Thursday, May 21, 2015

Sabarlah Duhai Hati (Bab 2)



“KAU ni apa hal? Muncung aje dari tadi.” Dian pandang Fira yang sedang memandu.
          Fira tak beri respons. Matanya pandang tegak ke hadapan.
          “Nur Syafira, aku tanya kau ni... jawablah."
          “Aku rasa macam nak pindah aje.” Tanpa menjawab pertanyaan Dian, tiba-tiba Fira berkata begitu.
          “Pindah? Maksud kau pindah rumah?” Besar mata Dian. Biar betul kawan aku ni.
          “Yalah.”
          “Kau nak pindah ke mana?
          “Papa aku memang ada rumah lagi satu kat Shah Alam. Rumah tu kosong, tak ada orang duduk. Aku ingat aku nak pindah sana kut.”
          “Kau nak tinggal dengan siapa kat sana?”
          “Tinggal sorang aje la.”
          “Berani kau tinggal sorang?”
          “Berani.”
          “Beranilah sangat. Macamlah baru sehari aku kenal kau.” Dian mengejek.
          “Suka hati kau la nak kata apa pun.”
“Mama dan papa kau benarkan ke?”
          “Entah.”
          “Kenapa kau nak pindah, Fira?”
          “Hei, Banyak soal la kau ni.”
          “Alah... jawab ajelah, kenapa kau nak pindah?”
          “Bosanlah duduk kat rumah.”
          “Bosan?” Dian ketawa mengekek. Jawapan yang sangat tak masuk akal. “Kalau aku yang cakap bosan... logik la jugak. Umi aku walaupun dah tak kerja tapi sibuk dengan macam-macam aktiviti. Abi aku biasalah, kat klinik. Abang Affan sah-sah la tinggal dekat rumah dia sendiri. Pembantu rumah memang tak ada. Selalunya aku aje sorang-sorang kat rumah. Macam kau lain, nenek kau ada, bibik pun ada... ada Danish pulak lagi. Nak bosan apanya?”
          Malas nak jawab, Fira jongket bahu.
          “Dulu setiap kali aku ajak keluar, kau cakap kau lebih suka duduk kat rumah. Bila kita keluar pulak, kau tak sabar-sabar nak balik. Kau kata, rumahku syurgaku. Sekarang tiba-tiba pulak nak pindah. Konon bosan tinggal kat rumah. Ni mesti ada apa-apa yang tak kena, kan?”
          “Mana ada apa-apa? Tak ada apalah.”
          “Macamlah aku nak percaya.”
          “Terpulang,” balas Fira.
          “Nenek kau suka membebel, kan? Sebab tu la kau nak pindah, betul tak?” Dian meneka. Entah betul, entah tidak. Bukan dia selalu jumpa pun nenek Fira tu.
          “Tak adalah.”
          “Kalau bukan nenek kau, mesti  kau selalu kena marah dengan mama atau papa kau.”
          “Mana ada? Memandai aje cakap macam tu.”
          “Haa... aku tau.”
          “Kau tak payah nak teka sangatlah Dian, oii. Aku tak ada masalah pun  kat rumah, kecuali bosan.”
          “Kau ingat aku nak percaya? Aku tau kau bukan bosan, tapi kau tu sebenarnya cemburu dengan adik kau. Sebab cemburu kau sanggup nak pindah rumah. Betul tak? Tapi kan Fira... kau ingat mama dan papa kau nak benarkan ke? Aku berani potong jari, dia orang takkan bagi punya,” ucap Dian seraya pandang Fira. Walaupun sahabatnya itu tidak mahu berterus terang, dia dapat rasa Fira cemburukan adiknya yang seorang itu. Maklumlah hampir 20 tahun sebagai anak tunggal, dilimpahi dengan segala kemewahan serta kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, dah tentulah kehadiran Danish buat Fira rasa tercabar.
          “Eii, Bercakap ikut sedap mulut aje. Siapa cakap aku cemburu dengan budak kenit tu?”
          “Hah, tengok! cemburu punya pasal, nama Danish pun kau tak nak sebut. Kesian adik kau dapat kakak macam ni.”
          Bibir Fira dah jadi panjang. Sakit pula hatinya dengan ucapan Dian tu. Memang betul pun dia cemburukan Danish, tapi perlu ke sebut? Saja nak tengok dia marah.
          “Kau serius ke nak pindah rumah?” Melihat rupa Fira yang semacam, Dian buka cerita tentang berpindah rumah semula. Bukan apa, tak naklah Fira jadi lebih marah. Nanti Danish punya hal, mereka pula bermasam muka.
          “Serius la. Ingat aku main-main ke?” Sebenarnya tak serius pun. Tak ada maknanya orang penakut macam dia nak berpindah rumah dan tinggal seorang diri. Sengaja dia cakap macam tu sebab nak puaskan hati sendiri. Lagipun dia sayang banglo dua tingkat, tempat dia tinggal sekarang. Yalah sejak kecil lagi dia tinggal di situ. Sebab itulah dia tidak bersetuju apabila mama dan papa menyuarakan hasrat hati untuk berpindah baru-baru ini. Mungkin mereka kecewa. Tapi dia ada alasan sendiri. Dia memang tak ada hati nak berpindah ke sana. Tempat jatuh lagi kan dikenang, ini kan pula tempat dia membesar. Tapi mama dan papa memang ibu bapa yang memahami. Mereka sanggup melupakan hasrat hati mereka semata-mata kerana dia, anak yang degil ini.
          “Lagi satu... apa pendapat kau kalau aku cari kerja?”
          “Kau nak cari kerja?” Dian ketawa terkekeh-kekeh.
          “Kenapa gelak?”
          “Macam tak percaya aje orang malas macam kau nak kerja.”
          “Mulut kau ni, kan?”
          “Dah memang betul kau tu pemalas.”
          “Kalau betul, kau nak cakap apa?”
          “Kalau betul, alhamdulillah. Kau boleh kerja kat syarikat abang aku.” Cepat Dian menjawab.
          “Tak naklah.”
          “Aku tau la syarikat abang aku tu kecik. Tapi untuk cari pengalaman, apa salahnya.”
          “Bukan sebab itu la.”
“Dah tu, kenapa pulak?”
Mengada-ngada betul la Dian ni. Macamlah tak faham-faham.
Lagi nak tanya.
“Nanti aku cakap dengan abang.”
“Cakap apa?”
          “Cakap kau nak cari kerja la.”
“Tak jadilah. Duduk macam ni lagi bagus, kan?”
“Dah agak dah. Dasar pemalas.”
 “Kau sendiri kenapa tak kerja dengan abang kau?”
“Tak suka la kerja dengan abang sendiri.”
“Ya la tu. Cakaplah yang kau tu pun pemalas.” Sengaja Fira bergurau begitu, padahal dia tahu, Dian adalah seorang yang rajin dan boleh diharap. Sebenarnya beberapa bulan selepas tamat pengajian di UTHM,  Dian pernah bekerja di sebuah syarikat IT. Tapi hanya dua bulan pertama gajinya dibayar. Selepas itu langsung tiada sehinggalah Dian mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
“Eh, mana ada? Yang malas kau aje sorang tau.”
“Yalah, yang bagus semua kau. Yang tak elok semua akulah.”
“Tau tak apa.” Dian gelak mengekek.

 “ASSALAMUALAIKUM Fira. Dah lama sampai?”
Fira yang ralit dengan majalah di tangan, angkat muka. Aunty Laila berjalan masuk ke dalam rumah. Mungkin dari pasar raya, memandangkan kedua-dua belah tangannya penuh dengan beg plastik yang berisi barang.
          “Waalaikumussalam. Eh! aunty, Fira baru aje sampai.”
          Barang di tangan, Aunty Laila letak atas lantai. Dia sendiri duduk sebelah Fira atas sofa.
          “Aunty dari mana ni, shopping ke?” Fira bertanya ramah seraya menyalami dan mencium tangan Aunty Laila.
          “A’ah... shopping sikit-sikit. Kebetulan Abang Affan kamu ada balik, aunty ajaklah dia temankan aunty pergi cari barang dapur. Banyak barang dah habis.”
          Abang Affan kamu? Lain macam aje bunyinya Aunty Laila ni? Tapi ucapan itu tak penting pun untuk diambil peduli. Yang penting, Affan tu sendiri. Mana nak menyorok ni? Dian, siap kau. Sampai hati kau tak cakap pun Abang Affan ada balik. Kalaulah dia tahu Affan ada kat rumah, jangan harap dia nak singgah tadi.
          Beberapa ketika selepas itu Affan masuk. Lelaki itu menghulurkan senyumannya yang manis itu buat Fira.
Fira melarikan pandangannya ke arah lain. Entah kenapa, setiap kali Affan senyum, dia rasa seperti lelaki itu sedang mengejek dan menyindirnya. Senyuman tu palsu, bukan senyuman ikhlas. Dia fikirkan Affan akan berlalu ke dalam tapi tak. Sebaliknya lelaki itu mengambil tempat atas sofa berhadapan Fira dan uminya.
Hisy! Apahal mamat ni duduk kat sini pulak? Banyak lagi tempat lain kut. Fira merungut dalam hati.
          “Fira duduk dulu ya? Aunty nak ke dapur.”
          “Fira dah nak balik, aunty.” Cepat-cepat Fira jawab. Bila Aunty Laila dah masuk ke dalam, bermakna dia akan berdua-duaan dengan Affan. Jangan harap!
          “Kata baru sampai. Takkan dah nak balik?” soal Aunty Laila dengan rasa hairan.
          “Err... memanglah baru sampai, tapi Fira cuma hantar Dian aje. Tak ada niat pun nak lama-lama kat sini.”
          “Bukan selalunya Fira suka lepak kat sini ke?” soal Aunty Laila lagi.
          “Memang pun tapi hari ni tak bolehlah aunty. Fira kena balik sekarang. Ada kerja nak kena buat kat rumah.” Fira buat alasan. Langsung tak pandang Affan. Tumpuannya hanya kepada Aunty Laila.
          “Ooo okey...”
          “Balik dulu ya, aunty?”
          “Tak tunggu Dian dulu?”
          “Tak kut, aunty. Nanti Fira call Dian.”
          “Yalah...” balas Aunty Laila sambil membiarkan tangannya dipegang dan dicium gadis itu.
          “Sampaikan salam aunty kat mama, ya?”
          “Insya-Allah.” Fira tak tunggu lagi. Segera langkahnya disusun ke pintu rumah. Tak pandang Affan pun walaupun dari ekor matanya, dia perasan Affan sedang pandang dan senyum kepada dia. Tak apalah. Tak perlu kut nak pandang dan balas senyuman mamat tu.
          Aunty Laila sendiri membawa beg-beg plastik ke ruang dapur.
          “Mana Fira?” tanya Dian yang baru keluar dari biliknya. Dia berlalu ke muka pintu. Kemudian menjenguk ke luar rumah. Toyota Rush milik Fira sudah tiada di tempat tadi. Sedarlah dia, Fira sudah pun pergi. “Abang, adik tanya ni... mana Fira?”
          “Entah, dah balik kut.”Affan membalas.
          “Kenapa dia balik?”
          “Laa... mana la abang tau?”
          “Abang cakap apa kat dia?”
          “Tak cakap apa-apa pun.”
          “Mesti abang ada cakap apa-apa. Kalau tak... tak adanya dia balik tergesa-gesa macam tu.”
          “Suka hati aje tuduh orang.”
          “Fira tak pernah macam tu tau. Bila ada abang aje, dia jadi menggelabah tak tentu pasal. Mesti ada apa-apa ni.”
          “Suka hati adik la nak cakap apa pun. Malas la abang nak layan.”
          Tak sempat Dian nak sambung membebel, telefon Affan berbunyi.
          Telefon dari dalam poket, Affan keluarkan. Lalu jari telunjuknya dibawa menyentuh skrin.
          Muka Dian masam mencuka. Tak puas hati dengan Affan. Dia dapat rasa Abang Affan yang menyebabkan Fira balik tanpa sempat menunggunya. Entah apa agaknya yang Abang Affan cakap kat Fira tadi. Bukan boleh percaya sangat abang ni. Tapi kalaulah betul Abang Affan tak cakap apa-apa, mesti ada apa-apa yang berlaku antara kawan baik dan abangnya tu. Sesuatu yang hanya menjadi rahsia mereka berdua. Sebetulnya dah lama dia menyimpan rasa musykil ini. Kenapa ya, Fira sentiasa mengelak dari jumpa Abang Affan? Kalau kebetulan bertemu atau terserempak, Fira akan jadi macam cacing kepanasan.
“Assalamualaikum, Nadia.” Affan hulurkan salam.“ Aku kat rumah, baru aje balik. Apa dia? Kau nak ajak aku keluar?”
          Dian mencebik. Kak Nadia rupanya. Tak ada kerja lain agaknya perempuan tu. Asyik nak berkepit dengan Abang Affan aje. Menyampah! Ini semua opah punya pasal. Suka sangat nak padankan cucu-cucu. Kalau boleh semua cucu nak kena berkahwin dengan sepupu sendiri. Termasuklah Abang Affan dan dia sendiri. Kalau Abang Affan cuba dipasangkan dengan Nadia, anak Mak Ngah Shima, dia pula dengan Firdaus, anak Pak Long Zaki. Tapi jangan harap dia nak ikut. Memanglah Firdaus bersetuju tapi kalau dia sendiri tak nak, benda tu takkan jadi pun. Si Firdaus pun satu, macamlah tak reti nak mencari sendiri. Yang nak ikut sangat rancangan mengarut opah tu kenapa?
          Sorry la... aku baru aje balik dengan umi. Takkan nak keluar lagi kut.”
          Dian senyum. Kan bagus Abang Affan jawab macam tu? Selalu tu Abang Affan main ikut saja telunjuk perempuan itu. Memanglah Kak Nadia tu sepupu dia juga tapi kalau dah perangai mengada-ngada, siapa suka?
          “Kalau kau nak pergi, kau pergi ajelah. Ajaklah siapa-siapa temankan. Kan aku dah cakap aku baru balik, penat pun belum hilang tau?” Lantas Affan putuskan percakapan.
          “Baru la nampak macam lelaki,” sindir Dian.
“Weh! memang abang lelaki, apa?” Besar mata Affan. Sakit pula hatinya dengan ucapan Dian tu.
          “Memanglah lelaki tetapi lelaki lembik.” Dian mencebik. Kemudian berlari ke dalam. Sempat lagi menjelir kepada abangnya.
          “Berani adik cakap macam tu. Nak kena ni!” Affan berteriak kuat.
         

Wednesday, May 20, 2015

Sabarlah Duhai Hati (Bab 1)



FIRA memang teringin punya adik. Tak dapat ramai, seorang pun jadilah. Maklumlah dia anak tunggal. Mama dan papa pula selalu sahaja sibuk. Kalau ada adik taklah dia rasa sunyi sangat. Ada juga kawan untuk diajak bermain, bergurau senda, bersembang, malah boleh diajak bergaduh juga. Tapi itu dulu, sewaktu dia masih di zaman kanak-kanak. Memasuki usia remaja, dia dah tak kisah lagi. Dia sudah rasa selesa dengan apa yang dia ada. Jadi anak tunggal tanpa perlu berkongsi apa-apa dengan adik-beradik lain. Semuanya hanya untuk dia seorang, termasuklah kasih sayang mama dan papa.
Masa dapat tahu mama hamil, dia memang tak boleh terima. Bayangkan masa tu dia sudah berusia hampir 20 tahun dan mama sendiri berumur 45 tahun. Usia yang agak tidak sesuai untuk punya anak lagi. Tapi bukan itu soalnya. Yang buat dia risau, bagaimana sikap serta layanan mama dan papa terhadap dia selepas anak itu lahir nanti? Apakah masih sama seperti sesebelum ini?
          “Fira suka adik perempuan atau lelaki?” Soalan itu mama ajukan ketika usia kandungannya dah nak masuk lapan bulan.
          Kalau boleh, Fira tak nak jawab soalan itu. Tapi kalau tak jawab, apa pula kata mama? Tentu mama berkecil hati. Tak kisahlah lelaki atau perempuan, dia memang tak suka. Dia tak nak adik. Dia tak nak ada orang lain antara dia, mama dan papa. Dia juga tidak mahu kasih sayang mama dan papa buat dia akan jadi susut dan berkurangan.
          “Lelaki...” Nak tak nak dia jawab masa tu. Jawapan tak ikhlas.
          Dengan kuasa Allah, sebulan selepas itu, mama benar-benar melahirkan seorang bayi lelaki. Bayi yang dinamakan Muhammad Aiman Danish itu lahir cukup sihat dan cukup sifatnya.

DARI atas tangga, Fira   pandang ke bawah dengan rasa meluat. Mama, papa dan nenek sedang melayan Danish bercakap. Macam-macam benda yang keluar dari mulut si kecil itu. Semuanya benda-benda merepek dan entah apa-apa. Dah puas bercakap, Danish gelak tak ingat dunia. Papa, mama dan nenek ikut gelak sama. Entah apa agaknya yang lucu sangat sampai beria-ia dia orang gelak. Nampak sangat semua orang sayangkan Danish, semua orang pentingkan Danish. Kalau selama ini semua tertumpu kepada dia seorang, sekarang jangan haraplah. Balik-balik, Danish, Danish, Danish. Menyampah!
Dulu pantang dia hilang sekejap, semua sibuk bertanya. Tapi sekarang, dia hilanglah selama mana pun, berkurunglah dalam bilik sehari suntuk pun, langsung tak ada yang kisah, langsung tak ada yang risau. Kalau ada pun hanya suara nenek yang marah-marah kerana dia tak melayan Si Danish tu.
 Sebab itulah dia rasa tidak selesa berada di rumah. Daripada melihat muka si kenit yang menyakitkan hati tu, lebih baik dia habiskan masa di luar. Ya betul, dia bukanlah jenis yang suka berfoya-foya atau keluar tak tentu hala. Rumah adalah segala-galanya pada dia. Rumahku syurgaku. Tetapi buat masa sekarang, berada di luar rumah adalah jauh lebih baik.
“Fira... kenapa tercegat aje kat situ? Mari sini.” Papa yang sedang meriba Danish  melambaikan tangannya. “Panggil kakak, sayang,” arah papa.
“Kakak... marilah sini.” Nyaring suara Danish memanggil.
Fira tak jawab tapi sempat menjuihkan bibirnya. Langkahnya diatur laju meniti saki-baki anak tangga ke tingkat atas.
“Kakak tak nak kawan dengan adik ke, pa?” Danish dah tayang muka sedih.
“Tak adalah... kakak tu nak berehat. Dia penat tu.”
Danish angguk, faham. Turun dari ribaan papa, lantas terkedek-kedek ke hadapan televisyen. Alat kawalan jauh dicapai. Ligat jemarinya menukar saluran. “Yeah, Spongebob!” Dia menjerit, girang.
“Tak habis-habis nak dengki dengan Danish.” Hajah Maziah merungut sambil pandang Danish.
“Ina tau dia kecil hati dengan Ina tu, mak. Dia rasa tersisih. Yalah, sejak ada Danish, Ina dah kurang beri perhatian pada dia.” Zalina menjawab.
“Abang pun sama juga, Ina. Dah jarang bersama-sama dia sekarang ni. Tak hairanlah kenapa dia jadi macam tu,” kata Hamidi pula.
 “Tak payah risau sangatlah pasal Fira tu. Dia bukan budak kecik. Dah dua puluh empat tahun... dah besar panjang dah pun.” Hajah Maziah buat komen.
Zalina senyum seraya pandang Hajah Maziah. “Memang la Fira tu dah besar panjang, tapi dia tak matang macam orang lain, mak. Selama ni, dia aje sorang anak kami. Semua orang manjakan dia, beri perhatian pada dia. Tapi sekarang, semua orang tak kisahkan dia sangat.”
Hajah Maziah angguk. Betul, dia sangat bersetuju dengan Zalina. Sebelum ini Fira sangat manja dengan mama dan papanya. Malah dia sendiri sangat manjakan Fira. Maklumlah sebelum Danish lahir, hanya Fira satu-satunya anak Hamidi dan Zalina. Kebetulan pula, hanya Fira seorang cucu perempuan yang dia ada.
“Ina tak rasa dia akan terus macam tu. Nanti dia akan sedar juga tu.”
“Dah empat tahun dah, Ina. Mak takut dia akan terus macam tu sampai bila-bila. Kesian kat Danish aje nanti.”
Zalina dan Hamidi saling berpandangan. Sebenarnya itu jugalah yang sering menjadi topik perbincangan mereka berdua. Terus terang, mereka juga amat bimbang dengan keadaan itu, cumanya tidak diberitahu kepada emak. Tetapi tak sangka pula, walaupun hanya sesekali ke mari, emak juga dapat menghidu perkara tersebut.
“Sebelum keadaan jadi lebih teruk, Ina atau pun Hamidi kena cakap dengan dia elok-elok. Kena pujuk dia baik-baik. Mak rasa belum terlambat lagi tu.”
“Yalah mak,” balas Zalina lembut.


"WOI, tepilah! Orang nak tengok TV pun tak senang.” Fira yang sedang duduk atas sofa jegil mata. Kedatangan Danish betul-betul mengganggu konsentrasinya.
  “Adik nak milo.”
 “Mintak dengan aku buat apa? Pergi la mintak dengan bibik. Suka  kacau orang.”
  “Nak miloooo!” Danish berteriak.
  “Eh, eh, budak ni. Tak faham bahasa ke, apa? Aku cakap mintak dengan bibik... mintak dengan bibik la. Selama ini bukan bibik ke yang buat semua untuk kau? Hidup kalau tak menyusahkan orang tak sah.”
Jerkahan Fira segera mengundang tangisan Danish.
   “Eleh... marah sikit pun nak meraung. Budak manja.”
Hajah Maziah yang sedang menyiram pokok-pokok hiasan di halaman meninggalkan kerjanya. Lantas menerpa masuk ke dalam rumah.
“Fira ni kalau sehari tak buat adik nangis tak boleh gamaknya. Cubalah jangan berkira sangat dengan adik tu.” Hajah Maziah marah. Cucu yang berusia empat tahun itu dihampiri, lantas dengan sekuat tenaga diangkat lalu didukung.
“Dah besar gajah pun masih nak berdukung lagi. Entah apa-apa.” Fira membebel perlahan. Siap menjuih bibir lagi. Menyampah dengan layanan berlebihan nenek. Tak mustahil bila dah besar nanti Danish akan jadi mengada-ngada dan lupa diri. Mana taknya, semua orang dalam rumah ni beri muka sangat dekat dia. Semua yang dia minta kena bagi, semua yang dia cakap kena ikut.
“Haaa... tu membebel apa pulak tu?” tegur Hajah Maziah.
Fira pekakkan telinga. Malas nak jawab soalan nenek.
“Kenapa adik nangis?” soal Hajah Maziah. Dia sudah pun duduk atas sofa. Danish berada atas ribaannya.
“Adik nak minum milo, tapi kakak tak nak buatkan. Lepas tu kakak marah adik.” Dalam esakannya Danish mengadu.
“Amboi! Kecil-kecil lagi dah pandai mengadu kau, eh? Nak kena budak ni.” Wajah si adik ditatap penuh geram.
 Danish peluk nenek. Takut tengok muka garang Fira.
“Siapa cakap dia mengadu? Nenek yang tanya dia, kan? Yang Fira nak marah dia tu kenapa?”
“Nenek tu memang... sikit-sikit nak sebelahkan dia. Kalau Fira ni semua tak betul. Nenek memang tak adil!” Panjang muncung Fira. Geram dengan nenek. Tapi dia lagi geram dengan budak kecil tu. Ikutkan hati, nak aje dia bagi penampar. Biar budak tu tak berani nak menjawab lagi.
“Tengok tu... suka hati dia aje tuduh nenek macam tu.”
Fira tutup telinga dengan tangannya. Tak nak dengar apa yang nenek cakap.
“Pergi buat milo adik,” arah Hajah Maziah.
Tangannya Fira larikan dari telinga. Kemudian pandang nenek. “Fira bukan reti pun buat milo.”
“Tak reti ke tak nak buat?”
“Tak reti,” balas Fira.
“Nama aje dah besar panjang. Buat milo pun tak reti. Tak boleh harap la Fira ni. Macam mana nak kahwin kalau benda senang macam tu pun tak boleh nak buat?” bebel Hajah Maziah. Tapi dia tahu Fira tak bercakap benar. Setakat bancuh milo, takkan tak reti kut.
Fira mencebik. Nenek dah mulalah tu. Kalau tak membebel tak sah agaknya. Ini semua budak kecik tu punya pasal. Kerana dialah, aku kena bebel, kena marah. Geram!
“Apa susah, dah kahwin nanti Fira suruhlah orang gaji buatkan. Lagipun Fira bukan suka pun minum milo. Bukan macam budak sorang tu. Pagi, petang, siang, malam... asyik milo, milo, milo. Kalau boleh, mandi pun nak guna air milo jugak.”
 “Pergi buat air milo adik sekejap.” Hajah Maziah buat-buat tak dengar omelan cucunya itu.
“Bibiiik... buat air milo adik!” laung Fira kuat sambil kepalanya dijengahkan ke arah ruang dapur. Tak bergerak pun dari sofa.
“Nenek  suruh Fira, yang Fira pergi suruh bibik tu, kenapa?” Hajah Maziah jegil mata.
“Laa... dah memang kerja dia. Biar aje la dia buat.”
“Fira kalau tak melawan cakap nenek tak boleh ke? Sepatah orang cakap... seratus patah dia jawab. Saja nak buat orang marah.”
Sekali lagi Fira tutup telinga dengan kedua-dua belah tangannya.
“Tengok tu... boleh dia tutup telinga masa kita tengah bercakap.”
Fira buat muka selamba. Kedua-dua belah tangannya masih melekap di telinga.
“Firaaaa!” Hajah Maziah menjerit.
“Apa dia?” Muka Fira masam. Benci betul kena marah macam tu. Tangan dilepaskan dari telinga.
“Pergi buat milo adik sekarang.” Hajah Maziah mengarah. Tak cukup jegil mata, jari telunjuknya ditalakan ke arah dapur. Sakit betul hatinya dengan Fira. Entah kenapa, sejak kebelakangan ini Fira dah berubah benar. Gadis itu jadi degil, suka menjawab, pemalas dan macam-macam lagi sifat yang kurang baik. Dia tahu Fira jadi macam itu sebab cemburukan Danish. Fira sakit hati apabila perhatian yang selama ini tertumpu kepada dia seorang beralih kepada adiknya.
“Yalah, yalah.... Fira nak pergi buat la ni.” Dengan bibir yang memuncung, Fira bangun dari sofa. Lalu melangkah ke ruang dapur.
“Bik.”
“Iya.” Bibik yang sedang mengupas bawang besar angkat kepala, pandang Fira.
“Buatkan milo.”
“Siapa mau minum milo?”
“Budak kecik tu. Cepat tau?”
“Baik... saya buat sekarang.”

Jumpa lagi

 Assalamualaikum,

Dah lama sungguh la blog ni dibiar bersawang. Dah masuk dua tahun. Nasib baik saya masih ingat password. Insya-Allah lepas ni saya akan rajin-rajinkan diri datang ke sini dan mengemas kini apa yang patut. Harap-harap macam itulah...

Sampai jumpa lagi...

Friday, July 26, 2013

mercun oh mercun...

Diam tak diam dah lebih dua minggu kita berpuasa. Bererti tak sampai dua minggu saja lagi kita nak menyambut hari raya. Biasalah bila masuk saja bulan puasa... mulalah kedengaran bunyi dentuman mercun di mana-mana sahaja. Walaupun saban tahun kita disajikan dengan berita kemalangan yang berpunca daripada mercun, tapi ianya tidak pernah dijadikan iktibar. Bukan setakat budak-budak... bapak budak juga turut terbabit dalam pembakaran mercun ni. Habis camno?

Bila bercerita pasal mercun, saya jadi teringat masa saya budak-budak dulu. Saya adik-beradik pun pernah jugalah terjebak dengan benda larangan ni. Tapi saya cuma main mercun ayam, mercun kereta dan jenis-jenis mercun yang tidak merbahaya langsung. Memang kena gelaklah dengan anak-anak jiran. Konon mercun-mercun kami tu tak mencabar langsung.

Dia orang pula main meriam buluh. Siap letak belerang dalam buluh tu. Setiap kali dicucuh, bergegar satu kampung. Lepas tu dia orang pakat menjerit keseronokan. Kita orang ni hanya pandang dari jauh sajalah. Nak dijadikan cerita, ada sekali tu... puaslah anak jiran tu dok mencucuh api  tapi sampai sudah tak meletup-letup. Sudahnya dia rapatkan mulut ke lubang buluh tu dah menghembus sekuat hati. Hembus punya hembus... tiba-tiba meletup. Apa lagi... hitam legam la muka. Bulu kening, bulu mata dan sebahagian rambut habis terbakar. Punyalah kuat dia meraung masa tu... kita orang yang kat dalam rumah pun terperanjat mendengarnya. Walaupun rasa kesian tapi bila tengok muka dia,  semua pakat gelak. Memang kelakar sungguh. 

Dan sekarang, bila dengar bunyi mercun, saya jadi teringat pada peristiwa itu semula. Orang lain beraya kat rumah... dia pula beraya di hospital...

Tuesday, June 25, 2013

selamat hari jadi, aisyah...

Saya masih ingat lagi semasa mengandungkan anak ketiga saya... dua kali saya buat scan, dua kali juga doktor dok kata lelaki. Walaupun dah ada dua anak lelaki, saya dan suami okey aje... terima seadanya. Tak kisahlah lelaki atau perempuan... janji sihat dan cukup sifat. Jadi kami pun bersiap sedialah dengan segala kelengkapan untuk bayi lelaki. Semuanya biru. Nama pun dah ada masa tu, Azim Fahmi. Yang abang-abangnya pun dah siap bagi tahu jiran-jiran tentang adik Azim mereka.

Tapi itulah yang dinamakan kuasa Allah. Bayi yang dikatakan lelaki, rupa-rupanya seorang perempuan. Saya yang keletihan selepas melahirkan, tiba-tiba rasa kuat dan segar. Hilang segala kesakitan. Tuhan saja yang tahu betapa seronoknya masa itu. Abang-abangnya pun bukan main teruja lagi. Belum sempat saya dan suami memikirkan nama yang sesuai, mereka dah sediakan nama untuk adik mereka. Seorang beri nama Aisyah... lagi seorang pilih nama Fatihah. Tak nak mereka berkecil hati, saya dan suami bersetuju dengan pilihan mereka. Lagipun maknanya pun elok. Lalu bayi perempuan tersebut diberi nama Aisyah Fatihah.

Masih segar peristiwa itu dalam ingatan dan hari ini, 25 Jun 2013, genaplah usia Aisyah 16 tahun. Cepatnya masa berlalu. Terasa baru semalam Aisyah berada dalam dukungan. 

Buat Aisyah, selamat hari jadi ibu ucapkan. Ibu doakan agar Aisyah sentiasa berada di dalam peliharaan dan rahmat Allah. Mudah-mudahan juga Aisyah akan menjadi anak yang berjaya di dunia dan juga di akhirat. Kami semua sayang Aisyah...

Sunday, June 23, 2013

Langkawi di hati

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Sedar tak sedar, bulan Jun sudah hampir berlalu.  Jun, bulan yang sangat sibuk bagi saya. Jun 2013 juga mencipta banyak kenangan manis dalam hidup saya. Dan dalam bulan Jun juga saya ke Langkawi lagi sekali.  Ini adalah kunjungan kali ke lima saya ke sana. Kali ini atas urusan kerja.Tapi pergi atas tujuan bekerja dengan melancong bersama famili, tentulah tidak sama.

Lalu saya teringatkan peristiwa hampir dua tahun lepas. Semasa  melalui sebatang jalan di Langkawi, kereta yang dipandu suami tiba-tiba ditahan seorang polis. Suami dan saya yang tidak memakai tali pinggang keledar ketika itu sudah tidak sempat berbuat apa-apa.Tergamam.

"Encik datang dari mana?" tanya polis tersebut sambil meminta lesen memandu suami.
"Dari KL," jawab suami.
"Encik.... bukan di KL aje kena pakai tali pinggang keledar. Kat Langkawi pun sama aje, encik."
"Ya... saya tau," balas suami.
"Tak apa... kali ni saya maafkan encik. Lain kali jangan buat lagi tau."

Moral of the story : Sentiasalah memakai tali pinggang keledar walau di negeri mana pun anda berada :)

Apa-apa pun, Langkawi sentiasa di hati. Insya-Allah panjang umur, murah rezeki... saya akan ke sana lagi...

Monday, June 10, 2013

anak angkat

Sewaktu melalui ofis lama petang tadi, hati tiba-tiba teringat pada seorang teman. Dah lama sangat tak jumpa dia. Apa khabar agaknya dia sekarang? Dulu saya agak rapat juga dengan dia. Dia ni memang seorang yang peramah dan baik hati. Suka belanja kawan-kawan pulak tu. Berbanding dengan saya dan rakan2 lain yang satu Bahagian, dia agak berwang orangnya. Maklumlah selain bekerja, dia juga ada buat business. Walaupun sudah lama berkahwin, tapi kawan saya tu tak punya anak. Dia pernah beritahu saya,  dia dan isteri dah puas berusaha dan berubat tapi belum ada rezeki.  

Pada satu hari, saya bawak anak sulung saya ke ofis. Umur anak saya masa tu baru tiga tahun. Tak sangka pulak, dia boleh tersuka kat anak saya sampai minta untuk dijadikan anak angkat. Setiap hari dia pujuk saya, supaya bagi anak tu kat dia. Dia cakap, dia sanggup bagi apa saja kat saya. Saya yang duk ingatkan dia bergurau selamba menjawab. "Boleh, apa salahnya... tapi anak tu tinggal dengan saya. Tiap-tiap bulan awak bagilah duit belanja untuk dia. Harta awak yang banyak tu pulak cepat-cepatlah tukar atas nama anak saya."

Tak sangka, kata-kata saya tu buat dia berkecil hati. Beberapa hari dia tak tegur saya. Saya yang cuma berniat nak bergurau, terpaksalah meminta maaf. 

Ada satu hari tu, dia dengan rupa yang ceria beritahu saya... dia dah nak dapat anak. Saya yang ingatkan isteri dia mengandung, segera ucapkan tahniah. Rupa-rupanya adik ipar dia yang sedang mengandungkan anak kembar berjanji untuk serahkan salah seorang dari kembar tersebut setelah lahir nanti. Bila dengar janji adik iparnya tu, dia dan isteri terus beli segala kelengkapan bayi. Bukan main teruja lagi mereka berdua... setiap malam duk bercerita tentang bayi yang bakal menyerikan rumah tangga mereka. Sampai masa adik iparnya bersalin... dia dan isteri terus ke hospital. Tak sabar-sabar nak jumpa dan ambil bayi yang telah dijanjikan buat mereka. Tapi malangnya, sampai masa adik iparnya tak nak serahkan bayi tersebut dengan alasan dia tak sanggup berpisah dengan anaknya.

Kata kawan saya ni, dia sangat sedih dengan kejadian itu. Dia tak sangka adik iparnya sanggup buat macam tu. Tapi sesedih mana pun dia... dia lebih kasihankan isterinya. Bayangkan setiap kali isterinya masuk ke bilik sebelah dan melihat barang-barang bayi yang penuh satu bilik, dia  pasti akan menangis. Bila dengar cerita dia, saya turut rasa sedih. Boleh saya bayangkan macam mana perasaan mereka suami isteri. 

Setelah berpindah tempat kerja, saya dah tak jumpa dia lagi. Saya pun tak tahu sama ada dia sudah berjaya mendapat anak/anak angkat atau masih lagi berdua dengan isterinya. Walau di mana pun dia sekarang, apa pun yang dia sedang buat... saya doakan yang baik-baik saja untuk dia. Semoga dia dan isterinya berbahagia selalu dan sentiasa berada dalam redha Allah. Amin...