... tapi saya memang tak sempat nak buat benda tu. Nak menulis pun saya terpaksa pandai mencari dan mencuri masa, ini kan pula nak membaca dan mengedit karya orang lain. Sangat tak sempat. Lagipun saya tak rasa saya layak untuk buat kerja itu. Jujur aje ya... saya tak reti dan tak berani untuk menilai karya orang lain.

Jadi kepada sesiapa yang pernah bertanya dan pernah menghantar karya juga kepada saya untuk dinilai dan diedit, saya minta maaf banyak-banyak. Saya berpendapat, adalah lebih baik sekiranya karya tuan/puan terus dihantar ke mana-mana penerbit. Di sana, mereka mempunyai editor yang memang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan. Kalau ada rezeki... mungkin  karya tuan/puan akan diterbitkan. Insya-Allah...

Itu sahaja untuk kali ini... jumpa lagi :)

Thursday, April 18, 2013

aku, dia & bintang



Insya-Allah novel terbaru saya 'AKU, DIA & BINTANG' akan menemui pembaca di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 yang akan bermula pada  26 April nanti (hari lahir saya...) Saya berharap novel kali ini juga akan dapat memberi kepuasan kepada pembaca... 
Mari kita baca sinopsisnya :

SAAT tahu kecurangan Zaim, hati bagai dirobek-robek. Dia terluka sungguh-sungguh. Lalu dia nekad batalkan perkahwinan mereka. Ke  Indonesia, dia membawa hati. Mudah-mudahan, dia akan beroleh ketenangan sekaligus melupakan apa yang berlaku. Malangnya, bukan ketenangan yang dia dapat... sebaliknya hati jadi semakin huru-hara… hati semakin porak-peranda. Semuanya gara-gara Andri… cowok seberang yang pintar berkata-kata.

Andri - “Aku tau kalau kamu juga suka sama aku.”

Leya – “Eii! Jangan perasan boleh tak? Saya tak suka kamulah.”

Andri – “Guru aku pernah bilang... saat seorang wanita menolak kamu, sebenarnya di saat itu dia paling membutuhkan kamu.”

Leya - Guru saya pernah cakap... kalau seseorang tu benar-benar tulus cintakan kita, dia tak mengharapkan cintanya dibalas.”

Dalam tak suka, Leya akui… cuma badannya yang pulang ke Malaysia, sedangkan hatinya tertinggal di sana bersama Andri.

Leya - “Kalau saya minta bulan dan bintang, kamu sanggup bagi?”

Andri - “Aku nggak janjikan bulan dan bintang buat kamu… tapi aku akan temani kamu selamanya di bawah cahayanya yang benderang.”

Baharu hatinya nak rasa bahagia, ujian tiba. Andri hilang tanpa khabar berita. Dia jadi bingung… dia jadi nanar. Meski  Redza  setia menemani, namun Andri tetap di hati. 

Redza - Saya tak ada niat nak pengaruhi awak untuk terima lamaran umi. Tapi percayalah… kalau jawapan awak nanti berpihak pada saya, pada umi… saya janji saya akan gembirakan awak… bahagiakan awak. Saya akan cuba jadi seperti Andri walaupun saya tahu selama-lamanya saya takkan boleh jadi macam dia.”

Lalu, bagaimana kesudahan kisah Leya? Apakah dia akan ketemu Andrinya semula? Atau Redza yang menjadi galang ganti? Aku Dia & Bintang ada jawapannya.

Saturday, February 16, 2013

nama watak

Semalam seorang kawan (saya namakan dia sebagai Sam) menegur blog saya yang dah lama tidak dikemaskini. Kata Sam, dia memang suka masuk blog saya tapi setiap kali masuk, tak ada pun entri baru. Memang saya mengaku, dah lama sangat saya tak update blog saya ni. Bukan aje tak update, jenguk pun jarang-jarang. Tak tahulah nak bagi alasan apa. Nak kata sibuk, orang lain pun sibuk juga. Nak salahkan masa pun tak boleh juga... sebab kalau saya pandai urus masa dengan betul, tentu tak ada masalah, kan? Betul tak?

Dalam dok menegur blog saya yang terabai tu, sempat juga, Sam bertanyakan tentang novel terbaru saya. Yang kelakarnya, siap mintak supaya namanya dimasukkan dalam novel saya tu. Minta maaflah ya Sam... permintaan ditolak. Bukan apa, nama awak dah pernah saya masukkan dalam novel saya 'Maafkan Ku Sayang'. Watak lelaki tua yang miang. hahaha...  Nama awak tu memang sesuai untuk watak-watak macam tu aje pun. Untuk watak hero, memang payah sikitlah. Lagi sekali... sorry ya Sam... terimalah kenyataan. (Jangan marah, nanti kena jual).

Sebenarnya bukan Sam saja... ramai lagi yang meminta saya masukkan nama-nama mereka dalam novel saya. Terutamanya kenalan di ofis. Dan ramai juga yang saya dah tunaikan permintaan mereka.  Al-Humidallah, Hafidz, Fazli, Dalia, Shima. Ipin, Zahirah, Afizan, Salmah, Wan Hamdanie... itu cuma sebahagian dari nama-nama yang pernah saya abadikan untuk watak-watak dalam novel saya.

Bercakap tentang nama watak, saya sebenarnya lebih senang menggunakan nama-nama  yang simple dan senang diingati. Ada juga pembaca yang mencadangkan beberapa nama kepada saya tetapi memandangkan nama-nama tu agak terlalu moden dan sedikit susah untuk disebut, tak dapatlah saya tunaikan. 

Setakat ini ajelah dulu untuk kali ini. Saya nak sambung tulis novel... Insya-Allah, senang-senang nanti, saya akan ke sini lagi...

Saturday, December 8, 2012

novel kompilasi (BDS & BTS)

Dua novel saya 'Bila dan suka' dan 'Bukan tak sudi' akan diterbitkan dalam bentuk kompilasi dan hanya akan dijual secara eksklusif di Kedai Buku POPULAR. Jadi, bagi sesiapa yang belum memilikinya, sila-silalah ke POPULAR ya? Harganya amat berpatutan sekali, iaitu RM32.90 sahaja.


Friday, November 2, 2012

caraku...

Hari ni genap sebulan blog saya terbiar tanpa sebarang entri. Nak kata sibuk sangat tidak juga, cumanya masa saya banyak dihabiskan dengan kerja-kerja rumah yang tak pernah berkesudahan.  Bila ada masa terluang pula, saya tengok tv... baca buku, main dengan pokok-pokok, ikan dsb. Akhirnya kerja menulis terbengkalai macam tu aje. Tapi tak apa... hari ni saya akan cuba luangkan sedikit masa untuk menulis di blog saya ni. Ceritanya pendek saja dan tak adalah best mana pun.

Suatu petang, dalam lif di tempat kerja:

Orang itu     : "Akak tinggal kat mana?"

Saya           : "Serendah".

Orang itu    :  "Jauhnya".

Saya          : "Jauh sikitlah, tapi tak rasa jauh mana pun. Mungkin sebab hari-hari duk berulang..."

Orang itu  : "Pindah ajelah kak. Cari rumah dekat dengan Cyberjaya ni. Penat kak berulang        hari-hari".

Saya          : "Kenapa nak  pindah pulak? Saya tak ada masalah pun. Tak rasa penat pun. Rasa  biasa   aje. Lagipun seronok tinggal kat situ. Jiran-jiran pun okey..."

Orang itu   : "Banyak rumah kat sekitar Cyberjaya ni. Akak boleh tinggal kat Dengkil, Puchong, Salak  Selatan, Putrajaya... pindah ajelah kak..."

Saya         : "Saya memang tak nak pindah..." ( Suara masih lembut walau hati dah mula rasa nak murah.  Payah juga orang yang terlebih prihatin ni)

Orang itu  : "Kalau  tak nak pindah rumah... apa kata akak mintak kerja lain? Cari kerja dekat dengan rumah.

Saya        : Terdiam,  tak tau nak kata apa. Betul ke tak betul dia ni?

Saya tahu wanita tadi bersimpati dengan saya. Bukan dia saja, malah sering sangat saya berhadapan dengan situasi yang sama. Cumanya yang lain tu tak adalah sampai suruh saya cari kerja lain. Mengarut sangatlah tu. Tapi macam yang saya nyatakan di atas, saya tak  kisah pun dengan jarak perjalanan yang terpaksa saya lalui setiap hari.Tak rasa ianya satu masalah dan tidak membebankan saya langsung. Saya okey dengan keadaan ni. Lagipun masa yang saya ambil tidaklah lama sangat... lebih kurang sejam saja (kalau jalan tak sesak) Cuma peringkat permulaan dulu la rasa sedikit seksa. Rasa macam jauh sangat. Tapi seperti yang saya pernah tulis sebelum ni... alah bisa tegal biasa...

Walau apa pun, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan buat wanita tersebut dan juga yang lain-lain kerana prihatin dengan keadaan saya. Insya-Allah, selagi berdaya, saya akan tetap dengan cara saya...

Monday, October 1, 2012

muara hati

Sementara saya masukkan entri baru, apa kata kita dengar lagu dulu? Muara Hati ost Adam & Hawa nyanyian Hafiz dan Dato Siti Nurhaliza. Jom dengar...



Saturday, August 4, 2012

balik beraya punya cerita

Dah 15 Ramadhan pun hari ni. Lagu-lagu raya dah mula berkumandang di corong-corong radio. Bila dengar lagu raya aje, nak-nak yang yang tangkap syahdu macam lagu  Sudirman 'Dari jauh ku mohon maaf', 'Dendang Perantau' P. Ramlee dan 'Lambaian Aidilfitri' dendangan Saleem & Jamal Abbdillah (sekadar menyebut beberapa contoh lagu), spontan perasaan nak balik ke kampung terasa membuak-buak.  Kalau boleh nak balik masa tu juga. Dah tak sabar-sabar rasanya nak jumpa ibu dan ayah (bagi yang masih ada ibu bapa) serta sanak saudara.

Tahun ni giliran balik ke kampung siapa agaknya ya? Kampung suami atau isteri? Penang atau Pahang? Balik Perak atau Kelantan? Saya, Insya-Allah kalau tiada aral akan beraya di kampung suami dulu di Johor. Biasalah... ikut giliran dan kebetulan tahun ni turn kampung suami saya pula. Walaupun kedua ibu bapa suami dah tak ada, tapi masih ada adik beradik dan saudara mara di sana. Alhamdulillah, setakat ini belum pernah lagi kami bergaduh pasal nak balik raya ni. 

Tapi saya percaya, ada pasangan suami isteri yang bergaduh dan bermasam muka hanya kerana hal ini. Yalah, kalau dah tahun lepas dan tahun sesebelum ni dah beraya kat kampung dia, takkan tahun ini pun kat kampung dia lagi? Melampau sungguh tu. Apa! ingat dia sorang aje ke yang ada kampung? Ingat dia sorang aje ke yang nak bersalam dan cium tangan mak ayah pada pagi raya? Itulah cerita yang saya dengar dari mulut kawan saya sendiri. Katanya, setiap tahun, dia dan anak-anak beraya di kampung suaminya di Perak. Dari tahun pertama mereka berkahwin sampailah anak dah ada empat, belum pernah sekalipun mereka beraya di kampungnya di Johor. Walaupun tak berpuas hati, dia turutkan saja. Bukan apa, malas nak bergaduh dan bermasam muka dengan suami.

Setelah berbelas tahun mengalah, akhirnya untuk pertama kalinya dia meminta dengan suami  agar pada tahun tersebut, mereka semua beraya di kampung dia pula. Macam yang dia dah agak, suaminya terus membantah. "Kalau awak nak balik ke kampung awak... awak baliklah. Bawak anak-anak sekali. Saya tetap nak balik kampung saya."  Sampai macam tu sekali. Ketegaq punya orang hehehe... Jadi pada tahun tersebut, buat pertama kalinya mereka terpisah di hari raya. Kawan saya dan anak-anak beraya di Johor, suaminya pula di Perak.

Masa bercinta dulu... bukan main lagi... "demi awak launtan api pun sanggup kurenangi." Tapi bila dah berkahwin...pasal balik beraya pun nak gaduh. Apa daa...  kicik punya hal pun mau gaduh ke?

Pada saya, hal ni mudah saja. Amalkan sikap bertolak ansur. Perlu ada persefahaman antara suami isteri. Jangan pentingkan diri sendiri sahaja. Buat macam saya ni haa... amalkan sistem giliriran. Tahun lepas dah kat kampung kau, tahun ini kat kampung akulah pulak. Bukan ke mudah macam tu? 

Renung-renungkan dan teruskan beramal...