Saturday, June 9, 2012

alah bisa tegal biasa

Cuti sekolah dah hampir melabuhkan tirainya. Selamat tinggal x-box 360,  internet,  komik... John Green, John Grisham, Jeffry Archer. Selamat kembali ke sekolah. Dah dua minggu berseronok... sekarang masa untuk belajar pula. PMR dah makin hampir ya. Jangan buat-buat lupa. 

*Pesanan ni sebenarnya ditujukan khas buat anak saya Aisyah Fatihah yang nampak bahagia benar sepanjang cuti dua minggu ni... 

Mulai Isnin ini juga Kuala Lumpur akan kembali sibuk, jalan akan kembali sesak. Walaupun saya tinggal di Selangor dan bekerja di Selangor tetapi saya terpaksa redah Kuala Lumpur juga untuk sampai ke tempat kerja.  Pelik bunyinya kan? Tinggal di Selangor, bekerja di Selangor... kenapa nak kena redah Kuala Lumpur pulak? Pelik tapi benar... hehehe...

Untuk makluman saya tinggal di Serendah, Hulu Selangor. Bekerja pulak di Cyberjaya. Jauh kan? Sempadan Perak dan sempadan Negeri Sembilan tu. (Kalau tak percaya... cuba tengok peta) Mula-mula dulu, memang rasa macam mustahil. Rasa jauh sangat-sangat... tapi kata orang 'alah bisa tegal biasa.' Dah enam bulan lebih dan saya dah boleh biasakan diri. Alhamdulillah setakat ni masih mampu bertahan. Mudah-mudahan akan terus bertahan... Insya-Allah...

Friday, April 27, 2012

sedikit dari 'tolong ingatkan aku'


BAB 3

AZAH memerhatikan setiap sudut rumah yang kosong. Di sinilah dia dilahirkan. Di rumah inilah dia dibesarkan. Walaupun rumah mereka di Taman Melawati jauh lebih besar dan selesa tetapi dia lebih suka di sini. Banyak sangat kenangan di rumah ini. Pahit, juga manis. Kalau bukan kerana ayah, jangan harap dia mahu berpindah. Dia mahu terus di sini. Dia mahu menghabiskan hari-harinya di sini. Tapi apa boleh buat, penghijarahan yang dilakukan dulu adalah atas kehendak ayah. Dia faham perasaan ayah yang mahu melupakan segalanya. Lalu, sebagai anak, dia harus akur. Dia harus menghormati, meskipun hatinya mahukan sebaliknya.
Baru dua minggu lepas Kak Yanti sekeluarga berpindah dari sini. Suaminya, Harun yang bertugas sebagai seorang guru bertukar ke Kelantan. Walaupun sekadar penyewa rumah, Kak Yanti sekeluarga menjaga rumah ini seperti rumah mereka sendiri. Kalau ada apa-apa kerosakan, mereka sendiri yang membaikinya. Selama sepuluh tahun tinggal di sini, daripada belum ada anak sampailah anak dah ada tiga, belum pernah Zainal dan Azah bermasalah dengan penyewa rumah mereka itu.
          Mulai hari ini, rumah teres setingkat dengan tiga bilik ini bakal disewa oleh orang lain pula. Atas alasan itulah, pagi-pagi lagi Azah sudah berada di sini. Ayah yang meminta dia bertemu seterusnya menyerahkan kunci rumah kepada penyewa itu. Selalu pun begitu. Kalau ada apa-apa hal yang berkaitan rumah ini, dialah yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskannya. Ayah seperti biasalah, di rumah bersama Awie.
          Sedang ralit melayan hati, tiba-tiba terdengar bunyi hon kereta. Segera Azah ke hadapan dan membuka pintu. Sebuah BMW M3 Coupe berwarna perak berada betul-betul di hadapan pintu pagar. Beberapa saat kemudian, seorang pemuda keluar dari tempat pemandu. Orangnya kacak, tinggi dan berambut ikal mencecah bahu. Dia berkaca mata hitam dan memakai seluar denim biru, baju-t warna merah dan berjaket kulit hitam. Lelaki itu berdiri sebentar sambil memandang kawasan sekitar.
          “Dia ni ke penyewa baru tu?” sungut Azah perlahan. Rasa macam tak percaya. Tengok pada gaya dan penampilan serta kereta yang dipandu, nampak macam orang berada. Takkan dia nak menyewa rumah teres kos sederhana macam ni?
          Dah puas memandang kawasan sekitar, pemuda itu menalakan pandangannya kepada Azah pula. Tanpa menanggalkan cermin mata hitamnya, dia berjalan ke arah dalam pagar yang memang sedang ternganga pintunya.
          “Awak Encik Azlan Harris ke?” soal Azah apabila lelaki itu berada betul-betul di hadapannya. Ayah yang memberitahunya nama itu.
          “Ini ke rumahnya?” Tanpa menjawab pertanyaan Azah, lelaki itu menyoal balik. Suaranya tidak mesra.
          “Jadi betul lah awak ni Azlan Harris?” soal Azah lagi. Lagak lelaki itu buat hatinya jadi jengkel. Hilang terus panggilan encik yang diguna tadi.
          “Jadi betul lah ini rumah Encik Zainal?” Soalan Azah tidak dijawab, sebaliknya lelaki itu menyoal balik. Soalan dah hampir sama dengan soalan Azah tadi. Kasutnya ditanggalkan dan dia melangkah ke dalam.
           Azah tetap angguk walaupun lelaki itu tak nampak. Hati rasa makin geram. Mamat ni memang jenis tak reti nak hormat orang. Suka hati dia aje meredah masuk dalam rumah ni. Kut ya pun, mintalah izin dulu. Buat rumah orang macam rumah sendiri.
 Nasib baik dia dalam mood yang baik, kalau tidak, memang dah kena ‘sembur’ mamat perasan bagus ni. Dari tempat dia berdiri, dia hanya memerhatikan gerak geri lelaki itu. Tak ada hati pun nak ikut sama, padahal itulah yang ayah minta dia lakukan. Kata ayah, Azah harus mengiringi lelaki yang bernama Azlan Harris itu, seterusnya menunjukkan dan menerangkan apa yang patut tentang rumah itu. 
          “Keciknya ruang tamu... dapur... bilik pun kecik. Macam mana nak hidup ni?” ujar Azlan dengan wajah yang sombong. Dia sudah pun menyertai Azah yang masih berdiri di hadapan muka pintu.
          Terasa panas telinga Azah dengan omelan itu. Melampaunya dia ni. Ini dah kira menghina ni...
          “Kalau rasa tak boleh hidup kat dalam rumah kecik ni... tak payah sewa lah. Cari aje rumah lain. Bukan ada orang paksa pun.” Sinis suara Azah, sambil tangannya menggoyang-goyangkan gugusan kunci di tangan. Niatnya supaya Azlan akan segera keluar dari situ dan dia pula akan mengunci rumah itu semula. Tak jadi sewa pun tak apa. Lagi bagus. Ramai lagi orang nak menyewa. Tunggulah sehari dua lagi, mesti ada yang bertanya.
          “Berlagak! Macam ini ke cara kau layan penyewa?” Lelaki itu menanggalkan cermin mata hitamnya dan merenung Azah dengan muka garang.
          “Penyewa macam awak... memang macam tu cara nak layan.”
          “Kalau macam inilah cara kau... jangan harap ada orang nak sewa rumah ni.”
          Azah yang sedang merenung seraut wajah di hadapan jadi membuntang matanya. Telinga yang panas tadi, dah terasa makin pijar. Dia ni memang melampau... sangat-sangat melampau.
          “Saya lebih rela rumah ni kosong sampai bila-bila daripada biarkan orang macam awak tinggal kat sini.”
          “Aku pun tak ingin tinggal kat sini, tau? Ingat aku hairan sangat ke?”
          “Kalau betul tak hairan... berambus ajelah dari sini, tunggu apa lagi?” Azah menudingkan tangannya ke arah pintu pagar.
          “Eh! Cakap elok-elok sikit ya...”
          “Saya dah cakap habis elok dah ni. Sekarang saya nak awak keluar dari sini. Silakan.”    
Azlan tidak berganjak sedikit pun. Dia hanya merenung muka Azah. Naik merah padam mukanya kerana terlalu geram. Rasa macam nak cili-cili aje gadis tu. Mulut lancang bukan main.
          “Tunggu apa lagi... keluarlah...” jerit Azah, hilang sabar. Lantas menolak badan lelaki itu.
          “Wei! Apa tolak-tolak ni?” tempik Azlan.
          Tiada reaksi dari Azah. Cepat-cepat dia mengunci pintu. “Cepat keluar dari sini... saya nak kunci pintu pagarlah,” jeritnya, apabila Azlan masih tercegat di situ.
          “Eleh! Rumah sekangkang kera... nak berlagak. Aku boleh cari rumah yang lebih besar dari rumah ni lah,” ujar Azlan dengan angkuh. Kemudian melangkah ke arah luar pagar.
          “Suka hati kaulah... nak cari rumah banglo ke, kondo ke, penthouse ke... ada aku kisah?” balas Azah selamba. Selepas mengunci pintu pagar, dia berlalu ke motosikalnya.
          “Woi! Perempuan... kalau aku jumpa kau lagi, siap kau.”
          Azah malas nak layan. Selepas enjin dihidupkan, dia memandang lelaki itu sekejap. Sambil tersenyum mengejek, motosikalnya bergerak pergi. 

 BAB 5

SEPERTI hari-hari sebelum, hari ini motosikal Kriss Azah melalui jalan itu lagi. Walaupun sibuk, itu sajalah jalan yang dia tahu. Nak tak nak, kena redah ikut situ juga. Dia bukanlah macam Zakiah yang serba tahu tentang jalan di Kuala Lumpur ni. Maklumlah gadis itu memang jenis yang kuat ‘berjalan’. Sebut sahaja jalan mana, semua dia tahu. Namakan saja pusat membeli-belah yang ada kat Kuala Lumpur ni, semua dalam kocek Zakiah. Semua dah pernah Zakiah jelajahi. Kalau pasal Kuala Lumpur ni, janganlah cuba-cuba nak kelentong dia. Padahal Si Zakiah tu berasal dari Teluk Intan, Perak dan baru sahaja dua tahun bermastautin di Kuala Lumpur. Belajar dulu pun, di UiTM Perlis.
Berbeza benar dengan Azah. Walaupun dia merupakan anak jati Kuala Lumpur tapi masih banyak jalan yang dia belum hafal. Masih banyak tempat yang dia belum lawati. Pusat membeli belah lagilah. Setakat Sogo, The Mall, Mid Valley pernahlah dia pergi... itu pun boleh dibilang dengan jari. Pavillion, Berjaya Times Square, The Curve dan entah apa-apa lagi sampai sekarang dia belum pernah jejakkan kaki. Habis macam mana? Pernah sepupunya yang datang dari kampung gelakkan dia hanya kerana dia berterus terang yang dia tak pernah menaiki LRT. Tapi yalah, dia nak naik LRT buat apa? Dia ada motosikal. Sebelum ada motosikal pun, dia selalu menumpang kereta ayah. Jadi, tak ada sebab kenapa dia suka-suka hati nak pergi naik LRT.
Nun di sana, lebih kurang 100 meter di hadapan, seorang lelaki baru nak melintas jalan. Kebetulan jalan agak lengang pagi itu. Tak seperti selalu. Kalau tidak, berpeluh jugalah nak melintas di situ. Faham-faham sajalah jalan di Kuala Lumpur ni. Lainlah kalau ada jejantas. Tapi sikap orang-orang di Kuala Lumpur ni satu hal juga. Walaupun ada jejantas, mereka tetap nak melintas juga. Bukan mereka pedulikan keselamatan diri pun. Janji cepat sampai.
Tiba-tiba sebuah motosikal memecut laju dari arah belakangnya. Memotong motosikal yang sedang dia tunggang dan beberapa buah kenderaan lain. Lelaki yang baru nak melintas tadi, cuba berpatah balik ke belakang. Mungkin terkejut dengan kedatangan mendadak motosikal itu. Tetapi belum sempat dia berbuat begitu, badannya dirempuh motosikal tadi. Lelaki itu berpusing dua tiga kali, sebelum jatuh ke tanah.
Dari atas motosikalnya Azah menjerit. Kuat suaranya. Kejadian yang berlaku secara spontan itu buat dia benar-benar tergamam. Semuanya berlaku dengan begitu pantas. Rasanya tak sempat matanya nak berkelip pun. Yang buat hatinya rasa terbakar, motosikal yang melanggar tadi langsung tidak menghiraukan lelaki itu, sebaliknya semakin memecut laju, meninggalkan tempat itu.
“Ooii! Berhenti... kurang ajar...” jerit Azah lagi. Macamlah orang itu dengar pun. Tanpa berfikir panjang dia memberhentikan motosikalnya, lalu menerpa lelaki yang sedang terbaring itu.
“Encik... encik okey ke?” soal Azah sambil memandang lengan dan sebahagian badan lelaki itu yang dipenuhi darah.
“Kaki saya...” ucap lelaki itu dengan muka yang berkerut, kesakitan.
“Encik kena pergi hospital ni.”
Lelaki itu mengangguk. Buat masa ini, dia ikut sahaja apa saranan Azah. Dalam keadaan begitu, dia sudah tidak mampu berfikir lagi.
Alamak! Macam mana nak pergi hospital ni? Takkan nak bawak dengan motosikal pulak. Sambil berfikir begitu, mata Azah memandang kenderaan yang sedang bertali arus, kut-kutlah ada yang sudi memberikan pertolongan. Tetapi sebuah pun enggan berhenti. Semuanya hanya memperlahankan kenderaan untuk melihat kejadian yang berlaku.
Dengan bantuan Azah, lelaki itu cuba berdiri, tetapi baru beberapa saat, dia terduduk semula ke tanah. “Arghhh... kaki saya.”
“Kenapa kaki encik?”
“Entahlah... sakit sangat.”
“Kaki encik patah ke?”
“Tak tau...”
“Tunggu ya encik... saya tahan teksi,” ucap Azah dengan hati yang sebal. Kesal dengan sikap pemandu-pemandu itu. Dia tahu, seperti dia sendiri semua nak ke tempat kerja, semua ada urusan masing-masing tetapi masakan tak boleh luangkan masa sebentar untuk membantu orang yang dalam kesusahan. Mungkin hari ini hari dia, mana tahu esok-esok akan tiba hari kita pula. Lagipun kejadian macam ni bukan berlaku setiap hari pun. Bukan hari-hari pun kita nak kena tolong orang.
Azah cepat-cepat menahan apabila ternampak kelibat sebuah teksi. Dalam hati dia mengucapkan rasa syukur apabila teksi itu tidak mempunyai penumpang dan sudi pula berhenti.
“Pak cik tolong bawa encik ni ke hospital ya... dia kemalangan,” kata Azah setelah lelaki itu selamat masuk ke dalam perut teksi. Kemudian dia mengeluarkan dompet dari dalam beg sandangnya dan mengeluarkan RM20.00 dari situ. Seterusnya menghulurkan kepada pemandu teksi yang berumur lebih separuh abad itu. “Ini duit tambang dia. Kalau tak cukup... pak cik tolong halalkan ya.”
“Ini pun dah lebih dari cukup, cik.” Pemandu teksi tersenyum lebar.
“Tak apa... saya ada duit. Saya boleh bayar sendiri,” ucap lelaki yang dilanggar motosikal tadi, lambat-lambat. Dalam muka penuh kesakitan, dia memandang Azah.
“Eh! Tak apa... hari ni saya tengah baik hati. Saya memang berniat nak tolong encik.”
“Terima kasih...”
Azah angguk sambil tersengih. Dia baru nak menutup pintu teksi apabila terdengar suara lelaki itu. “Siapa nama cik?”
“Azah.” Selepas menjawab begitu, segera pintu ditutup. “Azah Zahra...” sambungnya, tapi dia gerenti lelaki itu dah tak dengar. Tak apalah... tak penting pun. Yang penting, dia tidak boleh berlengah lagi. Dia hanya ada 15 minit saja lagi untuk sampai ke pejabat. Dia kena cepat. Kalau tidak, akan mengamuk lagilah singa betina a.k.a mawar berduri tu. Nampak gayanya, dia harus memecut motosikalnya dengan laju. Jadi minah rempitlah dia di pagi nan hening ini.
“Motosikal aku... mana motosikal aku?” jerit Azah apabila mendapati motosikalnya sudah tiada di tempat tadi. Kalut sangat nak menolong orang, dia jadi terlupa untuk mematikan enjin dan meninggalkan Krissnya macam tu saja.
“Wei! Bongok... pulangkan balik motosikal aku tu,” jeritnya lagi entah kepada siapa. Dengan hati yang marah, dia menanggalkan topi keledarnya dan menghempas ke tanah.

Tuesday, April 17, 2012

novel terbaru saya

Inilah dia novel terbaru saya, 'Tolong Ingatkan Aku'. Novel ni akan keluar masa Pesta Buku Antarabangsa di PWTC nanti. Harap-harap novel ini mampu memuaskan hati pembaca...


SINOPSIS :

Tak handsome pun tak apa… janji baik hati dan kuat pegangan agama. Kalau dapat ustaz lagi bagus. Dia banyak kelemahan. Dia serba-serbi kekurangan. Dia perlukan orang macam tu untuk membimbing dan memimpinnya ke jalan yang diredai.


Pertemuan pertama kali dengan Azlan mengundang sengketa antara mereka. Azah memang menyampah dengan lelaki perasan bagus tu. Cakap berdegar-degar tapi habuk pun tak ada. Hidup hanya tahu menyusahkan orang. Dengan ayah, dengan mak long bolehlah Azlan nak masuk jarum tapi bukan dengan dia ya.

“Saya berani potong jari… takkan ada ustaz yang nak awak. Usah kata ustaz, lelaki lain pun tak nak perempuan perangai entah apa-apa dan brutal macam awak tu. Entah-entah lawyer yang mak long awak carikan tu pun tak sudi bila jumpa awak nanti.”

Dalam tak sedar, perempuan yang entah apa-apa itulah yang telah berjaya mencuri hatinya. Perempuan brutal itu jugalah yang dia mahukan. Tapi mana dia nak sangka, ada juga lelaki yang ‘pandang’ Azah… nakkan Azah. Bukan calang-calang orang pulak tu. El ada pakej lengkap. El menepati ciri-ciri yang Azah cari selama ini. Siapalah dia jika mahu dibandingkan dengan lelaki itu? Perbezaan antara mereka sangat jauh. Macam langit dan bumi.

TOLONG INGATKAN AKU mengajak anda untuk sama-sama ketawa, senyum, marah, merajuk dan menangis bersama Azah, Azlan, El dan yang lain-lain. Selamat membaca dan menghayati.


Thursday, March 29, 2012

sabarlah...


Sembilan tahun mereka bercinta. Malah dah merancang untuk ke arah yang lebih serius. Dia pula jenis yang sangat mengambil berat. Kalau orang tu nak ke mana-mana, dia yang hantarkan... dialah yang temankan. Setiap hari orang tu balik dari kerja, dialah yang menjemput. Pantang dengar orang tu susah sikit ataupun sakit, cepat saja dia menolong. Orang tu punya pasal, dia tak berkira langsung. Tak pernah merungut sedikit pun. Selama bertahun-tahun itulah yang dia lakukan. Yang bagusnya dia bukan ambil berat pasal orang tu saja, malah keluarganya sekali. Dari situ nampak, dia memang ikhlas. Dia bukan nakkan orang tu aje... malah dia boleh terima keluarga orang tu juga. Dan dia beruntung kerana pilihannya mendapat restu keluarga. Orang itu diterima baik dalam keluarganya.

Tapi betullah kata orang... panas tak semestinya sampai ke petang. Ada kalanya hujan kan turun di tengah hari. Masa jumpa beberapa hari sebelum tu semuanya elok-elok aje. Mereka tak gaduh... tak bermasam muka. Tetapi bila jumpa balik lepas tu, tiba-tiba orang tu berubah secara mendadak. Orang tu seolah-olah tak kenal dia... dah lupa janji-janji yang pernah mereka buat bersama. Orang tu juga cakap tak pernah punya apa-apa perasaan pun pada dia. Yang lebih menghairankan, orang tu dah tak nak jumpa dia lagi. Pelik dengan perubahan itu, dia berjumpa mak orang tu. Cuba minta penjelasan. Tapi hasilnya sama saja. Mak orang tu minta dia lupakan anaknya dan jangan ganggu anaknya lagi. Aneh, kan?

Kerana hal itu, dia jadi bingung. Dia sangat tidak faham. Kepada ibu bapanya dia bercerita. Malah sempat mengalirkan air mata. Yalah, siapa tak sedih, kan? Tapi dalam begitu pun dia masih tak nak menyalahkan orang itu. Dia masih mahu bersangka baik. Katanya dia tak kisah kalau orang tu betul-betul dah tak nakkan dia... dia reda. Cuma yang dia bimbang, kalau-kalau orang tu dianiaya atau melakukan perkara itu di luar sedarnya (fahamkan maksud saya?)

Sudah seminggu, dan dia sengaja menyibukkan diri dengan bermacam-macam aktiviti. Mungkin itu caranya untuk dia melupakan. Saya tahu dia terkilan kerana hajat yang tak kesampaian tapi bersabarlah. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini. Dan saya berdoa, mudah-mudahan segala-galanya akan kembali okey selepas ini.

*Kisah benar yang akan saya selitkan di dalam novel saya selepas ini...


Friday, March 16, 2012

cerita novel

gambar ihsan Amie Corey

Novel dah siap. Insya-Allah sebulan dua lagi akan berada di pasaran. Macam biasalah... risau nak tunggu reaksi pembaca. Saya tahu agak susah nak penuhi selera semua orang. Cita rasa orang berbeza-beza. Kalau si A suka 'Bila Dah Suka', Si B pula suka 'Tinggallah Pujaan'. Yang Si C pulak suka gila dengan 'Bukan Tak Sudi' tapi kata Si D, dia tak berapa gemar cerita tu, dia lebih sukakan 'Yang Ku Cari.'

Tapi kebanyakan pembaca saya sukakan 'Kalau Ada Jodoh'. Mereka sukakan watak Pyan sampaikan kalau boleh hero-hero saya selepas itu pun dia orang nak macam Pyan juga. Berambut panjang, maco, pandai main gitar, pandai menyanyi, manja, kuat merajuk... itu yang dia orang suka. Sebetulnya saya sendiri sukakan watak Pyan tu. Tapi tu la... macam tak sesuailah pulak kalau hero asyik-asyik macam tu aje. Kenalah ada kelainan... betul tak?

Perasan tak... pembaca lebih berminat dengan hero. Jarang-jarang dia orang perkatakan tentang heroinnya. Kenapa ya? Adakah sebab majoriti pembaca novel adalah perempuan? Boleh jadi juga...

Sekarang saya tengah bersemangat untuk memulakan novel seterusnya. Belum mula pun sebenarnya... baru berangan-angan. Tengah duk kumpul idea. Kalau boleh tak naklah ada persamaan dengan novel-novel saya sebelum ni. Agaknya macam mana pula hero dan heroin saya selepas ini ya? Pening juga nak fikir ni. Nama-nama watak pun nak kena fikir juga tu. Kalau boleh tak naklah guna nama yang canggih-manggih sangat. Dari dulu lagi, saya lebih gemarkan nama-nama yang simple dan senang disebut.

*Saya selalu macam tu... mula-mula aje bersemangat. Lepas tu, novel ke mana, apa ke mana. Hahaha...

Thursday, March 15, 2012

cerita kahwin


Biasalah... bila cuti sekolah aje, mesti ada orang kahwin. Bila orang kahwin aje... mesti masa cuti sekolah. Tapi sekarang dah tak macam dulu lagi. Bukan musim cuti sekolah pun, ramai aje yang berkahwin.

Bila sebut pasal kahwin ni, teringat masa zaman muda remaja saya dulu. Bila berkumpul dengan kawan-kawan, kahwinlah yang selalu jadi topik pilihan. Bukan main lagi masa tu. Seronok sebenarnya berbincang dan berangan pasal tu. Berebut-rebut semua orang nak bercerita pasal suami idaman masing-masing. Ada yang nak bakal suami macam Jamal Abdillah (masa tu Jamal tengah top), ada yang nak macam Syed Sobree. Ada kawan tu pulak nak kahwin dengan jutawan. Pendek kata, semua nak yang handsome dan yang hebat-hebat saja.

Bila tiba tang saya, semua pakat gelak. Saya cakap... saya nak suami saya nanti orang Kuala Lumpur. Kalau tak pun, suami yang ada dusun buah-buahan. Itu yang dia orang gelak sakan tu. Konon saya punya keinginan entah apa-apa. Macamlah hebat sangat kalau dapat kahwin dengan orang KL. Memang masa remaja dulu, bila dengar orang tu datang dari KL aje, saya rasa macam dia tu hebat sangat. Kagum sangat kat orang tu. Entah apa yang hebat sangat pun tak taulah...

Walaupun jodoh saya bukan dengan orang Kuala Lumpur tapi saya berkahwin dengan orang yang ada dusun buah-buahan. Bukan dusun dia pun... dusun ayah dia. Hehehe. Kira tercapai jugalah hasrat saya, kan? Setiap kali tiba musim buah-buahan, puaslah dapat makan durian, rambutan, langsat dan sebagainya. Tapi kawan-kawan saya tadi, tak ada sorang pun yang berjaya mendapat apa yang diidamkan. Itu la, siapa suruh berangan yang bukan-bukan...

Itu ajelah yang nak dikongsi kali ini. Tak ada apa pun sebenarnya. Saja nak mengimbau cerita lama... :)

Wednesday, March 7, 2012

apa agaknya khabar dia?


Tiba-tiba hari ni saya teringatkan seorang kakak ni. Dia jururawat di sebuah hospital kerajaan. Saya kenal dia semasa kami sama-sama dimasukkan ke wad beberapa tahun lepas. Ketika tu saya disyakki mengidap demam denggi, dia pula ada penyakit tibi. Beberapa hari tinggal sebilik, saya jadi rapat dengan dia. Saya jadi tempat dia meluahkan perasaan. Setiap malam sebelum tidur, dia akan membuka kisah sedihnya. Kisah di mana dia menjadi mangsa penderaan suami. Kata kakak tu, selama berbelas-belas tahun dia hidup dalam penderitaan. Maki hamun, penampar dan sepak terajang adalah makanan hariannya. Pantang buat silap sikit, pasti kena. Pernah sekali tu dia kena pukul dengan kerusi makan. Sampai patahlah kerusi tu.

Kebetulan suaminya memang rajin melawat. Tak kira masa. Pagi, petang, siang, malam. Tengah-tengah malam pun dia boleh melawat lagi tu. Ikut suka hati dia aje. Mentang-mentang isterinya jururawat, dia buat wad itu macam dia yang punya. Saya yang berada sebilik dengan isterinya memang rasa tak selesa. Bayangkan, tengah kita sedap-sedap tidur, tiba-tiba dengar suara dia yang marah-marah dan melenting. Isteri tengah sakit pun dia nak marah-marah. Teruk sungguh. Saya tahu isterinya sendiri tak selesa dengan sikap suaminya, tapi tak berani nak tegur. Kata kakak tu, suaminya memang suka mengawal gerak geri dia. Kalau boleh, ke mana pun dia pergi, mesti dilapor kepada suaminya terlebih dahulu. Sebab itulah selama beberapa hari isterinya di wad, dia asyik datang. Semata-mata nak memerhati gerak geri isterinya.

Satu malam tu, lebih kurang dalam pukul 12 lebih, suami kakak tu datang dengan membawa nasi lemak. Katanya, dia yang masak sendiri. Disuruh isterinya makan walaupun dah berulangkali isterinya cakap yang dia sudah kenyang. Lagipun dah lewat sangat. Terus suaminya jadi marah. Dipaksa juga isterinya makan. Yang tak tahannya, dengan saya-saya sekali dipaksa makan. Memanglah saya tak nak. Apahal pulak nak paksa-paksa saya, kan? Bukan ada kena mengena dengan dia pun. Bila saya tak nak, lagilah dia marah. Bila tengok keadaan suaminya yang dah lain macam, terus kakak tu makan nasi lemak buatan suaminya tu. Dia ajak saya sekali makan. Saya yang dah naik risau terpaksalah makan sama. Gila punya kerja... orang lain semua tengah sedap tidur, yang kami dua orang dok makan nasi lemak. Suami dia pulak dok perhati sampai kita orang habis makan.

Selepas keluar dari wad, ada juga sesekali kakak tu hubungi saya. Di pihak saya sendiri memang tak pernah menelefon pun. Memang dia tak bagi saya telefon dia. Malah nombornya juga saya tak simpan. Suaminya tak suka isterinya berhubungan dengan sesiapa pun. Malah dengan keluarganya sendiri pun macam tu. Tapi sekarang, langsung dah tak ada khabar beritanya lagi. Entah apalah agaknya khabar dia sekarang? Berbahagiakah dia atau masih lagi seperti dulu?